TARIAN ZIKIR: SENI ATAU IBADAT
Tarian ini diciptakan Rumi sebagai bentuk sebuah ekspresi dari
rasa cinta, kasih, dan sayang maha tinggi dari hamba kepada Sang Pencipta dan
dalam tarian, diajarkan hilang kesadaran diri karena mengingat dan menuju Nya.
Pesan lainnya tentang kematian adalah bahwa hidup memiliki satu tujuan yakni
menuju ilahi dengan putaran sebagai simbol menyatunya manusia dengan Nya,
Apabila digabungkan antara tarian dan zikir, maka
hanyutlah dalam kekhusyukan pasrah kepada Allah. Ia menggunakan zikir untuk
membangkitkan hati dalam pertemuan dengan Tuhan. Meskipun pada hakikatnya metode
zikir tersebut banyak dimainkan oleh tarekat-tarekat sufi yang lain, namun
tarekat Maulawiyyah jua yang telah menjadikannya sebagai ciri khusus dan
tersendiri. Tarian di dalam tarekat tersebut telah menjadi terkenal di dunia
Barat dan dikenali sebagai para darwish yang berputar (the whirling
derwishes).
Bagi pencinta kesenian sufi, nama tarekat Maulawiyyah
telah mengembangkan metode kesenian tarian sebagai salah satu cara zikir mereka
untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Inilah yang dikatakan bahawa tarian
zikir merupakan kesenian daripada budaya luar seperti tarian di Turki tersebut.
Malahan, terdapat pertunjukan aktiviti kesenian tersebut telah dijalankan di
beberapa tempat di seluruh pelosok negeri bagi mengenang karya dan ajaran
daripada pengasas tarekat itu sendiri iaitu Jalal al-Din al Rumi (An-Nadwi,
1955). Pada ketika itu, Jalal al-Din Rumi dikatakan sangat merindui guru spiritualnya
iaitu Syams al-Din Tabriz yang telah hilang sehingga beliau berjumpa dengan seorang
tukang pembuat besi emas iaitu Salahuddin Zarkub dan tukang tersebut telah menghasilkan
suatu bunyi yang indah menyebabkan Rumi tertarik untuk menari (Jamnia, 2003). Maka,
bagi mengubat kerinduanya tersebut Rumi menari secara berputar-putar (Chittick,
2002). Semakin lama beliau menari, beliau dapat merasakan suatu perasaan cinta
yang mendalam terhadap Tuhan sehingga mabuk dalam cintaNya (Mulyati, 2004).
Oleh itu, tarian zikir telah
menjadi suatu inspirasi yang ditinggalkan oleh beliau
sebagai amalan tradisi, sejarah, kepercayaan dan budaya Turki itu sendiri.

TARIAN ZIKIR, SENI ATAU IBADAT?
Tarian zikir Sebagai Ibadat
Tarian zikir dikatakan sebagai aktiviti seni daripada
budaya luar seperti di Turki, ia juga dianggap sebagai amalan ibadat dalam tarekat Maulawiyyah.
Tarekat Maulawiyyah merupakan sebuah tarekat kelahiran Turki yang telah
menggunakan metode tarian sebagai sarana amalan ibadat zikir mereka terhadap
Allah s.w.t (Glasse, 1996). Terdapat pelbagai istilah bagi menunjukkan makna
kepada tarian zikir yang telah digunakan di dalam tarekat seperti hadrah,al-ghina’,
al-raqs, as-sama’ dan sebagainya. Tarian zikir yang telah menggunakan
istilah hadrah inilah merupakan kesenian muzik Islam yang ditampilkan
dengan iringan rebana sambal melantunkan syair-syair tentang puji-pujian
terhadap Allah s.w.t dan Nabi Muhammad s.a.w (Ernst, 2003). Oleh yang demikian,
hadrah harus melibatkan unsur-unsur seni sastera, tarian, muzik dan
nyanyian yang disertakan dengan pukulan gendang. Lagu-lagunya pula berupa puji pujian
terhadap Allah s.w.t (Yousof, 1994).
Tambahan pula, setiap amalan ibadat di dalam tarekat
mesti melibatkan zikir, wirid-wirid yang menggunakan muzik dan tarian suci (Nasr, 2010).
