Thursday, October 29, 2009

PERJALANAN KE BUMI ANBIA’ 1

Hari yang ditunggu telah tiba, semalaman aku berdoa dan mengerjakan solat hajat, tahlil untuk arwah ayahanda tercinta dan memohon restu bonda serta isteri dan anak-anak, jam lebih kurang menunjukkan pukul 2.30 pm, aku tidak sabar lagi untuk berangkat ke LCCT. Dengan diiringi oleh ibu, isteri dan anak-anak serta anak-anak buah dan kakak ipar serta abang, kami bertolak ke LCCT Sepang selepas mengerjakan solat hajat dan solat musafir, jiwaku agak lebih tenang pada pagi ini biarpun aku masih belum pasti samada aku benar-benar akan berangkat ke Tanah Suci atau mungkin terhenti sekadar di LCCT. Samada percaya atau tidak, sehingga saat ini, aku masih belum melihat tiket penerbangan dan belum pasti jam berapa penerbangan.

Amat melucukan bagi perjalanan yang sejauh ini, tetapi percayalah, Takdir tuhan itu memang sukar dibaca. Firman Allah: “Jadilah (jika ia kehendakki) maka jadilah..”. Jika kamu mengharapkan perkara-perkara baik, nescaya Allah akan memberi seperti mana harapan yang kamu kehendaki. Sambil menjinjing beg pemberian Misbah Travel, seseorang memanggilku, “Saudara, sila berkumpul, saya wakil dari Misbah Travel, Saudara adalah bakal tetamu Allah, Jemaah kita seramai 31 orang, akan berlepas jam 6.40 petang ini dengan pesawat AirAsia ke kota Bangkok sebelum transit di Amman, Jordan. Sila check in barang-barang dan ini adalah tiket mengikut nama saudara sebelum itu suadara-saudari boleh berjumpa kaum kerabat dan bermaaf-maafan. Ini Tuan Haji Hassan @ Imam Sultan Gajab, salah seorang jemaah kita akan membacakan doa safar kerana kita akan berangkat tak berapa lama lagi “, Maha suci Allah, Aku benar-benar akan berlepas ke Tanah Suci!
Sebelum berangkat masuk ke ruang pelepasan, aku sempat menjeling anak-anak dan melambaikan tangan. Hati bercampur baur, malah langsung tiada perasaan sedih, tetapi semangat kental dan azam yang kuat untuk menjejakkan kaki ke tanah haram menutup segala kesukaran yang dihadapi. Jam 6.40pm, kapal AirAsia berlepas ke lapangan terbang Dong Muang, Bangkok Thailand. Disebelah ku ialah Pak cik Adam dan isterinya, manakala di belakangku ialah seorang pemuda yang kelihatan sombong sewaktu dilapangan terbang tadi, ditengahnya pula ustaz yahya dan disebelah tepi berhampiran tingkap ialah besan abang Mail, en. Kamis bin Let. Tanpa kusedari, dan apa pun anggapanku waktu ini terhadap mereka, Mereka ini lah nanti yang akan menjadi teman-teman sebilikku di Amman, Madinah dan Kota Mekah nanti !


Sewaktu pramugari Air Asia datang membawa bekalan makanan, aku menawarkan en Adam dan isterinya untuk order makan, tetapi ditolak atas alasan mereka masih kenyang, tanpa mempedulikan orang lain, aku meminta nasi lemak dan kopi panas, serta dua gelas milo panas untuk en Adam dan pasangannya. Kosnya ialah RM 25!
Jam 8.40pm waktu Malaysia, pesawat Airasia selamat mendarat dilapangan terbang Dong Muang, Bangkok, Thailand. Suasana yang hangar bingar dan lapangan terbang yang sibuk. Aku dimaklumkan oleh salah seorang jemaah bahawa lapangan terbang ini akan ditutup dalam masa kurang dari seminggu lagi kerana lapangan terbang baru akan dibuka tidak berapa jauh dari sini. Jam menunjukkan hampir 10.00 malam. Beberapa jemaah mengarahkan aku agar mengambil wuduk dan mengerjakan solat jamak di satu sudut di lapangan terbang tersebut memandangkan kami tidak begitu pasti samada wujud atau tidak surau disitu. Kebanyakan pengunjung yang terdiri dari penduduk tempatan dan pelancong asing agak tercengang melihat kami solat menghadap dinding secara berjemaah. Selepas solat, kami bergegas mengambil barang-barang untuk check in semula melalui pesawat Royal Jordanian Air. Kelihatan bersama-sama jemaah kami terdapat beberapa grup atau kumpulan jemaah lain dari Thailand bersusun-susun untuk menyemak tiket penerbangan mereka dengan pesawat yang sama dengan pesawat kami. Ada di kalangan mereka dari Pathani, Sungai Padi, Narathiwat dan ada juga dari Yala. Ada setengahnya boleh berbahasa Melayu Selatan Thai dan ada pula yang langsung tidak memahami perbualan kami. Dari pengamatanku, mereka membawa barang-bvarang keperluan seperti berkilo-kilo gula dan berpuluh-puluh beg tepung dan beras untuk kegunaan mereka di Tanah Suci. Katanya mereka akan ke Tanah Suci selama sebulan sepanjang bulan Ramadhan, dan ada yang akan pulang sebaik sahaja selepas Hari raya! Ada pula dimaklumkan bahawa sebahagian besar barang-barang yang dibawa itu adalah barang-barang yang dipesan oleh saudara-saudara mereka di Mekah yang menjalankan perniagaan catering disana. Apa pun, kesungguhan mereka untuk menyahut seruan Illahi adalah benar-benar mengkagumkan ku memandangkan keadaan politik yang bergolak disana, tetapi bagi jemaah-jemaah tersebut, seolah-olah tidak ada apa pun yang berlaku.
kesesakan di lapangan terbang Dong Muang Thailand. Jam 11.00 pm, sebaik saja aku melepasi pusat kawalan imigresen, panggilan supaya menaiki pesawat Jordan Air kedengaran. Alhamdulillah aku dah pekena nasi lemak kat pesawat AirAsia petang tadi, taklah terasa lapar sangat. Manakala Jemaah yang lain langsung tak berkesempatan menjamah makanan lantaran Keadaan kelam kabut dan bersesak-sesak sewaktu check inn dikaunter pelepasan. Sebaik saja aku menjejakkan kaki di dalam pesat Royal Jordan Air, hati mula rasa tenang dan dapatlah aku merehatkan badan setelah penat memikul beg sepanjang empat jam transit di Bangkok.



