5 Perkara ganjil di London, UK dan bandar-bandar besar lain di Barat;
Baru-baru ini sambil bersembang melepaskan kerinduan dengan anak-anak yang jauh di Malaysia, saya dilontarkan beberapa soalan yang agak sukar untuk dijawab, ianya bukanlah soalan yang susah atau rumit, tetapi agak sukar untuk dijelaskan kepada seorang anak kecil dengan bahasa yang mudah beliau fahami. Kebetulannya, acapkali bila anak perempuan saya menelefon, saya sedang berada di dalam bas, keretapi, dalam khemah, baca buku dan akhir sekali sedang minum air paip. Bila saya beritahu saya minum air paip, anak perempuan saya semakin kebingungan, katanya, “apa la papa ni, dulu tidur dalam khemah, pas tu naik bas, pas tu naik keretapi, sekarang ni minum air paip pulak, teruk sangat ke kat London tu pa?” … Saya hanya senyum sendirian. Dari perbualan dengan anak kecil saya itu, baru lah saya terfikir tentang beberapa perkara, dan sememangnya pelik bukan sahaja bagi seorang anak kecil, tetapi juga bagi orang yang dewasa seperti kita. Mungkin kita tahu jawapannya, tapi kita tidak sedar dan tidak mahu untuk menyelami hakikatnya. Menyedari hakikatnya, mungkin boleh mengubah cara berfikir kita. Cuba anda renungkan keadaan ini….
1) Sebagai seorang penjawat awam, atau pegawai biasa di Malaysia, atau setidak-tidaknya anda mungkin seorang penghuni rumah murah atau rumah setinggan di KL, anda sudah tentunya agak ralat untuk meneguk air paip dari pili tandas. Kalau ada pun mungkin dalam keadaan yang amat terdesak, itupun kalau boleh mungkin cuba dielakkan. Bukan kerana tahap kebersihan sahaja, tetapi juga kerana tabiat semulajadi hatta ingin membasuh tangan pun kadang-kadang kita sanggup beli air mineral botol besar, malah menyuci najis sekalipun. Bagaimana pun di Britain, minum air pili adalah suatu perkara biasa, malah ia lebih baik dari minum air mineral yang dijual dikedai-kedai. Itulah yang berlaku di Britain! Fakta menunjukkan bahawa air paip di UK adalah antara yang terbaik di dunia dan peraturan yang ketat dikenakan untuk memastikan kualiti air menepati piawaian seperti yang digariskan 'Drinking Water Directive' yang dinaungi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Air di UK menepati 99.96 peratus piawaian yang telah ditetapkan. masyarakat UK mengambil berat tentang kualiti air minuman, hal ini didebatkan sehingga ke Parlimen Britain.Setiausaha Parlimen Alam Sekitar, Makanan dan Hubungan Luar Bandar Britain member jaminan bahawa penguatkuasaan undang-undang yang ketat dilaksanakan bagi memastikan air disalurkan kepada pengguna dengan menepati Peraturan Kualiti Air dan selamat diminum terus dari paip yang disalurkan kerumah.
Walaupun agak skeptical dengan fakta tersebut, tapi itulah realitinya di UK. Malah air mineral yang dijual dikedai itu dikatakan kurang bermutu kerana walaupun proses penyulingannya adalah hampir sama, air yang dibotolkan mungkin sudah lama, berbeza dengan air paip yang dikatakan lebih ‘fresh’ dan bersih. Fakta lain mengenai air di UK ialah, seluruh Kota London bergantung kepada bekalan air dari sungai Thames yang dirawat, jika anda lihat air sungai Thames, saya percaya anda mungkin tak jadi meneguk air paip tersebut, tapi memikirkan harganya sebotol GBP1.20, adalah jauh lebih baik menelan air paip dari minum air proses, bukan saja lebih selamat tapi lebih mudah dan percuma!
