Saturday, June 2, 2012

kubu A Famosa yang Famous....


Cuti-cuti sempena cuti semester sekolah 1 Jun 2012 baru ni, sempat juga bawa anak-anak ke Bandar Melaka untuk bercuti. Memperkenalkan anak-anak dengan keindahan Bandar Melaka bukan saja deruan air laut di Tanjung Bidara dan keenakan ikan bakar serta lauk asam pedsasnya, tetapi juga mengenali sejarah yang semakin keliru untuk difahami anak-anak. Kesempatan tersebut telah memberi ruang untuk mereka mengenali kota Melaka yang tersohor satu ketika dulu. Menunjukkan mereka satu demi satu tinggalan sejarah lama membuatkan anak-anak terpegun dan mula mencari asal kenapa Negara ini menjadi rebutan orang luar satu ketika dulu. 

Kota A Famosa (bermaksud "Yang Termashur" dalam bahasa Portugis) telah dibina oleh Portugis sebaik sahaja berjaya menawan Melaka pada tahun 1511. A Famosa terletak di Bandar Hilir, Melaka bersebelahan replika Istana Kesultanan Melaka dan Gereja St. Paul. Ia merupakan seni bina Eropah tertua yang masih tinggal di Asia.
Nama A Famosa seringkali disalah sebut sebagai /ei/ Famosa, termasuklah oleh orang Malaysia, seolah-olah artikula penentu "a" dalam bahasa Portugis dianggap sebagai huruf "A" dalam abjad Inggeris. Sebutan yang lebih tepat ialah /ɑ/ Famosa (bunyinya lebih kurang "ah").








Dari segi sejarah, kota A Famosa merupakan nama kubu yang dibina oleh orang Portugis selepas menakluk Melaka pada 1511. Sebaik sahaja mereka menawan Melaka, Portugis menggunakan buruh paksa untuk membina kubu sementara bagi menangkis serangan orang-orang Melayu, sementara mereka membina kubu utama yang digelar "A Famosa", atau secara rasminya Kubu Melaka (Fortaleza de Malaca). Kota A Famosa mengambil masa selama 5 bulan untuk di bina. Akibat suhu panas terik dan kekurangan makanan, ramai buruh paksa yang mati ketika membina kota tersebut. Bahan bagi membina kota tersebut diambil dari runtuhan masjid dan bangunan lain.


Pembinaan kota A Famosa atas arahan Alfonso de Albuquerque boleh dikatakan menjadi lambang penentangan penduduk Melaka masa itu sehinggakan memaksa pihak Portugis membina kota pertahanan sebaik sahaja mereka menguasai bandar Melaka.

Kota A Famosa yang disiapkan mempunyai empat menara, atau ketelom (bastion), dengan tembok setebal 2.4  meter hingga 4.5 meter. Menara-menara tersebut dikenali sebagai Baluarte San Pedro, Baluerte de las Virgenes, Baluerte Madre de Dios, Baluerte Santo Domingo, dan Baluerte de Santiago. Menjelang tahun 1583, Melaka telah menjadi bandar berkota yang dilindungi dengan tujuh puluh meriam ke semua arah.

A Famosa diperluaskan ke kawasan berhampiran dan meliputi penempatan Eropah. Kawasan itu termasuklah Jalan Kota, Jalan Gereja, Jalan Mahkamah & Jalan Istana. Penjajah Portugis turut menjadikan ini satu penempatan Kristian dengan 5 gereja, tempat beribadat, biara, hospital dan sebagainya. Bagaimanapun, kota ini gagal menghalang Belanda pada kurun ke-17. Dengan bantuan rakyat tempatan dan Melayu Johor, serangan telah dilancarkan sebelum Belanda berjaya merampas Melaka..

Kota A Famosa dibina sebegitu kukuh sehinggakan ia membantu Portugis untuk menangkis semua bentuk serangan. Untuk menakluk Melaka, pasukan Belanda mengepong kota tersebut selama lima bulan, sementara penduduk yang terperangkap di dalamnya terpaksa memakan kucing, tikus, dan dalam satu kes seorang wanita memakan bayinya yang mati. Akhirnya, pada 14 Januari 1641, pihak Belanda menyerbu melalui Pintu Santo Domingo Gate, diberitakan ketika itu mangsa korban lebih 7,000 orang, akibat kebuluran, penyakit dan tembakan senjata api.

Kota A Famosa yang rosak teruk dalam pertempuran telah diperbaiki sementara Porta de Santiago yang merupakan pintu utamanya digantikan dengan logo Syarikat Hindia Timur Belanda. Selepas menawan kota tersebut, pihak Belanda membaiki dan mengubah suai, dan meletakkan jata mereka di atas pintu pagar yang masih kekal sehingga kini pada Porta de Santiago, satu-satunya pintu yang terselamat, dengan ukiran "Anno 1670".

