Wednesday, July 29, 2009

al Manar Islamic Centre, Pusat Perkembangan Ilmu dan Dakwah Islamiah di Cardiff, Wales, United Kingdom.

Rabu 29hb Julai 2009, lebih kurang jam 10 pagi, kami bersiap awal untuk berkumpul di pekarangan Thames valley University Hostel bagi menunggu MPV yang bakal membawa kami ke Cardiff, ibu Negara Wales, di barat laut United Kingdom. Pagi ini cuaca agak sejuk dan berangin. Kebanyakan dari kami ber5siap dengan memakai baju tebal serta masing-masing membawa payung, persediaan awal jika hujan akan turun. Sepertimana biasa, aku hanya selesa dengan kot yang diperolehi di Charity Shop dan topi baretta bagi mengalas kepala kalau-kalau hujan turun, sekadar mengelakkan dari diserang selsema. Dalam beberapa hari ini, aku tidak lagi selesa menyandang beg di bahu kerana kesan kesakitan bahu yang dialami sejak di Malaysia tempohari semakin ketara terutamanya apabila cuaca sejuk.

Kami mula bertolak seawal jam 10.15 pagi dari Brentford. Perjalanan ke Cardiff agak lama dan membosankan. Perjalanan mengambil masa kira-kira dua jam setengah, lebih teruk lagi apabila sepanjang perjalanan hujan lebat tanpa menunjukkan suasana akan reda. Perjalanan melalui motorway yang sibuk dan tak banyak tempat rehat untuk kami berhenti lenguh menambahkan lagi ketidak selesaan kami. Berbeza dengan Malaysia, motorway di UK (Dimalaysia dikenali dengan Highway) tak banyak menyediakan tempat rehat, kami mengambil masa 1 jam lebih sebelum berhenti rehat dan bergegas mencari tandas awam.

Tiba di Cardiff, antara jam 2.15 petang, kami disambut mesra oleh Imam dan Bilal al Manar Islamic and Culutral Centre yang terletak di 2-4 Glynrhondda Street, Cathays, Cardiff CF24 4AN, Wales, United Kingdom. Kami dipelawa masuk melalui pintu hadapan sebuah bangunan yang terdiri dari asalnya dua buah rumah teres yang disewa dan dijadikan Pusat Islam di Cardiff ini. Sebaik kami menjengah ke dalam, bangunan tiga tingkat tersebut merupakan bukan sahaja dijadikan sebagai Pusat Islam, tetapi juga merupakan sebuah masjid yang mampu menampung lebih kurang 400-500 jemaah dalam satu masa. Di dalam masjid, seorang pemuda Malaysia lingkingan dua puluhan sedang emnunggu kami dan menyambut kami dengan sapaan mesra, beliau ialah Bro redza, dari Kl dan merupakan salah seorang ahli jawatankuasa masjid di pusat Islam alManar ini, Syabas kepada Redza kerana usaha dan perjuangannya untuk meningkatkan kesedaran Islam kepada masyarakat islam di Britain dan lebih-lebih lagi untuk dirinya sendiri. Saya tidak sempat berbual panjang dengan saudara redza kerana sebagai ketua delegasi, terpaksa member sedikit tumpuan kepada pihak pengurusan Pusat ini terutamanya tuan Imam , Bro kamel al-Idrisi atau terkenal dengan panggilan Abu Yasser yang agak bersungguh-sungguh melayani kami.


al-manar Mosque, 2-4 Glynrhondda Street, Cathays, Cardiff


Kami diberi taklimat ringkas mengenai Pusat ini dan sedikit sessi soal jawab.kami kemudiannya dihidangkan dengan minuman ringan. Belumpun selesai kami minum the panas, kami dihidangkan pula dengan makan tengahari yang lazat, kambing panggang, ayam bakar dan salad serta nasi arab, roti nan dan sos salad dan pelbagai menu lagi. Mereka nampaknya teruja dengan kehadiran kami dan kami agak terkejut dengan layanan yang diberikan. Terima kasih kepada Al-Manar Centre!

