Saturday, August 15, 2009

Merdeka Carnival 2009 di Brickendonbury; Ramahnya Rakyat Malaysia di United Kingdom...






Merdeka carnival 2009 di Brickendonbury, Hertford

Brickendonbury, The Tun Abdul Razak Research Centre





Hari ini 15hb Ogos 2009, satu Karnival tahunan kemerdekaan Malaysia diadakan di Brickendonbury, Hertford. Karnival Merdeka ini adalah satu acara tahunan yang dianjurkan oleh Malaysian Community di United Kingdom dan The High Commision of Malaysia in United Kingdom.

Brickendonbury, Hertford adalah agak jauh jika hendak dihitung dari tempat tinggal kami di Brentford. Bagaimanapun, memikirkan Rakyat malaysia yang lain mengambil masa 4-6 jam perjalanan ke sana semata-mata memeriahkan sambutan kemerdekaan Malaysia, dan adalah lebih patriotik bagi kami sebagai kakitangan kerajaan, kami mengambil keputusan untuk hadir juga ke sana walaupun jaraknya agak jauh. bagaimanapun, tidak semua dari 15 peserta dari grup kami yang dapat hadir memandangkan bas yang disediakan hanya mampu menyediakan 10 tempat duduk sahaja untuk kumpulan kami. Oleh kerana jarak yang jauh, iaitu lebih kurang 2 jam perjalanan dari Brentford, kami dengan kerjasama kelab Melayu Malaysia yang berpusat di Clapton, Hackney, menaiki bas yang ditempah khas bagi membawa kami ke Brickendonbury, yang mana perjalanan kesana mengambil masa lebih kurang satu jam lagi dari Hackney.

Kami pada awalnya bertolak dari Brentford seawal jam 7.00am menaiki tube di setesyen Briston Manor. Perjalanan menaiki tube melalui picadilly line mengambil masa selama 1 jam sebelum tiba di Manor House. Dari Manor House, kami menaiki bas no 354 menuju ke Clapton, iaitu kelab Melayu Malaysia di Cricket Road yang mana bas dijadualkan menunggu kami di sana. Setibanya di Cricket Road, mungkin masih terlalu awal, bas yang masih belum tiba memberikan kami peluang sementara untuk berehat dan santai di rumah kelab Melayu dan bersembang-sembang dengan ahli kelab lebih kurang 20 minit sebelum bas yang dijanjikan tiba. Kami mula bertolak dari Cricket Road menuju ke Brickendonbury lebih kurang jam 9.30 pagi. Perjalanan ke sana agak jauh juga dan melalui perkampungan di utara London. Pemandangan perkampungan yang cantik dan agak mengasyikkan menjadikan perjalanan yang mengambil masa satu jam terasa begitu cepat tiba ke destinasinya. Kami tiba di Tun Abdul Razak Research Centre di Brickendonbury lebih kurang jam 10.30am dan kelihatan sudah ramai pengunjung yang kebanyakannya terdiri dari rakyat Malaysia yang menetap dan tinggal di serata England sudah mulai ramai berkumpul.






Tun Abdul Razak Research Centre (TARRC) ini merangkumi sebuah kawasan lapang yang dikelilingi bukit dan padang serta lanskap yang amat menarik. Satu kawasan dengan keluasan lebih kurang 36 ekar, dipenuhi dengan pelbagai pokok hutan yang rimbun dan padang rumput yang luas dengan lanskap yang bersih dan terjaga rapi amat menarik pandangan kami. TARRC ini pernah pada satu masa dahulu diwar-warkan untuk dijadikan sebagai kompleks sukan bagi melatih atlit sukan Malaysia di London, bagaimanapun kerana beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan, perancangan kompleks itu dikatakan dibatalkan.

