Tuesday, July 3, 2012

Cerita dikir barat


Maso dok tengoh cari bahan, ambo belek-belek terjupo la link ni, http://gdwkgpauh.wordpress.com/.  Cerita pasal dikir barat. Minta apun mitak maaf   dari tuan kijo ambo nak mintak tupe artikel dikir barat ning. Comel benar tulise dia  untuk kita pakat kongsi. Rasonya anak-anak kito tak tahu doh pasal asal usul goni. Jadi demi untuk tatapan semua rakyat marhaen termasuk ambo ni, terima kasih banyak-banyak kepada penulis kerana maklumat yang amat bernilai dan bermutu. Di sini ambo ‘quote’ artikel tu untuk bacaan kita rama-rama. Ambo tak pinda sikit pun… seleke baco…


Generasi hari ini hanya mengenali Dikir Barat sebagai hiburan semata-mata. Bila ditanya dari mana asal-usulnya, jarang diketahui. Dalam merayau internet, terjumpa laman http://koiry.multiply.com/journal yang membicarakan asal usul Dikir Barat. Diperturunkan semula catatan tersebut untuk pengetahuan umum dan pahala untuk penulisnya. Jasa ilham kaji oleh pemiliknya serta susah payah dan pahit jerih pencariannya dikenang oleh pengikut blog ini. Diperturunkan semula ilham kajian itu.

DIKIR BARAT

PENGENALAN

Permainan dikir barat adalah suatu teater tradisional yang paling digemari oleh masyarakat Melayu di Kelantan dan Patani. Secara umumnya, tidak seperti teater tradisional lain, permainan ini lebih popular di kalangan masyarakat biasa daripada kalangan istana. Di dalam persembahan dikir barat terdapat satu kumpulan yang diketuai oleh seorang tukang karut dan tok juara (atau dikenali sebagai juara sahaja). Mereka akan mengarut sambil berbalas pantun dan diikuti oleh awok-awok sebagai suara latar dengan suara yang kuat dan lantang.
Dikir barat boleh dipersembahkan sebagai hiburan ataupun pertandingan. Permainan ini biasanya dimainkan oleh masyarakat tani di musim menuai padi dan juga majlis perkahwinan serta berkhatan. Di samping itu, pertandingan sering diadakan oleh persatuan-persatuan belia tempatan, badan-badan kerajaan mahupun pihak tertentu untuk mengutip wang. Dikir barat adalah permainan yang baru jika dibandingkan dengan teater tradisional lain.
Perkembangan teater ini amat unik kerana dikir barat sering berubah bentuk persembahan dari semasa ke semasa mengikut perkembangan zaman.

Juara dalam Dikir Barat
Perkataan dikir adalah hasil dari kombinasi dua perkataan, iaitu dikir dan pantun atau dikir dan karut. Pengertian karut itu sendiri ialah dari istilah mengarut dalam bentuk pantun atau syair. Jadi dikir barat, dikir karut, dikir pantun dan dikir syair merujuk kepada perkara yang sama. Walau
bagaimanapun, di Kelantan permainan ini lebih dikenali sebagai dikir barat dan di Patani sebagai dikir karut.

ASAL-USUL

a) Dikir Barat Berasal dari Patani

Beberapa pendapat telah diperkatakan tentang asal usul dikir barat. Setengah pendapat mengatakan permainan ini berasal dari Patani. Sebenarnya dikir barat, yang lebih terkenal dengan nama dikir karut, dibawa dari Patani. Mengikut orang-orang Kelantan perkataan barat ini bermakna Patani. Ini tidak dapat dinafikan kerana pada satu ketika dahulu negeri Kelantan pernah diperintah oleh kerajaan Siam. Rakyat dari kedua-dua buah negeri ini sering berulang-alik dan secara tidak langsung dikir dibawa ke sana dan diterima pula oleh masyarakat di situ. Ketika dibawa ke Kelantan, dikir barat adalah dalam bentuk dikir dan di sana permainan ini telah ditambah dengan pantun, diubahsuai dari segi persembahan serta loghatnya sesuai dengan keadaan sekeliling dan suasana tempatan.