Apabila tentera Napoleon menjajah Belanda (Holland) pada tahun 1795, Putera William of Orange melarikan diri ke London, di mana dia memerintah semua penempatan Belanda untuk menerima tentera British, bagi menghalang mereka dari jatuh ke tangan Perancis. Akibatnya, pihak British berjaya menguasai Melaka pada 1795 tanpa sebarang pertempuran.

Selepas menguasai Melaka, pihak British tidak berminat menyimpannya, ataupun membiayai penempatan tentera bagi mempertahankan Melaka yang dianggap milik sementara dan perlu dipulangkan kepada pihak Belanda selepas perang. Sebaliknya meninggalkan kota sekukuh itu tanpa pertahanan yang mencukupi adalah mengundang mara bahaya, sekiranya ia ditawan oleh pihak musuh. Tambahan lagi, mereka tidak berminat bagi memulangkan Melaka ke tangan Belanda dengan kota A Famosa dalam keadaan utuh sebagai saingan kepada penempatan Inggeris di Pulau Pinang dan Singapura. Dengan sebab itu, Mr. Robert Farquhar iaitu Leftenan Gabenor Pulau Pinang dan juga Gabenor Melaka antara 1803 hingga 1818, telah membuat cadangan bagi memusnahkan kota A Famosa kepada Kerajaan Inggeris di India

Beliau menyatakan bahawa penyelenggaraan dan pertahanan kubu tersebut hendaklah dikecilkan dan memberikan dua sebab utama, iaitu:
(I)                hasil yang diperolehi oleh Melaka tidak mampu membantu membiayai kos penempatan tentera 'sepoy' dan
(II)             pengecilan itu akan dapat membantu memajukan Pulau Pinang dengan memindahkan penduduk Melaka ke Pulau Pinang.

Maka pada awal 1804, beliau dengan tegas mencadangkan agar Melaka dihapuskan dari muka bumi dengan semua penduduk Melaka diarah supaya dipindahkan ke Pulau Pinang dan Kota Famosa dimusnahkan bagi mengelak ia dikuasai oleh pihak lawan.

Dengan cadangan tersebut, Kerajaan Inggeris di India mengarahkan Kota A Famosa yang terletak di Bandar Hilir, Melaka dihancurkan. Kerja merobohkan Kota A Famosa bermula pada 10 Ogos 1807. Pada awalnya dia memerintahkan pesalah untuk merobohkan Kota A Famosa batu demi batu dengan menggunakan pemungkis dan besi penyungkil. Apabila tembok yang sesetengahnya mencecah 4.5 meter kelihatan terlalu kukuh untuk ditanggalkan, dia memutuskan bagi memusnahkan Kota A Famosa dengan menggunakan ubat bedil. Dia memerintah lubang digali di sekeliling kaki kota dan meletupkan Kota A Famosa, menyebabkan batu sebesar rumah berterbangan dan jatuh ke laut. Hampir kesemua kubu, tembok-tembok, Hospital Besar, dua tempat menyimpan beras, tempat kediaman dan enam bilik simpanan telah diletup dan diratakan.

Semasa kerja-kerja pemusnahan telah pun berlaku dengan rancaknya, Sir Stamford Raffles seorang kaki-tangan kerajaan yang bercuti sakit telah datang ke Melaka atas jemputan William Farquhar. Apabila mengetahui mengenai perobohan Kota A Famosa, beliau telah menulis surat kepada Kerajaan Inggeris di Pulau Pinang dan India dengan menyatakan bahawa pemusnahan Kota Famosa tidak patut dilakukan. Beliau telah memberi sebab-sebab tertentu, pertamanya jika Inggeris membiarkan Melaka, pihak lain akan mendudukinya, sudah pasti ia akan merugikan Pulau Pinang, kedua Melaka itu sendiri mempunyai nilai sejarah dan mentadbirkannya tidak memerlukan perbelanjaan yang banyak, manakala yang ketiga penduduk-penduduk Melaka tidak perlu dipindahkan kerana sebelum Belanda meninggalkan Melaka, Inggeris telah pun memerintahkan penduduk Melaka supaya terus tinggal di situ. Beliau turut menyatakan bahawa Inggeris tidak perlu meninggalkan Melaka hanya kecuali dipaksa.

Cadangan Raffles itu telah diterima dengan baik oleh Kerajaan Inggeris tetapi ia sudah terlambat kerana hampir seluruh kota tersebut telah musnah. Pemusnahan Kota 'A Famosa' pada hari ini dalam tahun 1807, telah memusnahkan hampir seluruh kota itu, dan hanya meninggalkan satu pintu kotanya yang dapat dilihat hingga hari ini, iaitu Porta de Santiago.

