Sunday, August 23, 2009

Setelah 80 hari; Terkenang Kembali Kata-kata Dato' KP...

Salam,

Hari ini lebih kurang 84 hari aku berada di bumi Eropah khususnya England. Tinggal beberapa hari saja lagi untuk kami berangkat pulang ke Malaysia. Sebagai Ketua Delegasi yang diamanahkan oleh Ketua Pengarah JAKIM, banyak amanah dan tanggunjawab yang menjadi satu beban untuk kupikul sehingga misi ini selesai. Hadir ke bumi England ini sebagai peserta kursus dan mengendalikan perkara-perkara sampingan bunyinya amat mudah sebagai seorang ketua.

Sekali imbas, tugasku hanyalah sebagai perantara antara dua pihak jika kami berurusan, mengetuai segala urusan rasmi dan ketua kelas, atau jika ada sakit demam, mungkin ketualah yang akan uruskan masalah-masalah yang timbul. Itu adalah sangkaanku sebelum ini. Hakikatnya , sebagai ketua delegasi kali ini, segala beban itu ternyatalah perlu dipikul sebaik mungkin tanpa ada berat ringan atau pilih kasih antara sesama peserta. Tetapi rupanya banyak perkara lain yang tidak terjangka, sedikit sebanyak memberi kesan dan menyusutkan fikiran. Ditambah berita anak-anak di Malaysia yang sering sakit dan beberapa kali keluar masuk hospital, dua kali kemalangan yang melibatkan isteri dan kerosakan teruk kenderaan, ibu yang sering jatuh sakit di kampung dan bebanan kes tertangguh yang tak dapat diselesaikan sehingga aku kembali ke Malaysia, sedikit sebanyak kerap mengganggu emosi.

Menjadi ketua kepada delegasi pegawai-pegawai kanan adalah mudah jika mereka bersikap professional. Caranya pasti berbeza berbanding peserta kursus atau pelajar biasa. Bagaimanapun, itu terpulang diatas peserta sendiri menilai siapa diri mereka. Jika kehadiran mereka ke Eropah ini sebagai pelajar, maka tindakan, sikap dan perilaku juga sebagai pelajar, jika mereka hadir dengan anggapan mereka adalah pegawai kanan jabatan, maka mereka akan bertindak sebagai seorang pegawai kanan jabatan, meskipun pada hari minggu, jika mereka rasakan mereka adalah pegawai kerajaan yang berkursus, mereka hanya hadir kelas dan enjoy sakan selepas tamat program, ada juga yang semata-mata mengambil peluang hadir ke sini untuk menerokai setiap sudut bumi England beraksi sebagai pengembara dan banyak lagi terpulang kepada persepsi masing-masing. Wah, jka melihatkan situasi ini, anda tentu faham, betapa sukar untuk mengatur mereka!

Ternyata 90 hari disini banyak merungkai pengalaman baik dan buruk. Warna-warna kehidupan yang pelbagai, sikap yang bermacam-macam dan pasti sekali mudah untuk menilai seseorang. Terkenang kembali kata-kata Ybhg Datuk Wan, "Mengembara dapat mengenali siapa sebenarnya kawan dan lawan….." Benar sekali.

Mengingati kembali rona-rona yang dilalui, antara pengalaman pahit yang ditempuhi ialah beberapa ketika sebelum kami bertandang kesini.

Dua minggu sebelum ke London, surat tawaranku dibatalkan oleh JPA kerana sesuatu sebab yang tak dapat dielakkan. Bagaimanapun, atas nasihat dan bantuan pegawai bahagian latihan JAKIM, penyertaanku akhirnya dibenarkan disaat-saat akhir, kalau tak silap, dua hari sebelum kami berlepas. Bayangkan bagaimana persediaan fizikal dan mentalku….

Seminggu sebelum itu, dalam keadaan penyertaanku sendiri masih belum ketentuan, isu visa menyelubungi peserta kami. Turun naik pejabat VFS di Kuala Lumpur , uruskan surat sumpah dan sebagainya, kos, masa dan penangguhan kes saat-saat akhir terpaksa ditanggung bersendirian…. Antara tindakan tegas yang diambil waktu itu ialah, teruskan ke London tanpa mempedulikan isu visa, apa nak jadi, jadilah…Alhamdulillah, tindakan itu sesuatu yang tepat dan kehadiran kami tidak melalui apa-apa rintangan. Terfikir juga, mungkin masalah Visa sebenarnya ruang dan peluang yang dianugerahkan Allah untuk memberikan peluang aku bersama-sama dengan kumpulan ini… Jika tanpa masalah Visa, aku sebenarnya patut melupakan kehadiran ke London ini, Mengimbau kembali keadaan itu, jika tidak silap perkiraanku, tarikh sebenar kehadiran kami ke London ini dijadualkan pada 25hb Mei 2009. Penerbangan ke London ditangguhkan ekoran masalah Visa kepada 1hb Jun 2009. Ybhg Ketua Pengarah JPA pula meluluskan penyertaanku pada 28hb Mei 2009. Ternyata isu Visa memberikan aku peluang untuk bersama-sama menyertai program ini, sesuatu yang telah disusun jadualnya oleh Allah swt yang maha mengetahui, sudah pasti ianya banyak mengandungi hikmah….

