Artikel di bawah ini adalah mengenai konsep hiwalah dan pelaksanaannya di Mahkamah Syariah. Semoga ianya mendapat manfaat bersama. Artikel ini dibentangkan sewaktu kursus PTK JKSM September 2010 di Kuala Lumpur.
g a r n i s h e e
KONSEP HIWALAH DAN PELAKSANAANNYA DI MAHKAMAH SYARIAH
MOHD NADZRI BIN HAJI ABDUL RAHMAN IBRAHIM
1. PENDAHULUAN
Apabila terdapat sesuatu kegagalan atau keengganan mematuhi apa-apa penghakiman atau perintah Mahkamah, seseorang akan perlu memohon bantuan mahkamah supaya menguatkuasakan sesuatu penghakiman atau perintah melalui penggunaan satu atau lebih daripada proses-proses mahkamah yang diberikan oleh undang-undang.
Penguatkuasaan perintah disebut dalam bahasa inggeris sebagai ‘enforcement of judgements’. Pelbagai cara penguatkuasaan dapat diambil oleh pemiutang penghakiman dalam menguatkuasakan sesuatu penghakiman atau perintah dibawah Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah. Sesuatu cara pelaksanaan pula bergantung kepada jenis penghakiman dan harta yang hendak di tahan. Contohnya, sesuatu penghakiman atau perintah mungkin menghendaki penghutang penghakiman membayar wang tunai atau menyerah pemilikan tanah ataupun menyerah harta alih dan sebagainya.
Terdapat beberapa bentuk pelaksanaan perintah yang boleh dibuat di Mahkamah Syariah. Antaranya ialah pelaksanaan melalui proses penyitaan dan penjualan, pelaksanaan melalui perintah pemilikan, pelaksanaan melalui perintah penghantarserahan, pelaksanaan melalui penyitaan dan penghantarserahan, pelaksanaan melalui prosiding hiwalah, pelaksanaan melalui komitan dan pelaksanaan melalui saman penghutang penghakiman.
2. PELAKSANAAN MELALUI PROSIDING HIWALAH
Prosiding hiwalah ialah penahanan hutang yang kena dibayar oleh mana-mana orang lain yang berhutang (garnishee atau muhal ‘alaih) kepada penghutang penghakiman dan Mahkamah boleh memerintahkan supaya garnisi membayar kepada pemiutang penghakiman amaun apa-apa hutang yang kena di bayar kepada penghutang penghakiman daripada garnisi atau menahan harta alih penghutang penghakiman itu berada dalam milikan atau kawalan pihak ketiga dan mahkamah boleh memerintahkan supaya muhal ‘alaih menghantarserahkan apa-apa harta dalam tangannya kepada bailif.
Konsep hiwalah ini adalah satu konsep yang popular dalam sistem muamalat Islam dan ianya juga adalah salah satu asas yang digunapakai dalam sistem kehakiman syariah di Malaysia hari ini khsususnya yang melibatkan pembayaran hutang terutamanya bagi kes-kes untuk menguatkuasakan perintah.
Sebelum kita membincangkan bagaimana prosiding hiwalah ini digunapakai di Mahkamah Syariah khususnya bagi penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah mahkamah, adalah lebih baik kita memahami konsep hiwalah itu dari sudut syarak terlebih dahulu.
3. PENGERTIAN HIWALAH
‘Hiwalah’ dari segi bahasa ialah pindah. Kata hawalah, iaitu huruf ha’ dibaca fathah atau kadang-kadang dibaca dengan kasrah (hiwalah) berasal dari kata tahwil (pemindahan) atau dari kata ha’aul (perubahan). Orang Arab biasanya mengatakan haala ’anil ’ahdi, iaitu berlepas diri dari tanggung jawab. Sedang menurut fuqaha’, hiwalah adalah pemindahan kewajiban melunasi hutang kepada orang lain.