TARRC ini mempunyai sejarahnya yang tersendiri sebelum ianya dimiliki oleh Malaysian Rubber Board, iaitu pusat penyelidikan getah Malaysia semenjak tahun 1974 dan diresmikan oleh Perdamna Menteri Malaysia waktu itu, Tun Hussein Onn pada tahun 1977. Kawasan ini sebenarnya mempunyai sejarah yang panjang sebelum ianya dijadikan sebagai Pusat penyelidikan Tun Abdul Razak iaitu sejak zaman saxon (300 AD) lagi. Pada asalnya kawasan yang berbukit dipersekitaran tersebut dikatakan dimiliki oleh orang-orang Saxon, Brica. Manakala perkataan ‘Don’pula bermaksud bukit. Perkataan ‘bury’ pula telah ditambah pada zaman medieval yang merujuk kepada sebuah rumah bangsawan; maka perkataan ‘Brickendonbury’ membawa maksud sebuah rumah milik bangsawan yang dikelilingi oleh bukit Brica. Kedudukannya ialah memanjang menyelusuri sungai Lea ke utara.

Pada tahun 1016, hartanah ini dimiliki oleh Waltham Abbey, dan seterusnya oleh Edward The Confessor pada tahun 1062 dan juga oleh Harold II sebelum berlakunya Penaklukan Norman pada tahun 1066.


Estate ini kemudiannya bertukar tangan dari masa ke semasa . Pada tahun 1542, ianya dimiliki oleh Thomas Knighton dari Little Bradbury, selanjutnya berpindah milik kepada Edmond Allen pada tahun 1588 sebelum dijual kepada Stephen Soame (Soames) dan anaknya William, dari Suffolk, sebanyak £1000. Pada tahun 1682, Edward Clarke, seorang pedagang yang Berjaya, telah membeli tanah tersebut dari keluarga Soames'. Beliau adalah seoarang pedagang yang memiliki rangkaian perniagaan Merchants Taylors sekitar tahun 1690-1691 sebelum dilantik sebagai Datuk Bandar London pada tahun 1696. Selepas Sir Edward Clarke meninggal pada tahun 1703, estet tersebut berpindah milik kepada anak perempuannya Jane Morgan. Keluarga Morgan terakhir yang tinggal di Brickendonbury adalah George Gould Morgan yang meninggal di situ pada tahun 1845. Rumah ini kemudiannya disewa oleh Russel Ellice, yang meninggal pada tahun 1873 di Brickendonbury. Ellice adalah Ketua syarikat perdagangan British yang terkenal waktu itu iaitu British East India Company. Syarikat ini menjalankan perusahaan perladangan dan pertanian terutamanya di Asia Tenggara. Seorang Peniaga dari Nottingham bernama Charles Grey Hill, kemudian membeli tanah tersebut dari Morgan, bagaimana pun sebelum sempat rumah itu dibaik pulih dan diduduki, beliau terlebih dahulu meninggal dunia . Pada tahun 1893, tanah itu kemudiannya dibeli oleh George Pearson dengan nilai yang semakin bertambah iaitu £ 30.000;

George Pearson kemudiannya meninggal pada tahun 1902 dan rumah itu diserahkan kepada Sir Edward, seorang jurutera dan juga seorang jaksa Pendamai di Hertfordshire dan merupakan High Sheriff for the County pada tahun 1909. Dia juga merupakan Datuk Bandar kepada Hertford. Pada tahun 1930an, sewaktu era perang dunia pertama 1939-1945, rumah ini telah dikosongkan dan agak terbiar. Sebahagian bangunannya telah rosak dan binasa sebelum dibaiki semula pada tahun 1971 dan dijadikan sebagai pusat penyelidikan getah oleh kerajaan Malaysia dengan nama Tun Abdul Razak Research Centre. Pusat tersebut telah diresmikan oleh Perdana Menteri Malaysia waktu itu Tun Hussein Onn. Sehingga kini, ianya masih menjadi hak milik TARRC dan menjadi lokasi Karnival Merdeka pada setiap tahun bermula sejak beberapa tahun yang lalu. Demikianlah sejarah panjang mengenai Brickendonbury ini yang dapat direngkaskan.
Brickendonbury ini sekarang merupakan kawasan yang menjadi kemegahan rakyat Malaysia, dengan kawasan yang luas dan lapang, lanskap yang menarik dan dipenuhi pokok-pokok yang terjaga rapi, adalah suatu tempat yang amat sesuai dan selesa sebagai tempat pertemuan rakyat Malaysia di seluruh England, dan mungkin kerana itulah juga kawasan ini menjadi pilihan penganjur walaupun ianya agak jauh dari Kota London dan agak tersembunyi dan tersorok dari keriuhan dunia luar.