Melalui muzik dan tarian juga menjadi suatu keperluan dan ia penting kerana
merupakan syarat bagi ahli dalam tarekat untuk melakukan ibadat-ibadat tertentu
(Ozak, 2006). Salah satu alasan beberapa tarekat menggunakan muzik dan tarian adalah untuk meningkatkan
tumpuan sepenuhnya terhadap Allah s.w.t. Oleh itu, tarian dijadikan salah satu
metode penumpuan mereka kerana ia boleh menghantar mereka kepada fana’ (Sholikhin,
2010).
Namun, di dalam tarekat Maulawiyyah, mereka
banyak menggunakan istilah tarian assama’ sebagai merujuk kepada tarian
zikir. Istilah as-sama’ telah diumpamakan seperti mendengar suara burung murai atau bunyi yang terbit
daripada pukulan gendang dan kompang (Al-Ghazali, T.th). As-sama’ secara
etimologi berasal daripada kata sami’a yang bermaksud mendengarkan.
Apabila merujuk kepada sebutan bahasa Inggeris ianya membawa maksud listening,
hearing, audition dan audience (Al-Ba'albaki, 2002). Dalam kitab Mu’jam
Wasit pula memberi definisi tentang as-sama’ merupakan sinonim
kepada al-ghina’ adalah nyanyian atau mendengar suara yang merdu
(Al-'Arabiyah M. A.-L., 2011).
Sebahagian pendapat, misalnya al-Junaid berpandangan bahawa
sesiapa yang mendengar as-sama’ memerlukan tiga perkara iaitu waktu, tempat dan kawan. Terdapat
tiga peluang ahli sufi perlu kecapi melalui as-sama’ iaitu pertama
ketika as-sama’, mereka tidak mendengar kecuali tentang kebenaran dan
mereka tidak akan berdiri kecuali rasa cinta terhadap Allah s.w.t. Kedua, Ketika
mencari ilmu pula mereka tidak akan bersuara kecuali dengan orang yang jujur
dan merupakan kekasih Allah s.w.t, sedangkan perkara yang ketiga adalah ketika
makan mereka tidak akan makan kecuali apabila mereka memerlukan sahaja. Bagi
ahli sufi, as-sama’ adalah makanan rohani bagi ahli makrifat kerana ia
bersifat lembut dan jernih yang lahir daripada hati. Oleh itu, as-sama’
atau as-sima’ merupakan suatu bentuk latihan kerohanian yang diamalkan
oleh ahli sufi bagi tujuan pemurniaan jiwa. Ia juga menjadi tunjang utama
kepada keimanan seseorang melalui mendengar atau melihat. Justeru itu, beliau
telah menyimpulkan bahawa as-sama’ atau as-sima’ merupakan
istilah tasawuf yang bermaksud mendengar syair syair yang indah,
puisi-puisi yang penuh simbolik dan mendendangkan qasidah dengan menyebut nama
Allah s.w.t (Idris, 2007).
Di samping itu, as-sama’ jelaslah lebih cenderung menggunakan
syair, zikir, nyanyian dan sebagainya yang bersumber daripada Quran. Secara psikologi, perasaan
dalaman yang dialami oleh ahli sufi sebenarnya lebih cenderung kepada memuji
apa yang dicintai melalui lagu, syair dan sebagainya. Apabila mereka mendengar
melodi cinta tersebut yang dapat meresap ke dalam lubuk hati mereka sehingga
mencapai keadaan ekstase (wajd) yang memabukkan (Aziz, 2014).

