Monday, August 24, 2009

sedikit kenangan manis disini....

Salam,

Hari ini kurang lebih dah 85 hari aku berada di bumi Eropah khususnya England. Tinggal beberapa hari saja lagi untuk kami berangkat pulang ke Malaysia. Jika sebelum ini dicoretkan kesukaran-kesukaran, masalah yang membelenggu kepala tok penghulu, kali ni nak sebut pula perkara-perkara yang menjadi kenangan manis kami disini. Barulah fair… lagipun kata Ustaz Ramly, Punca kepada masalah ialah kerana masalah itu tidak diluahkan, Menyimpan masalah itulah yang menjadi barah kepada diri sendiri, ianya mungkin akan menghasilkan dendam, benci dan beribu perkara yang tak elok untuk ditulis disini. Benar Ustaz. Untuk mengurangkan masalah kita kena berhibur, malangnya disini tak berpeluang pula tengok tv atau buat aktiviti-aktiviti hiburan lain, apa yang kami selalu buat ialah berborak dan berjenaka sesama sendiri pantang mendapat waktu yang terluang. Itulah satu-satunya hiburan yang kami perolehi. Bila berborak tu, maka banyaklah pula cerita-cerita manis untuk dikongsi.
So diruangan ini terfikir pula untuk saya sebut beberapa peristiwa manis yang berlaku dikalangan kami…..

Anda tahulah, kami ni datang ke London dengan bekalan ilmu yang cukup sedikit. Bahasa Inggeris kami memang tak cukup makan walau pun kat Chow kit, inikan pula kat London… Tapi dah terlanjur kat London, terpaksalah kami gagahkan juga untuk berinteraksi dengan orang-orang sini, terutamanya bila time nak makan. Ye lah,kalau tak, kebulurlah kami….Satu ketika, sahabat-sahabat yang kelaparan ni, datanglah ke kedai nak beli ayam. Bila diasak oleh tokey kedai, member punyalah kelam kabut….terus tersasul nak beli ayam tertukar cakap “ I want three kitchen, please skin off…”. Tokeh kedai senyum je.. biasalah orang putih tak gelak pada orang yang salah cakap. Tukang gelak tu mestilah dikalangan member juga! Apa tak gelaknya, nak beli ayam dicakapnya nak beli dapur, siap buang kulit lagi...

Dalam satu perjumpaan resmi, kalau tak silap kat Budhist Temple. Adalah penyelaras Budhist tu tunjukkan cara-cara bertafakur, ala.. macam yoga tu. Kawan ni tengok sebijik macam filem kung fu, so lalu dia kuatkan semangat untuk bertanya si sifu tu, “ In meditation process, did you include some of marital art act?” Sifu tu agak tercengang juga…Nasib baik ada dua tiga kawan yang terdengar soalan tu betulkan semula, yang dimaksudkan oleh sahabat ni ialah memasukkan elemen seni pertahankan diri dalam meditasi…bukan seni bergelumang dengan isteri… “martial art, bukannya marital art”. Nasib baik kawan lain tak dengar. Bila Tanya semula sahabat tu, dia kata, “soalan tu pun dah memang tak confident, tu sebab tanya perlahan…”. Ok lah tu…..

Seorang sahabat kami nak gunting rambut. Almaklumlah dah 2 bulan lebih tak bergunting. Kebiasaannya sebulan sekali dia dah potong. Rimas pula bila dah bergulung-gulung rambut tu. So, pergilah dia kat satu saloon. Tukang gunting tu pun tanyalah, "nak potong macam mana," so selamba je sahabat ni jawab, “middle”. Maksudnya pertengahan tidak pendek, tidak panjang. Kata tukang gunting tu, middle potong tengah je, macam ‘punk’, kalau separuh medium…kalau half, setengah kepala… Kawan kat belakang hampir tercekik gelak geli hati, nasib baik lah tak kena potong macam rambut Misbun era 80an dulu… Balik nanti mesti jadi Ustaz Punk.

Waktu lapang kami sering bersembang pasal komunikasi ni.. sekali kawan-kawan adalah ceritakan pengalaman mereka kat tanah arab. Masalah yang sama juga mereka alami, iaitu masalah bahasa. Arakian diceritakan satu cerita mengenai student kita yang teringin sangat nak makan telur, so pergilah dia ke satu kedai. Malangnya sahabat ni tak ingat apa perkataan telur dalam bahasa arab. Maka dengan susah payahnya dia cuba jelaskan pada tokeh kedai tu, bunyinya hampir begini.. "al Sya’i allazi yadkhulu min qabli dajajati, launuha abyadh” (maksudnya lebih kurang "sesuatu yang keluar dari belakang ayam, warnanya putih)”. Dengar cerita tu apalagi, kami pun gelak sakan.

Satu lagi, student kita juga, berjalan di Mesir, bila mendapati dirinya sudah sesat dan dia sudah hilang pedoman, so dia cuba dapatkan bantuan seorang hamba allah, Katanya “Inni fi dholalun mubin” (saya dalam kesesatan yang amat nyata). Iaitu mengambil sebahagian ayat al quran. Mendengarkan kenyataan tersebut, Hamba Allah si Arab itu terus memintanya beristighfar dan mengucap semula, bukan menunjukkan jalan kepadanya.

Demikianlah sedikit sebanyak coretan manis yang kami perolehi disini. Sekurang-kurangnya gelak tawa itu mengurangkan rindu kami pada keluarga disana.

No comments:

Buku Peguam Syarie dan Litigasi Mal di Mahkamah Syariah

 Atas permintaan ramai buku Peguam Syarie dan Litigasi Mal di Mahkamah Syariah telah dibuat cetakan semula, semoga buku ini dapat membantu a...