Sunday, August 2, 2009

Kunjungan ukhuwah ke rumah Bro Azhar, di Brook Road, Neasden



petang tadi, jam 4.15pm, 2hb Ogos 2009, kami berempat iaitu Bro Zaki, Khawi, Ustaz Ramly dan aku naik bas dari TVU Hostel menuju ke Neasden, rumah Tuan Haji Salleh bin Mat Jusoh kerana mendapat pelawaan daripada beliau suami isteri dan En Azhar suami isteri (mereka tinggal bersama satu rumah, keluarga Tn Hj Salleh menyewa rumah en Azhar di Brook Road, London). Melalui tn haji Salleh, Kami dijemput hadir kerumah En azhar kerana beliau menyediakan makan malam khusus untuk kami. Kami juga dijemput mengadakan solat hajat, bacaan yassin, tahlil dan doa selamat. Sebenarnya jemputan ini ditujukan kepada semua peserta dari grup kami seramai 15 orang, bagaimanapun beberapa orang dari kami tak dapat hadir bersama kerana beberapa sebab.

Kami bertolak dari TVU jam kurang lebih 2.30 pm menaiki bas ke Ealing Broadway. Dari Ealing Broadway, kami mengambil bas 112 menuju ke Brent Cross. Sebetulnya Brook Road terletak lebih kurang 1/3 batu dari Brent Cross, tapi memandangkan masa masih awal, kami memutuskan untuk terus ke Brent Cross dan singgah di pasaraya terbesar di sana yang terletak betul-betul di hentian terakhir Brent Cross. Lebih kurang 30 minit di sana, kami kemudiannya mengambil bas 132 menuju ke Brook Road. Jarak dari Brent Cross ke Brook Road lebih kurang 5 minit perjalanan dengan bas. Di Brook Road, Bro jamal dan Jamali lebih awal tiba dengan berjalan kaki dari motor way menuju ke rumah En Azhar. kami masuk bersama-sama ke halaman rumah En Azhar lebih kurang jam 4.30 pm dengan disambut mesra oleh Tn hajki Salleh yang menunggu di jalanan kerana bimbang kami tersesat jalan, di rumahnya, isteri beliau bersama isteri En Azhar sudah sedia menunggu dan mempelawa kami masuk, manakala Tn Haji Salleh menunggu kehadiran empat orang lagi peserta wanita dari grup kami yang agak lewat sedikit tiba.
berborak hal semasa dengan En Azhar, pemilik 'Makan Restaurant'
(3 dari kanan) manakala di sebelah kanannya adalah Tn Haji Salleh

Kunjungan kami disambut mesra oleh En Azhar dan kami bersembang ringkas sebelum memulakan majlis bacaan Yassin, solat hajat, tahlil dan doa selamat. Selesai program tersebut, memandangkan waktu asar sudah tiba, kami turut selesaikan sekali solat asar berjemaah dengan diimamkan oleh En Jamali, Salah seorang imam dari Masjid Negara Malaysia yang turut sama dalam program ini.

lebih kurang jam 5.30 pm, kami dihidangkan dengan makanan Malaysia yang enak dan lazat oleh pasangan suami isteri ini, tidak hairanlah kerana pasangan ini memang terkenal dengan kehebatan masakan mereka,agi pun En Azhar adalah pemilik 'Makan Restoran' iaitu sebuah restoran Melayu yang terkenal di London. Restorannya terletak berdekatan dengan masjid al-Manaar, Portobelo, London. Beliau yang berasal dari Alor Setar kedah, manakala isterinya dari Terengganu cukup dikenali di London ini terutamanya kebanyakan masyarakat Malaysia di sini. Saya pernah beberapa kali singgah dan menjamu selera di Restoran beliau di Portobelo, masakannya agak lazat dengan harganya yang munasabah, saya kira Kartunis Ujang mungkin pernah tiba dan menjadi tetamu di Restoran tersebut kerana terdapat karekter kartun yang ditandatangani oleh Kartunis Ujang tergantung di bucu restoran tersebut.



laman belakang rumah beliau, sempat lah juga bergambar bawah pokok epal...


Sebaik selesai jamuan makan, kami bersembang dengan En Azhar suami isteri. turut sama ialah keluarga Tn Haji Salleh suami isteri. Pelbagai topik dibincangkan bersama dari hal yang ringan kepada isu yang berat dan mencakupi hal politik semasa serta perkembangan Islam di Eropah. teruja dengan perbincangan yang ditimbulkan oleh masing-masing, tak sedar pula waktu sudah lama berlalu dan kami minta diri untuk beransur pulang ke hostel setelah jam menunjukkan hampir 7.30 pm.

No comments:

Buku Peguam Syarie dan Litigasi Mal di Mahkamah Syariah

 Atas permintaan ramai buku Peguam Syarie dan Litigasi Mal di Mahkamah Syariah telah dibuat cetakan semula, semoga buku ini dapat membantu a...