Jam 11.30 pm, Pesawat Royal Jordan Air mula membelah udara di dalam kegelapan ruang angkasa Thailand. Lidahku tidak berhenti mengalunkan zikir dan berdoa agar aku selamat tiba ke destinasi yang dituju. Di dalam pesawat aku dimaklumkan bahawa jemaah akan tiba di Amman lebih kurang jam 4.00 am waktu Jordan, iaitu sembilan jam perjalanan. Waktu Jordan pula lewat tujuh jam daripada waktu Malaysia. Aku cuba menghitung waktu, berlepas jam 11.35 malam di Thailand 18hb Oktober 2006, tiba jam 7.00 malam di Jordan pada hari yang sama, ahh, kita undur tujuh jam ke belakang,.ini adalah pengalaman pertama yang perlu ku tempuh. Sepanjang perjalanan yang panjang ini juga aku sentiasa teringatkan isteri, anak-anak dan ibu di Kuala Lumpur, kucing yang ku tinggalkan dalam keadaan nazak, kereta yang masih belum dibaik pulih dan tempat kerja baru yang masih belum melapor diri saling bergantian di dalam fikiran. Cuba juga aku mencari penyelesaian, mana tahu dapat mengurangkan keresahan sepanjang di Tanah Suci nanti, bagaimana pun semakin ku fikir semakin resah pula jadinya. Apa pun aku telah meninggalkan kuala Lumpur dan semakin hampir ke Kota Mekah, Tidak banyak yang boleh ku ubah. Sesuatu yang aku boleh lakukan ialah berdoa kepada Allah agar semua selamat dan sempurna. Akhirnya aku terlena. Jam 4.00 am, 18hb September 2006, Pesawat Royal Jordan Air tiba di Lapangan Terbang Queen Ali, Amman. Kami disambut oleh wakil ‘Malhas Tours’ untuk membawa kami ke Hotel ‘Alia Gateway dan seterusnya untuk kami rehat setelah menempuh perjalanan yang panjang.


Setibanya kami di Hotel, jam sudah menunjukkan waktu subuh. Aku mengerjakan solat subuh kali yang kedua untuk hari ini. Selepas sarapan, kami diberi masa untuk rehat dan tidur. Tidak ada apa-apa program yang perlu dilakukan pada hari ini kecuali untuk rehat dan masa untuk menyesuaikan dengan Keadaan baru di Jordan dimana kami melalui satu hari yang panjang.

Dipetik dari buku Satu catatan Perjalanan, UMRAH DI KOTA SUCI MAKKAH, Mohd Nadzri Bin Haji Abdul Rahman Ibrahim hal.5-9

Arc de Triomphe : Pintu gerbang patriotik di Perancis


Arc de Triomphe de I'Etoile (ahrk duh tri-ohmf 'duh le-twahl'), adalah pintu gerbang yang melambangkan ‘kemenangan’ yang terbesar di dunia yang pernah dibina. Binaanya  membentuk latar belakang bagi kota  Paris. Arc de Triomphe adalah kemuncak pemandangan sepanjang jalan utama di  Champs Elysées bermula daripada  Arc de Triomphe du Carrousel yang lebih kecil di Tuileries Gardens dan daripada Obélisque de Luxor yang terletak di de la Concorde.




Pada tahun 1806, Napoleon I memutuskan untuk membina pintu gerbang kemenangan ini yang diinspirasikan dari binaan Rom Purba bagi menghargai kemenangan dan kejayaan tenteranya di medan peperangan. Struktur  binaan ini ini direka oleh Jean François Thérèse Chalgrin (1739-1811), dan siap sepenuhnya pada  tahun 1833 serta dirasmikan pada tahun 1836 oleh Raja Perancis, Louis-Philippe. Rekabentuknya yang bersaiz sederhana besar iaitu  49.5 m (162 kaki) tinggi menggambarkan  senibina romantic neoclassicm hasil binaan  akhir abad ke-18. Lengkungan  yang menghubungkan tiang kiri dan kananya mewearisi idea ‘Louis Etienne Boullée,  iaitu bapa  arkitek berwawasan perancis. Tidak hairanlah kerana  pereka monumen ini, Chalgrin, adalah murid kepada Louis Etienne Boullée, Binaan lengkungan  ini kemudiannya dijadikan sebagai lambang kepada semangat patriotisme Perancis.


 
Pada  tahun 1920, kubur  tentera  perancis yang meninggal sewaktu perang dunia pertama diletakkan  dibawah binaan  lengkungan ini. Di sini juga terdapat arca yang dibina bagi memperingati  dua perang dunia yang meletus dan api akan dihidupkan pada setiap malam bermula jam 6:30 pm. Di sini,  setiap kali sambutan Armstive day atau  hari  Gencatan Senjata ( 11 November  setiap tahun), akan diadakan upacara meletakkan karangan bunga oleh Presiden Republik Perancis. Pada  setiap kali tibanya 14 Julai, iaitu  Hari Kebangsaan Perancis (juga dikenali sebagai Bastille Day), satu  perbarisan tentera diadakan  bermula  dari monument ini dan berakhir di  Champs Elysées.  Bagi meraikan hari-hari tertentu terutamanya meraikan  peristiwa-peristiwa penting negara, termasuklah hari cuti kebangsaan, bendera perancis akan dikibarkan  dan digantung di  langit-langit lengkung bahagian dalam Arch. Saya difahamkan juga pusingan terakhir  atau acara kemuncak  perlumbaan basikal jelajah perancis (Tour de France ) juga  akan tamat di sini  yang mana diadakan pada setiap  minggu ketiga atau keempat  pada bulan Julai setiap tahun.





Pada setiap asas binaan  Arc  ini terdapat empat patung besar, yang dibina bagi memperingati The Triumph of  1810 , Resistance, dan Peace , serta yang dikenali  sebagai La Marseillaise. Patung-patung ini dihasilkan oleh juru ukir yang berlainan seperti Cortot, Etex dan Francois Rude . mereka merupakan penggiat seni ukir terkenal di zaman itu.


Di bahagian atas Arch pula diukir  nama-nama Perang yang berlaku atau kejayaan yang dimenangi atau kemenangan besar  yang dicapai selama era Revolusi dan era Napoleon. Bagi kemenangan atau kejayaan yang kurang penting, termasuklah  nama 558 orang jeneral ada juga dicatat di Arc ini tetapi diukir di bahagian dalam tembok.

Dalam Arch, sebuah muzium kecil  yang menyimpan dokumen sejarah, rekabentuk  arkitektur dan binaan   - lengkap dengan layar sentuh  yang interaktif. Harga tiket masuk termasuk akses untuk mendaki anak tangga ke puncak Arch dikenakan kepada setiap pengunjung.  Untuk naik ke atas, pengunjung boleh mendaki anak tangga atau mernggunakan lif yang disediakan. Dari bumbung, kita boleh menyaksikan sebahagian pemandangan  kota Paris yang indah.  Melihat ke arah timur, melalui jalan di Champs Elysées, menuju Louvre,  terdapat   Place de la Concorde, Tuileries Gardens, dan Arc de Triomphe du Carrousel.  Dari arah yang berlawanan pula, iaitu di sebelah  barat – ialah  monument  La Grande Arche de la Défense.