Tarian Zikir Sebagai Satu Aktiviti Seni
Meskipun tarian zikir di dalam tarekat tersebut dianggap sebagai amalan
ibadat mereka, sebenarnya ia menyimpang mengikut pada pandangan ahli fekah sama ada
amalan tersebut dibenarkan atau tidak telah menjadi ibadat yang mengelirukan
masyarakat, namun bagi ahli sufi, mereka tetap dengan alasan bahawa ini
merupakan cara mereka untuk membangkitkan zikir kepada Allah s.w.t di dalam hati (Chittick, 2002). Upacara yang
dinamakan zikir inilah yang pada asalnya bertujuan untuk mengingati Allah s.w.t
dan kemudian pada akhirnya mereka ingin mencapai tujuan ekstase sebenarnya iaitu suatu keadaan yang memabukkan
(Arberry, 1985). Inilah yang dikatakan mereka telah bersikap ghuluw
dalam beribadah iaitu mereka menjalankan aktiviti seni tarian zikir dengan
melampaui batas. Sikap melampaui batas atau berlebih-lebih dalam beragama
sangat dilarang oleh syariat Islam (Al-'Uthaimin, 1998). Oleh itu, apabila melaksanakan sesuatu amalan ibadat dalam agama hendaklah bersandarkan
kepada Quran dan Sunnah. Sekiranya, sesuatu amalan itu tidak pernah Rasul Allah
s.a.w laksanakan, maka sebagai umatnya janganlah pandai menokok tambah (Taimiyyah, 1966). Justeru,
seorang Muslim itu janganlah melampaui batas yang dikehendaki Allah s.w.t dan tidak
melalaikan mahupun mengurangi batasan yang dikehendakiNya (Al-'Uthaimin, 1998). Tambahan
lagi, perkara ghuluw tersebut boleh menyebabkan berlakunya taklid kerana
terlalu mengikut secara membabi buta adat daripada budaya luar yang menyelinap
masuk ke dalam pemikiran umat Islam. Ini kerana mereka terlalu taksub kepada
syeikh sehingga mereka bertaklid terhadap ajarannya (Abidin, 2005). Oleh itu,
umat Islam telah bersepakat bahawa tidak wajib taat kepada seseorang sekalipun
dalam segala sesuatu kecuali kepada Rasul Allah s.a.w ('Izz, 1985).
Seterusnya, apabila niat mereka berzikir untuk mendekatkan diri kepada
Allah s.w.t dilihat baik pada pandangan tetapi boleh menjadi bidaah yang haram lagi
menyesatkan daripada segi cara perlaksanaannya (Ali, 1980 ). Ini kerana, semua
amalan yang dilakukan apabila tidak ada dalil sahih yang diperintahkan oleh Allah s.w.t, mahupun yang dicontohi
oleh Nabi Muhammad s.a.w berserta para sahabat Baginda, ianya dipanggil bidaah
yang direka-reka (Al-'Uthaimin, 2009). Oleh itu, ahli sufi dalam tarekat yang
telah menganggap tarian zikir ini merupakan amalan ibadat mereka kerana mereka
sebenarnya ada bersandarkan kepada Quran dan Hadis. Namun, ia tidak diterangkan
secara terang-terangan tarian zikir tersebut dibenarkan di dalam tarekat.
Hakikatnya, berzikir boleh dilakukan dalam keadaan apa sekalipun
seperti baring, duduk, berdiri, menggerakkan kepala dan sebagainya. Ia tidak
menjadi masalah dan dibenarkan syarak sekiranya gerakan tersebut hanya sekadar gerakan ringan sahaja serta
bukan gerakan yang memerlukan banyak gerakan sambil diiringi dengan alunan muzik yang
boleh melalaikan (AlKhadimi, 2011).

Kesimpulan
Berdasarkan apa yang telah di utarakan, demikianlah penjelasan
penjelasan secara terperinci tentang tarian zikir sama ada ianya suatu bentuk
aktiviti kesenian atau amalan ibadat. Berhubung dengan apa yang telah
dipaparkan secara terperinci dapatlah dirumuskan secara keseluruhannya, tarian adalah
cabang kepada aktiviti kesenian dan menjadi salah satu medium untuk mencapai kehidupan
spiritual dalam sesebuah tarekat. Ia dapat juga mengenal dan mendekatkan diri kepada
Allah s.w.t. Hal ini kerana, tarian merupakan unsur sarana pengenalan terhadap
Tuhan dan Tuhan sendiri dianggap sebagai sumber keindahan serta keindahan itu
juga terdapat dalam hasil seni tarian itu sendiri. Melalui keindahan hasil
sesuatu karya dapatlah melahirkan perasaan gembira, senang dan memuaskan jiwa
seseorang apabila tarian tersebut menjadi bermanfaat.
Oleh yang demikian, tarian zikir dalam tarekat Maulwiyyah telah
dijadikan aktiviti kesenian yang dapat mengungkapkan keindahan tersebut melalui
alunan muzik dan syair yang indah kerana disertakan dengan zikir puji-pujian terhadap Allah s.w.t dan Rasul
Allah s.a.w. Tarian zikir inilah yang dianggap sebagai amalan ibadat dalam
sesebuah tarekat. Muzik, tarian, syair, nyanyian dengan ibadat tidak dapat dipisahkan lagi oleh golongan para sufi
tarekat. Ia menjadi sarana penting untuk mencapai tujuan yang sebenar dalam beribadat bagi mereka.