Ketibaan kami di London disambut mesra oleh Pengetua Muslim Kolej. Satu seminggu di London memberikan kami kesempatan untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran. Masalah bermula apabila kami terpaksa mengikuti trip ke Eropah, suatu trip yang terpaksa kami ikuti walaupun tidak punyai masa untuk menelitinya. Sesungguhnya trip ke Eropah sesuatu yang amat bermakna dan cukup banyak faedah kepada kami, tetapi ruang untuk membuat pilihan dan percaturan sendiri seharusnya hendaklah diberi, terutama faktor kewangan dan kesesuaian waktu. Hasilnya kami telah ditegur oleh pihak MSD dan aku menjadi sasarannya!, Malangnya kawan-kawan tidak memberi sokongan moral waktu itu. Tak apalah, mungkin ini pengalaman pertama. Alhamdulillah, isu itu diuruskan dengan baik secara sendirian dengan En Adib.

Beberapa hari kemudian, kerana pembatalan suatu majlis, Aku juga jadi sasaran kemarahan. Anda boleh lihat wajah tampan ini dua kali kemerahan dalam tempoh yang singkat apabila ditegur dan dimarahi di hadapan peserta secara terbuka. Terfikir juga, Kenapa kawan-kawan tak pertahankan keadaan ini, dan kenapa aku pulak yang jadi sasaran. Mungkin inilah tugasku…aku pasrah. Bagaimanapun, dua isu ini adalah bukan masalah kumpulan, dan aku tetap akan pertahankan nama baik kumpulan ini.

Bagaimanapun, bila timbulnya masalah dalaman, ia benar-benar mencabar kesabaran. Isu penempatan, bilik penginapan di TVU hanya dikhususkan untuk peserta, bukan untuk keluarga. Masalah timbul bila peserta membawa keluarga. Pening kepala memikirkan keadaan ini. Alhamdulillah,semuanya diselesaikan dengan baik. Bila disiasat dan setelah perbincangan diadakan, sebenarnya tak ada apa pun… So siapa pula yang membesarkan isu ini? Kawan-kawan yang lain juga membawa peserta, tak ada apa-apa pun…Maknanya dikalangan kami ada tukang lapor yang tidak memberikan maklumat yang tepat. Ada lagi, juga pasal penginapan. Setibanya di London, kami ditempatkan di TVU. Malangnya penginapan kami secara rawak dan berselerak. Kami sepakat untuk usahakan semua peserta dapat tinggal bersama di satu level atau aras, memudahkan segala urusan dan muafakat . Apabila urusan bilik dan penempatan diperolehi dan semua peserta diberi peluang tinggal di satu level, ada pula yang buat dajal enggan berpindah dengan berbakul alasan diberikan. Alhamdulillah, pihak TVU tidak mengambil serius hal tersebut dan ianya dapat diatasi bila akhirnya semua peserta sanggup berpindah. Isu ini mudah, tapi sebenarnya ia mencabar kewibawaan. Allah lah yang tahu bagaimana nak pujuk beruang supaya tinggalkan madu. Lebih teruk lagi, jika beruang itu berfikir bahawa dirinya adalah singa...

Sebagai ketua juga, aku sering dihadapkan dengan pelbagai komen, saranan dan teguran lain yang tak berapa seronok untuk didengar, terutamanya oleh pensyarah dan pengetua Kolej. Antaranya ketepatan waktu, masuk kelas lewat, telefon dalam kelas, tak ikut program, buat hal sendiri, tak ikut kumpulan dan pelbagai lagi. Malangnya teguran itu dibuat kepada ketua kumpulan, bukan kepada peserta. Dah memang menjadi tugasku, maka semua ini harus ku pikul. Masalahnya, aku tak tahu bagaimana nak sampaikan kepada mereka secara khusus?. Semua peserta adalah pegawai kanan jabatan masing-masing. Seharusnya mereka bersikap profesional dan hadir kesini sebagai wakil jabatan. Bukan sebagai pelajar atau penuntut diploma. Mereka seharusnya faham dan menjaga etika masing-masing. Yang susahnya, bila mereka fikir mereka adalah pegawai kanan, mereka sukar ditegur dan mempertikaikan teguran tersebut. Apa pun aku hanya menyampaikan sahaja. Mungkin mereka salah faham dan menjangka semua teguran itu adalah hanya semata aku menjadi ketua!

