Tuesday, August 4, 2009

Madame Tussaud; Patung Orang mati Yang Hidup di London





Hari ini 4hb ogos 2009, Selasa jam 2,30pm. Tugasan seterusnya ialah hadir ke Muzium lilin, Madame Tussaud yang mana lokasinya terletak di tengah kota London iaitu di Marylebone Road, Paddington, NW1 5020 , London. Asalnya agak keberatan juga untuk masuk ke Muzium ini, apatah lagi pagi tadi dapat berita yang agak kurang baik apabila diberitahu mengenai anak perempuan yang ditahan di hospital. Memikirkan tidak ada apa yang mampu dibuat dalam keadaan yang berjauhan seperti ini, selain dari setiap detik berdoa agar keselamatan dan kesihatannya dipelihara oleh Allah swt, aku hadir juga ke muzium ini dengan hati yang gundah. Sekurang-kurangnya hilang juga keresahan itu seketika.

Madame Tussauds adalah museum lilin di London di mana cawangannya dibina di serata Bandar-bandar besar di seluruh dunia. Ianya didirikan oleh tukang ukir patung lilin terkenal iaitu Marie Tussaud. Marie Tussaud dilahirkan pada tahun 1761 dan telah meninggal dunia pada tahun 1850. Beliau dilahirkan di Strasbourg, Perancis. Ibunya bekerja sebagai pembantu rumah untuk Dr Philippe Curtius, seorang ahli fizik yang mahir dalam kerja-kerja mengukir lilin. Majikan ibunya ini telah mengajar Marie Tussaud mengenai kemahiran menghasilkan patung-patung lilin.Pada tahun 1765,Dr. Curtius telah menghasilkan lilin Marie-Jeanne du Barry,isteri kepada Raja Louis XV. Patung tersebut adalah antara yang tertua dihasilkan yang masih wujud sehingga hari ini. Pada tahun 1770, Dr Curtis telah menghasilkan pameran patung lilinnya yang pertama dan menarik ramai penonton mengunjunginya. Pameran patung lilin ini kemudiannya dibawa ke Palais Royal di Paris pada tahun 1776. Dr Curtis kemudiannya membuka lokasi pamerannya yang kedua di Boulevard du Temple juga di Paris pada tahun 1782.

Marie @Madame Tussaud, orang yang mempopularkan seni ukiran lilin yang dipelajari dari mentornya Dr. Philippe Curtis dan merupakan seorang tutor seni di King Louis XVI’s sister at the Palace Of Versailles sewaktu berumur 17 tahun. Beliau kemudiannya dipaksa mengukir patung lilin daripada mould mayat mangsa French Revolution yang mengubah kehidupannya selepas itu.


Marie Tussaud, membuat pameran patung lilin yang pertama kali pada tahun 1777 di Voltaire. Antara model terkenal yang diukir oleh beliau waktu itu ialah Jean-Jacques Rousseau dan Benjamin Franklin.Marie telah berkahwin dengan Francois Tussaud pada tahun 1795 dan sejak dari tarikh tersebut beliau telah memakai nama akhir sebagai Tussaud dan seterusnya dikenali sebagai - Madame Tussauds. Pada tahun 1802,Madam Tussaud telah mengembara ke London. Bagaimanapun, ekoran daripada perang Perancis -Inggeris waktu itu, beliau tidak dapat kembali semula ke Perancis, jadi beliau telah mengembara ke seluruh England dan Ireland untuk mempamirkan koleksinya.Pada tahun 1831, Madame Tussaud telah menyewa satu lot kedai di “Baker Street Bazaar” (di sebelah barat Baker Street antara Dorset Street dan King Street). Tapak ini kemudiannya menjadi rumah dan tempat pameran tetapnya sejak 1836.

Madame Tusaaud yang menetap di Baker Street, London, dan telah membuka sebuah muzium lilin disitu. Apa yang menjadi tarikan orang ramai untuk memenuhi muzium tersebut ialah ‘Chamber of Horrors’ iaitu pameran yang memaparkan korban semasa Revolusi Perancis. Selain dari membina patung-patung lilin, Marie Tussaud juga ada menghasilkan gambar lukisan potret dirinya yang masih ada hingga sekarang dan digantung di pintu masuk Muzium. Marie Tussaud meninggal dunia pada 15hb April 1850 sewaktu tidur.


Pemandangan biasa setiap kali cuti musim panas di mana pengunjung beratur panjang untuk masuk ke dalam muzium .




Selepas beberapa tahun kematiannya,muzium tersebut telah dijaga dan diuruskan oleh cucunya iaitu Joseph Randall. Pada tahun 1883, oleh kerana ruang pameran yang sempit, cucunya Joseph Randall telah memindahkan ruang pameran ke Marylebone Road, iaitu satu kawasan yang lebih luas dan selesa seperti yang ada sekarang. Kawasan baru ini telah dibuka kepada umum secara resmi pada 14 julai 1884.Sejak itu muzium ini terus berkembang dan pelbagai patung lilin yang baru ditambah dari masa ke semasa termasuklah patung-patung asal yang dihasilkan oleh Marie Tussaud sendiri. Jumlah asal patung-patung lilin waktu itu adalah dianggarkan sebanyak 400 patung. Bagaimanapun, kebanyakan patung-patung tersebut telah rosak akibat dijilat api dalam satu kebakaran dalam pada tahun 1925, manakala sebahagian besarnya musnah akibat serangan bom tentera jerman pada tahun 1941. Sebahagian dari patung-patung tersebut telah dibuat semula, manakala patung-patung asal yang masih ada antara yang tertua dan kekal hingga kini ialah patung Madame Du Barry, Robbiespierre, George III dan Benjamin Franklin.