kehadiran kami disambut mesra oleh Bro Redza dan bro Abu Yaseer (tiada dalam gambar)



Al-Manar Centre merupakan salah satu organisasi Ahlus-Sunnah, yang dibangunkan di kota Cardiff, Wales UK pada bulan Rajab, tahun 1412 H. (1992 AD). Sebelumnya, sekitar 1980an, Pusat ini dikenali sebagai Abu hurairah Mosque sebelum bertukar nama kepada al-manar.Pada tahun 1997, pusat ini didaftarkan secara resmi mengikut undang-undang pendaftaran Britain.
Terletak di 2-4 Glynrhondda St, Cathays, Cardiff CF24 4AN, iaitu berada ditengah-tengah pusat Bandar Cardiff, Wales UK, yang mana faktor terpenting Bandar Cardiff dipilih sebagai pusat perkembangan Islam di Wales, antaranya adalah kerana sebahagian besar dari masyarakat muslim di barat laut UK tinggal di sini. Masyarakat Muslim di Cardiff terdiri dari komuniti Muslim yang berasal dari Somalia, Yaman, Pakistan, Bangladesh dan negara-negara Arab lainnya, terdapat juga sebahagian besar pelajar-pelajar islam yang belajar di pusat-pusat pengajian tinggi di Cardiff. Penduduk asal yang beragama Islam di Bandar Cardiff, Wales ini dikatakan berjumlah dalam sekitar sebelas ribu orang termasuk pelajar-pelajar yang sering bertukar ganti saban tahun dan dari masa ke semasa. Al Manar Islamic Centre juga berperanan dalam memperkenalkan keindahan Islam kepada penduduk non Muslim sekitarnya. Menurut Dr mahmood, salah seorang tenaga pengajar tetap di masjid al manaar, Cardiff ini, selepas peristiwa 9/11 di New York dan Underground Bombing 7/7 di London, masyarakat Britain cuba mengenali dan mendalami Islam, kewujudan al Manar Islamic Centre merupakan masa dan peluang yang tepat ketika itu untuk menjelaskan bahawa tindakan jihad tersebut adalah bertentangan dengan kehendak Muslim sebenar. Pada masa yang sama, masyarakat Britain, khususnya di Cardiff mengenali Islam dan pusat ini memainkan peranan yang besar dalam membersihkan imej Islam sebagai masyarakat yang lemah lembut dan bersopan, tidak sepertimana anggapan sebahagian besar masyarakat Britain waktu itu yang melabelkan Islam sebagai Komuniti pengganas atau terrorist.

Pusat Islam Al-Manar didaftarkan di bawah Suruhanjaya Kebajikan (Charity For England and Wales). Pusat ini juga menawarkan pelbagai khidmat kemasyarakatan di Cardiff, khususnya minority Islam.

Antara objektif utama Pusat ini ialah untuk;
1. Untuk memperkemaskan keseragaman masyarakat dan menyediakan wawasan kebudayaan dan pendidikan kepada seluruh masyarakat Islam, khususnya populasi Sunni di Wales, melalui pertemuan pada setiap kali solat waktu, solat jumaat, kuliah harian dan mingguan, forum awam semasa, penerbitan buku dan risalah serta perayaan-perayaan keagamaan pada setiap tahun;
2. Untuk meningkatkan pendidikan masyarakat terutamanya dalam pengajian 'al-Qur'an' dan 'Bahasa Arab';
3. Untuk mengembangkan kemampuan, kemahiran dan keterampilan anggota masyarakat di Cardiff, khususnya umat Islam yang berpendapatan rendah, etnik minority, orang-orang yang tidak berkeupayaan, orang-orang tua, sehingga mereka mampu dan dapat bersaing dan memberi sumbangan kembali kepada masyarakat; 4. Menyediakan khidmat nasihat dan perdamaian (conciliation) terutamanya kepada pasangan suami isteri yang bermasalah, hadhanah, akses kepada kanak-kanak dan sebagainya;
5. menyertai kempen local council, bagi mendorong penyertaan anak-anak muda atau remaja dalam program khidmat awam secara sukarela, iaitu mempromosikan masyarakat yang berhemah dan mendorong penyertaan masyarakat secara lebih serius kepada kebaikan atau kebajikan dalam usaha mencegah perkara-perkara yang buruk atau sebarang perlakuan jenayah;dan
6. Untuk membantu dalam mengurangkan kadar kemiskinan, kesukaran dan tekanan dikalangan masyarakat Muslim di United kingdom melalui saluran kebajikan sepertimana yang diperlukan atau mengikut saluran yang sah.

