Tuesday, September 2, 2008

PENGHAKIMAN TUNTUTAN HADHANAH KERANA PEMELUKAN ISLAM

DALAM MAHKAMAH TINGGI SYARIAH DI SEREMBAN
DALAM NEGERI SEMBILAN DARUL KHUSUS
KES MAL NO: 05100-028-0193-2007



DALAM PERKARA TUNTUTAN HADHANAH
NUR ADRYANA QESTINA BINTI ABDULLAH @ AUDREY CHRISTINA SAMUEL………………………………..PEMOHON



ISU

Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam – Bidangkuasa Mahkamah Syariah – Perlembagaan Persekutuan – Bidangkuasa eklusif Mahkamah Syariah – Undang-Undang Keluarga Islam – Ibu orang yang paling berhak – kelayakan penjaga – bapa bukan beragama Islam – keengganan untuk hadir – kebajikan anak mendahului kepentingan bapa atau penjaga - Undang-Undang Tatacara Mal Mahkamah Syariah – Kuasa sedia ada Mahkamah – Undang-Undang Keterangan Mahkamah Syariah – keterangan orang bukan Islam sebagai bayyinah - Notis dikeluarkan kepada bapa untuk hadir ke Mahkamah bagi mempertikaikan permohonan.


FAKTA KES

Pemohon, Nur Adryana Qestina binti Abdullah @ Audrey Christina Samuel telah memohon hak jagaan terhadap dua orang anaknya iaitu Melissa Qristal bte Abdullah (5 tahun) dan Asyraf Jason bin Abdullah (1 tahun 5 bulan). Pemohon seorang yang beragama kristian sejak lahir, tetapi telah memeluk agama Islam pada 13hb April 2007. Pada 21hb Jun 2001, Pemohon telah berkahwin dengan S. Gopal A/L Subramaniam (k/p no. 740721-10-5763) mengikut agama Kristian di gereja Katholik Holy Redeemer dan didaftarkan di bawah Akta memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 di bawah nombor daftar A 474278.

Sepanjang tempoh perkahwinan, Pemohon dan S. Gopal telah dikurniakan dua orang anak iaitu Melissa Chrystyl Benedict lahir pada 06hb September 2002 dan Jason Louise Benedict lahir pada 05hb Disember 2005. Selepas kelahiran anak kedua, iaitu Jason Louise Benedict, hubungan antara Pemohon dan S. Gopal menjadi semakin renggang dan tidak wujudnya hubungan suami isteri sejak setahun lebih. Pada 13hb April 2007, pemohon telah mengambil keputusan untuk memeluk agama Islam dan disahkan oleh Penolong Pegawai Hal Ehwal Agama Islam, Unit Ukhuwah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam, Negeri Sembilan di Pusat Dakwah Islamiah, Paroi Negeri Sembilan. Pemohon telah memakai nama Islam sebagai Nur Adryana Qestina Abdullah. Turut memeluk agama Islam bersama-sama dengan Pemohon ialah kedua-dua orang anaknya iaitu Melissa dan Jason pada tarikh yang sama. Melissa telah memakai nama Islam sebagai Melissa Qristal bte Abdullah manakala Jason memakai nama sebagai Asyraf Jason Abdullah.

Sebelum memeluk Islam, Pemohon dan suami serta anak-anak tinggal bersama di Kota Warisan Sepang. Selepas memeluk Islam, Pemohon telah berpindah ke Taman Ixora dengan membawa anak-anak dan orang gaji. Pemohon mendakwa dia terpaksa tinggalkan rumah tersebut akibat kontrak sewa telah tamat. bagaimana pun, semasa dia berpindah, S. Gopal masih tinggal dirumah tersebut beberapa hari sementara kontrak sewa tamat dan selepas kontrak tersebut tamat, Pemohon tidak tahu di mana S. Gopal tinggal.

Menurut pemohon, selepas dia memeluk Islam, dia telah memaklumkan kepada suaminya berkenaan pemelukan Islam itu pada hari yang sama melalui telefon. Suaminya, S. Gopal enggan memeluk Islam dan bertindak melarikan kedua-dua anak Pemohon pada 23hb April 2007, iaitu lebih kurang sepuluh hari selepas Pemohon memeluk Islam. Ekoran daripada kejadian anak-anak tersebut dilarikan, Pemohon telah memfailkan permohonan hadhanah ini bagi mendapatkan hak jagaan secara sah.


DIPUTUSKAN

Bahawa hak jagaan terhadap dua orang anak bernama Melissa Chrystyl Benedict @ Melissa Krystal bte Abdullah dan Jason Louise Benedict @ Asyraf Jason bin Abdullah, diberikan kepada Pemohon, Audrey Christina Samuel @ Adryana Qestina binte Abdullah selaku ibu kepada anak-anak tersebut.

Bahawa S. Gopal a/l Subramaniam, k/p no. 740721-10-5763 iaitu bapa kepada dua orang anak tersebut dibenarkan untuk melawat sekali dalam sebulan iaitu pada hari selasa pada minggu keempat antara jam 3.00pm hingga jam 6.00pm bertempat dirumah ibu Pemohon iaitu Mary Merlin Olger a/p Paul Ambrose di alamat No. 79, Jalan Desa kasia 2-1, Taman Desa Kasia, Bandar Baru Nilai, dimana bapa kepada kanak-kanak tersebut, iaitu S. Gopal a/l Subramanaiam dibenarkan berada di dalam premis tersebut dengan syarat tidak membawa anak-anak tersebut keluar daripada kawasan rumah atau premis tersebut.

Bahawa S. Gopal a/l Subramaniam adalah dilarang daripada membuat atau berusaha membuat apa-apa perkara yang boleh memesongkan akidah Islamiah anak-anak tersebut.