Pihak British kekal di Melaka sehingga tahun 1818. Apabila berakhirnya peperangan Napoleon, Melaka dikembalikan ke tangan Belanda (tanpa Kota A Famosa). Melaka kekal di tangan Belanda selama tujuh tahun berikutnya, sehinggalah perjanjian London 1824, apabila mereka menukarkan Melaka dengan Bangkahulu (Bencoolen) di Sumatra.

banyak bercakap mengenai kota A Famosa binaan Portugis ini, kemudian diambil oleh Belanda, kemudian oleh Inggeris, diserah semula kepada Belanda dan dipulangkan kembali kepada Inggeris, tentang kekukuhan binaanya dan berbagai lagi. Tapi akhirnya aku terdiam bila anak-anak merungut "kenapa selalu bercakap pasal  kekuhan kubu ini, kenapa tidak bercerita pasal kelemahan orang Melaka sehingga orang luar boleh buat kubu atas tanah  kita?". maknanya anak-anak sudah faham erti sejarah! saya menjawab "maka generasi kamu nanti janganlah ulangi lagi sejarah itu!"
  1. Sumber: Hikayat Abdullah, Lee, Cynthia. New Straits Times. Excavation for Malacca tower project unearths ruins of Dutch fort. 1 Disember 2006, The Star. Ancient wall stays, tower goes. 4 Disember 2006. Lee, Cynthia. New Straits Times. Excavation for Malacca tower project unearths ruins of Dutch fort. 1 Disember 2006, The Star. Old watchtower may be under site. 4 Disember 2006. Hikayat Abdullah,  (Inggeris) Exploring the Porta de Santiago (A Famosa)http://ms.wikipedia.org/wiki/A_Famosa

"Bila Dua Kuasa Duduk Bersama..."




“Buka aje pintu pejabat, dah ada orang dah tunggu minta dinikahkan, jadi kami nak buat macam mana, kalau tak dinikahkan kita bimbang mereka akan terus membuat maksiat atau mereka akan dibawa ke tempat nikah yang tidak mendapat tauliah dari majlis kita sendiri” kata Tuan Guru Haji Ismail Haree, Yang Di-Pertua (YDP) Majlis Agama Islam Wilayah Yala.

Begitulah rutin rakyat Malaysia yang hendak bernikah di Selatan Thailand, sememangnya cinta itu buta, bila sudah jatuh cinta maka tidak ada apa lagi yang dapat menghalang, bahkan katanya lautan api pun sanggup direnang, inikan pula hanya seberang Sungai Golok sahaja.

Tanggal 11 – 12 Jamadilawal 1433H bersamaan 3 – 4 April 2012 bertempat di Perdana Ballroom Hotel Holiday Villa, Alor Setar, Kedah Darul Aman menyaksikan sekali lagi pertemuan dua mata antara semua pihak yang bertanggungjawab menguruskan perkahwinan di Malaysia dan di Selatan Thailand. Peristiwa bersejarah ini sangat-sangat dinanti oleh semua pihak di Malaysia bagi menyelaras urusan perkahwinan warganegara Malaysia yang bernikah di Selatan Thailand. Program yang diurusetiakan oleh Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK) Jakim ini merupakan salah satu daripada usaha Jabatan ini untuk melaksanakan Kempen Sah Nikah Sah Nasab iaitu mengadakan penyelarasan pengurusan perkahwinan warganegara Malaysia di Selatan Thailand. 

Mesyuarat pada kali ini lebih bermakna dengan kehadiran YDP Majlis Agama Islam Wilayah Yala;Tuan Haji Haji Ismail bin Haree, Tuan Guru Hj Abdul Basit bin Che Mat – Qadhie Syarie Wilayah Yala; Tuan Guru Haji Ahmad Tuyung – Naib YDP Wilayah Yala, Tuan Guru Haji Abdul Halim bin Hilee – Setiausaha Majlis Wilayah Yala, Ustaz Subyan Yeerim dan Ustaz Abdol Rorfa Surong – YDP dan Naib YDP Majlis Agama Islam Wilayah Phattalung, Us. Man Marasa – YDP Majlis Agama Islam Wilayah Satun, Us. Abdullah Akem – Naib YDP dan Encik Hassan bin Hj Talib – AJK Majlis Agama Islam Wilayah Satun, Dari Majlis Agama Islam Wilayah Pattani; Dr. H. Ahmadkamei bin Hj. Yusof – Naib YDP, Tuan Haji Ahmad bin Wan Lembut – Naib YDP, Ustaz Tariq bin Haji Ahmad – Pegawai di Majlis Agama Islam Wilayah Pattani. Delegasi dari Majlis Agama Islam Wilayah Songkhla; Tuan Haji Abdul Wahab Senwang bin Abdullah – Naib YDP; Tuan Haji Abdul Razak Meenjala – Naib Setiusaha; Tuan Haji Ismail Awang bin Hj Mohd Daud – AJK Majlis dan Tuan Haji Abdul Halim Matplod  – Pegawai di Majlis, manakala dari Majlis Agama Islam Wilayah Narathiwat;Tuan Hj Abdul Aziz Chemamat – Naib YDP, Tuan Hj Kokari – Ketua Bahagian Urusan Masjid, dan Tuan Haji Mustafa Loko – Pegawai Bahagian Urusan Kedamaian.