Menurut istilah, ulama Hanafi mentakrifkan sebagai memindahkan tuntutan daripada tanggungan si berhutang kepada tanggungan orang yang sedia mengambil tanggungan. Idris Ahmad S.H dalam kitab al-Inayah telah mentakrifkan al-hiwalah sebagai pemindahan hutang daripada tanggungan si berhutang kepada penerima pindah hutang berdasarkan kepercayaan. Manakala ulama selain Hanafi pula mentakrifkan hiwalah sebagai satu aqad (kontrak) yang membawa kepada pemindahan tanggungan hutang kepada tanggungan hutang yang lain. Ini bermakna hiwalah itu adalah bererti satu akad (ijab qabul) pemindahan hutang dari tanggungan seseorang yang berhutang kepada orang lain, di mana orang lain itu mempunyai hutang pula kepada yang memindahkan.
Sebagai contohnya Ali mempunyai sejumlah hutang kepada Bakar. Sedangkan Bakar mempunyai sejumlah hutang pula kepada Umar, menurut jumlah yang sama. Oleh kerana Bakar tidak mampu untuk membayar hutangnya kepada Ali, maka Bakar berunding dengan Ali supaya hutangnya itu diminta saja kepada Umar. Dalam hal ini, maka Umarlah yang akan berhubungan langsung dengan Ali, sedang Bakar terlepas dari tanggungjawab hutang. Maka Ali dinamakan Muhal (dipindahkan haknya). Sedangkan Bakar dinamakan Muhil (memindahkan hak). Sementara Umar pula dinamakan Muhal alaih (menanggung hak). 4. PENSYARIATAN HIWALAH
Al-hiwalah diharuskan syarak berdasarkan sunnah dan ijma' kecuali pengurusan hutang dengan hutang. Pensyariatan hiwalah ini dapat kita lihat dari dalil-dalil sunnah dan ijmak. Dalil pensyariatan hiwalah dari sunnah dapat dilihat dalam satu hadis sahih yang bermaksud: Nabi saw bersabda: “Penundaan orang yang mampu (melunasi hutang) itu adalah zalim, dan apabila seorang di antara kamu menyerahkan (kewajiban pembayaran hutangnya) kepada orang kaya, maka terimalah.”
Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Orang yang mampu membayar hutang haram atasnya melalaikan hutangnya. Apabila salah seorang diantara kamu memindahkan hutangnya kepada orang lain, hendaklah diterima pilihan itu, asal yang lain itu mampu membayar”.(Hadis riwayat Ahmad dan Baihaqi)
Di dalam kitab Fiqh al-Islami wa adillatuhu ada disebut mengenai hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah:
“Orang kaya yang melambat-lambatkan pembayaran hutang adalah melakukan kezaliman. Jika salah seorang kamu menghiwalahkan hutang kepada seorang yang kaya hendaklah kamu terima.”
Manakala di dalam riwayat lain lafaznya:
“Sesiapa yang menghiwalahkan ke atas seorang yang kaya hendaklah diterima hiwalah itu”
Dari segi ijma' pula, dalil pensyariatan hiwalah boleh dilihat bahawa ahli ilmu pada keseluruhannya mengharuskan pindah hutang yang tidak berbentuk barang atau benda kerana hiwalah adalah pemindahan hutang. Oleh sebab itu harus pada wang atau kewajipan kewangan. Menurut Ikhwan Abidin Basri, MA di dalam tulisannya menyatakan bahawa pada prinsipnya para ulama telah sepakat dibolehkannya akad hiwalah ini. Hiwalah yang mereka sepakati adalah hiwalah dalam hutang piutang bukan pada barang konkrit. 5. RUKUN HIWALAH
Menurut Mazhab Hanafi rukun hiwalah ada dua, iaitu ijab yang diucapkan oleh Muhil dan qabul yang diucapkan oleh Muhal dan Muhal alaih. Sedangkan menurut jumhur, rukun hiwalah ada enam, iaitu: 1. Muhil ( penghutang)