PEGUAM SYARIE

1. Puan Halijah binti Shariff dari Tetuan Halijah Shariff and Associates bagi pihak Pemohon.


SURAH AL-QURAN YANG DIRUJUK

1. al-Tahrim : ayat 6


KITAB YANG DIRUJUK

1. al Um, Imam al-Shafei, jilid 3, Beyrut, Lebanon,
2. Al-Ahkam al-Sultaniyyah, Abu Ya’la Al-Farra’, Beyrut, Lebanon,
3. al-Fiqh al Islamiy wa Adillatuh, Dr. Wahbah al Zuhaili, ,jilid 10, Dar al-Fikr
4. al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Shafie, Dr Mustapha al-Khin, jilid 2, 2003, Beyrut, Lebanon,
5. al-Mughni, Ibnu Qudamah, jilid 7, Beyrut, Lebanon,
6. al-Iqna’, Muhammad bin Muhammad al-Khatib al-Sharbini, jilid 2, Beyrut, Lebanon.


KES YANG DIRUJUK

1. Mohamed Habibullah b. Mahmood v Faridah bt. Dato’ Talib, (1992) 2 MLJ 793,
2. Wan Abdul Aziz v Siti Aishah, JH(1401H), 147,
3. Permohonan Perisytiharan Status Agama Simati Nyonya binti Tahir, JH XXI/II (2006) 221.


UNDANG-UNDANG YANG DIRUJUK

1. Perlembagaan Malaysia Perkara 121(1A),
2. Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Sembilan) 2003, sek. 4 dan sek. 82(1) dan sek. 83,
3. Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003, sek. 61,
4. Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003, seksyen 244,
5. Undang-Undang Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003, sek. 83.
6. Akta memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 [Akta 164]



ALASAN PENGHAKIMAN

Kes dihadapan saya ini ialah mengenai satu tuntutan hak jagaan terhadap dua orang anak bernama Melissa Kristal bte Abdullah (5 tahun) dan Asyraf Jason bin Abdullah (1 tahun 5 bulan) yang telah difailkan oleh Pemohon, iaitu Nur Adryana Qestina binti Abdullah @ Audrey Christina Samuel iaitu seorang saudara baru. Suami Pemohon, S.Gopal a/l Subramaniam, yang juga bapa yang sah kepada anak-anak tersebut tidak hadir dalam mana-mana peringkat dalam kes ini walaupun telah dipanggil dan disapina untuk memberi keterangan.

Pemohon, seorang Pegawai Perhubungan Pelanggan di Syarikat Penerbangan Malaysia, KLIA Sepang adalah seorang yang beragama kristian sejak lahir, tetapi telah memeluk agama Islam pada 13hb April 2007. Pada 21hb Jun 2001, Pemohon telah berkahwin dengan S. Gopal A/L Subramaniam (k/p no. 740721-10-5763) mengikut agama Kristian di gereja Katholik Holy Redeemer dan didaftarkan di bawah Akta memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 di bawah nombor daftar A 474278. Sepanjang tempoh perkahwinan, Pemohon dan S. Gopal telah dikurniakan dua orang anak iaitu Melissa Chrystyl Benedict lahir pada 06hb September 2002 dan Jason Louise Benedict lahir pada 05hb Disember 2005.

Pada 13hb April 2007, Pemohon telah memeluk agama Islam di Pusat Dakwah Islamiah, Paroi Negeri Sembilan. Pemohon telah memakai nama Islam sebagai Nur Adryana Qestina Abdullah. Turut memeluk agama Islam bersama-sama dengan Pemohon ialah kedua-dua orang anaknya iaitu Melissa dan Jason pada tarikh yang sama. Melissa telah memakai nama Islam sebagai Melissa Qristal bte Abdullah manakala Jason memakai nama sebagai Asyraf Jason Abdullah.

Pada 23hb April 2007, bapa kepada anak-anak tersebut, iaitu S.Gopal a/l Subramanaiam yang masih menganut agama Kristian, telah mengambil dan melarikan kedua-dua anak tersebut dan menyembunyi serta menghalang anak-anak tersebut daripada berjumpa dan menemui Pemohon. Ekoran daripada kejadian tersebut, Pemohon telah memohon dan memperolehi satu perintah interim untuk mendapatkan hadahanah sementara melalui Mahkamah ini pada 3hb Mei 2007. Sehari kemudian, iaitu pada 4hb Mei 2007, Pemohon telah memfailkan kes induk hadhanah (permohonan ini).


Hujah Pemohon

Dalam kes ini, Pemohon memberikan beberapa alasan mengapa beliau perlu diberikan hak jagaan terhadap dua orang anak tersebut selagi ianya tidak melanggar syarat-syarat untuk menjaga anak–anak kecilnya. Sewaktu keterangan, Pemohon memberi alasan bahawa sebagai ibu kandung kepada kedua-dua anak itu, beliau adalah orang yang paling layak untuk menjaga kedua-dua anak tersebut. Menurut Pemohon, beliau telah melahirkan anak pertama bernama Melissa Christyl Benedict pada, 06hb September 2002 di Hospital Besar Seremban jam 8.46pm. Sewaktu anak dilahirkan, S.Gopal tidak ada bersama dan telah menghilangkan diri. S.Gopal cuma kembali dan menjenguk keadaan Pemohon dan anak tersebut setelah beberapa hari kemudian untuk beberapa ketika sahaja. Sejak itu pemohon telah menjaga dan mengasuh anak tersebut dengan dibantu oleh ibu Pemohon iaitu Mary Merlin Olger dan beberapa bulan kemudian mendapatkan seorang pembantu rumah. Urusan makan minum anak serta pakaian dan kesihatan juga telah ditanggung oleh Pemohon sepenuhnya. Apabila hubungan antara Pemohon dan suaminya baik kembali, mereka telah bersama semula pada 31 Ogos 2004. Sebelum tarikh tersebut, bermula dari hari kelahiran anak pertama sehinggalah tarikh tersebut, Pemohon telah menjaga anak itu secara bersendirian tanpa bantuan suami Pemohon. Selepas bersama semula dengan suami pada bulan Mei 2004, Pemohon telah melahirkan anak kedua iaitu Jason Louise Benedict yang lahir pada 05hb Disember 2005. Selepas kelahiran anak kedua, lebih kurang beberapa bulan kemudian, hubungan antara Pemohon dan suami Pemohon kembali renggang. mereka tidak tidur bersama sejak bulan Mei tahun 2006. Pada 13hb April 2007, Pemohon telah mengambil keputusan untuk memeluk agama Islam dan bertindak keluar dari rumah kelamin mereka di Kota Warisan, Sepang, Selangor dan tinggal berasingan dengan menyewa di Taman Ixora, Sepang, Negeri Sembilan.