Aktiviti-aktiviti lain al Manar Centre

Sejak ianya mula beroperasi, Pusat ini bukan sahaja menyediakan kegiatan yang semata-mata memfoluskan kepada perkembangan pengetahuan ataupun pendidikan mengikut methodology ilmu yang sebenar, tetapi juga merupakan pusat ibadah. Di Pusat ini juga terdapat sebuah masjid besar yang mampu menampung 400-500 jemaah pada setiap kali solat lima waktu, solat jumaat, solat Aid fitr dan Eid al-Adha, termasuk juga aktiviti-aktiviti lain yang dijalankan dari masa ke semasa seperti:

Perpustakaan umum
Perpustakaan ini didirikan bertujuan untuk menyediakan buku-buku rujukan yang meliputi pelbagai bidang disiplin. Perpustakaan Pusat ini memiliki hampir 1000 buku-buku dan kitab agama yang disusun elok di rak perpustakaan. Mereka mengalu-alukan sumbangan buku-buku dari Malaysia jika ada. Kebanyakan buku-buku di perpustakaan ini adalah sumbangan dari kerajaan arab Saudi dan ianya adalah terhad dan terlalu kurang berbanding keperluan pendidikan yang diperlukan oleh masyarakat Islam di Cardiff. Bilal masjid ini dalam perbualannya dengan saya amat mengaharapkan jika ada sumbangan berbetuk makalah, artikel, bulu-buku, terjemahan al-quran dan sebagainya disumbangkan kepada perpustakaan. Saya mencadangkan kepada beliau untuk berhubung secara resmi dan kami akan usahakan yang termampu dengan bantuan JAKIM, jika diizinkan, dan mereka menyambut baik cadangan tersebut.
Friday Lessons
Setiap petang Jumat, diadakan program pengajian yang terdiri dari dua sesi dan yang diselenggarakan oleh Pusat ini. Sesi ini biasanya meliputi tafsiran al Quran serta pelbagai topik yang meliputi iman, 'Aqeedah dan Sirah. Program ini biasanya disampaikan oleh Imam masjid di Pusat ini yang memberikan sumbangan sepenuh masa.
Kuliah Bulanan
Kuliah bulanan biasanya diatur pada setiap bulan sama ada dalam bahasa Arab atau Inggeris. Kuliah bulanan ini memfoluskan kepada isu-isu kontemporari dan masalah-masalah semasa yang berkait rapat dengan masyarakat Islam. Ceramah bulanan ini biasanya disampaikan oleh cendikiawan-cendikiawan yang terkenal dan penceramah yang berkaliber. Kami difahamkan saudara Hussin Yee dari Malaysia pernah atau akan dijemput untuk memberikan ceramah di Pusat Islam ini.?
Penggunaan tele-Conference
Pusat Islam Al-Manar cuba untuk memenuhi penerokaan teknologi terkini terutamanya teknologi komunikasi moden yang sedia ada. Pusat ini menggunakan sepenuhnya kaedah telekomunikasi moden dalam penyelenggaraan pendidikan seperti penggunaan teknik tele-conference, iaitu penyampaian ceramah agama kepada sejumlah besar penonton yang berada dimasjid yang berlainan dan Pusat Islam yang berjauhan di sekitar United Kingdom. Pusat biasanya mengundang pelajar-pelajar dari pelbagai disiplin pengajian di sekitar Cardiff bagi menyampaikan syarahab atau ceramah agama. Dengan cara demikian, ilmu dapat disampaikan secara menyeluruh kepada masyarakat awam.
Program Muslimah
kegiatan ini merupakan perancangan khusus kepada golongan wanita. Aktiviti yang dirancang biasanya bagi memenuhi keperluan kaum muslimah terutamanya dari sudut pendidikan, ukhuwah dan sosial yang dikendalikan dalan dwi bahasa iaitu Arab ataupun Inggeris. Kelas masakan dan jahitan juga disediakan kepada golongan wanita setempat.
Membantu Pengunjung yang memerlukan bantuan
Selain dari memberi dan menerima zakat serta membuat pengagihan, pusat ini juga menawarkan khidmat yang jarang disediakan di Pusat-Pusat Islam lain di seluruh UK, iaitu bantuan moral dan informasi yang diberikan kepada pengunjung atau pelawat ke Cardiff. Kebanyakan pengunjung ke Bandar Cardiff adalah terdiri daripada penuntut-penuntut Muslim yang belajar di Institusi-institusi pengajian tinggi di Wales serta mereka yang datang untuk mendapatkan rawatan perubatan di sekitar Cardiff. Mereka, pertama kali tiba di sini semestinya memerlukan bantuan dan informasi dan pusat ini bersedia memberikan sumbanagan dalam bentuk tersebut. Pusat Islam al Manar menyediakan kakitangan yang sedia untuk memikul tanggungjawab tersebut dan sumbangan ini adalah antara yang amat berharga yang disediakan oleh Pusat ini terutamanya untuk kaum muslimin diseluruh dunia.
Kami sempat bertukar-tukar cenderamata sebelum menjamu selera