Beberapa jam berehat disekitarnya memberikan saya peluang untuk menghayati senibina Arca ini. hasilnya, sekeping lukisan disiapkan berlatar belakangkan arca ini. Malangnya lukisan tu dah kena rembat ngan kawan sebilik. Tak apa lah, hadiah sebagai kenangan setelah 3 jam menunggu bas yang tak kunjung tiba di Arc de Triomphe de I'Etoile. Akhirnya kami balik berjalan kaki....... 


Sunday, October 25, 2009

Mendaki Permaidani Putih Atas Awan di Jungfrau, Switzerland


Eiger, Monch dan Jungfrau



The Jungfrau (dalam bahasa Jerman ianya membawa maksud "gadis atau perawan" merupakan salah satu puncak utama di Bernese Alps di switzerland, terletak antara kanton di Valais dan Berne di Switzerland. Bersama dengan Eiger dan Mönch,  Jungfrau membentuk tembok besar yang menghadap ke Bernese Oberland dan dianggap sebagai salah satu pemandangan paling cantik di Alp  Switzerland. Kehadiran anda ke Eropah adalah tidak sempurna jika tidak melawati banjaran ini, khususnya di Switzerland.

Pembinaan kereta api di timur Jungfraujoch  ke puncak Jungfrau telah dibina pada awal abad ke-20 menjadikan kawasan ini salah satu tempat yang paling sering dikunjungi di pergunungan Alps. Seiring dengan glasier Aletsch yang berlonggokan di selatan, Jungfrau adalah sebahagian daripada Jungfrau-Aletsch yang merupakan kawasan lindungan yang diisytiharkan sebagai tapak Warisan Dunia pada tahun 2001.



Jungfrau ialah kawasan di sebelah barat dan merupakan titik tertinggi  ialah 10 km mendominasi lembah-lembah di Lauterbrunnen dan Grindelwald. Kawasan ini  dibentuk oleh jajaran dari beberapa kawasan utara di Banjaran Alp, dengan Mönch (4.107 m) dan Eiger (3.970 m) di samping Jungfrau, dengan pemandangan lembah-lembah ke utara dengan ketinggian hingga 3 km. Jungfrau adalah kira-kira 6 km tinggi dengan puncak Mönch yang  kasar terletak di tengah-tengah, 3.5 km dari Jungfrau. Kawasan tersebut meluas ke timur dari Fiescherwand dan di barat oleh  Lauterbrunnen Wall.



 


Perbezaan ketinggian antara lembah yang paling  dalam  di Lauterbrunnen  ialah 800 m dan puncak utama dapat dilihat  dari daerah Mürren. Dari dasar lembah, di sebelah barat massif, ketinggian lebih dari 3 km masih dapat dilihat secara  horizontal sejauh 4 km.

Keadaan kawasan persekitarannya merupakan kawasan yang dipenuhi glasier terbesar di Pergunungan Alp dan juga di Eropah.  The Jungfrau adalah gunung ketiga tertinggi di Bernese Alps setelah Finsteraarhorn dan Aletschhorn, masing-masing 12 dan 8 km.



Puncak gunung pertama kali didaki  pada 3 Ogos 1811 oleh  Meyer Brothers of Aarau, anak-anak  lelaki kepada ahli  topograph JR Meyer. Mereka ditemani oleh dua pemburu daripada Valais, iaitu  A. Volker dan J. Bortis. Mereka adalah orang pertama yang dikatakan mencapai puncak Aletschfirn (bahagian barat glasier  Aletsch ).  Mereka kemudiannya  mendirikan khemah di base camp, utara Aletschhorn. Selepas 3 hari pendakian, mereka kemudiannya berjaya mencapai ke puncak. Pendakian mereka bagaimanapun  dipertikaikan dan mereka memutuskan untuk mengulanginya semula. Seterusnya  pada bulan September pada tahun yang sama, mereka menggunakan laluan yang sama dan bagi membuktikan  kejayaan mereka mendaki, mereka membawa bendera bersama untuk dicacakkan di kemuncak Jungfrau.



Sebelum pembinaan terowong kereta api Jungfraujoch, jarak daripada glasier di sebelah selatan adalah  sangat panjang. Jalan awal dari lembah Lauterbrunnen telah  dibuka pada tahun 1865 oleh Geoffrey Winthrop Young, H. Brooke George dan dengan bantuan Christian Almer. Pendaki harus membawa tangga bersama bagi menyeberangi cerun disebelah utara pada ketika itu. Laluan  ini adalah laluan  biasa sehinggalah  pembukaan stesyen Jungfraujoch.



Pendakian musim sejuk pula buat kali yang pertama telah dilakukan  pada 22 Januari, 1872, oleh Meta Brevoort dan W.A.B Coolidge. Mereka menggunakan kereta luncur salji untuk mencapai kemuncak glasier Aletsch.  Miss Brevoort  mendaki dengan membawa bersama anjing kesayangannya, Tschingel ketika itu sehingga ke puncak. Pada bulan Julai 2007 enam orang rekrut tentera Switzerland dan  sebahagian daripada pakar gunung  Divisyen 1, telah  meninggal dunia dalam satu kemalangan di laluan biasa. Walaupun punca kematian tidak begitu jelas, laporan oleh Swiss Federal Institute For Snow And Avalanche Research  menyimpulkan bahawa risiko tanah runtuh adalah sangat tinggi sewaktu pendakian pada musim salji.





Oleh kerana kesukaran untuk mendaki ke puncak, Jungfraubahn cog railway  mengendalikan perkhidmatan kereta api untuk mendaki terus ke gunung, Stesyen kereta api Jungfraujoch  pada ketinggian 3.454 m (11.332 kaki), adalah  merupakan stesyen  yang tertinggi di Eropah.

Idea tentang pembinaan  terowong kereta api ke Jungfraujoch bagi melancarkan perjalanan diilhamkan oleh  Adolf Guyer-Zeller pada tahun 1893. Namun pembinaan terowong telah mengambil masa selama 16 tahun dan stesen di puncak telah dibuka mulai tahun 1912. Objektif sebenarnya adalah untuk mencapai puncak Jungfrau dengan menaiki  lif dari stesen kereta api tertinggi di dalam kawasan gunung. Bagaimanapun ilham  projek ini tidak kesampaian kerana tercetusnya Perang Dunia I. Beliau kemudiannya merealisasikan projek tersebut selepas tamatnya perang Dunia Pertama dengan hanya menyediakan perkhidmatan kereta api.