Dalam tempoh tersebut iaiitu antara Mei 2006 sehingga Pemohon memeluk Islam, suami Pemohon jarang mengambil tahu hal ehwal anak-anak kecuali bermain-main dengan anak dan membawa anak-anak keluar berjalan bila waktu lapang sahaja. keterangan-keterangan ini telah dibuktikan oleh Pemohon dengan disokong oleh saksi pertama Pemohon iaitu Mary Merlin Olger a/p Paul Ambrose, iaitu ibu kandung Pemohon yang mengakui keadaan demikian dan saksi kedua Pemohon iaitu Cik Juriah binti Abdul Thani.

Pemohon melalui peguamnya telah berhujah dengan berpandukan kitab Bidayatul Mujtahid (terjemahan), karangan Ibnu Rusyd, halaman 526-527 iaitu:

Jumhur fuqaha’ berpendapat bahawa hak memelihara anak (hadhanah) itu diberikan kepada ibunya, jika ia diceraikan oleh suaminya, ketika anak tersebut masih kecil, berdasarkan sabda Nabi mafhumnya:

“barangsiapa memisahkan antara seorang ibu dengan anaknya, maka Allah akan memisahkan anatara dia dan kekasih-kekasihnya pada hari kiamat. “
(hadis riwayat Tirmidzi dan Ibu Majah)

Pemohon juga berhujah bahawa Pemohon adalah seorang Islam, begitu juga dengan kedua-dua anak-anak tersebut yang turut ikut memeluk agama Islam bersama Pemohon pada 13hb April 2007 di Pusat Dakwah Islamiah Paroi, Negeri Sembilan. Bagaimana pun, perbuatan memeluk Islam tersebut telah tidak diikuti oleh suami Pemohon yang juga bapa kepada anak-anak tersebut, S. Gopal a/l Subramanaiam. Pemohon berhujah, demi menjaga akidah dan keimanan kedua-dua anak tersebut, maka wajarlah penjaganya juga beragama Islam. Pengislaman Pemohon dan anak-anak telah dibuktikan oleh pemohon dengan mengemukakan sijil pemelukan islam yang difailkan sebagai eksibit bertanda NAQA-5A. Selain itu keterangan saksi pertama dan kedua Pemohon juga mengesahkan pemohon dan anak-anak telah memeluk Islam manakala suami pemohon masih kekal di dalam agama Kristian.

dalam menguatkan keterangan ini, Pemohon berhujah dengan mengemukakan satu hadis yang mafhumnya:

“Tiap kanak-kanak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci) maka kedua-dua ibubapa merekalah yang menyebabkan mereka itu menjadi Ysahudi atau nasrani ataupun Majusi”

Seterusnya Pemohon berhujah bahawa Pemohon adalah orang yang paling layak menjaga kedua-dua anak tersebut kerana pemohon adalah seorang yang bertanggungjawab berbanding dengan S.Gopal, iaitu bapa kanak-kanak itu. Dari segi tanggungjawab, Pemohon menghujahkan bahawa beliau berpendapatan tetap sebagai seorang Pegawai Perhubungan Pelanggan di Syarikat Penerbangan Malaysia dengan gaji lebih kurang RM3000-RM4000 sebulan berbanding S.Gopal yang bekerja sendiri sebagai tukang gunting disebuah Unisex saloon di Shah Alam dengan pendapatan yang tidak menentu.

Ruang masa kerja Pemohon juga mengikut syif iaitu antara jam 8.00 pagi hinga jam 3.00 petang dan antara jam 3.00 petang hingga jam 12.00 malam, juga memudahkan Pemohon bersama-sama dan memberi tumpuan yang lebih pada anak. Masa yang lebih panjang untuk bersama anak-anak pada sebelah pagi hingga petang dan antara petang hingga malam berbanding S.Gopal yang keluar rumah untuk bekerja seawal jam 10.00 pagi dan balik jam 12.00 malam, malah adakalanya setelah jam 2.00 pagi kecuali pada hari selasa beliau tidak bekerja dan menutup kedai. Keterangan ini juga telah disokong oleh kedua-dua saksi Pemohon.

Selain daripada keterangan dua orang saksi Pemohon, bagi mengimbangi kes ini, mahkamah telah mengarahkan satu notis kepada S.Gopal dikeluarkan supaya beliau hadir untuk memberi keterangan di Mahkamah ini. Notis tersebut telah disapinakan kepada S.Gopal dan telah disempurnakan pada 28hb Jun 2007. satu salinan juga telah diserahkan kepada Peguambela S.Gopal iaitu karpal Singh melalui firmanya tetuan karpal Sing and Associated pada tarikh yang sama. bagaimanapun S.Gopal atau wakilnya telah tidak hadir pada tarikh yang ditetapkan tanpa sebarang notis bertulis.


Ulasan Mahkamah

kes ini adalah melibatkan permohonan hak jagaan anak yang dibuat oleh Pemohon dengan satu pihak lagi yang mempunyai entity yang berbeza, iaitu satu pihak Pemohon yang beragama Islam dan satu lagi bukan beragama Islam. Bagi mengelakkan kecelaruan kes ini, Mahkamah perlu terlebih dahulu merujuk kepada bidangkuasa asas yang memberi kuasa kepada Mahkamah ini mendengar kes ini. Saya merujuk kepada seksyen 4 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Sembilan) 2003 yang memperuntukkan:

4. Kecuali sebagaimana yang diperuntukkan dengan nyata selainnya, Enakmen ini terpakai bagi semua orang Islam yang tinggal di dalam Negeri Sembilan dan bagi semua orang Islam yang bermastautin di dalam Negeri Sembilan tetapi tinggal di luar Negeri itu.