2) Di Malaysia, sebagai seorang pegawai kanan, anda mungkin menghadiri mesyuarat, membeli belah, pergi pasar, out station dan sebagainya dengan menggunakan kenderaan sendiri. Malah anda mungkin mempunyai khidmat pemandu. Kenderaannya kalau tidak mewah sekali pun, mungkin kenderaan yang baru dan bersih serta sentiasa berkilat. Tapi lupakan itu semua di UK. Menggunakan kenderaan sendiri di London adalah sesuatu yang amat menyeksakan dan paling penting, anda sering terlewat jika ada temu janji! Memandu di kota London tidak sama dengan memandu di KL, anda perlu mematuhi undang-undang lalulintas, paling penting kenderaan hanya boleh dipandu tak lebih dari 10 batu sejam. Fakta menunjukkan seawal tahun 1900an di London, kenderaan hanya boleh bergerak selaju 9 batu sejam, ini bermakna hanya 1 batu sahaja lebih laju sejak lebih seratus tahun dahulu! Maka tidak hairanlah masyarakat di Britain dari pelbagai golongan terutamanya yang tinggal di London lebih gemar menggunakan kenderaan awam seperti bas dan keretapi. Kenderaan awam di London adalah antara pengangkutan awam yang tercekap di dunia. Anda hanya perlu mengambil masa beberapa minit untuk mendapatkan tube (keretapi) atau bas untuk sesuatu destinasi di sekitar London berbanding memakan masa yang lama untuk melepasi trafik jam dengan berkenderaan sendiri. Kebanyakan pekerja kolar putih menggunakan kenderaan awam lebih daripada menggunakan kenderaan sendiri, malah ada diantara ahli parlimen Britain yang tidak mempunyai kenderaan sendiri!.
Lawatan ke tempat-tempat tertentu stermasuklah secara resmi juga kebanyakannya menggunakan kenderaan awam. Amat jarang mereka menyediakan kenderaan resmi walaupun berurusan dengan pejabat kerajaan. Keadaan ini berlaku mungkin disebabkan factor kesesakan selain dari kecanggihan dan kecekapan perkhidmatan awam mereka. Penggunaan kenderaan awam seperti bas dan keretapi adalah menjadi pilihan utama rakyat Britain termasuk golongan professional seperti peguam, doctor, arkitek, pegawai kerajaan dan sebagainya.
Apa yang menjadi jenaka ialah, keretapi di Britain lebih dikenali dengan tube (tiub). Bezanya dengan keretapi atau LRT di Malaysia, di UK menggunakan tube, dan tidak di Malaysia, (tubeless).??!
3) Di Malaysia, jika anda berhasrat untuk melancong, beriadah atau melawat tempat-tempat menarik, sudah pasti anda akan menempah bilik hotel, hostel, resort atau sebagainya, kalau tidak mahal sekali pun, cukup sekadar anda boleh tidur nyenyak sehingga keesokan paginya. Di Britain dan sebahagian besar Negara-negara Eropah, terutamanya yang berbajet rendah, mereka tidak perlu menempah bilik hotel atau resort, meskipun anda bercuti bersama keluarga, anda hanya perlu mendapatkan sebuah caravan, atau khemah yang sesuai dan percutian anda nyata lebih seronok daripada biasa!. Ianya bukan semata-mata disebabkan bajet yang murah, tetapi keseronokan dan cabaran adalah menjadi pilihan kebanyakan orang-orang barat. Kerana itulah kebanyakan kenderaan di sini mempunyai bar penyangkut di bahagian belakang kenderaan mereka bagi memudahkan mereka menarik caravan atau sebagainya. Jika anda tidur dalam caravan seperti ini di KL, atau di hutan lipur, saya pasti besoknya anda akan balik berjalan kaki kerana mungkin akan di samun! Kalau nak kepastian, anda tak perlu tunggu untuk bercuti di Genting atau Cameron Highland, cubalah anda tidur dalam kereta di tepi highway ...
4) Kita seringkali melihat orang membaca di Malaysia bila kita berada di khutubkhanah, kedai buku dan kedai akhbar, paling banyak pun bila beradadi persekitaran pusat-pusat pengajian tinggi, jika tidak, amat jarang kita melihat orang membaca. Di UK budaya membaca sudah tertanam sejak ratusan tahun dahulu. Maka tidak hairanlah jika disini orang ramai membaca sambil membuat sesuatu seperti menunggu bas, menunggu tube, atau di atas bas dan tube, malah ada yang membaca buku dan akhbar sambil berjalan!. Budaya membaca mungkin sudah berubah di Malaysia. Beberapa tahun dahulu kita dapati sudah ada terutamanya golongan remaja menjadikan membaca buku sebagai satu budaya di Malaysia tetapi jumlahnya adalah amat kurang, tetapi perbezaanya adalah amat ketara di sini, semua golongan termasuk anak kecil yang baru pandai membaca sehinggalah kepada orang-orang tua yang sudah lanjut usia menghabiskan masa mereka dengan membaca. Tabiat ini boleh dilihat di merata tempat terutamanya di musim panas. Mereka berkumpul di padang-padang sambil berbaring dan ironiknya, mereka bukan hanya berborak kosong, kebanyakannya memegang buku!