Kereta api  berlepas ke  gunung daripada Kleine Scheidegg dari Grindelwald dan Lauterbrunnen. Kereta api memasuki terowong dan bergerak  ke arah timur melalui Eiger  selepas meninggalkan Kleine Scheidegg. Sebelum tiba di Jungfraujoch, ia berhenti selama beberapa minit di dua stesen, iaitu di Eigerwand (di utara Eiger) dan Eismeer (di sebelah selatan), di mana pelancong boleh melihat pemandangan indah  melalui lubang yang dikorek disekitarnya. Perjalanan daripada Kleine Scheidegg ke Jungfraujoch berlangsung sekitar 50 minit, akan tetapi perjalanan pulang hanya mengambil masa  hanya 35 minit sewaktu menuruni bukit.

Sebuah kompleks besar dan bangunan terowong telah dibina di Jungfraujoch, terutama di sebelah selatan Mönch. Ada sebuah hotel, dua Restoran, sebuah balai cerap, stesen penyelidikan, pawagam kecil, sekolah ski, dan "Istana Ais" serta  koleksi patung ais. Terdapat satu terowong lain mengarah keluar untuk ke tanah datar,  yang tertutup dengan  salji, di mana orang ramai boleh berjalan-jalan dan melihat ke bawah ke Konkordiaplatz dan glasier Aletsch, serta gunung-gunung sekitarnya.



Pengalaman ke Jungfrau adalah sesuatu yang amat menakjubkan dan saya percaya ianya akan menjadi ingatan sepanjang hayat. Sesuatu yang amat menakjubkan apabila anda berjalan di atas ais yang tebal dan sejuk seluas mata memandang tanpa tenggelam. Tiba di sini anda seolah-olah berjalan di atas permaidani putih dan begitu dekat dengan awan. Segala-galanya adalah putih…..

Red Light District : Kupu-Kupu Malam nadi Kota Amsterdam



Perkembangan Amsterdam bermula  pada lewat abad ke 14 dan abad ke-15. Di zaman pertengahan, Amsterdam adalah bandar  biara batu dan rumah-rumah kayu. Sehingga kini, hanya beberapa bangunan  sahaja yang  masih ada. Bangunan  utama di kawasan ini ialah "Old Church"  dan "New Church". The " New Church " terletak di Dam Square dan "Old Church" berada di tengah-tengah pusat Red Light District sepertimana yang ada sekarang.


Pada zaman ‘Golden Age’ ( iaitu sekitar abad ke-17) Amsterdam merupakan  pasaran perdagangan utama di dunia waktu itu. Pada waktu itu,  panjang keseluruhan terusan-terusan di Armsterdam adalah sekitar 100 km yang dirintangi oleh tidak kurang  200 jambatan. Antara Monumen utama di Amsterdam ialah  Town Hall di Dam Square yang kemudian dijadikan sebagai pusat pemerintahan kerajaan serta  rumah-rumah bersejarah yang dibina  sepanjang terusan yang turut berkembang selari dengan perkembangan pesat kota Armsterdam waktu itu.


Pada akhir abad ke-17, Kota Amsterdam cukup terkenal  di Eropah kerana terdapat banyaknya  “houses of pleasure". Terdapat banyak brothel-brothel mewah dimana orang ramai boleh  menikmati muzik, tarian dan  perniagaan berasaskan pelacuran.


Di abad pertengahan, pelacuran  tidaklah  banyak menimbulkan  masalah moral. Waktu itu pelacuran  hanya  dianggap sebagai suatu perlakuan yang tidak jujur ( tanpa kehormatan), ia  dilihat sebagai satu fenomena yang tidak elok tetapi  sangat diperlukan oleh masyarakat setempat, Jadi isu pelacuran  diabaikan. 


Pelacur di Armsterdam mempunyai ‘dress code’ tersendiri. Mereka  tidak dibenarkan berkahwin. Mereka  dilarang  daripada  berkahwin bagi menggalakkan kaum lelaki jalang lebih kerap mengunjungi pelacur dan industri pelacuran pula  adalah  terhad  di tempat-tempat  tertentu sahaja di sekitar kota Armsterdam. Tempat-tempat tertentu tersebut dikhususkan di persekitaran kawasan yang kini dikenali sebagai  The Red Light District atau uen ‘Daerah Lampu Neon Merah!’

Pada  abad ke 16 dan 17, pengaruh Gereja terhadap dasar atau polisi kerajaan semakin meningkat.  Gereja mendesak kerajaan mengenakan sekatan dan hukuman keras terhadap pelacur dan mereka yang terlibat secara langsung dalam industri pelacuran, bagaimanapun, semakin disekat dan dihalang, industri pelacuran ini semakin subur dan berkembang pesat di bandar perdagangan  Armsterdam yang maju dan berada di kemuncak waktu itu di Eropah. Ketika itu pelacuran di Armsterdam masih dalam  skala  yang kecil danperempuan-perempuan  pelacur bekerja untuk ‘majikannya’. Majikan mereka biasanya juga adalah bekas pelacur senior yang sudah bersara, mereka bekerja demi  untuk sesuap makanan dan mendapatkan tempat untuk  tidur  dan  sesetengahnya pula bekerja sebagai pelacur hanya untuk membayar hutang  pakaian dan make-up.    


Pada abad ke-18, peraturan  bagi menghadkan pelacuran ini kembali  longgar. Pemilik bilik-bilik kecil atau rumah tumpangan  atau bilik menari dibenarkan untuk memperluaskan perniagaan di persekitaran Red Light District secara terbuka  dan pelacur mulai bekerja di tempat-tempat ini bagi mencari rezeki. Pada waktu ini,  perniagaan berorientasikan pelacuran menjadi satu perkara biasa di  mata awam dan ianya tidak lagi dianggap sebagai satu dosa atau menyentuh soal moral.

Sewaktu Napoleon menguasai Belanda, masalah kesihatan adalah lebih diutamakan berbanding daripada isu moral. Bagi mengelakkan tentera –tentera  yang melanggani pelacur di Armsterdam dijangkiti penyakit 
syphilis , Napoleon mewujudkan satu dasar bagi memaksa pelacur yang mencari rezeki disini  membuat pemeriksaan kesihatan dua kali seminggu. Pada era Napoleon ini, meskipun  khidmat seks berbayar  dipandang sebagai sesuatu yang keji, tetapi  keperluan kepada aktiviti  seksual bagi mengurangkan tekanan kepada tentera  dan bagi memberi sedikit semangat untuk hidup bagi mereka terus berjuang di medan perang memaksa Napoleon mengekalkan dasar tersebut, iaitu menghalalkan pelacuran. 


selepas tamatnya era penguasaan tentera   Perancis di Belanda,  pendekatan yang pragmatik terhadap pelacuran mula berubah. Pelacuran  dipandang sebagai  "legalized sexual abuse"  dan isu moral mula menjadi perhatian serta beberapa peraturan ketat diwujudkan sehingga   undang-undang pada tahun 1911, yang melarang pelacuran telah digubal. 