Berdasarkan seksyen ini, saya berpuashati bahawa Pemohon adalah seorang Islam apabila pemelukan Islamnya telah dibuktikan dengan surat akuan pemelukan Islam yang dikemukakan ke Mahkamah ini (eksibit NAQA-4A) dan disokong oleh keterangan-keterangan saksi Pemohon. Sebagai seorang Islam, Pemohon adalah tertakluk kepada Mahkamah Syariah yang mengatur permasalahan berkaitan undang-undang diri Pemohon. Sebaik saja pemohon memeluk Islam secara sah dan diiktiraf oleh undang-undang, Pemohon tidak lagi terikat secara mutlak dengan undang-undang asal Pemohon, dalam hal ini undang-undang tersebut ialah Akta memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 [Akta 164]. Tidak terikat secara mutlak disini maksudnya ialah, jika suami Pemohon memfailkan petisyen perceraian di Mahkamah Sivil mengikut seksyen 51 Akta tersebut, selepas tamat tempoh tiga bulan dari tarikh masuk Islam itu, maka Mahkamah sivil bukan saja boleh membubarkan perkahwinan Pemohon dan suaminya, tetapi juga boleh membuat peruntukan untuk isteri, nafkah, pemeliharaan dan penjagaan anak-anak dari perkahwinan itu. Bagaimana pun suami pemohon telah tidak berbuat demikian sedangkan pada masa yang sama hak Pemohon untuk mengemukan perkara tersebut di Mahkamah Sivil telah terhalang dengan peruntukan seksyen 3 (3) Akta tersebut. Seksyen tersebut memperuntukkan:

(3) This Act shall not apply to a Muslim or to any person who is married under Islamic law and no marriage of one of the parties which professes the religion of Islam shall be solemnized or registered under this Act; but nothing herein shall be construed to prevent a court before which a petition for divorce has been made under section 51 from granting a decree of divorce on the petition of one party to a marriage where the other party has converted to Islam, and such decree shall, notwithstanding any other written law to the contrary, be valid against the party to the marriage who has so converted to Islam.

Satu-satunya jalan keluar kepada Pemohon ialah dengan mengemukakan permohonan hadhanah ke Mahkamah ini dengan bersandarkan seksyen 4 Enakmen Undang-Undang keluarga Islam (Negeri Sembilan) 2003 dan seksyen 61 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003. Seksyen 61 Enakmen tersebut memperuntukkan:

(1) Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah mempunyai bidangkuasa di seluruh Negeri Sembilan dan hendaklah diketuai oleh Hakim Mahkamah Tinggi Syariah.

(2)…

(3) Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah-

(a) ……

(b)dalam bidangkuasa mal, mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding jika semua pihak dalam tindakan dan prosiding itu ialah orang Islam dan tindakan dan prosiding itu adalah berhuibungan dengan-
(i)…..
(ii)….
(iii) nafkah orang-orang tanggungan, kesahtarafan atau
penjagaan (hadhanah) atau atau jagaan budak-budak;
(iv)…..


Kuasa Mahkamah Syariah ini pula, telah diberikan secara eklusif oleh Perlembagaan Malaysia Perkara 121(1A) yang memperuntukkan:

(1A) Mahkamah-mahkamah yang disebutkan dalam fasal (1) tidaklah boleh mempunyai bidangkuasa berkenaan dengan apa-apa perkara dalam bidangkuasa Mahkamah Syariah

Mengenai bidangkuasa eklusif ini, diperjelaskan lagi oleh satu kes yang mashur iaitu, Mohamed Habibullah b. Mahmood v Faridah bt. Dato’ Talib, (1992) 2 MLJ 793, di mana Mahkamah Agung telah memutuskan bahawa tujuan Parlimen dalam Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan adalah untuk menyingkirkan bidangkuasa Mahkamah Tinggi mengenai apa-apa perkara dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah. Kes ini kemudiannya menjadi ikutan kepada kes-kes lain di Malaysia kerana Mahkamah sivil tidak lagi campurtangan dalam perkara-perkara dibawah bidangkuasa Mahkamah Syariah.

Dari segi peruntukan yang telah diberikan oleh statut dan dikuatkan oleh kes-kes mahkamah tadi, saya berpuashati bahawa Mahkamah ini mempunyai bidangkuasa untuk memutuskan permohonan ini.

Selanjutnya kita lihat pula kepada subject matter atau pun isu utama dalam kes ini iaitu mengenai hadhanah. Oleh kerana Pemohon dihadapan saya ini adalah seorang saudara baru, saya berpendapat adalah wajar untuk saya menghurai sedikit sebanyak mengenai pengertian hadhanah mengikut syarak.

Menurut Dr Wahbah al-Zuhaili di dalam kitabnya al-Fiqh al Islamiy wa Adillatuh, juz 10, hal 7295 menyebut:

“hadhanah pada bahasa ialah di samping, iaitu himpun disamping (di sisi). dari segi Syarak ialah hak mendidik anak-anak bagi orang yang tidak mempunyai hak penjagaan. Atau mendidik dan menjaga mereka yang tidak mampu mengurus diri sendiri bagi menjauhkan daripada perkara-perkara buruk mengenainya, kerana mereka tidak dapat membezakan perkara yang baik dan buruk.”