2. Muhal (pemiutang)
3. Muhal alaih ( orang yang berhutang dengan penghutang)
4. Hutang muhil kepada muhal
5. Hutang Muhal alaih kepada Muhil.
6. Sighah (lafaz aqad).
Bagi menjelaskan kedudukan rukun hiwalah ini, bolehlah diumpamakan si A (muhil) berhutang dengan B (muhal) dan A pula mempunyai hutang dengan dengan C (muhal alaih), jadi A adalah orang yang berhutang dan pada masa sama merupakan pemiutang, B hanyalah pemiutang dan C berhutang dengan A (penghutang). Kemudian A dengan persetujuan B menyuruh C membayar hutangnya kepada B, setelah terjadi aqad hiwalah, terlepaslah A dari hutangnya kepada B, dan C pula tidak lagi berhutang dengan A, tetapi hutangnya kepada A, telah berpindah kepada B, bererti C harus membayar hutangnya itu kepada B tidak lagi kepada A.
6. SYARAT HIWALAH
Syarat hiwalah ini berkaitan dengan Muhil, Muhal, Muhal Alaih dan Muhal Bih (hutang yang dipindahkan). Syarat-syarat tersebut adalah seperti berikut:
6.1 Syarat Muhil (Pemindah Hutang)
Muhil disyaratkan harus dengan dua syarat : i) Berkemampuan untuk melakukan akad (kontrak). Hal ini hanya dapat dimiliki jika ia berakal dan baligh. Hiwalah tidak sah dilakukan oleh orang gila dan kanak-kanak kerana tidak mampu atau belum dapat dipandang sebagai orang yang bertanggung secara hukum.
ii) Kerelaan Muhil. Ini disebabkan kerana hiwalah mengandungi pengertian pelupusan hak milik sehingga tidak sah jika ia dipaksakan.
6.2 Syarat Muhal (Pemiutang Asal)
Ia terdiri dari tiga syarat : i) Ia harus memiliki kemampuan untuk melaksanakan kontrak. Ini sama dengan syarat yang harus dipenuhi oleh Muhil.
ii) Kerelaan dari Muhal kerana tidak sah jika hal itu dipaksakan.
iii) Penerimaan penawaran hendaklah berlaku dalam majlis aqad. Ini adalah syarat beraqad.
6.3 Syarat Muhal ‘Alaih (Penerima Pindah Hutang)
Ia juga terdiri dari tiga syarat, iaitu;
i) Sama dengan syarat pertama bagi Muhil dan Muhal iaitu berakal dan baligh.
ii) Kerelaan. Jika ada unsur-unsur paksaan dalam penerimaan pindah hutang, aqadnya tidak sah. Bagaimanapun ulama Maliki tidak mensyaratkan kerelaan bagi penerima hiwalah.
iii) Penerimaan hendaklah dibuat dalam majlis aqad.
6.4 Syarat Muhal Bih (Hutang).
Para ulama sekata bahawa hutang yang dipindahkan hendaklah memenuhi dua syarat : i) Ia hendaklah hutang yang berlaku pada pemiutang dan pemindah hutang. Sekiranya ia bukan hutang, kedudukan aqadnya menjadi perwakilan. Implikasinya, hiwalah dalam bentuk barang yang ada tidak sah, kerana ia tidak sabit dalam tanggungan.
ii) Hutang tersebut hendaklah berbentuk hutang lazim. Hutang yang tidak lazim tidak sah dipindahkan, seperti bayaran ganjaran yang mesti dibayar oleh hamba makatab (hamba yang dibenarkan menebus diri dengan bayaran), kerana hutangnya tidak boleh dianggap sebagai hutang lazim. Ringkasnya, setiap hutang yang tidak sah untuk tujuan jaminan, ia tidak sah juga untuk dipindah-pindahkan.
7. HIWALAH DI BAWAH ENAKMEN TATACARA MAL MAHKAMAH SYARIAH
Di bawah Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah, “Hiwalah“ diertikan sebagai pemindahan sesuatu hutang yang kena dibayar oleh Muhal ’alaih kepada penghutang Penghakiman. Hiwalah juga dengan kata lain ialah penahanan hutang yang kena dibayar oleh mana-mana orang lain yang berhutang (Garnisi - muhal ‘alaih) kepada penghutang penghakiman dan Mahkamah boleh memerintahkan supaya garnisi membayar kepada pemiutang penghakiman amaun apa-apa hutang yang kena dibayar kapada penghutang penghakiman daripada garnisi atau menahan harta alih penghutang penghakiman itu yang berada dalam milikan atau kawalan pihak ketiga dan Mahkamah boleh memerintahkan supaya muhal ‘alaih menghantarserahkan apa-apa harta dalam tangannya kepada Bailif. Peruntukan mengenai prosiding hiwalah ini ada disentuh di bawah sek 161 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003.