Sungguhpun  pelacuran kemudiannya  berkurangan, undang-undang  tahun 1911 ini tidak cukup untuk menghalang pelacuran daripada terus berkembang.



Pihak berkuasa waktu itu sedar, bahawa adalah mustahil untuk menguatkuasakan undang-undang bagi menghalang industri pelacuran di kawasan sekitar Old Church yang sudah bertapak selama berkurun-kurun, jadi  dasar tidak rasmi telah diwujudkan oleh kerajaan  secara toleransi bertujuan menghadkan perkembangan industri ini. Perempuan-perempuan pelacur dibenarkan  bekerja di dalam bilik-bilik menunggu pelanggan dan mereka  tidak dibenarkan  berdiri di pintu  secara terbuka. Bagi menghubungkan mereka dengan pelanggan, satu lubang kecil disediakan di antara tirai. Dan tingkap-tingkap bilik bercermin merupakan pengantara antara pelacur-pelacur yang mencari rezeki dan pelanggan-pelanggan.

Dari tahun ke tahun, tirai-tirai (tingkap) ini semakin terbuka dan kembali seperti asal apabila penguatkuasaan oleh pihak kerajaan semakin longgar. Kini, tirai-tirai ini tidak lagi wujud kecuali cermin dengan pandangan telus menampakkan pelacur-pelacur santai dengan pakaian yang menggiurkan bagi menarik pelanggan secara terbuka. Dari tahun ke tahun juga, sejak era tahun 60an ke 70an, toleransi kerajaan terhadap industri pelacuran semakin longgar. Desakan daripada masyarakat  dan keperluan masyarakat barat kepada hiburan luar menjadikan kerajaan banyak mengalah dan akhirnya pada tahun 2000, industri pelacuranb ini adalah sah di sisi undang-undang.   Objektif utama daripada undang-undang baru yang menghalalkan pelacuran ini  adalah untuk mencegah ‘pelacuran paksa’ oleh sindiket  dan mengelakkan eksploitasi terhadap wanita. Kesimpulannya, kerajaan Belanda menghalalkan pelacuran jika ia dilakukan atas kerelaan perempuan itu sendiri bagi tujuan mencari rezeki. Maka The Red Light District kekal menjadi pusat hiburan paling erotis dan utama di Armsterdam, bahkan di Eropah. 


De Wallen adalah kawasan  terbesar dan paling terkenal di Armsterdam sebagai pusat pelacuran. Ia lebih dikenali sebagi  red-light district di  Amsterdam dan merupakan sumber  pelancongan utama di sini. Industri pelacuran ini terletak di pusat  bahagian tertua Amsterdam, yang meliputi beberapa blok sebelah selatan gereja Oude Kerk dan menyeberangi beberapa terusan disekitarnya. De Wallen adalah rangkaian lorong-lorong yang mengandungi sekitar tiga ratus bilik kecil yang disewa oleh wanita yang bekerja sebagai  pelacur (dan beberapa Ladyboys) yang menawarkan perkhidmatan mereka dari balik tingkap/ jendela atau pintu kaca, biasanya diterangi dengan lampu neon merah yang bergemerlapan. Kawasan ini  juga memiliki sejumlah besar kedai-kedai berorientasikan seks, seks teater, persembahan ‘peep shows’, muzium seks,  muzium ganja, dan beberapa kedai kopi yang menjual  ganja secara terbuka. 


De Wallen, dan kawasan-kawasan lain sekitarnya seperti  Singelgebied dan Ruysdaelkade,Rosse Buurt (Red Light District) adalah merupakan pusat pelacuran utama dan terbesar di Amsterdam bahkan di Eropah. membentuk

Luas keseluruhan kawasan persekitaran ini ialah  sekitar 6.500 meter persegi, membujur sehingga  Niezel di utara, Daik  laut (sea dike) / Nieuwmarkt di timur, Sint Jansstraat di selatan dan Warmoesstraat di barat. Pelacuran wujud di dalam kawasan ini secara terbuka terutamanya di jalan-jalan atau lorong seperti Barndesteeg, Bethlehemsteeg, Bloedstraat, Boomsteeg,Dollebegijnensteeg, Enge Kerksteeg, Goldbergersteeg, Gordijnensteeg, Molensteeg,Monnikenstraat, Oudekerksplein, Oudekennissteeg, Oudezijds Achterburgwal, Oudezijds Voorburgwal, Sint Annendwarsstraat, Sint Annenstraat, Stoofsteeg dan Trompettersteeg.



 
The red light district telah wujud sejak abad ke 14 dan sebelumnya terdapat banyak distilleries,medieval) iaitu dinding bendungan (penahan) di old centre  of Amsterdam terutama bagi  memberi khidmat seks  dan melayani para pelaut waktu itu. Nama Wallen (dinding) merujuk pada abad pertengahan (medieval).

Apa yang menarik disini, sebahagian pelacur-pelacur itu adalah datangnya dari Asia. Anda mungkin terkejut apabila disapa dengan bahasa Melayu  yang lembut, paling mengejutkan anda disapa dengan salam….. Melalui kenyataan seorang kawan, kebanyakannya dari Indonesia dan sebahagian besarnya bukan beragama Islam. Apa-apa sajalah…  Tempat ini agak menggerunkan bagi kami yang masih kebingungan.  Apabila hasrat untuk mengambil gambar ditegur dan dihalang oleh beberapa orang yang mungkin mengawas disekitar kawasan Red Light District, kami cepat-cepat membuat pilihan untuk meninggalkan tempat tersebut…..

Saturday, October 17, 2009

Majlis Konvokesyen IIUM ke 25

Alhamdulillah, 10 Oktober 2009 yang lalu, selepas setahun setengah menempuh penat lelah dan jerit perih mengharungi susah payah, akhirnya dapat juga menamatkan pengajian peringkat LLM di IIUM. Belajar sambil bekerja ternyata memerlukan perhatian, fokus, serta pengorbanan yang lebih. Menghabiskan masa selama setahun setengah banyak meninggalkan kesan dalam perjalanan kehidupanku. Apa pun, sedar tak sedar, masa itu hanya sekejap saja berlalu dan 10 Oktober yang lalu, Dewan Konvokesyen IIUM menjadi saksi segala pengorbanan selama ini telah terbayar. Terima Kasih kepada JPA sebagai penaja kewangan yang membolehkan kami menerus dan menamatkan pengajian!

Ini adalah konvokesyen kedua bagi tahun ini selepas graduation ceremony di Muslim College , London hujung bulan Ogos yang lalu.Sekali lagi terima kasih kepada JPA yang memberikan peluang.

Indahnya konvo kali ni apabila dihadiri oleh anak-anak, isteri dan ibu tersayang. Mereka adalah pendokong dan penyemarak motivasi bagi meneruskan karier dan memajukan diri ku.