Manakala dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji, jil. 2 hlm 181 pula menyebut:

والحضانة فى اصطلاح الشريعة الإسلامية : هى حفظ من لا يستقل بأمر ، وتربيته بمختلف وجوه التنمية والإصلاح ، وتنتهى بالنسبة للصغير إلى سن التمييزز
أما رعايته بعد ذلك إلى سن البلوغ ، فتسمى : كفالة ، لا حضانة


Bermaksud : “Hadhanah dari segi istilah Syarak ialah menjaga seseorang yang tidak dapat menguruskan dirinya dan mendidiknya dengan pelbagai kaedah yang mendatangkan kebaikan kepadanya sesuai dengan perkembangannya. Bagi kanak-kanak kecil hadhanahnya berakhir sehingga mencapai umur mumayyiz.

Adapun menjaga kanak selepas umur mumayyiz sehingga umur baligh, tidak dinamakan hadhanah tetapi dinamakan kafalah.”

Dari sudut hukumnya pula, dalam Kitab al-Mughni, menyebut bahawa hukum penjagaan adalah wajib. Sesungguhnya ia adalah satu kewajiban kerana orang yang memerlukan penjagaan akan binasa andainya mereka tidak diberi penjagaan. Lantaran itu wajib juga dijaga mereka daripada kebinasaan sebagaimana wajib mengeluarkan perbelanjaan ke atasnya dan menyelamatkan dari kebinasaan. ( lihat al-Mughni, jilid 7, hal. 612).

Berdasarkan penjelasan ringkas di atas, saya berpendapat bahawa permohonan Pemohon untuk menjaga dua orang anaknya dalam kes ini adalah sesuatu yang perlu dan mesti dalam memastikan anak-anaknya tidak menempuh kebinasaan, apatah lagi dua orang anaknya berada ditangan orang yang bukan Islam, yang mana sudah pastilah masa depan anak-anak tersebut dari segi akidahnya akan hancur. Keadaan ini adalah bertepatan dengan firman Allah s.w.t. dalam surah al-Tahrim ayat 6 :-

      
Bermaksud : “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka.”

Isu seterusnya yang perlu Mahkamah ini mengambil perhatian ialah mengenai Siapakah orang yang paling berhak untuk menjadi penjaga kepada kedua-anak-anak ini? Saya merujuk kepada pandangan Syeikh Shamsuddin Muhammad di dalam kitabnya al-Iqna’, jilid 2, halaman 385 yang menyebut:


وأولاهن أم كما قال (وإذا فارق الرجل زوجته) بطلاق أو فسخ أو لعان (وله منهما ولد) لا يميز ذكرا أو أنثى أو خنثى (فهي أحق بحضانة)

Bermaksud : “Dan keutamaannya adalah kepada ibu sepeti mana penulis telah berkata (dan apabila berpisah di antara lelaki dan isterinya) sama ada melalui talak, atau faskh atau li’an (dan mereka berdua mempunyai anak) yang tidak mumayyiz sama ada lelaki atau perempuan atau khunsa (maka untuk ibu hak jagaan terhadap anak itu)”

Manakala di dalam kitab al Um, oleh Imam al-Shafei, jilid 3, Beyrut, Lebanon, halaman 92 menyebut:

“al-Shafei berkata, ‘apabila berpisah kedua ibu bapa dan kedua-duanya berada dalam satu kariah, maka ibu adalah lebih berhak terhadap anaknya selama dia belum berkahwin lain dan semasa anak itu masih kecil. Sekiranya anak itu mencapai umur tujuh tahun atau lapan tahun dan dia mempunyai kesempurnaan akal, anak itu disuruh membuat pilihan penjaganya di antara bapanya atau ibunya dan anak itu hendaklah bersama dengan penjaga pilihannya itu”

Pandangan tersebut adalah selari dengan maksud peruntukan seksyen 82(1) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Sembilan) 2003 yang memperuntukkan:

82. (1) Tertakluk kepada seksyen 83, ibu adalah yang paling berhak dari segala orang bagi menjaga anak kecilnya dalam masa ibu itu masih dalam perkahwinan dan juga selepas perkahwinannya dibubarkan.

Peruntukan seksyen ini menyebut secara jelas mengenai hak ibu sebagai penjaga yang paling berhak berbanding orang lain bagi menjaga anak kecilnya. Walaupun anggapan ini boleh dipatahkan, dalam kes ini tidak terdapat pula keterangan-keterangan yang membolehkan saya mengenepikan hak tersebut dan saya juga berpuashati bahawa Pemohon, Adryana Qestina binti Abdullah adalah ibu yang sah kepada Melissa Christyl benedict @ Melissa Kristal bte Abdullah dan Jason Louise Benedict @ Asyraf Jason bin Abdullah. Soalnya adakah ibu atau Pemohon dalam kes ini berkelayakan untuk menjadi penjaga kepada anak-anak itu? Kita rujuk pula kepada seksyen 83 Enakmen yang sama yang memperuntukkan:

83. Seseorang yang mempunyai hak mendidik seseorang kanak-kanak, berhak menjalankan hak terhadap hadhanah jika—
(a) dia seorang Islam;
(b) dia sempurna akal;
(c) umurnya melayakkan dia memberi kanak-kanak itu jagaan dan kasih sayang yang mungkin diperlukan oleh kanak-kanak itu;
(d) dia berkelakuan baik dari segi akhlak Islamiah; dan
(e) dia tinggal di tempat di mana kanak-kanak itu tidak mungkin menghadapi apa-apa akibat buruk dari segi akhlak atau jasmani.

Sebagai seorang penjaga kepada kanak-kanak yang masih kecil, diperuntukkan syarat-syarat sepertimana yang dinyatakan di dalam seksyen tersebut. Mengenai syarat yang pertama, Pemohon, asalnya beragama Kristian, berkahwin dengan suaminya S.Gopal a/l Subramaniam, berasal dari agama Hindu, kemudiannya memeluk agama Kristian dan berkahwin dengan Pemohon. Pemohon telah memeluk Islam pada 13hb April 2007 bersama dua orang anaknya, manakala suami Pemohon S.Gopal masih lagi kekal dengan agama Kristian. Pemelukan Islam ini diperkuatkan lagi dengan Sijil Akuan memeluk Islam yang dilampirkan oleh Pemohon sebagai eksibit bertanda NAQ-4B yang dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan Darul Khusus pada 11hb Jun 2007 pendaftran no. PANS.196(06)425/2007/069(s) di mana no. kad akuan Islam pula ialah 2715 dan ditanda tangani oleh Mohd Fadzil bin Haji Abu Kassim ANS PMC, Pendaftar Saudara Baru.

