BERCAKAP
mengenai wayang kulit, ternyata kebudayaan yang wujud lebih 1,000 tahun dahulu
diasimilasi secara berperingkat dari beberapa negara, sebelum ia meresap ke
dalam budaya masyarakat Melayu.
Wayang
kulit Melayu yang agak popular di Malaysia rata-ratanya adalah dari pantai
timur Malaysia dengan kebanyakan mempunyai ciri dan sentuhan Siam.
Antaranya
ialah wayang kulit Kelantan atau lebih dikenali sebagai wayang kulit Siam. Ia
dikatakan berasal dari Kemboja dan dibawa masuk melalui Patani, selatan
Thailand.
Dasarnya,
kisah-kisah yang dipersembahkan adalah berdasarkan Hikayat Ramayana dan
penglipur lara tempatan dan disampaikan menggunakan loghat Kelantan. Antara
watak penting ialah Hanuman, Sri Rama, Sita Dewi, Maharaja Rawana dan
Laksamana.
Sebagai
negeri yang bersempadan dengan selatan Thailand, Kelantan mempunyai persamaan
dari segi elemen kebudayaan, sosial dan sesetengahnya memiliki loghat serta
gaya hidup masyarakatnya.
Kekayaan
budaya Kelantan
“Berdiri
sebagai sebuah negeri yang khusus, Kelantan kaya dengan kerja kraf, seni,
makanan dan bahasa yang sangat unik. Tidak ketinggalan wayang kulit dan
lain-lain seni persembahan yang menjadikan warga Kelantan bangga dengan siapa
diri mereka,” kata seorang penulis buku bersiri misteri Shadow Play, Barbara
Ismail dari Brooklyn, New York, Amerika Syarikat.
Wanita
berdarah Inggeris itu menjadi saksi kepada beberapa persembahan wayang kulit di
Kelantan, khususnya Kota Bahru pada era tahun 1970-an hingga 1980-an.
Tergerak
hati untuk membukukan memori tersebut, novel beliau bukan sahaja diolah seperti
kisah misteri ala Sherlock Holmes, bahkan menyentuh kehidupan masyarakat
Kelantan terutamanya wayang kulit.
Dalam
novel itu, Barbara tampil dengan siri penyiasatan penuh misteri membabitkan
watak Maryam, seorang penjual kain songket di pasar Kota Bharu.
BARBARA (paling kanan) bersama
kedua-dua anak perempuannya, Ariell (tengah) dan Jerushah di New York.
Mungkin
agak luar biasa untuk menceritakan bagaimana seorang wanita yang menjual kain
di pasar menjadi penyiasat dalam membantu polis menyelesaikan sebuah pembunuhan
melibatkan pemain wayang kulit.
Namun,
Barbara ternyata bijak menggunakan watak-watak hidup yang ditemuinya di Kota
Bahru dan memanipulasi secara bijak. Semua garapan penulisan itu adalah hasil
daripada adaptasi diri beliau dalam kalangan penduduk tempatan.
“Saya
belajar di Kolej Hamilton di New York dan menerima falsafah kedoktoran di
Universiti Yale juga di New York. Pengenalan saya dengan wayang kulit buat
pertama kali adalah ketika saya berada di Jawa semasa belajar dulu.
“Profesor
saya, Doug Raybeck seorang antropologis yang belajar di Kelantan, mengajar saya
bahasa Melayu,” kata wanita itu melalui temu bual e-mel yang dilakukan
baru-baru ini.
Fasih
berbahasa Melayu tetapi dalam loghat Kelantan, Barbara terpengaruh dengan
Raybeck dalam melanjutkan pendidikan mengenai wayang kulit Siam di Kelantan.
“Pertama
kali saya menonton wayang kulit Siam, saya terus jatuh hati,” katanya.
Ibu
kepada dua orang anak, Jerushah, 25 dan Arielle, 21, itu amat mendalami penceritaan
dan persediaan wayang kulit termasuk mempunyai hubungan rapat dengan tok dalang
sehinggalah kepada para penonton tempatan.
Mengimbas
pengalaman menonton wayang kulit, masih segar dalam kotak fikiran Barbara
mengenai persembahan yang melarut hingga lewat malam itu.
“Ada
orang yang melintas ulang-alik di hadapan tabir putih dan urusan jual beli snek
serta kopi berlangsung di tepi pentas. Ada yang duduk, merokok, berbual-bual
dan makan sewaktu persembahan itu. Ia seperti sebuah majlis keramaian,” ujar beliau
yang turut mendirikan rumah tangga dengan lelaki Melayu.