Turut dijemput bersama-sama Jakim dalam mesyuarat ini yang telah dipengerusikan oleh Tuan Haji Razali bin Shahabudin; Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan) ialah semua Ketua-ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Ruju’ di 14 negeri-negeri seluruh Malaysia (bagi Wilayah Persekutuan diwakilkan oleh KPP NCR di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur),Tuan Mohd Radzi bin Abdul Latif; Ketua Pendaftar Jabatan Kehakimah Syariah Malaysia, Putrajaya (Ibu Pejabat), Puan Hajjah Saimah binti Mukhtar; Pengarah Bahagian KSK Jakim, Tuan Haji Ghafani bin Awang Teh; Pengarah Bahagian Penyelarasan Undang-undang Jakim, Tuan Abas bin Nordin; Pengarah Bahagian Keurusetiaan dan Rekod JKSM, Tuan Mohd Syahrizal Syah bin Zakaria; Peguam Kanan Persekutuan (mewakili PUU Jakim), Tuan Kol. Hamzah bin Ali; Pengarah Pejabat Persempadanan Darat Malaysia – Thailand (MTBCO - MKN), Supt. Tuan Musytari bin Hj Omar; Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman; dan turut hadir ialah Inspektor Kairul Faiz bin Umar; PDRM Bukit Aman serta Inspektor Mohd Shahrizal bin Rasid; PDRM Kota Setar.

Mesyuarat memutuskan bagi perkahwinan yang tidak mendapat kebenaran bernikah dari JAIN,  semua pihak sama ada di Malaysia mahupun di Selatan Thailand hendaklah memastikan perkahwinan yang dijalankan mengikut hukum syara’ dalam masa sama hendaklah mempunyai dokumen – dokumen utama seperti mempunyai dokumen keluar masuk sempadan Malaysia – Thailand yang sah, perakuan dari pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Selatan Thailand, serta sijil nikah yang sah dari Majlis Agama Islam yang diiktiraf oleh kerajaan Thailand.

Majlis Penangguhan Persidangan yagn berakhir jam 12:30 tengahari pada 4 April 2012 telah disempurnakan oleh YBhg Dato’ Haji Noh bin Dahya, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah Darul Aman. Dalam ucapan penangguhannya, YBhg Dato’ Haji Noh menyentuh mengenai tanggungjawab bersama menjaga maslahah dan nasab umat Islam serantau yang perlu dipikul oleh semua pihak di Malaysia dan di Selatan Thailand. YBhg Dato' Haji Noh juga telah menyampaikan cenderahati berupa set Kitab Fiqh al Manhaji Mazhab As Syafie  dari Jakim kepada semua wakil dari Majlis Agama Islam berkenaan.

" Bawa Peti Dari Melaka
Berisi Pakaian Si Anak Raja
Kalau Hati Sudahlah Suka
Semua Keadaan Indah Belaka..."



 Puan Hajjah Saimah Binti Mukhtar; Pengarah KSK Jakim
...tekun mendengar ucapan Pengerusi





Majlis Agama Islam Wilayah Satun
Penyampaian Cenderahati Kepada Tuan Guru Haji Ismail Haree;
YDP Majlis Agama Islam Wilayah Yala disempurnakan Oleh 
YBhg Dato' Haji Noh bin Dahya; Pengarah Jabatan Hal Ehwal 
Agama  Islam Negeri Kedah Darul Aman.


Ihsan: http://www.islam.gov.my/bila-dua-kuasa-duduk-bersama



Tuesday, April 10, 2012

Main bbidah para.


Baru ni ambo gi Semporna Sabah. Tahu mana Semporna? Tu, dekat denge  Semporna lah. Bandar tepi laut. Bbetule ambo ada mesyuarat deknu. Hari tu, belah pete, lepah check in hotel Seafest Semporna, ambo terasa puah sangat. Bele-bele cari kopi ssegar tekok, ambo turun raun-raun  tengok kelawase. Bo turun jah dari hotel, bbetule air tengoh pase molek, napok budok-budok main terjun dale air. Budok-budok tu duduk atas batu besar, terjun  plum! Alah ke dale air! Puh, teringat ambo jame budok dulu…

Peduli ko budok tu, ambo jale lagi sore-sore.  Bandar Semporna ni Bandar tepi laut. Meh-meh Tok Bali kalu di Kelate. Celah-celah lorong napok rama budok-budok kecik setengah umur dale 7-9 tahun dok main mace-mace hmene… bele-bele sedut rokok, ambo dok ttinggung atah pagar jeti. Mata dok ralit tengok budok-budok tu…di lenge penuh ngan getah ada sekerat siku… ambo perati ada dale 5 ore budok. Hok hite kecik tu napok lia siket, dia ajak geng dia main capok getah…ada 2-3 ore geng dia main ‘kelong’. Napok sangat dia murih, pah tu gilir tolak. Ambo dok perati lagi…. Hok sore tu rambut keriting, tubuh kasar sikit, main ilat. Awo napok nak kaloh dia mula lah wat tak napok. Hok kecik hite tu pun jet  atah belake, pah tu mulolah berumbah…beraso tak berapo nak rok, hok tubuh kasar rambut keriting pun lari ke belake. Apo lagi, hok kecik hite pun hambat lah…