Mengenai syarat beragama Islam ini, saya sekali lagi merujuk kepada kitab al-Iqna’ karangan Syeikh Shamsuddin Muhammad bin Muhammad al-Khatib al-Sharbini, jilid 2, halaman 389 yang menyebut:

(و) ثالثها : (الدين) أي الإسلام فلا حضانة لكافر على مسلم ، إذا لا ولاية له عليه ، ولأنه ربما فتنه فى دينه فيحضنه أقاربه المسلمونز

Bermaksud : “Syarat ketiga ialah Islam. Penjaga bagi kanak-kanak itu mestilah Islam. Maka tiada hadhanah untuk orang kafir ke atas orang Islam. Dan sekiranya tiada kekuasaan ke atasnya (penjaga), kerana takut berlaku fitnah kepada agamanya, maka hadhanah itu hendaklah kepada kerabat yang beragama Islam.”

Saya berpuashati mengenai syarat beragama Islam ini telah dipenuhi oleh Pemohon. Mengenai syarat kedua iaitu seorang yang sempurna akal, syarat ketiga iaitu umur yang layak dan matang dalam memberikan kasih sayang dan syarat keempat iaitu berkalakuan baik, juga telah dipenuhi oleh Pemohon berdasarkan keterangan-keterangan yang dikemukakan di Mahkamah ini dan tiada satu pun keterangan yang menunujukkan fakta yang bertentangan dengan peruntukan (b), (c) dan (d) seksyen 83 tersebut.

Mengenai syarat kelima iaitu tinggal di tempat di mana kanak-kanak itu tidak mungkin menghadapi apa-apa akibat buruk dari segi akhlak atau jasmani pula, telah dibuktikan oleh Pemohon di mana Pemohon di dalam keterangannya menyatakan bahawa beliau tinggal di kawasan taman perumahan yang lengkap dengan taman permainan, kemudahan asas, tempat ibadah dan jiran-jiran beragama Islam yang diyakini boleh membantu pemohon sebagai seorang saudara baru serta tidak berjauhan dengan tempat tinggal ibu pemohon sendiri (nenek anak-anak tersebut). Kesemua fakta tersebut tidak dibantah oleh S.Gopal selaku bapa kepada anak-anak tersebut kerana beliau tidak pernah hadir dalam mana-mana peringkat perbicaraan kes ini walau pun notis telah dimaklumkan kepada beliau bagi membantah atau mengemukakan apa-apa keterangan yang boleh menyebabkan kelayakan pemohon boleh dipertikaikan. Secara umumnya Pemohon telah mematuhi kehendak keseluruhan seksyen berkenaan.

Keseluruhan fakta tersebut telah tidak dipertikaikan oleh suami Pemohon iaitu S.Gopal a/l Subramaniam dan beliau tidak pernah hadir ke Mahkamah ini untuk memberi sebarang kenyataan sama ada bersetuju atau mempertikaikan permohonan Pemohon walaupun telah diberi peluang berbuat demikian. Memanggil S.Gopal untuk memberi keterangan membuktikan sikap murni Mahkamah ini dalam hasrat mendengar kenyataan bagi pihak bukan Islam. Biarpun S.Gopal tidak boleh dijadikan pihak-pihak di Mahkamah Syariah kerana halangan seperti yang diperuntukkan oleh seksyen 4 Enakmen Undang-Undang keluarga Islam dan seksyen 61 Enakmen pentadbiran, kehadirannya adalah diperlukan bagi mencari keadilan dan demi kebajikan anak-anak. Dalam hal ini, saya merujuk kepada seksyen 244 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003 yang memperuntukkan:

“Tiada apa-apa jua dalam Enakmen ini boleh disifatkan sebagai menghadkan atau menyentuh kuasa sedia ada pada mahkamah untuk membuat apa-apa perintah yang perlu untuk mengelakkan ketidak adilan atau mengelakkan penyalahgunaan proses mahkamah”

Berdasarkan peruntukan tersebut, saya tidak teragak-agak mengarahkan satu notis dikeluarkan kepada S. Gopal bagi memberi keterangan di Mahkamah ini. Apabila peluang untuk mengemukakan keterangan oleh pihak bukan Islam tersebut telah dibuka, saya amat berharap pada ketika itu keterangan daripada S.Gopal yang boleh dikemukakan sama ada secara affidavit atau keterangan lisan, yang mungkin boleh menyokong kes ini atau mungkin juga sebaliknya. Jika keterangan yang dikemukakan oleh S.Gopal adalah wajar dan munasabah demi kebajikan anak-anak dan berdasarkan fakta, Mahkamah ini tidak teragak-agak untuk menolak permohonan Pemohon dan demikianlah sebaliknya.

Walaupun S.Gopal a/l Subramaniam bukan seorang yang menganut Islam, dan bukan pihak-pihak di dalam kes ini, kehadirannya akan mencerminkan keadilan kepada semua pihak. Selain dari S. Gopal a/l Subramaniam, Mahkamah ini turut menerima keterangan saksi pemohon yang juga bukan beragama Islam, iaitu Mary Merlin Olger a/p Paul Ambrose. Saksi adalah seorang penganut kristian katholik sejak asal yang merupakan ibu kandung dan nenek kepada anak-anak tersebut. Seperti mana S.Gopal, Mary Merlin juga adalah diminta hadir ke Mahkamah ini pada tarikh yang sama iaitu 20hb Julai 2007 untuk memberikan keterangan sebagai saksi berstatus bayyinah dan bukan shahadah.