8. TATACARA PROSIDING HIWALAH
Peruntukan di bawah seksyen 161 (2) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003 adalah terpakai jika pelaksanaan diperintahkan melalui penahanan harta dalam milik atau kawalan seseorang muhal ‘alaih. Pelaksanaannya hendaklah dibuat dengan cara: (a) Pemiutang penghakiman hendaklah memfailkan satu permohonan Perintah Pelaksanaan dalam Borang MS 35 dengan menyertakan bersama notis hiwalah dalam Borang MS 37 dan Borang MS 38; (b) sebaik sahaja Hakim atau Pendaftar telah menandatangani Borang MS 35, 37 dan 38, maka bailif hendaklah menyampaikan kepada muhal ‘alaih suatu notis hiwalah dalam Borang MS 37, dan notis dalam Borang MS 38; (c) segala harta yang dinyatakan dalam notis hiwalah hendaklah ditahan dari masa penyampaian notis itu kepada muhal ‘alaih setakat atau pada nilai yang disebut dalam notis itu, dan apa-apa pemberimilikan atau pelupusan harta itu yang bertentangan dengan terma-terma notis itu, kecuali dengan kebenaran Mahkamah, tidak sah terhadap bailif, dan perbuatan itu juga adalah merupakan suatu penghinaan mahkamah; (d) muhal‘alaih boleh membayar kepada bailif amaun yang dituntut atau boleh menghantarserahkan kepadanya harta yang ditahan itu; (e) jika muhal‘alaih tidak membuat pembayaran atau penghantarserahan itu, bailif boleh menyampaikan kepadanya suatu saman hiwalah dalam Borang MS 39. (f) saman hiwalah dalam Borang MS 39 tersebut hendaklah disampaikan oleh bailiff kepada muhal ‘alaih dan Mahkamah hendaklah memeriksa muhal ‘alaih tentang harta yang ditahan itu, dengan syarat bahawa—
(i) tiada saman yang sedemikian boleh dikeluarkan kepada seseorang penjawat awam berkenaan wang atau harta dalam miliknya atas sifatnya yang sedemikian, melainkan dengan kebenaran Mahkamah dan dengan kebenaran bertulis Perbendaharaan; dan
(ii) tiada saman yang sedemikian boleh dikeluarkan dalam hal wang, kumpulan wang pelaburan atau harta di dalam mana mana Mahkamah; (g) Mahkamah boleh mendengar keterangan lain mengenai mana-mana saman hiwalah; (h) selepas mendengar saman itu, Mahkamah boleh membuat suatu perintah pembayaran atau penghantarserahan dan boleh memerintahkan pelaksanaan dikeluarkan terhadap muhal ‘alaih mengenai apa-apa harta dalam tangannya yang didapati telah ditahan dengan sah, seolah-olah muhal‘alaih itu sendiri ialah penghutang penghakiman bagi amaun yang dituntut terhadap penghutang penghakiman yang asal, atau bagi amaun atau nilai harta dalam tangan muhal ‘alaih, mengikut mana yang kurang; (i) dari segi kos pula, Mahkamah—
(i) boleh memerintahkan kos terhadap muhal ‘alaih dan boleh membenarkan atau tidak membenarkan muhal ‘alaih itu menuntut kos itu daripada penghutang penghakiman;
(ii) boleh membenarkan kos kepada muhal ‘alaih terhadap pemiutang penghakiman, dan boleh memberikan atau tidak memberikan kebenaran untuk menjadikan kos itu sebagai kos pelaksanaan; (j) jika hutang yang kena dibayar secara ansuran menurut suatu penghakiman ditahan, muhal ‘alaih tidaklah bertanggungan membuat pembayaran kecuali mengikut perintah ansuran itu; (k) pembayaran oleh muhal ‘alaih di bawah prosiding hiwalah ini hendaklah menjadi suatu pelepasan yang sah terhadap penghutang penghakiman; (l) bailif boleh, atas permintaan pemiutang penghakiman dan hendaklah, jika diperintahkan sedemikian oleh Mahkamah, menarik balik mana mana notis hiwalah atau saman hiwalah; (m) sesuatu notis hiwalah hendaklah disifatkan telah terbatal tiga bulan selepas penyampaian, melainkan jika prosiding di bawah saman itu masih belum selesai atau Mahkamah memerintahkan selainnya.