Di samping ibu, isteri dan anak-anak.(dan bunga)


Bergambar bersama sebahagian kawan-kawan sarjana
Tn Zaim, Tn Naser AG, Bro Naseem Maldives, YA MTSWP,
YA Labuan, Tn Ketua Pendaftar dan Pn Norziza AG, Tahniah!


Apa yang membanggakan, majlis konvokesyen yang disampaikan oleh Tan Sri KSN tersebut juga turut dihadiri oleh Tan Sri Syeikh Ghazali Abdul Rahman, Mantan Ketua Hakim Syarie dan Ketua Pengarah JKSM yang sekarang ni mengetuai Bahagian Syariah Jabatan Peguam Negara Malaysia, Putrajaya. Tan Sri adalah tulang belakang yang mendorong kami untuk menjadi perintis program LLM tersebut dengan kerjasama Tan Sri Abdul Ghani Patail, Peguam Negara Malaysia serta pihak IIUM dan JPA sebagai penaja resmi. Seramai 25 orang pegawai kanan JKSM dan Jabatan Peguam Negara Malaysia telah bergabung tenaga sebagai murid pertama bagi program yang pertama kali diadakan sejak Julai 2007 yang lalu.Terima ksaih Tan Sri Syeikh Ghazali dan Tan Sri Abdul Gani Patail, jika tidak kerana Tan Sri-Tan Sri, kami tidak akan berada di sini hari ini.


Sebahagian dari kami sempat merakamkan kenangan bersama
Tan Sri Sheikh Ghazali selepas majlis konvokesyen berlangsung.

Terima kasih JKSM
Terima Kasih JPN
Terima Kasih JPA dan
Terima Kasih IIUM

Terima kasih juga KL-Seremban dan Plus Highway, Tak lupa MRR2 yang sering melengahkan perjalanan, Terima kasih Restoran Ulek Mayang dan FS kampung Pandan yang membekalkan tenaga dan mengurangkan lapar kami, Terima Kasih Dr Fazli  (Exco PendidikanNegeri Kelantan dan mantan Ketua Jabatan AIKOL, IIUM) dan DR Azmi yang sering menyokong dan memberi semangat untuk kami, Terima Kasih kepada mereka yang sering menumpangkan kami, Terima kasih kepada anda semua!

Selamat Pengantin Baru Ain & Ayin

Pada petang jumaat 2hb Oktober 2009 yang lalu, anak buah kesayanganku, Badriatul Naim bt Mohd Badruddin aka Ain http://virusatu.blogspot.com/ telah selamat diakadnikahkan di Masjid Damansara Utama dengan dihadiri oleh sanak saudara terdekat. Majlis persandingan diadakan di RRI Sungai Buluh pada keesokan harinya.



Majlis persandingan berlangsung dengan meriah dihadiri oleh sanak saudara terdekat, rakan taulan dan jiran-jiran serta sahabat handai yang mengenali beliau.
Didoakan semoga beliau berbahagia disamping suami tercinta, Nazreen, sehingga ke anak cucu.

Friday, September 18, 2009

lakaran menghilangkan rindu

Sepanjang dirantauan, ingatan kepada keluarga amat kuat mencengkam. Bagi menghilangkan rindu, sempat juga beberapa lakaran dihasilkan sekadar menghilangkan rindu dan mencari kepuasan. Gambar-gambar ini dilukis sewaktu menunggu sahabat-sahabat lain tengah sibuk shopping, bersiar-siar dan sedang rehat dikhemah. So, sempat juga aku lakarkan beberapa keping lukisan sebelum ditouchup semulka kat hostel. just untuk segarkan memeori selama kat europe. No comment!


London Red bus
9th august 2009
pen


Armsterdamse Bos Camping Site
7th June 2009
water color


Le Triumphe Paris
11th June 2009
water color

Saturday, September 12, 2009

Contoh isi buku terbaru dalam pasaran.

Di bawah ini ada dimasukkan sedikit sebahagian isi kandungan buku Undang-Undang Tatacara Mal Mahkamah Syariah ; Prinsip dan Amalan. Kandungan ini dipetik dari versi asal buku tersebut dalam Bab 3 yang menyentuh mengenai pihak-pihak dalam pengendalian kes di Mahkamah Syariah.