Sejak dari jam 9.00am lagi, pengunjung telah mula memenuhi kawasan ini. Dianggarkan antara 500-1500 pengunjung telah datang dalam satu-satu masa. Kebanyakan pengunjung adalah terdiri dari semua lapisan masyarakat Malaysia yang pelbagai bangsa. Mereka datang dengan membawa keluarga dan rakan taulan termasuklah masyarakat tempatan yang turut memeriahkan carnival. Selain dari dihiburkan oleh persembahan kebudayaan yang pelbagai dari semua ras dan etnik oleh masyarakat Malaysia disini, Syawal AF juga didatangkan khusus oleh Malaysian Airline System untuk menghiburkan orang ramai. Pengunjung yang hadir boleh menjamu selera di 24 gerai yang telah disediakan dengan pelbagai juadah makanan Malaysia yang lazat-lazat selain dari bersantai di kawasan yang terbuka menghadap ke pentas persembahan. Mereka siap membawa alas untuk rehat seperti tikar, tuala bahkan kerusi lipat termasuk mejanya sekali dan ada yang memasang khemah. Kami sempat beberapa kali mengelilingi kawasan carnival, mungkin 7-9 kali dalam kesesakan orang ramai yang berpusu-pusu disitu. Ianya tidak menghairankan kerana satu suasana yang amat seronok dan membanggakan apabila berjumpa rakyat Malaysia yang peramah. Biarpun kami tak pernah bersua sebelum ini, setiap orang saling menyapa sesama sendiri dan sentiasa tersenyum. Cukup mudah untuk berkenalan dan mendapat kawan, anda hanya perlu memandang, melemparkan senyuman, dan saling bertukar bussines card, anda mampu mendapatkan 20 orang rakan baru dalam masa hanya beberapa jam. Masyarakat Malaysia yang peramah dan mesra. Sesuatu yang mungkin tidak berlaku di bumi asal Malaysia, walaupun oleh orang yang sama!. Aneh bukan?






tak nampak pula kelibat Tn Professor kali ni, mana dia ye, sihat kah dia?


Karnival sehari ini diresmikan oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom dan Ireland, Dato’ Abdul Aziz Mohammed dan berakhir pada jam 6.00 petang. Beberapa ketika sebelum carnival ini tamat, kami sempat mencuri peluang untuk berjumpa dengan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia dan Timbalannya Dato’ Rostam Yahya. Ternyata beliau masih ingat dan cam kami yang pernah bertandang ke ofisnya, di Malaysian Hiccom pada 19hb Jun yang lalu.

Ybhg Dato' Rustam menyampaikan kata alu-aluan

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom dan Eire, TYT Datuk Abdul Aziz Mohammed sewaktu ucapan meresmikan Karnival Merdeka


Kami bertolak pulang ke Thames Valley University lebih kurang jam 5.00 petang dan tiba di bilik hostel seawal jam 7.00 petang, setelah seharian di Brickendonbury, sempat juga merebahkan badan sementara menunggu solat maghrib sambil termenung mengenangkan keramahan rakyat Malaysia di UK, saya tersenyum sendirian . Dalam hati berbisik, kalau jumpa kat pasar malam Bangi, mahu ke dia orang ni pandang aku?…… Ya, budaya kita amat unik…

2 comments:

suratman said...

Nastolgia di Brickendonbury 1997. Selamat sejahtera.

Anonymous said...

kalau kat msia... pangkat dan darjat serta title penting.. takde nak beramah nak borak sgt...
kat sini aja..

Buku Peguam Syarie dan Litigasi Mal di Mahkamah Syariah

 Atas permintaan ramai buku Peguam Syarie dan Litigasi Mal di Mahkamah Syariah telah dibuat cetakan semula, semoga buku ini dapat membantu a...