Lorong tu sepi semula…ambo masih dok ttinggung atas pagar jeti. Palo mulo teringat zame budok-budok dulu. Rama-rama dok ttinggung atas gate tali air. Alik hnaik rumah ambo ada gate tali air. Sebelahnya ada pade lape tepat budok-budok dok main pete-pete, sekalonya lepah balik ngaji quran rumoh muloh tok ayoh. 

Zame budok dulu ambo suko sangat main bbidah getah paro. Tahu main mace mano?
Getah para ni hmene  tradisi budok-budok dulu. Sebut getah para gak, ambo la champion masa kecik dulu. Di lenge tu sekerat siku getah, belum lagi dale kocek seluar, kiri kana nada se berekas getah. Getah ni ambo tak pernah beli, tapi buleh hasil dari main getah para.

 
 getah gelang. Getah ni kalau pintal tebal-tebal 
buleh dijadikan kor pital atau kor sawat itik.

Main getah para ni, kita kena pasak dua bate kayu. Pah tu ambik getah gelang rentang  atah batang kayu tu.  Rentang atah bate kayu tu lah hok ore sebut ‘para’. Pah tu tage lah getah ikut banyok mano hok kita ttaruh. Lagi biso lawe, lagi banyok bertaruh getah gele.

Nak setat main, kena one two som dulu. Sapo mulo dulu dia buleh lah bidah getah atas para tu. Ore luar kata ‘bidik’. Ambo kalu bab nguting bidah getah ni gak, meme champion lah. Gu lawe ambo masa tu gak, jaki anak muloh pak su Ya, Jaghi adik dia, jelan, mat roji, nuar, kadir mak su bia, sedi, supi seri dan ramai lagi.  Kalu bidah, getah kena jatuh dari para. Kalu jatuh masih ttakup lagi dari para, tak leh kiro sebab dia masih ada karan.  Maka giliran ore lepas tu lah pulok bidah supaya jatuh dari para dan tidak ‘karan’. Kalu jatuh tak ttakup denge getah lain atau denge getah para, mako semo getah tu jadi hok kito.

 
 ni lah para. getah disusun atah para. bila kor sawat
 itik kena getah  hok jatuh dari para akan jadi hok kito

Selalunya main getah paro ni menguji skill dan kehebatan bbidah yang jitu. Payoh nok main ilat sebab kita duk jauh dari para. Main bidah para ni kena main dengan ‘kor sawat itik’ atau ‘kor pital’. Kor sawat itik atau kor pital ni adalah getah yang dipintal tebal untuk dijadikan kor wat bbidah.  Dok lah jauh mano pun, kalu kor pital tu kemah, buleh bidah tepat. Setakat cicak 4-5 depa atah rabung tu sekali bidah jah hancur ppalo. Sama teloh la kalu getah para, sekali bidah ssembur getah, buleh pate kutip wat nyohor di sekolah…

Main bidah para ni, kalu kor pital atau kor sawat itik tu terlekat atas para, maka tak pasal-pasal lah buleh kok re. jadi kena bidah jange wi lekat atas para dan biar getah hok uting tu jatuh dari para. 

“Bip! Bip! Bip!” tengoh tengoh ambo dok koyal pasal bbidah para, tibo-tibo telepon ambo bbunyi, ada geng telepon dari hotel tanyo kabar ambo dah sapa ko belum. Kacau sungguh, abih hile kenange lalu.....

Dikir duit seriyal

Dikir duit seriyal Pok Ya penuh denge pengajare..


Mabul, Kapalai menyempurnakan Semporna!


Pulau Mabul terletak di pesisir tenggara negeri Sabah, Malaysia. Pulau ini terkenal kerana dekat dengan Pulau Sipadan. Pulau kecil dan melengkung ini terkenal kerana terdapatnya banyak batu karang pelbagai jenis. batu karang menjadi tumpuan pelabagai jenis ikan marin kerana banyaknya makanan planton. dasarnya yang tidak dalam sesuai dengan kejadiannya sebagai pentas benua  di Laut Sulawesi. kedalaman sekitar 25-30 meter sesuai untuk aktiviti 'scuba diving'. Banyak sekali hidupan eksotik seperti sotong kurita, cephalopods, udang geragau, ketam. rumpai laut lain dan sebagainya. Disini anda adalah dilarang dari menangkap atau membunuh hidupan laut tersebut, akan tetapi ianya dah memadai apabila  anda boleh memegang dan menyentuh ikan-ikan jinak itu !

