Friday, July 10, 2009

East London Mosque, Masjid Bangladesh di Timur london atau Masjid Timur London di Bangladesh?


Hari ini jumaat 10hb Julai 2009. Kami dijadualkan untuk solat jumaat di East London Mosque, iaitu sebuah Masjid komuniti Bangladeshi yang terbesar di London. Terletak diTower Hamlet, berdekatan dengan pinggir kota London dan diantara Aldgate dan Whitechapel, di Timur London. London East Mosque adalah antara masjid terbesar di London. Masjid dan London Islamic Cultural Centre ini jaraknya hanya beberapa mimit berjalan kaki baik dari stesyen tube bawah tanah Aldgate East atau stesyen Whitechapel.



Sejarah masjid ini bermula pada tahun 1910,apabila beberapa orang tokoh agama terkemuka memutuskan untuk membangunkan sebuah masjid di London dan menyediakan tabung masjid. Pada peringkat awalnya, hanya sebuah bilik kecil yang disewa dari rumah penduduk tempatan bagi kegunaan solat jumaat. Namun pada tahun 1926, Dana yang dikumpul semakin bertambah sehingga satu ‘Deed Of Declaration Of Trust’ diwujudkan.


Pada tahun 1940, tiga buah rumah telah dibeli di Commercial Road, London E1 dan diubah serta dijadikan sebagai sebuah masjid. Masjid ini telah dibuka secara resmi pada hari jumaat 1 Ogos 1941. Lt. Col Sir Hussain Suhrawardy, Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Tabung Masjid London, merupakan Pemegang Trustee pertama Islamic Cultural Centre and East London Mosque ini. Solat yang pertama di masjid ini telah diimamkan oleh Duta Arab Saudi iaitu Shaikh Hafiz Wahab pada hari tersebut.



Beberapa orang tokoh terkemuka telah dilantik bagi menguruskan tabung atau dana yang terkumpul, antaranya ialah Syed Ameer Ali, Privy Councill India yang pertama,Maharaja Aga Khan juga pernah berkhidmat sebagai Presiden Board Of Trustee seumur Hidup.Selain itu, Tokoh penterjemah al-Quran yang terkenal seperti Allahyarham Abdullah Yusuf Ali dan Muhammad Marmaduke Pickthall, juga merupakan pernah menjadi trustee bagi tabung masjid ini.




Pada tahun 1975, London Council membenarkan sebuah tapak sementara didirikan di Commercial Road sehinggalah bangunan baru dan kekal dibina di Whitechapel Road. Pada tahun 1982,kerja-kerja pembinaan mula dijalankan dan hasilnya pada tahun 1985, Jumaat 12hb Julai, sebuah masjid baru di Timur London telah mula digunakan untuk solat jumaat bagi pertama kalinya dengan diimamkan oleh Md. Sulaiman Jetha, yang juga merupakan Pengerusi kepada ‘the Council of Management of the East London Mosque, ‘ dan Imam di Masjid baru tersebut.
Selepas beberapa tahun, Masjid ini semakin dikunjungi ramai dan semakin padat dengan jemaah terutamanya pada setiap hari jumaat, bulan Ramadhan dan perayaan Aidil Fitri dan Adha, Usaha untuk memperluaskan ruang binaan masjid ini telah diajukan kepada pihak berkuasa British dan beberapa kempen serta melalui pungutan derma orang ramai. Hasilnya pada tahun 1999,Prince Charles dan putera Mohamed Al-Faisal dari Arab Saudi telah bersetuju untuk membangunkan London Muslim Centre pada tahun 2001. Kerja-kerja penambahan bangunan dilakukan dan pada bulan Jun 2004, bangunan baru London Muslim Centre bersebelahan masjid London East ini telah dibuka untuk operasi pentadbiran masjid dan komuniti islam setempat. Penambahan bangunan adalah berukuran lebih kurang 8300m2 sepertimana yang ada sekarang.






Masjid ini mampu menampung 4500 orang jemaah dalam satu masa.
Mempunyai dua ruang besar, sebuah galeri, ruang kelas dan bilik pejabat pentadbiran.Manakala penambahan yang dibuat di Muslim Centre pula menempatkan dua ruang serbaguna, bilik seminar, sebuah taman, ruang kelas pembelajaran, sebuah perpustakaan kecil, stesyen radio dan unit pejabat.

East London Mosque adalah masjid yang dipelopori oleh Muslim Bangladesh sebagai komuniti paling ramai di kawasan ini selain dari komuniti Muslim Somalia, banyak dipengaruhi oleh fahaman tradisi Deobandi. Masjid ini di dalam khutbah jumaatnya menggunakan tiga bahasa utama iaitu Bahasa Arab, Bahasa Bangladesh dan Bahasa Inggeris. Maka tidak hairanlah khutbahnya antara yang terpanjang disekitar London. Khutbah mula dibaca selepas azan Zohor jam 1.05 minit, selesai khutbah kedua pada jam 1.50 minit.Antara khutbah terpanjang yang pernah saya hadiri setakat ini. Khutbah tersebut dibacakan oleh Imam S.M. Abdul Qayyum yang juga menimamkan solat Jumaat. sepertimana biasa, sepanjang 1 jam di dalam masjid ini untuk mengerjakan solat jumaat, terasa tidak lagi berada di London, tetapi berada di timur, Bangladesh! kerana 98% adalah etnik Muslim Bangladeshi.

Kami juga berpeluang menunaikan solat jenazah sepasang suami istri etnik Bangladeshi yang meninggal akibat kemalangan jalan raya. Dalam perbincangan ringkas dengan Imam SM Qayyum, beliau amat teruja dengan kehadiran delegasi dari Malaysia. Beliau juga tidak asing dengan rakyat Malaysia kerana pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa beberapa tahun dahulu. Menurut beliau juga, pada tahun 2004, mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdullah Ahmad Badawi pernah melawat masjid ini.

Selesai solat jumaat dan solat jenazah serta berinteraksi dengan Imam SM Qayyum, kami bergerak perlahan menyusuri Whitechapel Road terdapat gerai-gerai Bangladesh disepanjang jalan sehingga stesyen tube Whitechapel berhadapan dengan East London Hospital. Tidak ada apa yang menarik sepanjang gerai ini kecuali hiruk pikuk etnik Bangladesh. Benarlah, hampir 4 jam disini terasa anda bukan berada di bumi England, tetapi Negara Bangladesh yang sejuk!


No comments:

Buku Peguam Syarie dan Litigasi Mal di Mahkamah Syariah

 Atas permintaan ramai buku Peguam Syarie dan Litigasi Mal di Mahkamah Syariah telah dibuat cetakan semula, semoga buku ini dapat membantu a...