Friday, July 24, 2009

Finsbury Park Mosque, Masjid Baru Yang Menyimpan Sejarah Lama




Minggu ini kami berpeluang solat jumaat di Finsbury Mosque, sebuah Masjid yang baru dibina pertengahan tahun 90an tetapi menyimpan banyak sejarah terutamanya selepas peristiwa 9/11 di USA dan 7/7 di UK.

North London Central Mosque, di Finsbury Park, London ini dibina pada tahun 1990-an bagi kemudahan sebahagian besar penduduk Muslim dikawasan sekitarnya. Memiliki kapasiti jemaah seramai 1800 orang dalam satu masa. Mulai tahun 2005, Masjid ini dikenali dengan nama Finsbury Park Mosque, London dan terkenal sebagai pusat pengembangan Islam Radikal di London yang diketuai oleh Imamnya Abu Hamza al-Masri waktu itu.

Bangunan utamanya dibina pada tahun 1994 dengan upacara yang penuh gemilang yang dihadiri dan diresmikan oleh Prince Of Wales, Putera Charles.Lokasi Masjid ini adalah terletak di seberang jalan berhadapan dengan Stesyen bawah tanah Finsbury Park, tidak jauh dengan Kelab Bolasepak Arsenal dan Emirates Stadium. Satu ketika, masjid ini dikatakan pernah dijadikan sebagai tempat operasi al Qaeda, termasuk "shoebomber" Richard Reid dan Zacarias Moussaoui juga dikatakan pernah menghadiri Masjid ini. Pada tahun 2002 masjid ini juga dilaporkan pernah dijadikan sebagai tempat latihan dan penyimpanan senjata oleh terrorist.

Pada 3 Oktober 2004, juga dilaporkan bahawa Kamel Rabat Bouralha, seorang warga Inggeris bersama dengan Osman Larussi dan Yacine Benalia, pengikut setia kepada Panglima Perang Chechen iaitu Shamil Basayev,juga sering hadir ke masjid ini. Penyelidik British percaya bahawa ketiga-tiga orang tersebut, antara dalang yang mengambil bahagian dalam perang/pertempuran pada tahun 2001 di Chechnya. Pada tahun 2003 lebih dari seratus polis yang lengkap bersenjata telah mengepung bangunan masjid ini. Imam Abu Hamza telah ditangkap dan didakwa serta dihukum penjara selama tujuh tahun pada tahun 2006 setelah disabitkan bersalah merancang pembunuhan dan menimbulkan kebencian antara kaum.


masyarakat Muslim pernah solat di luar masjid ini sewaktu ketegangan dengan kerajaan British sekitar tahun 2004-2005.



Imam Abu Hamzah Al Misri dilarang dari menyampaikan khutbah di dalam masjid pada awal tahun 2005.

Kepimpinan masjid dan imam disini kemudiannya diganti oleh golongan yang lebih liberal dengan pemantauan kerajaan Inggeris. Buat masa ini, masjid Finsbury park menumpukan kepada pengajian al Quran dan fiqh dan amalan-amaln sosial lain. Perkembangan politik radikal agak terkawal dan seakan tidak lagi punyai pengaruh besar. Rata-rata pengunjung masjid di sini terdiri dari masyarakat arab dan Algeria dan khutbah dibaca dalam bahasa Arab, bagaimanapun khutbah kedua dibaca dalam bahasa Inggeris . Imam mengulas tajuk mengenai kemuliaan bulan syaaban dan menyeru masyarakat Muslimin mendekati cara hidup Islam. Perbincangan ringkas dengan pegawai masjid, mereka menafikan adanya pengaruh Islam radikal di masjid ini dan mereka tidak berhasrat untuk mengembangkan Islam di England melalui kekerasan. Apa yang berlaku beberapa tahun dahulu adalah sejarah lama bagi masjid yang masih baru ini.

No comments:

Buku Peguam Syarie dan Litigasi Mal di Mahkamah Syariah

 Atas permintaan ramai buku Peguam Syarie dan Litigasi Mal di Mahkamah Syariah telah dibuat cetakan semula, semoga buku ini dapat membantu a...