Jika anda impikan untuyk bercuti di tempat yang mempunyai air jernih bak cermin, langit biru dan chalet indah di atas air laut, Pulau Kapalai yang terletak di timur sabah, mungkin tempat menyelam yang terbaik di dunia untuk dilawati. pengalaman indah di sana akan menjadi kenangan seumur hidup!

 Welcome to Kapalai Resort... mengasyikkan. Di sini sempat
 juga aku beli magnetic freeze utk kenang-kenangan


 Resort yang terapung di atas air....

Kapalai bukanlah hanya sebuah pulau, tetapi jalur pasir berhampiran  dengan Pulau Sipadan dan Mabul, yang merupakan kepulauan yang indah.

 
 amacam?

Kapalai Island telah wujud  beberapa ratus tahun yang lalu, Pulau Kapalai adalah sebuah pulau yang sebenar, dengan tanah yang tebal dan permukaan yang lebih besar. Walau bagaimanapun, disebabkan oleh proses hakisan, pulau ini telah  berubah menjadi timbunan pasir, di mana hanya satu lapisan nipis pasir muncul atas perairan Laut Sulawesi. Pulau Kapalai yang merupakan  Terumbu Ligitan dan tanah berpasir hanya muncul beberapa ketika apabila air pasang rendah. Selepas itu, keseluruh resort  kelihatan terapung di atas air apabila air laut mulai pasang. 

 
 Not bad!

Sipadan Yang sepadan dengan namanya!


Sempena Persidangan PKJ kali ke 88, peserta persidangan diberi peluang untuk melawat pulau-pulau tercantik di Sabah juga cukup terkenal di dunia, iaitu kepulauan Mabul, Sipadan kapalai dan sebagainya. Pulau-pulau ini bukan saja terkenal kerana kecantikan koral dan terumbunya, tetapi cukup sinonim dengan peristiwa penculikan dan kegananasan lanun-lanun yang bermaharaja di lautan sabah lela satu ketika dulu.

Pulau Sipadan ialah sebuah pulau lautan berhampiran dengan Semporna, sebuah bandar di pantai timur Sabah, Malaysia. Pulau Sipadan merupakan satu-satunya pulau samudera di Malaysia daripada batu kapur dengan ketinggian 600 meter dari dasar laut. Pulau Sipadan terkenal sebagai satu pilihan tempat bagi aktiviti menyelam skuba (scuba diving) antara yang terbaik di dunia. Mengikut keputusan undian umum yang dikeluarkan oleh organisasi tunggal bagi pengundian 7 keajaiban terbaik dunia (New 7 Wonders of Nature votes commitee), Pulau Sipadan telah tersenarai antara 77 bentuk muka bumi yang ajaib dan terbaik dunia pada tahun berakhir Julai 2009.

Pulau ini pernah sama-sama dituntut oleh Malaysia dan Indonesia. Isu tersebut telah dibawa kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa. Dengan bukti yang disiapkan Malaysia dan dengan sokongan British, Mahkamah Keadilan Antarabangsa menyerahkan Pulau Sipadan kepada Malaysia bersama-sama dengan Pulau Ligitan pada 2003. Keputusan ini berdasarkan "penguasaan berkesan" (effective occupation) yang ditunjukkan oleh British (bekas pengkoloni Malaysia sebelum ini), dan ketiadaan tuntutan yang lebih baik. Kerajaan Indonesia mengulas rasa sangat kecewa di atas keputusan tersebut.





Alam bawah laut Sipadan menawarkan kepada para penyelam pemandangan yang penuh dengan kehidupan marin seperti Barracuda, penyu, ikan, dan sebagainya. Warna-warna yang banyak dan bertukar ganti, birai, celah, batu rungkupan, gua besar dan cerombong yang menegak di bawah air yang dibentuk oleh pelbagai karang menanti untuk disaksikan oleh para penyelam yang ingin menikmati tempat selam yang menyeronokkan di dunia.
Pulau ini telah diwujudkan sebagai tempat perlindungan hidupan liar pada tahun 1933 dan persekitarannya yang asal telah dapat dikekalkan sehingga kini.

Di sekitar Pulau Sipadan mempunyai beberapa kawasan popular untuk penyelam "Hot spot center to scuba divers" misalnya Barracuda Point, Turtle Cavern (Gua Penyu), Coral Gardens Drop Off (terletak berhampiran jeti utama Pulau Sipadan), North Point, West Ridge, Taman-taman Tergantung (Hanging Gardens), Lobster Lair, Staghorn Crest, South Point, Turtle Patch, Batu Karang Tengah (Mid Reef), Whitetip Avenue dan Coral Gardens.