Di Malaysia,agak sukar untuk melihat orang ramai membaca sambil melakukan sesuatu, walaupun berada di pekan buku. Bukan kerana budaya membaca itu tidak wujud, tetapi mungkin bukunya agak akademik, kalau tidak pun harganya mahal, malah bukunya pun mungkin kurang bagus. Di UK beberapa akhbar seperti London Lite, Metro, The Londonpaper, Muslim News, Alpha News, termasuklah akhbar untuk Negara asing seperti The South African News, The Sun (Poland) dan sebagainya diberi dan diedarkan secara percuma kepada semua warga Britain. Pengedaran akhbar percuma ini langsung tidak menjejaskan rating akhbar berbayar di Negara tersebut. Pengedaran akhbar secara percuma setidak-tidaknya melahirkan warga yang suka membaca dan berilmu. Di Malaysia, jangan haraplah dapat akhbar percuma, kalau ada pun mungkin risalah along!. Tapi cuba lihat kesannya, risalah along yang percuma itu diguna secara maksimum oleh rakyat Malaysia, termasuk oleh sebahagian selebriti kita, mereka juga mungkin antara yang suka membaca!
5) Jika anda bersiar-siar di Kota London, 3 dari 5 orang yang anda temui pasti memegang buku ditangan mereka, paling tidak pun mereka membawa peta! Di Uk, Syarikat yang menjalankan pengangkutan awam seperti bas, keretapi, trem, teksi dan sebagainya menyediakan peta dan jadual laluan perkhidmatan mereka. Peta laluan itu adalah yang dilulus dan disahkan oleh Datuk Bandar. Selain itu Datuk Bandar London juga mengeluarkan peta kota London dari masa ke semasa selain dari yang diterbitkan oleh pihak-pihak tertentu. Jadi, penggunaan peta di kota London dan sebahagian besar Bandar-bandar di Eropah adalah suatu kemestian, kerana anda mungkin sukar untuk mendapatkan bantuan dari seseorang, mungkin kerana masalah bahasa atau mereka juga tidak pasti destinasi yang anda tuju. Keadaan ini bukanlah sesuatu yang mustahil atau pelik disini, sistem jalanraya, lorong-lorong kecil dan penyusunan Bandar diatur secara strategic sejak beratus tahun dahulu, maka tidak hairanlah penggunaan peta boleh membantu orang ramai menuju ke destinasi dengan tepat dan pantas tanpa bantuan juru pandu atau orang lain, sesuatu yang agak sukar dilakukan di Malaysia. Setidak-tidaknya, anda mungkin akan diketawakan orang jika membuka peta besar di tengah-tengah Bandaraya KL untuk mencari jalan ke Central Market atau Petronas Twin Tower, Cuba lakukan di Malaysia tanpa mendapat bantuan atau pandu arah dari seseorang, saya cabar anda mungkin tak mampu melakukannya, bukan kerana tidak boleh, tapi budayanya memang begitu.
Demikianlah 5 perkara pelik yang sering dialami di London, UK atau Bandar-bandar besar di Barat. Sesekali saya tersenyum mengingatkan soalan anak perempuan saya, Papa naik bas? Papa tidur dalam khemah? Papa minum air paip? Dan sebagainya….
Soalan tersebut adalah lahir dari sesuatu yang dirasakan pelik bagi seorang anak yang melihat bapanya melakukan sesuatu yang berbeza dari kacamata biasa pandangannya. Tidaklah hendak menyatakan lontaran soalan itu dari anak yang genius, tetapi itulah sebenarnya ilmu yang diperolehi sepanjang di UK dan mengembara ke Negara Eropah lain. Ianya tidak diperolehi di dalam kelas, atau melalui media, tetapi melalui pengalaman dan pengamatan, dan kadang-kadang, ianya datang dari cetusan orang yang tak mengerti apa-apa seperti dari anak perempuan saya….
No comments:
Post a Comment