Untuk mencapai tujuan tersebut, semua aktiviti kesenian tersebut haruslah disatukan.
Oleh itu, tarian zikir bagi golongan tersebut sekali lagi telah menonjolkan
aspek kesenian dan kebudayaan sesuatu kaum atau bangsa. Ini kerana, tarian zikir telah mencerminkan budaya dan
identiti masyarakat khususnya di dalam sesebuah tarekat serta dijadikan alat untuk
berkomunikasi antara seorang hamba dengan Tuhannya. Walau bagaimanapun, tarian
sebegini sebenarnya menyimpang daripada hukum syarak kerana ia dianggap suatu perbuatan yang melampaui
batas, bidaah dan terlalu bertaklid buta. Sebaliknya sekiranya ia dilakukan
dengan cara yang disyariatkan, maka ia dibenarkan.
Abidin, M. (2005). Ensiklopedi Minangkabau. Padang: Pusat Pengajian
Islam dan Minangkabau.
Al-'Arabiyah, M. a.-L. (2004). Al-Mu'jam Al-Wasit. Misr: Maktabat al-
Shuruq al-Dawliyah.
Al-'Arabiyah, M. a.-L. (2011). Al-Mu'jam Al-Wasit. Misr: Maktabat al-
Shuruq al-Dawliyah.
Al-Ba'albaki, R. (2002). al-Mawrid al-Mar'ī: Inklizi, 'Arabi, Faransi,
Isbani. Beirut: Dar al-'Ilm lil Malayin.
Al-Baghdadi, A. (2005). Seni Dalam Islam Vokal, Muzik dan Tari .
Selangor: Synergymate Sdn.Bhd.
Al-Ghazali, A. H. (T.th). Ihya' Ulumuddin. Beirut: Dar al-Fikr.
Al-Hujwiri, '. I. (1992). Kasyful Mahjub: Risalah Persia Tertua Tentang
Tasawuf. Bandung: Penerbit Mizan.
Ali, A. &. (1980 ). Al-Bid'a Tahdiduha wa Mauqif al-'Islam Minha.
Beirut: Dar al-Kitab al-'Arabi.
Al-Khadimi, A. S. (2011). Al-Bariqah al-Mahmudiyah fi Syarh al-Tariqah
al-Muhammadiyyah. Beirut, Lubnan: Dar al-Kutub al-'Ilmiah.
Al-Qardawi, Y. (2004). Fiqh al-Ghina' wal-Musiqi Fi Dhau' al-Qur'an wa
as-Sunnah. Al-Qahirah: Maktabah Wahbah.
Al-'Uthaimin, M. S. (1998). Majmu' Fatawa wa Rasa'il Fadilah al-Syeikh
Mohd Soleh 'Uthaimin . Riyadh: Dar al-Thariya lil Nashr.
Al-'Uthaimin, M. S. (2009). Manzumah Usul al-Fiqh wa Qawa'iduhu.
Riyadh: Dar Ibn al-Jawzi.
An-Nadwi, A. H. (1955). Saviours of Islamic Spirit. Lucknow: Academy of
Islamic Research and Publications.
Arberry, A. J. (1985). Pasang Surut Aliran Tasawuf. Bandung: Penerbit
Mizan.
As-Sarraj, A. N. (2002). Al-Luma': Rujukan Lengkap Ilmu Tasawuf.
Surabaya: Risalah Gusti.
Aziz, A. (2014). Tasawuf dan Seni Muzik: Studi Pemikiran Abu Hamid
al-Ghazali Tentang Muzik Spiritual. Jurnal Tajdid 13(1): 57-86 . Retrieved Januari-Jun 2014,
from portalgaruda: http://download.portalgaruda.org/article.php?article=401835&val=6804&title=TASA WUF%20DAN%20SENI%20MUSIK
Bahron, B. A. (2014). Syarah Zikir Munajat: Taman-taman Syurga di Dunia
Kehidupan Insan. Sungai Buloh: Kemilau Publika.
Chittick, W. C. (2002). Tasawuf di Mata Kaum Sufi. Bandung: Penerbit
Mizan.
Ernst, C. W. (2003). Ajaran dan Amaliah Tasawuf. Jogjakarta: Pustaka
Sufi.