Ekoran pencerobohan dan penculikan di pulau-pulau peranginan di perairan Timur Sabah oleh anasir-anasir luar, Operasi PADAN telah dilancarkan pada 29 April 2000. Satu seksyen trup Tentera Darat (TD) telah ditempatkan di Pulau Sipadan bagi melindungi pulau tersebut daripada ancaman berulang disamping membantu Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dalam menguatkuasakan undang-undang dan keselamatan. Jemaah Menteri yang bermesyuarat pada 13 September 2000 telah mengarahkan pasukan TD diaturgerakkan ke semua pulau dan Resort di Perairan Timur Sabah. Operasi ini dinamakan Operasi PASIR menggantikan Operasi PADAN mengambil singkatan lokasi insiden kes penculikan yang berlaku iaitu Pandanan And Sipadan Island Resort.

Sehubungan dengan itu, Jemaah Menteri telah memutuskan Bahagian Keselamatan Negara (BKN), Putrajaya untuk mewujudkan Sel Koordinasi Operasi PASIR (SKOP), di BKN Negeri Sabah untuk menyelaraskan tindakan yang akan diambil oleh pelbagai agensi penguatkuasa termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam mengatasi ancaman tersebut. Dengan pelancaran Operasi PASIR pada 18 September 2000, TD telah menempatkan anggota di beberapa pulau, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah melaksanakan rondaan maritim sepanjang masa dan Tentera Udara Diraja Malaysia ((TUDM) telah melaksanakan rondaan di ruang udara dari masa ke semasa serta menugaskan satu detasmen pesawat helikopter.

Lawatan pada hari sabtu 8 April 2012 juga tetap menjadi kenangan apabila kami di bawa untuk melawat lokasi penculikan satu ketika dulu dan tak ketinggalan juga berkesempatan melawat tempat ternakan penyu !

Percayalah, jika tidak melihatnya sendiri, kita tidak akan menyedari bahawa Pulau Sipadan adalah Pulau tercantik, wajarlah ianya menjadi sebutan dunia. Sipadan memamng padan dengan namanya!


Bot navy yang mengiringi kami
 
Terima kasih kepada Kolenel Amirul kerana mengiringi, menjaga dan memberikan taklimat untuk kami!

Semporna yang sempurna


Semporna, Sabah cukup dikenali dengan air laut jernih nak cermin, cahaya matahari yang muncul disebalik horizon dan keputihan pepasir yang mengelilingi pulau-pulaunya. Terumbu karang, paya bakau dan lambaian pepohon kelapa menyerikan lagi panorama ini. Ia masih tidak terganggu, tidak terusik dan asli, bagaikan masa tidak pernah berdetik walau sesaat tatkala kebanyakkan tempat lain sudahpun dinodai dengan pembagunan  pesat kemodenan.
Semporna berada pada kedudukan pantai timur Sabah, lebihkurang 1 jam perjalanan dari udara daripada Bandaraya Kota Kinabalu dan anda akan sampai ke Lapangan Terbang Tawau. Dari situ, anda cuma perlukan 1 jam lagi untuk sampai ke daerah yang sempurna ini. 

Semporna mempunyai keluasan 442 batu persegi atau 113,412 hektar (282,880 ekar) dan terbahagi kepada dua kawasan iaitu Tanah Besar Semporna dan Kawasan Pulau yang dikenali sebagai Pulau Bum-Bum dan pulau-pulau sekitarnya. Daerah Semporna berhampiran dengan sempadan perairan antarabangsa iaitu Filipina dan Indonesia.

Apa yang sempurnanya semporna? Pertanyaan ini akan terjawab sebaik sahaja menjejakkan kaki ke sini. Dari jauh kelihatan pulau-pulau peranginan yang berbalam seolah-olah terapung dipermukaan laut. Terdapat 49 pulau keseluruhannya yang menjadi tapak kepada 119 kampung orang-orang tempatan. Apabila pandangan dialihkan ke arah samudera, ia bagaikan lukisan, kelihatan air laut sejernih kristal yang bertukar dari hijau zamrud ke hijau tua, dari biru muda ke biru tua. Dasar lautnya jelas kelihatan dengan terumbu karang, ikan berwarna-warni dan pasir halus memutih bagai melambai-lambai perasaan untuk sama-sama terjun menikmati keindahan alam semulajadinya.

mercutanda bandar Semporna

Pekan Semporna, sebuah pecan pinggir pantai di daratan adalah pecan kecil kepada daerah semporna yang sempurna. Pecan ini menyediakan segala kemudahan dari jabatan kerajaan ke syarikat swasta, dari kedai kecil ke gedung perniagaan besar. Bayu laut yang meniup lembut ke muka tatkala mundar-mandir di sini melengkapkan lagi suasana berada di sini. Di pekan Semporna, boleh dilihat  percampuran pelbagai budaya, bahasa dan bangsa - Bajau, Suluk, Melayu, Cina, Kadazan dan 'Palauh' hidup harmoni sejak dahulu lagi. Deretan bot-bot penambang, kapal-kapal besar dan perahu-perahu layar tradisional memenuhi ruang gigi airnya.