BARBARA (kiri) bersama salah seorang
daripada jiran rapat yang dikenalinya selama lima tahun tinggal di Kelantan.
Wanita
lebih berkuasa
Pemerhatian
Barbara di Negeri Cik Siti Wan Kembang itu turut berkisar mengenai pengaruh
wanita. Wanita tempatan dilihat bukan sahaja cantik pada rupa, malah amat
berkuasa. Laksana ketua dalam keluarga, peranan mereka merentasi kemahiran
berniaga dan menjaga kebajikan ahli keluarga
.
Beliau
juga berpendapat, golongan lelaki pula digambarkan sebagai kurang reputasi
dalam berniaga lantas lebih suka membantu isteri dan lepak di kedai-kedai kopi
selepas bersara.
“Seperti
watak utama novel saya, Maryam, wanita di Kelantan sangat berbakat, berani dan
mampu berdiri di kaki sendiri tanpa bayang-bayang lelaki.
“Mungkin
juga ia menjadi sebab mengapa Kelantan agak mendahului statistik perceraian
kerana wanita-wanita tidak perlu bergantung kepada lelaki,” katanya lagi sambil
menambah bahawa pada tahun 1970-an, Kelantan agak ketinggalan dan terasing
daripada bahagian barat Semenanjung Malaysia dari segi pembangunan.
Keramahan
dan kemesraan penduduk di Kelantan juga menambat hati Barbara dan dia berharap
pada suatu hari nanti kedua-dua anak perempuannya dapat merasai pengalaman yang
sama.
Budaya
Melayu
Kisah
yang dibawa dalam novel Barbara banyak dibantu oleh rakannya, Ijan Shaari.
“Dia
membaca draf novel dan banyak membantu dalam penelitian penggunaan bahasa
Melayu serta penerangan tentang budaya.
“Jiran
saya di Kota Bharu yang ketika itu berusia 12 tahun, Ashikin Mohd. Ali, turut
menawarkan bantuan dalam mendapatkan maklumat mengenai budaya dan orang
Kelantan,” ujarnya Barbara yang menetap sekitar lima tahun di Kelantan.
Barbara
juga amat berterima kasih kepada ramai lagi orang perseorangan, jiran-jiran dan
rakan-rakan beliau di Kelantan yang banyak membekalkannya dengan pengalaman
yang indah tatkala di Kelantan.
“Bryn
Barnard, seorang artis yang saya kenali sejak kami di Kelantan pada tahun
70-an, membaca draf dan memberi komen membina. Pengarang saya, Richard Lord,
memberi idea dalam saya menjayakan novel ini, tidak dilupakan adik ipar,
Shahmim Dhilawala, yang berkerja keras untuk novel ini,” kata Barbara.
Wanita
kulit putih yang lebih menyukai kehidupan fasa perlahan Kelantan berbanding New
York itu turut menggambarkan kebudayaan orang Melayu khususnya di Kelantan.
“Orang
Melayu amat menjaga hati orang lain dalam setiap tindakan dan percakapan. Di
New York, kami cakap sahaja apa yang terlintas, tanpa memikirkan impak kepada
orang lain. Pengalaman di Kelantan membuatkan saya lebih kemelayuan. Kini saya
bercakap, makan, masak, bertindak, semuanya dipengaruhi resam Kelantan,” katanya
bangga.
Walaupun
sudah sekian lama tidak melawat Kelantan, negeri itu menjadi kegemarannya di
Malaysia memandangkan, dia masih mempunyai ramai kenalan di situ selain di
Melaka dan Kuala Lumpur.
Merindui
pemandangan semula jadi Kelantan dan makanannya seperti nasi dagang dan kek
Kelantan, Barbara mengakui, rasa cintanya terhadap Kelantan sesuatu yang tidak
dapat dipadam begitu sahaja dan akan terus dihidupkan melalui penulisan buku
beliau.
“Saya
masih ingat apabila balik ke rumah selepas menonton wayang kulit,
segala-galanya gelap gelita. Apabila mendongak ke atas, saya dapat lihat awan
yang cantik dipenuhi bintang-bintang.
“Tidak
mungkin saya mendapat perkara yang sama di New York. Itu adalah kecantikan
milik Kelantan,” ujarnya.
Kosmo. 7 Ogos 2012
No comments:
Post a Comment