9. PELAKSANAAN HIWALAH DI MAHKAMAH SYARIAH
Prosiding hiwalah ini sesungguhnya merupakan salah satu dari bentuk pelaksanaan perintah dan merupakan jalan keluar bagi penyelesaian kes-kes hutang tertangguh di Mahkamah Syariah. Satu kes yang direkodkan di Mahkamah Syariah Negeri Sembilan pada tahun 1996 iaitu antara Wan Dayang binti Wan Mahmud lwn Samsudin bin Hj Abu Hassan (Penghutang Penghakiman) dan Mohd Salleh bin Yeop Abd Rahman (Seorang Garnishee), Wan Dayang, iaitu Pemiutang Penghakiman telah memperolehi satu perintah Mahkamah mengenai penyelesaian mutaah sebanyak RM10,000,000.00 dan penyelesaian-penyelesaian lain sebanyak RM2,062,500.00. Jumlah keseluruhan yang perlu dibayar oleh Penghutang Penghakiman kepada Pemiutang Penghakiman ialah RM12,062,500. Bayaran-bayaran tersebut dipersetujui dibayar secara 8 kali ansuran sehingga selesai. Bagaimanapun, Penghutang Penghakiman hanya membuat 3 kali bayaran sahaja dan perintah Mahkamah tersebut masih terhutang sebanyak RM10,856,500.00. Pada masa yang sama Penghutang Penghakiman dikatakan telah melupuskan sebahagian besar harta-harta dan wang tunainya bagi tujuan mengelakkan pembayaran perintah Mahkamah tersebut, Menyedari perkara tersebut, Pemiutang Penghakiman telah bertindak memfailkan Notis Hiwalah ke Mahkamah Tinggi Syariah Seremban dengan menamakan Mohd Salleh bin Yeop Abdul Rahman. Garnishee, (Mohd Salleh) yang dikatakan sebagai penama yang memegang aset-aset dan saham terbesar dalam syarikat-syarikat seperti Merbok MDF Sdn Bhd, Merbok Hilir Sdn Bhd, Eurocrest Sdn Bhd dan sebagainya. Syarikat-syarikat tersebut adalah kepunyaan Penghutang Penghakiman manakala Garnishee (muhai ‘alaih) adalah penama yang memegang amanah bagi semua harta-harta yang dimiliki oleh Penghutang Penghakiman dalam syarikat-syarikat tersebut.
Kes ini kemudiannya diselesaikan apabila Penghutang Penghakiman melalui garnishee setuju memindahmilikkan sebahagian harta-harta seperti sebidang tanah industri atas nama syarikat bernilai RM16,500.000.00 dan 3,000.000 saham merbok Hilir Sdn Bhd bernilai RM5.00 sesaham ke atas nama Penghutang Penghakiman. Kes ini menunjukkan pelaksanaan perintah yang dibuat di Mahkamah Syariah melalui prosiding hiwalah telah berjaya menyelesaikan masalah hutang yang besar yang mana pada satu sudut, perintah Mahkamah Syariah tersebut adalah kelihatan sesuatu hutang yang mustahil untuk dijelaskan.
Pelaksanaan prosiding hiwalah ini juga tidak melibatkan prosiding perbicaraan yang panjang di mana di dalam kes ini prosiding dijalankan melalui afidavit dan penelitian terhadap dokumen-dokemen.