Mengenai penerimaan orang bukan Islam sebagai saksi atas dasar bayyinah ini ada diperuntukkan di dalam seksyen 83 Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003 yang memperuntukkan:

83. (1) Tertakluk kepada peruntukan seksyen ini, semua orang Islam adalah berwibawa untuk memberikan syahadah atau bayyinah sebagai saksi dengan syarat bahawa mereka adalah ‘aqil, baligh, ‘adil, mempunyai ingatan yang baik dan tidak berprasangka.

(2) Seorang yang bukan Islam adalah berwibawa untuk memberikan bayyinah untuk orang Islam jika keterangannya boleh diterima mengikut Hukum Syarak.


Mahkamah juga merujuk kepada kes Permohonan Perisytiharan Status Agama Simati Nyonya binti Tahir, JH XXI/II (2006) 221, Di dalam kes ini Majlis Agama Islam Negeri Sembilan, Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan dan Pegawai Agama Islam Daerah Tampin telah mengemukakan permohonan ke Mahkamah Tinggi Syariah Seremban untuk menentukan status agama si mati iaitu Nyonya binti Tahir. YA Hakim telah menerimapakai keterangan lisan yang dikemukakan oleh keluarga simati iaitu Chiang Ah Fatt, seorang yang bukan beragama Islam. Selain dari Chiang Ah Fatt, Mahkamah juga mendengar keterangan anak perempuan si mati iaitu Chiang Kwai Ying yang juga bukan beragama Islam. Mahkamah selanjutnya memutuskan bahawa simati adalah bukan beragama Islam. Dalam kes ini, walaupun affidavit Chiang Ah fatt tidak diterima pakai oleh Mahkamah kerana ianya tidak mematuhi kehendak seksyen 112 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003 tetapi keterangan lisannya telah membantu YA Hakim membuat keputusan yang tepat.

Lebih jauh dari itu, Mahkamah ini merujuk kepada sejarah Perundangan Islam dimana Hakim Syuraih yang mengadili perbicaraan anatara Saidina Ali r.a dan seorang lelaki yahudi yang dituduh mencuri baju besi baginda. Dalam kes tersebut, Hakim Syuraih telah menolak dakwaan Saidina Ali kerana kekurangan bukti dan memberikan hak kepada orang bukan Islam iaitu lelaki Yahudi tersebut.
kes ini menunjukkan secara jelas bahawa Mahkamah berlaku adil walaupun terpaksa memberikan kepentingan atau hak kepada orang yang bukan Islam (lihat, Abu Ya’la Al-Farra’, al-Ahkam al-Sultaniyyah, hal. 66).

Selain daripada faktor-faktor yang disebut tadi, Mahkamah ini juga mempertimbangkan tentang kebajikan anak-anak tersebut. Melalui keterangan Pemohon yang telah dibuktikan dengan dua orang saksi bahawa selain kasih sayang, Pemohon telah berusaha untuk menjaga kepentingan dan kebajikan anak-anak dari sudut pendidikan, kesihatan dan akidah. Pemohon telah menjaga dan mendidik anak-anak tanpa bantuan suami yang menghilangkan diri sejak beberapa lama dengan menguruskan makan minum serta menyediakan pakaian anak-anak, membawa anak-anak ke hospital atau klinik bila anak-anak kurang sihat, sehingga Pemohon terpaksa mengambil cuti atau meminta rakan sepejabat mengganti syif kerja semata-mata untuk memberi perhatian pada anak-anak. Pada masa yang sama, suami Pemohon telah bertindak melarikan kedua-dua anak tersebut sebaik saja mendapat tahu Pemohon dan anak-anak memeluk Islam. Sepanjang anak-anak berada bersama suami Pemohon, anak-anak tidak diketahui tinggal di mana, berpindah dari satu tempat ke satu tempat bagi mengelakkan dikesan oleh Pemohon, tidak terjaga makan dan minum serta tidak mendapat kasih sayang sewajarnya kerana hidup di dalam keadaan tertekan.

Saya percaya, keadaan ini adalah sesuatu yang malang bagi kedua anak-anak tersebut. Saya juga percaya, tindakan suami Pemohon melarikan anak-anak tersebut juga bukanlah kerana disebabkan konflik agama antara Pemohon dan suaminya, tetapi semata-mata satu tindakan yang memang telah dirancang oleh suami Pemohon. Pemelukan Islam oleh Pemohon adalah satu peluang keemasan yang perlu direbut oleh S.Gopal bagi meraih simpati orang lain disekelilingnya. Buktinya, Saksi pertama Pemohon, Mary Merlin Olger a/p Paul Ambrose di dalam keterangannya menyatakan bahawa S.Gopal pernah memberitahu pembantu rumah hasrat untuk mengambil anak-anak tersebut sewaktu Pemohon masih belum memeluk Islam, dimana hubungan S.Gopal dengan Pemohon ketika itu adalah tidak baik dan mereka telah tidak tidur bersama sejak sekian lama. Saksi menyangkakan S.Gopal hanya main-main dan tidak serius ketika itu. S.Gopal juga telah mengambil anak-anak tersebut sewaktu saksi tidak ada bersama anak-anak. Ini bermakna keadaan itu telah dirancang oleh S.Gopal yang ketika itu dia sudah tidak bersama dengan Pemohon lebih setahun dan baru saja tinggal berasingan rumah. Mahkamah beranggapan, tindakan S.Gopal melarikan anak-anak pada masa itu adalah satu masa yang memang telah ditunggu-tunggu oleh S.Gopal. Itulah peluang yang paling sesuai kerana tindakannya akan disokong oleh pihak-pihak tertentu dengan alasan pemelukan agama oleh Pemohon, sedangkan pada masa yang sama S.Gopal tahu, anak-anaknya masih dijaga oleh ibu Pemohon, yang masih lagi beragama Kristian dan pembantu rumah yang bukan beragama Islam. ketika menjawab soalan Mahkamah, Saksi juga bersetuju bahawa sama ada pemohon memeluk agama Islam atau tidak, S.Gopal akan tetap melarikan anak tersebut kerana perkara itu telah diberitahu sebelum Pemohon memeluk Islam lagi, iaitu ketika keadaan rumahtangga mereka sudah semakin renggang. Saksi juga percaya lambat laun S.Gopal akan membawa anak-anak itu lari. Apabila Pemohon memeluk Islam, saksi juga merasa bimbang bahawa kemungkinan anak-anak itu dilarikan akan berlaku, dan jika dia tahu S.Gopal datang, dia tidak akan benarkan S.Gopal membawa anak-anak itu keluar, malangnya anak-anak diambil sewaktu di luar pengetahuannya. Saksi juga yakin dan percaya, bila S.Gopal melarikan anak-anak tersebut, orang tidak akan persalahkannya kerana pada masa itu Pemohon telah memeluk agama Islam.