Daerah Semporna menempatkan Pulau Sipadan yang terkenal kepada penyelam dalam dan luar negeri. Ramai ahli samudera dan penyelam professional datang saban tahun untuk meneroka keindahan lantai lautnya. Kehidupan marin di sini adalah pelbagai, dari hidupan mikro ke kerang gergasi, dari ikan buran ke jerung harimau dan dari udang geragau ke 'lobster' menjadi sebab mengapa penyelam ini datang ke mari. Tarikan lain seperti dinding dan gua melengkapkan lagi penerokaan bawah laut. Pulau peranginan lain yang terkenal ialah Pulau Mabul, Kapalai, Mataking dan Sibuan.

Lawatan ke sini sempena mesyuarat / Persidangan Ketua-ketua jabatan ke 88 telah member peluang untuk turut merasai kesempurnaan Semporna apabila kami dibawa melawat ke pulau-pulau indah ini. Skuad gerak khas angkatan tentera Darat, navy dan udara mengiri kami bagi tujuan keselamatan melancarkan lagi perjalanan ke pulau-pulau hujung sempadan tersebut. Biarpun hati agak kecut mengenangkan peristiwa penculikan dan kegananasan yang berlaku di sini saban tahun sebelum ini, iringan pasukan keselamatan dan tawakal kepada Allah menguatkan perjalanan kami.
Hotel Seafest Semporna, tempat penginapan
 peserta Persidangan PKJ kali ke 88

Sedikit info mengenai Semporna,Tong Talun' adalah merupakan nama asal bagi daerah Semporna yang bererti "Hujung Hutan" dalam istilah Suku Kaum Bajau. Orang yang bertanggungjawab untuk menamakan Tong Talun ialah Panglima Uddang, Panglima Sallehangni dan Panglima Sakti dari keturunan Bajau Kubang. Ini kerana pada ketika itu daerah Semporna diliputi/diselubungi oleh hutan belantara di awal penemuannya. Kemudian, Tong Talun telah ditukar dengan nama Semporna yang membawa pengertian "Tempat Yang Aman atau Damai" sehinggalah sekarang.

Nama Semporna juga dikatakan berasal daripada perkataan Simporna yang bermaksud 'tempat untuk berehat'. Nama Simporna ini diberi oleh seorang Gabenor Inggeris, iaitu W.M Crocker apabila beliau dan beberapa orang rakannya termasuklah seorang pedagang China yang bernama Toonah menemui daerah tersebut pada pertengahan tahun 1887 (Tabrett 1999).


Dulu, Daerah Semporna berada dibawah jajahan takluk Kesultanan Sulu, sebuah kuasa politik yang dominan pada suatu ketika. Jajahan takluknya meliputi sebahagian Filipina (sebelah selatan) dan Borneo Utara. Pada 1876 kawasan yang dikenali dengan Borneo Utara ini telah diperintah oleh Syarikat 'British North Borneo Chartered Company' yang dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan British. Bermula dari itu, Sultan Sulu telah menyerahkan Sabah secara "untuk selamanya dan berkekalan" kepada syarikat ini sebagai wilayah kuasa urus-tadbir mereka.

Kuasa lain yang pernah cuba menakluk Semporna termasuklah Belanda, namun mereka gagal berbuat demikian kerana kehadiran syarikat British disini. Pada tahun 1963, Sabah telah bersatu dengan Persekutuan Malaya untuk membentuk Malaysia.

Pulau Umaral (Omadal), sebuah pulau kecil di perairan Semporna merupakan titik penting sejarah Semporna. Ini kerana Pulau Omadal merupakan tempat asal suku kaum Bajau yang mendiami Semporna. Orang Bajau Pulau Omadal merupakan pelaut/ nelayan yang gigih dan aktif dalam perdagangan hasil laut dan seringkali berurusan dengan lain-lain kepulauan termasuklah tanah besar Semporna. Bukti-bukti terhadap kenyataan ini dapat diperhatikan menerusi ukiran/tulisan di batu nisan dan lain-lain artifak yang jelas menandakan mereka ini beragama Islam.

Daerah Semporna juga adalah kawasan kediaman suku kaum nomad (orang-asli) laut yang dikenali dengan 'Palauh'. Kaum ini masih wujud di Semporna hingga kini dan boleh dilihat di perairan Semporna. Mereka tinggal di bot-bot tradisi di laut dan sentiasa berpindah-randah dari satu pulau ke pulau yang lain. Kaum palauh hanya akan singgah ke tanah besar Semporna jika memerlukan barangan harian atau sebab kematian. Kini sesetengah mereka telah berubah kepada kehidupan yang lebih moden.


http://www.sabah.gov.my/pd.sprn/sejarah.html

Buku Peguam Syarie dan Litigasi Mal di Mahkamah Syariah

 Atas permintaan ramai buku Peguam Syarie dan Litigasi Mal di Mahkamah Syariah telah dibuat cetakan semula, semoga buku ini dapat membantu a...