Kadang-kadang, tidak tahan dengan teguran yang berterusan dari pihak tertentu, aku bertindak keras dan tegas. Kata-kata keras ditujukan kepada semua peserta. Mungkin itu sahaja yang patut aku lakukan kerana sukar untuk menjaga orang yang ada prinsip sendiri. Secara lembut, mereka memberikan pelbagai alasan, dah lah tak ikut, diulanginya lagi perbuatan yang sama. So, teguran keras adalah sesuatu yang patut dan aku tak perlu fikir lagi akan risikonya. Sapa buat, sapa tak buat, semua terima. Lump sum! Kebanyakan peserta mungkin terasa hati ditegur secara keras. Tapi mereka mungkin tidak sedar apa yang mereka telah lakukan sebenarnya tidak disenangi oleh pihak Kolej. Mungkin kesilapanku ialah tidak berterus terang dengan mereka. Apa pun, mereka adalah professional, mereka sebenarnya patut tahu, itu tak sepatutnya mereka lakukan, dimana-mana sahaja, termasuk Malaysia.

Terakhir, aku juga tidak mendapat sokongan terutamanya bila kena buat kerja. Alhamdulillah, semua memberi komitmen yang padu bila mesyuarat dan bercakap. Semua beri cadangan yang hebat-hebat. Tabik pada semua peserta. Tapi ternyata, bercakap hebat itu tidak semestinya kerja juga hebat. Akhirnya aku sendirian terpaksa buat kerja-kerja yang sepatutnya kami kongsi bersama. Terima kasih Hazlin dan berberapa kawan lain yang faham keadaan ini.

Ah, itu hanyalah sebahagian rentetan kecil pengalaman yang tak sedap didengar sepanjang disini. Apa pun, kita kena muhasabah diri sendiri. Dalam tubuh kita terdapat urat yang mana aliran darahnya baik dan buruk. Urat darah itu mengalir ke ubun-ubun. Jika baik darah itu maka ia memberikan maklumat, makrifat dan manafaat yang amat banyak pada tuannya, maka banyaklah perkara positif yang mereka terima. jika yang mengalir urat darah itu sesuatu yang buruk, maka ianya akan meracuni minda dan fikiran masing-masing. Maka tidak adalah sebarang kebaikan yang diperolehi dari program ini, kerana kesudahannya adalah negative bagi mereka. Apa pun, baik buruk itu bukanlah penilaian daripada orang lain, tetapi terpulang di atas penilaian kita sendiri. Dan, penilaian kita sudah semestinya berbeza dengan pandangan orang lain, Harus diingat, biru kata kita, hijau kata orang, jika semua kata hijau, terimalah yang biru sebagai hijau, ianya mungkin sukar pada kita, tapi sekurang-kurangnya menyelamatkan komuniti kita dari berpecah, sehinggalah semua orang menukar fikiran mereka kepada biru. Itu satu pengalaman yang diperolehi disini. Dan ianya bukan sahaja kepada kumpulan kecil mengikuti program kursus ini, tetapi juga seluruh komuniti Muslim di bumi England ini. Mereka gagal menjadi komuniti yang kuat hanya kerana masing-masing ada pendapat tersendiri, lebih teruk lagi, masing-masing mahu menjadi ketua. Maka kita lihat di atasnya ada Hizbul Tahrir, di bawahnya ada muhajirun, ada neobandi, ada ikut etnik dan pelbagai lagi. Malangnya .....

"Seekor lalat, tak semestinya hinggap di makanan, tetapi sekawan langau, sudah pasti menghurung bangkai…." maka ikutlah kata ramai, kita tak mungkin silap. dan kalau ada pun, peluangnya adalah amat sikit, kerana dalam komuniti yang ramai akan ada yang akan memperbetulkan kesilapan itu...
Ya, apa pun, tahniah kepada semua peserta kerana dah konvo 21 Ogos yang lalu. Alhamdulillah, semua dah selesai dan kami bersiap-siap untuk packing barang. Banyak gak yang kena pikul bawa balik ke Malaysia nanti. Apa-apa hal pun, anda teruskanlah kerjaya anda sebaik pulang nanti. Anda adalah yang terbaik pada pandangan mata saya. Yang buruk itu hanya akan menjadi rahsia peribadi saya dan tak akan saya sampaikan walaupun pada anda sendiri. Jika anda faham, ubahlah persepsi, jika tidak, ianya tidak merugikan kami.
Komen-komen keras dari Pengetua Kolej, Dari MSD dan dari beberapa orang tertentu hanya akan menjadi rahsia peribadi saya. Cukup banyak saya mengenali peribadi anda sekelian sepertimana anda mengenali peribadi saya selepas 90 hari kita berkampung disini. Maaf jika kerana nak menyampaikan perkara itu kepada anda sekalian, menyebabkan anda kecil hati, mungkin bahasa saya tidak begitu baik....

No comments:

Buku Peguam Syarie dan Litigasi Mal di Mahkamah Syariah

 Atas permintaan ramai buku Peguam Syarie dan Litigasi Mal di Mahkamah Syariah telah dibuat cetakan semula, semoga buku ini dapat membantu a...