1-PENENTUAN PIHAK-PIHAK
           
Kebiasaannya pada bahagian atas setiap saman atau notis permohonan  mestilah ditulis  nama setiap plaintif dan setiap defendan yang ingin dijadikan pihak dalam prosiding itu.  Nama-nama ini membentuk tajuk tindakan itu. Dalam pemilihan pihak-pihak ini terdapat dua bentuk kesilapan yang biasa berlaku. Plaintif mungkin tertinggal nama pihak yang kehadirannya sangat penting; atau menambah nama pihak yang kehadirannya adalah tidak wajar. Oleh itu plaintif hendaklah memastikan pihak mana yang perlu dan pihak mana yang tidak perlu, siapakah yang mesti disatukan, dan siapakah yang boleh disatukan atau tidak, seperti yang dipilih oleh plaintif.[1]
Apa yang dimaksudkan dengan pihak-pihak ialah “plaintif” termasuklah pemohon dan “defendan” termasuklah responden.[2] Sebelum wujudnya Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia pada akhir tahun 1990an,  ungkapan ‘plaintif’ adalah lebih dikenali sebagai ‘orang yang menuntut’ atau ‘pihak yang menuntut’ manakala defendan dikenali sebagai ‘orang yang kena tuntut’.
Satu contoh yang baik mengenai penentuan pihak-pihak ini dapat dilihat dalam satu kes di Mahkamah Rayuan Syariah, Kota Bharu , Kelantan iaitu kes Nik Mansor bin Nik Ali lwn Tuan Hafsah binti Tuan Man (2006) JH XXI/II 240.[3]  Sewaktu kes ini didengar di Mahkamah Tinggi Syariah, YA Hakim Bicara telah menolak dan membuang tuntutan plaintif, iaitu Nik Mansor bin Nik Ali kerana menuntut aset-aset sebagai harta sepencarian yang bukan hak milik plaintif atau defendan. Perayu yang tidak berpuashati telah mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan Syariah Kota Bharu Kelantan. Panel rayuan yang dipengerusikan oleh YAA Dato’ Haji Daud bin Muhammad, KHS sebulat suara bersetuju dan mengekalkan perintah yang diputuskan YA Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu. Fakta kes ini ialah,  perayu, Nik Mansor bin Nik Ali telah mengemukakan rayuan Ke Mahkamah Rayuan mengenai aset-aset yang didakwanya sebagai harta sepencarian, iaitu sebuah rumah dua tingkat di atas tanah lot no. 2207 Mukim Binjai, Kota Bharu bernilai sebanyak RM215,000.00, sebuah rumah teres 2 tingkat di atas tanah lot no.2207 bernilai RM70,000.00 dan sebidang tanah lot no. 1354, Mukim Binjai Kota Bharu bernilai RM8,000.00. Sewaktu perbicaraan, Mahkamah dapati asset-aset seperti rumah dua tingkat  diatas tanah Lot no. 2207 Mukim Binjai, Kota Bharu bernilai RM215,000,00 adalah hak milik Nik Amani bt nik Mansor, bukan milik plaintif (Nik Mansor) atau milik defendan (Tuan Hafsah), rumah teres dua tingkat di atas tanah lot 2207, Mukim Binjai, Kota Bharu yang bernilai RM70,000.00 pula adalah hak miik Nik Amani bt Nik mansor , bukan milik plaintif atau defendan, dan tanah lot no 1354, Mukim Binjai, kota Bharu pula adalah di bawah hak milik  Nik Ahmad bin Nik Mansor, juga bukan hak milik plaintif mahu pun defendan. YA Hakim bicara memutuskan bahawa tuntutan Nik Mansor adalah salah dan tidak menepati maksud ‘harta sepencarian’ kerana tanah-tanah itu bukan milik plaintif atau defendan maka adalah tidak tepat defendan (responden di dalam kes rayuan tersebut) dijadikan plaintif kerana tidak mematuhi rukun dakwaan mengikut Hukum Syarak.
Di dalam satu kes lain, Bakhtiar bin Adnan lwn Mohd Fawzi bin Nahrawi dan 6 yang Lain (2006) JH XXI/I 19[4], Pemohon, Bakhtiar bin Adnan merupakan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Surau Madrasatul Awwaliah di kampung Segambut Dalam, Kuala Lumpur, manakala responden dan 6 yang lain adalah pemilik  berdaftar ke atas sebidang tanah yang dikenali sebagai GM 6209 lot 1596 mukim Batu Wilayah persekutuan. Responden-responden telah mewakafkan sebahagian tanah lot 1596 sebanyak 1/7 bahagian kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP). MAIWP kemudiannya telah membangunkan di atas tapak tanah wakaf tersebut sebuah surau yang dinamakan Madrasatul Awwaliah di mana Pemohon adalah Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Surau tersebut. Pada 11hb April 2005, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan telah menghantar notis meroboh dan mengalihkan bangunan surau tersebut untuk dibangun dan dimajukan. Notis tersebut telah dihantar  kepada ahli jawatankuasa surau tersebut. Pemohon yang tidak berpuashati dengan keputusan Jabatan Agama Islam Wilayah persekutuan berdasarkan notis tersebut, telah memohon satu perintah interim injunksi bagi menghalang apa-apa tindakan untuk merobohkan dan mengalihkan surau tersebut. Diputuskan bahawa permohonan ex-parte perintah interim injunksi yang dibuat oleh pemohon adalah salah aturan dan ditolak oleh Mahkamah kerana Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan yang merupakan tuan tanah kepada tapak surau yang telah diwakafkan itu sepatutnya dijadikan sebagai responden dalam kes ini dan bukannya pemilik tanah yang asal.
Dalam kes Hasan Arif Hafiz Ahmed lwn Hasimah Hafiz Ahmed & Hasnah Hafiz Ahmed[5], Panel Rayuan sebulat suara menolak rayuan pemohon dan berpendapat bahawa responden-responden bukanlah pihak-pihak yang sepatutnya dikaitkan dalam urusan harta pesaka kerana mereka telah jelas bukan disenaraikan sebagai ahli waris.


[1] Ibid.
[2] Lihat Sek. 17 ETCMMS
[3] Nik Mansor bin Nik Ali lwn Tuan Hafsah binti Tuan Man (2006) JH XXI/II 240
[4] Bakhtiar bin Adam lwn Mohd Fawzi bin Nahrawi dan 6 yang Lain (2006) JH XXI/I 19
[5]Hasan Arif Hafiz Ahmed lwn Hasimah Hafiz Ahmed & Hasnah Hafiz Ahmed, (2006) JH XXII/I, 61

Buku Terbaru Di Pasaran!

Buku Terbaru Di Pasaran!

Nantikan kemunculan buku terbaru di pasaran, Undang-Undang Tatacara Mal Mahkamah Syariah; Prinsip dan Amalan.




Buku ini cuba mengupas secara objektif aspek-aspek perundangan Syariah terutamanya mengenai tatacara pengendalian kes-kes syariah secara praktis. Hampir keseluruhan aspek perundangan tatacara Mal Mahkamah Syariah telah disentuh dan dikupas berdasarkan otoriti-otoriti kes yang diputuskan di Mahkamah Syariah seluruh Malaysia. Menggunakan Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah Negeri Sembilan (2003) sebagai asas perbincangan, buku ini cuba menyentuh segenap sudut isu perundangan bermula dari asas seperti pengenalan kepada Mahkamah Syariah, undang-undang Tatacara Mal, saman, pliding, affidavit, permohonan, ex parte, rayuan, pelaksanaan dan penguatkuasaan serta penghinaan mahkamah termasuklah isu-isu kontemporari seperti perintah interim dan kesilapan-kesilapan yang sering dilakukan sewaktu pengendalian kes di Mahkamah. Buku ini amat berguna kepada peguam-peguam yang baru beramal di Mahkamah Syariah, pengamal undang-undang Syariah, orang awam, pelajar dan amat sesuai untuk dijadikan rujukan khusus dan akademik. Ditulis oleh pengarang yang berpengalaman luas dalam undang-undang Syariah dan menggunakan sepenuh pengalamannya untuk menghasilkan buku ini.
Buku ini mengandungi 560 muka surat dan ditulis berdasarkan kajian, pengalaman dan kupasan berbentuk akademik terutamanya dari kes-kes yang pernah diputuskan di Mahkamah Syariah seluruh Malaysia.Sebanyak hampir 250-300 kes dirujuk sepanjang menghasilkan buku ini termasuklah yang pernah disiarkan di Jurnal Hukum, Syariah Report, MLJ, CLj atau yang belum  pernah dilaporkan.
Isi kandungan buku ini menyentuh pelbagai isu terutamanya prosedur pengendalian kes di mahkamah Syariah.

Harga senaskhah dijangka antara RM45-60, iaitu RM45 untuk kulit biasa dan RM60 untuk hard cover
Fikirkan wang anda, fikirkan kerjaya anda.
Jika anda berminat, bolehlah hubungi saya di talian 0163119010 atau melalui email nadzri@agc.gov.my

SELAMAT MEMBACA!