Tindakan membawa lari anak-anak dan memisahkan anak-anak dari ibunya adalah satu perkara yang tidak sepatutnya dilakukan oleh suami Pemohon kerana ianya menjejaskan kebajikan dan keselamatan anak-anak. Hak anak-anak akan terabai kerana hak dan kehendak serta kepentingan bapa didahulukan dengan membelakangi kepentingan anak-anak. Suka saya merujuk kepada satu kes yang menyentuh mengenai perkara ini iaitu di dalam kes Wan Abdul Aziz v Siti Aishah, JH(1401H), 147, Jemaah Rayuan menyatakan:

“Pokok dan tujuan hadhanah ialah muslihat dan kebajikan budak yang dipelihara dan dijaga sebagai hak asasi budak itu. Hak yang mesti diutamakan lebih dari hak pihak yang memelihara sebagaimana yang difahamkan oleh fatwa Ibnu Abi al-Salah yang tersebut di dalam ‘Tuhfah’ dan ‘Nihayad’ serta diakui muktamadnya oleh Ali Shabramulsi, juga sebagaimana yang disalin oleh Syed Sabiq dalam Fiqhul Sunah, juzuk 8 yang bermaksud: ”sesungguhnya setiap yang menjaga dan yang dijaga (anak) mempunyai hak dalam pemeliharaan tetapi hak yang dijaga lebih kuat dari hak yang menjaga”, dan diterangkan oleh Ibnu Qudamah dengan katanya yang bermaksud: “sabitnya hadhanah adalah untuk menentukan nasib (kepentingan) budak (kanak-kanak) itu.”

Dalam kes ini, saya tidak ingin menyentuh mengenai isu pemelukan agama Islam oleh anak-anak kerana ianya bukan subject matter kes ini. Penentuan tentang agama tersebut boleh diputuskan di dalam forum yang lain oleh Mahkamah yang berbidangkuasa. Apa pun agama anak tersebut, Ibu masih menjadi orang yang paling berhak untuk menjaga anak-anak kecilnya sehinggalah kelayakan ibu itu dipertikaikan dan dibuktikan ianya tidak berhak. Malah, Mahkamah ini mungkin tiada halangan untuk menyerahkan hak penjagaan kepada S.Gopal jika beliau hadir ke Mahkamah ini dan jika dia memberikan keterangan yang memuaskan mahkamah mengenai perkara berkenaan.

Dalam kes ini, saya berpuashati dengan keterangan-keterangan Pemohon dan berdasarkan hujah-hujah yang dikemukakan oleh Pemohon serta nas-nas syarak yang telah disebut sebelum ini dan disokong oleh peruntukan-peruntukan undang-undang yang berkuatkuasa, saya membenarkan permohonan Pemohon untuk mendapatkan hak jagaan terhadap dua orang anak beliau.



KEPUTUSAN

Selepas mempertimbangkan permohonan Pemohon dan setelah mendengar keterangan Pemohon, keterangan saksi-saksi yang dikemukakan dan setelah meneliti hujah-hujah Pemohon, maka Mahkamah dengan ini memutuskan :

i. Bahawa hak jagaan terhadap dua orang anak bernama Melissa Chrystyl Benedict @ Melissa Krystal bte Abdullah dan Jason Louise Benedict @ Asyraf Jason bin Abdullah, diberikan kepada Pemohon, Audrey Christina Samuel @ Adryana Qestina binte Abdullah selaku ibu kepada anak-anak tersebut.

ii. Bahawa S. Gopal a/l Subramaniam, k/p no. 740721-10-5763 iaitu bapa kepada dua orang anak tersebut dibenarkan untuk melawat sekali dalam sebulan iaitu pada setiap hari selasa pada minggu keempat antara jam 3.00pm hingga jam 6.00pm bertempat dirumah ibu Pemohon iaitu Mary merlin Olger a/p Paul Ambrose di alamat No. 79, jalan Desa kasia 2-1, Taman desa kasia, Bandar Baru Nilai, dimana bapa kanak-kanak tersebut, iaitu S. Gopal a/l Subramanaiam dibenarkan berada di dalam premis tersebut dengan syarat tidak membawa anak-anak tersebut keluar daripada kawasan rumah atau premis tersebut.

iii. Bahawa S. Gopal a/l Subramaniam adalah dilarang daripada membuat atau berusaha membuat apa-apa perkara yang boleh memesongkan akidah islamiah anak-anak tersebut.








Mohd Nadzri bin Haji Abdul Rahman Ibrahim
Hakim Mahkamah Tinggi Syariah
Seremban
Negeri Sembilan Darul Khusus
27hb Julai 2007

No comments:

Buku Peguam Syarie dan Litigasi Mal di Mahkamah Syariah

 Atas permintaan ramai buku Peguam Syarie dan Litigasi Mal di Mahkamah Syariah telah dibuat cetakan semula, semoga buku ini dapat membantu a...