Imam Bro Kamel al idrisi atau Abu yaseer, merasakan tidak cukup untuk membantu kami sekadar dengan maklumat-maklumat tersebut, beliau seoalah-olah merasa bersalah dan terkilan kerana tak dapat melayani kami kerana cadangan asalnya beliau berhasrat untuk membawa kami melawat ke tempat-tempat menarik disekitar Cardiff, terutamanya temapat-tempat perkembangan Islam seperti University Cardiff, masjid-masjid sekitar dan sebagainya. Hasrat beliau tersebut terhalang kerana hujan lebat yang turun mencurah-curah sejak kami masih dalam perjalanan sehinggalah kami bertolak pulang. Kami turut membatalkan hasrat untuk singgah di Stonehenge dan pecan Bath yang terkenal itu seperti rancangan asal kerana hujan seolah-olah mencemburui kami. Dalam perjalanan pulang, saya masih teringat-ingat keluhan abu Yaseer, “masyarakat luar Britain beranggapan kami mempunyai segala-galanya, pusat kebudayaan dan ilmu pengetahuan, tetapi kami sebenarnya hidup dengan sumbangan derma dan tenaga sukarela”, membayangkan perkembangan Islam disini perlu dibantu, bukan kerana ras, tetapi kerana perkembangan ilmu pengetahuan yang tidak formal kepada seluruh masyarakat Islam, termasuk saudara-saudara kita dari Malaysia yang ramai menuntut disini.




bergambar kenangan dengan Bro Abu Yaseer (3 from lft), Dr mahmood (2nd from lft) dan Bro Redza, the Nice Malaysian Guy, one of Committee in al Manar Mosque, (duduk tengah). Thanks Bro!

No comments:

Buku Peguam Syarie dan Litigasi Mal di Mahkamah Syariah

 Atas permintaan ramai buku Peguam Syarie dan Litigasi Mal di Mahkamah Syariah telah dibuat cetakan semula, semoga buku ini dapat membantu a...