Thursday, August 27, 2009

Ramadhan di kota London


hari ini 27 Ogos 2009, merupakan hari ke 6 umat Islam berpuasa. Di kota london, sepertimana bandaraya-bandaraya besar lainnya, suasana bulan ramadhan tetap sama. Sesekali melangkah kaki ke kota London pada siang hari di bulan Ramadhan langsung tidak menunjukkan kekurangannya berbanding bandar-bandar lain di dunia yang pernah saya lawati. Kedai-kedai makan atau restoran muslim masih dibuka seperti biasa seperti bulan-bulan lainnya, bagaimanapun suasananya agak hening tidaklah sepertimana biasa yang sering dipenuhi oleh pengunjung-pengunjung yang mencari makanan halal. Meskipun di kota London, tidak ada penguatkuasaan bagi orang-orang Muslim yang tidak menunaikan ibadah tersebut, kebanyakan orang-orang muslim di London menghormati bulan puasa. Begitu juga rakyat British yang lain, mereka menghormati bulan ramadhan dan memberi ruang yang luas kepada pekerja-pekerja muslim untuk menunaikan ibadah sepanjang bulan Ramadhan.
Pasar-pasar Ramadhan tumbuh bagai cendawan terutamanya  disekitar kawasan yang dihuni oleh penduduk muslim etnik Pakistan, bangladesh, Arab dan sebagainya. bagai tak terasa yang kami kini sedang berada di negara yang majoritinya bukan Muslim.
Masjid-masjid di sekitar London menghidupkan malam Ramadhan dengan bacaan al Quran, solat maghrib dan isyak berjamaah serta solat tarawih.Pada malamnya pula diisi dengan qiam al lail, tahajjud dan seterusnya solat fajr. kebanyakan masjid pula menyediakan iftar percuma atau makanan untuk berbuka secara percuma terutamanya pada hujung minggu seperti hari sabtu dan ahad seperti di masjid east london, west london, jamia Mosque Hanwell dan sebagainya. bagi masjid-masjid besar seperti Regent park dan sebagainya pula, mereka menyediakan iftar percuma sepanjang bulan Ramadhan dan sajian disediakan secara percuma dari derma orang ramai. Pengunjung yang ramai dan memenuhi kebanyakan masjid menjadikan kita kadang-kadang keliru yang kita masih berada di bumi England yang dikuasai oleh majopriti kristian. Tidak ada apa yang menghalang urusan ibadah Muslim sepanjang bulan Ramadhan disini dan ianya dilaksanakan dengan aman dan tenang.
Berada di masjid waktu siang di kota London, terutamanya menjelang waktu zohor dan asar amat menenangkan jiwa. Bacaan al-Quran kedengaran diserata pelusuk masjid yang dibaca oleh pengunjung kedengaran setiap waktu. Suara kanak-kanak yang belajar al Quran amat mendamaikan jiwa. Kadang-kadang keytenangannya dirasakan lebih sempurna berbanding dengan sesetengah masjid  di Malaysia.
Disini, mengunjungi masjid kita tidak terasa sangat bimbangkan barang-barang berharga seperti kasut atau jam yang tertinggal di bilik wudhuk, insyaallah ia tidak disentuh  atau dicuri walaupun kafdang-kadang jenayah tersebut seringkali juga berlaku. ketenangan itu menjadikan kekhusukan menjalani ibadah puasa dan ibadat di masjid kurang tergagnggu.

Sesekali sempat juga bertarawikh di masjid-masjid berdekatan disekitar London. Setiap malam kami menuju ke masjid yang berbeza bagi merasakan kelainannya. Apa yang berbeza sedikit ialah waktu solat yang tidak sama antara masjid dengan masjid yang lain, selebihnya ia hampir sama dengan mana-mana masjid lain di seluruh dunia.
menunggu bas selepas selesai solat tarawih di Regents park Mosque, London
iftar percuma di East London Mosque
Iftar percuma di Muslim World league Mosque
Selepas solat tarawih di Muslim League Mosque

solat tarawih di East London Mosque

Ulasan Tun mengenai hukuman sebat

MENYAMBUT MERDEKA

As posted by Dr. Mahathir Mohamad at Che Det on August 24, 2009 3:05 PM

1. Tahun ini kita akan sambut Hari Merdeka dengan menyebat seorang wanita Melayu kerana minum beer.

2. Cerita hukum sebat telah disebar luas di seluruh dunia. Saya tak tahu apakah ini akan memberi imej baik atau tidak baik kepada agama Islam. Sebagai orang Islam kita tidak harus ambil berat pandangan orang lain terhadap Islam dalam melakukan suruhan agama.

3. Tetapi benarkah hukuman ini tepat bagi jenayah minum arak? Apakah hukuman ini terdapat dalam undang-undang syariah di Malaysia.

4. Bagi undang-undang biasa jenayah ditentukan bersama dengan hukuman kepada pesalah yang didapati bersalah. Jika Kerajaan tidak mengkanunkan undang-undang syariah melalui proses perbahasan dan kelulusan oleh dewan-dewan undangan, atau melalui fatwa oleh ulama-ulama, bolehkah tulisan-tulisan ulama tertentu dijadikan asas hukum mengikut pendapat hakim?

5. Apakah ada larangan dalam Islam untuk mengkanunkan undang-undang syariah?

6. Saya tanya soalan ini kerana terdapat perbezaan pendapat terhadap hukuman yang telah dijatuhkan keatas wanita ini. Janganlah kata saya tak Islam dan akan masuk neraka. Saya cuma tanya.

7. Dalam Al-Quran terdapat 43 ayat yang menegaskan; "Apabila kamu hukum, hukumlah dengan adil". Apakah mungkin seorang hakim itu tidak adil ataupun tersilap dalam pertimbangannya? Apakah tidak ada dalam Islam belas kasihan bagi yang bersalah buat kali pertama?

8. Keadilan dan timbang rasa jelas menjadi ajaran yang utama dalam Islam. Mereka yang tidak adil dan tidak bertimbang rasa tidak mengikuti semangat keIslaman.

9. Mereka yang ahli dalam ilmu fiqah memanglah berhak menulis kitab berkenaan undang-undang Islam. Tetapi sebagai manusia biasa kemungkinan membuat tafsiran yang salah memang ada.

10. Islam mendesak supaya kita rujuk kepada Al-Quran apabila kekeliruan berlaku atau menemui jalan buntu.

11. Sudahkah kita rujuk kepada Al-Quran berkenaan dengan minum beer (arak) dan hukuman yang perlu dikenakan supaya keadilan tercapai? Tak perlu kita ambil berat pandangan orang tetapi umat manusia perlu tahu bahawa agama Islam menjunjung tinggi keadilan.

12. Saya harap pihak-pihak yang pakar dalam perkara ini dapat menunjuk ayat-ayat Al-Quran dan kitab-kitab yang dirujuk oleh hakim apabila hukuman ini dijatuhkan.

Buku Peguam Syarie dan Litigasi Mal di Mahkamah Syariah

 Atas permintaan ramai buku Peguam Syarie dan Litigasi Mal di Mahkamah Syariah telah dibuat cetakan semula, semoga buku ini dapat membantu a...