Glasse, C. (1996). Ensiklopedi Islam Ringkas. Jakarta: PT Raja Grafindo
Persada.
Hadi, S. (2000). Seni Dalam Ritual Agama. Jogjakarta: Yayasan Untuk
Indonesia.
Ibrahim, S. M. (2015). Seni Dalam Islam. Kuala Lumpur: Green Dome
Publications Sdn.Bhd.
Idris, A. b. (2007). Tarian, Nyanyian & al-Sima' Dalam Tariqat
Tasawuf. Negeri Sembilan: Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan.
'Izz, '. b. (1985). Al-'Itba'. Al-Qahirah: Dar al-Salafiyah.
Jamnia, M. B. (2003). Para Sufi Agung: Kisah dan Legenda. Jogjakarta:
Pustaka Sufi.
Kemal, A. (2010). DimensiMuzik Dalam Islam Pemikiran Hazrat Inayat
Khan. Tesis. Dr. Fakulti Ushuluddin dan Filsafat. Retrieved Mac 21 , 2011, from UIN Syarif
Hidayatullah: http://repository.uinjkt.ac.id/dspace/bitstream/123456789/5464/1/ALI%20KEMALFUH.pdf
Khan, H. I. (1999). The Heart of Sufism: Essential Writings of Hazrat
Inayat Khan. Boston & London: Shambhala.
Kussudiardjo, B. (1981). Tentang Tari. Jogjakarta: Nur Cahaya.
Mulyati, S. (2004). Mengenal dan Memahami Tarekat-Tarekat Muktabarah di
Indonesia. Jakarta: Prenada Media.
Nasr, S. H. (2002). Ensiklopedi Tematis Spiritualitas Islam
Manifestasi. Bandung: Penerbit Mizan.
Nasr, S. H. (2010). The Garden of Truth. Bandung: PT Mizan Pustaka.
Ozak, M. (2006). Dekap Aku Dalam Kasih Sayangmu: Jalan Cinta Pendamba
Reda Allah. Jakarta: PT Serambi Ilmu Semesta.
Read, H. E. (1968). The Meaning of Art. London: Faber and Faber
Limited.
Schimmel, A. (1993). Akulah Angin Engkaulah Api: Hidup dan Karya
Jalaluddin Rumi. Bandung: Penerbit Mizan.
Schimmel, A. (2002). Dunia Rumi: Hidup dan Karya Penyair Besar Sufi.
Yogyakarta: Penerbit Pustaka Sufi.
Sedyawati, E. (1986). Pengetahuan Elementer Tari dan Beberapa Masalah
Tari. Jakarta:
Departemen Pendidikan dan Kebudayaan.
Sholikhin, M. (2010). Menyatu Diri Dengan Ilahi: Makrifat Ruhani Syaikh
‘Abd al-Qadir al-Jailani. Jakarta: Penerbit Narasi.
Soedarsono. (1992). Pengantar Apresiasi Seni. Jakarta: Balai Pustaka.
Susanti, I. M. (2006). Tarian Spiritual: Studi Analisis Tarekat
Mawlawiyyah. Tesis. Dr. Fakulti Ushuluddin. Retrieved Februari 25 , 2006, from IAIN Walisongo: http:// Library.walisongo.ac.id/digilib/files/disk1/16/jtptiain-gdl-s1-2006-isnaenymil-771- Bab2_410-0.pdf
Taimiyyah, A. b. (1966). Majmu' Fatawa. Riyadh: Maktabi' Riyadh.
Tim, P. K. (1988). Kamus Besar Bahasa Indonesia. Jakarta: Balai
Pustaka.
Yousof, G. S. (1994). Dictionary of Traditional South East Asian
Theatren. Kuala Lumpur: Oxford University Press
Sebahagian artikel dipetik dari sumber asal tarian Zikir: Kesenian Atau Ibadat oleh Nurul Alieya Binti Zakaria, Pusat Akidah dan Keamanan Global, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Email: alieya_z@yahoo.com dan Norzira Salleh, Pensyarah Kanan (Ph.D), Pusat Akidah dan Keamanan Global, Fakulti
Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Email: aziera@ukm.edu.my 3rd International Seminar on Islamic Thought PROCEEDINGS: ISBN 978-967-0913-95-7
http://www.ukm.my/isoit/wp-content/uploads/2018/09/Alieya-Zakaria.pdf sumber asal