Bersama Washington dan John Travolta


Muzium lilin Madame Tussaud terus berkembang sehingga sekarang dan menjadi semakin maju dan terkenal. Penambahan telah dilakukan oleh kerajaan British dan pengelola muzium tersebut dengan menambah muzium baru yang dikenali sebagai London Planetarium di sebelah kanan muzium asal ini.cawangannya juga telah diperluaskan ke serata dunia termasuklah di Amsterdam, Berlin, Las Vegas, New York City, Hong Kong, Shanghai, Washington, DC, dan cawangan baru yang dijangka dibuka pada umum pertengahan tahun 2009 di Hollywood.Pada hari ini, patung lilin di Tussauds telah ditambah dan diperluaskan kepada model-model serta tokoh terkenal dalam pelbagai bidang seperti tokoh sejarawan, ahli politik, bintang filem,ahli sukan dan sebagainya. Kini Muzium ini dimiliki dan diuruskan oleh Syarikat Merlin Entertainment & Co.

Bayaran masuk untuk meninjau di dalam muzium ini dikenakan sebanyak GBP20.50 (tiket berkumpulan), satu jumlah yang agak mahal. Bagaimanapun anda tidak akan merasa kecewa atau menyesal dengan bayaran yang tinggi tersebut kerana banyak yang anda akan perolehi sewaktu menelusuri sepanjang muzium ini. Meskipun ianya Cuma sekadar patung lilin yang biasa, ianya memaparkan hasil kerja zaman British seawall tahun 1700an yang lampau.

bergambar bersama Prince Of Wales, Putera Charles dan isterinya,

Bagi cuti musim panas ini, keadaan pengunjung adalah agak ramai dan amat sesak. Kami yang tiba agak lewat sedikit seperti yang dijanjikan, iaitu lebih kurang jam 2.30pm, terpaksa beratur panjang walaupun tiket telah tersedia. Sebaik masuk ke dalam muzium, kami melalui ruang selebriti yang memaparkan patung lilin George Clooney, Jonathan Ross, morgan Freeman, John Travolta dan sebagainya. Patung-patung itu seakan-akan sama seperti orang yang hidup kecuali tidak bernyawa, malah disatu sudut, kami agak kelirudan sukar untuk membezakan antara orang sebenar atau patung lilin, itulah hebatnya ciptaan manusia!.



Bersama Dato Bandar London dan Nelson Mandela.


Anda juga tentunya terhibur dengan ‘Chamber of Horrors’ iaitu hasil seni yang diilhamkan oleh Marie Tussaud pada tahun 1800an dulu dari peristiwa sebenar revolusi perancis, dimana mangsa-magsa yang terkorban adalah dari rupa dan badan asal mereka!Di sini anda boleh mengenali dan menghayati bagaimana Perancis melalui zaman yang membawa kepada perubahan kepada masyarakat mereka.


Di ruang yang lain pula, anda berkesempatan untuk mengenali kota London secara lebih dekat mengikut perubahan zamannya.Patung-patung asal tahiun 1700-1800an diletakkan diruang ini. Dengan menaiki replika teksi yang disediakan, anda meneroka kota London sejak tahun 1700an. Ruang ini memaparkan kehidupan masyarakt bawahan London yang merempat di zaman itu. (Fakta bahawa tahun-tahun pertengahan 1700, London menghadapi isu perumahan, setinggan, pengangguran, kemiskinan dan penyakit kolera yang serius. Berada disitu seolah-olah anda hidup di zaman abad ke 18. Teksi seterusnya membawa anda melalui zaman-zaman seterusnya, bagaimana kerja-kerja pembinaan dan penambahbaikan gereja St Cathederal dibuat, penggunaan alat-alat pertukangan dan kemahiran pada zaman tersebut sehinggalah kepada zaman moden yang serba maju. Teksi kemudiannya berhenti sebaik sahaja anda sampai ke pintu keluar muzium, dan sediakan wang untuk bayar gambar candid yang diambil tanpa pengetahuan anda!

Malu-malu sebab kena gelak sakan oleh Jim Carey kerana tak pandai nyanyi....


Meneroka muzium ini bukan hanya menyeronokkan kerana dapat menyaksikan kemahiran dan ketelitian patung-patung yang diukir dengan lilin, tetapi juga anda dapat menghayati sejarah setiap watak patung tersebut. Kebanyakan patung-patung yang ada adalah patung-patung orang ternama yang telah mati, tetapi seperti kata Marie Tussaud sendiri, dengan membina semula patung orang yang telah mati, ianya bertahan untuk terus hidup dalam diri manusia generasi seterusnya. Walaupun membina patung lilin ini adalah cara barat untuk mengembangkan seni dan kemahiran, mereka secara tidak langsung telah meninggalkan sejarah dengan gambaran yang kekal dan asli yang tidak ternilai kepada generasi sekarang. Sejarah tu, bukan patung…

No comments:

Buku Peguam Syarie dan Litigasi Mal di Mahkamah Syariah

 Atas permintaan ramai buku Peguam Syarie dan Litigasi Mal di Mahkamah Syariah telah dibuat cetakan semula, semoga buku ini dapat membantu a...