Sungguhpun prosiding hiwalah di Mahkamah Syariah adalah sebagai satu alternatif bagi menguatkuasa dan melaksanakan perintah mahkamah, tindakan melalui prosiding ini agak kurang popular dan amat jarang dibawa ke mahkamah. Antara faktor yang dikenal pasti ialah pemahaman yang kurang mengenai prosiding ini oleh kebanyakan peguam-peguam Syarie menjadikan mereka tidak berani membawa tindakan seperti ini ke Mahkamah Syariah kerana ianya juga melibatkan kemahiran kepada undang-undang lain yang berkaitan seperti undang-undang syarikat, Akta bank, Kanun Tanah Negara, dan undang-undang lain yang berkaitan dengan kewangan dan penamaan.
Disamping itu kurangnya laporan kes di dalam jurnal-jurnal, malah boleh dikatakan tiada langsung kes yang dilaporkan mengenai prosiding hiwalah menjadikan tiadanya rujukan dan panduan bagi peguam-peguam syarie memulakan tindakan ini di Mahkamah Syariah.
10. KESIMPULAN
Sebagai kesimpulan, prosiding hiwalah adalah suatu prosiding yang menjadi salah satu alternatif bagi menguatkuasa dan melaksanakan perintah-perintah Mahkamah Syariah. Pelaksanaan prosiding hiwalah di Mahkamah Syariah adalah selaras dengan kehendak undang-undang sivil mahupun hukum syarak.
Adalah disarankan agar semua Pegawai-pegawai Syariah, khususnya mereka yang terlibat dengan Bahagian Sokongan Keluarga (BSK), peguam-peguam Syarie di Jabatan Bantuan Guaman dan pusat-pusat pengajian tinggi yang menyediakan matapelajaran undang-undang dan Syariah menambahgiatkan pemahaman mengenai prosiding hiwalah sebagai salah satu penyelesaian kepada penguatkuasaan perintah mahkamah kerana ianya terbukti amat berkesan sepertimana yang telah diputuskan di Mahkamah Tinggi Syariah Seremban, Negeri Sembilan, yang disebut sebelum ini.
BIBLIOGRAFI
- ‘Abdul 'Azhim bin Badawi al-Khalafi, Al-Wajiz Fi Fiqhis Sunnah Wal Kitabil 'Aziz, (Al-Wajiz Ensiklopedi Fikih Islam dalam Al-Qur'an dan As-Sunnah Ash-Shahihah), terj. Ma'ruf Abdul Jalil (Jakarta: Pustaka As-Sunnah),
- Al-Shaukani, Muhammad Ibn Ali ibn Muhammad ibn Abdullah, Nayl al-Authar, Beirut: Dar al. Ma'rifah,Jil. V, 1988.
- Wahbah Al Zuhaili, Fiqh al-Islami wa adillatuhu, Jilid 5,
- H. Idris Ahmad S.H, Fiqh Syafii, Jilid 2, 1986, Jakarta: Karya Indah.
- Muhammad Syafii Antonio, Bank Syariah dari Teori ke Praktik, cetakan pertama, 2001, Jakarta: Gema Insani Press.
- H. Sulaiman Rasjid, Fiqh Islam, cetakan pertama, 1994, Bandung: Sinar Baru Algensindo.
- L.B. Curzon, Dictionary of Law, 1979, London: Longman.
- Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003
- Arahan Amalan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia
Kes
- Wan Dayang binti Wan Mahmud lwn Samsudin bin Hj Abu Hassan (Penghutang Penghakiman) dan Mohd Salleh bin Yeop Abd Rahman (Seorang Garnishee), kes Mal. Bil. 17-7-96P, Mahkamah Tinggi Syariah Seremban, Negeri Sembilan.
'Abdul 'Azhim bin Badawi al-Khalafi, Al-Wajiz Fi Fiqhis Sunnah Wal Kitabil 'Aziz, (Al-Wajiz Ensiklopedi Fikih Islam dalam Al-Qur'an dan As-Sunnah Ash-Shahihah), terj. Ma'ruf Abdul Jalil (Jakarta: Pustaka As-Sunnah), hlm. 704.