b) Dikir Barat Berasal dari Pulau Kerengga

Mengikut keterangan yang diberikan oleh Nik Abd. Rahman bin Nik Dir (Pak Nik Man) dikir barat berasal dari Pulau Kerengga iaitu satu daerah di dalam jajahan Narathiwat di selatan Siam. Seorang yang bernama Pak Sa berasal dari Pulau Kerengga telah masuk ke Kelantan dalam tahun 1931 dan telah ditangkap oleh Pak Nik Man sendiri ketika bertugas sebagai pegawai kastam. Pak Sa telah masuk tanpa pasport dan menyeludup barang. Pak Sa telah ditangkap dan dipenjarakan tetapi setahun kemudian beliau telah memperkenalkan dikir barat kepada orang-orang Kelantan. Oleh kerana beliau berasal dari Pulau Kerengga maka timbullah pendapat yang mengatakan dikir
berasal dari sana.

c) Dikir Barat Berasal dari Ilham Budak-Budak Penjaga Lembu

Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa dikir barat berasal dari permainan budak-budak yang menjadi gembala lembu di padang rumput. Pada tahun 1930-an terdapat ramai pencuri lembu berkeliaran di padang rumput. Oleh kerana ketakutan budak-budak penjaga lembu ini duduk berkelompok dan berdikir beramai-ramai. Mereka akan menyanyi dan berpantun sambil sindir-menyindir sesama mereka untuk menghibur hati dan melupakan perasaan takut terhadap perompak tadi. Dari peristiwa inilah timbulnya permainan dikir barat.

d) Dikir Barat Berasal dari Pulau Tebu

Ada orang mengatakan bahawa dikir barat berasal dari Pulau Tebu kerana pengasasnya ialah Husain Mok Nah Lombong yang berasal dari kawasan tersebut. Sewaktu beliau memperkenalkan dikir barat ramai menganggap permainan ini sebagai satu hasil seni yang baru sebab iramanya boleh disesuaikan dengan irama yang telah sedia ada seperti rebana besar.

e) Dikir Barat Berasal dari Ciptaan Mat Leh Tapang

Bila memperkatakan dikir barat nama Mai Leh Tapang tidak boleh dilupai kerana ramai orang mengenali beliau melalui dikir barat. Mat Leh Tapang atau nama sebenarnya Haji Mat Salleh bin Haji Ahmad berasal dari Kampung Tapang. Beliau telah mengakui bahawa dikir barat ini sebenarny a berasal dari Patani. Beliau telah mengubahsuaikan permainan ini dengan memasukkan pantun. Jadi, pada awalnya dikir barat yang dibawa ke Kelantan itu masih lagi dalam bentuk dikir tanpa pantun. Semasa pemerintahan Jepun, Datuk Menteri Kelantan pernah memanggil beliau untuk meriwayatkan sesuatu dengan cara berpantun. Pada zaman itu juga terdapat sebuah kumpulan dikir yang diketuai oleh Jaffar Wakaf Mek Zainab yang emperkenalkan dikir barat di kampungnya. Awok-awoknya terdiri daripada orang-orang Melayu Barat (Selatan Siam). Mereka mendendangkan lagu-lagu yang dibawa dari Selatan Siam dan Mat Leh Tapang pula berperanan menggubah serta menambah dikir tersebut dengan pantun untuk menyedapkan lagi dikir barat.

PERSEDIAAN SEBELUM BERMAIN

Bermacam-macam persediaan perlu dilakukan sebelum pertunjukan dikir barat dapat dipersembahkan di hadapan khalayak.

a)   Menempah Tukang Karut dan Juara

Jikalau sesuatu pertunjukan dikir barat itu dianjurkan oleh sesebuah badan terpulanglah kepada penganjur tersebut untuk menempah tukang karut dan juara yang sesuai. Awok-awok tidak payah ditempah kerana setiap juara sudah mempunyai awok-awok sendiri. Selalunya penganjur mahukan tukang karut dan juara yang popular. Penganjur boleh menempah tukang karut dan juara sama ada secara formal atau sebaliknya iaitu di rumah tukang karut sendiri, melalui orang tengah, di tempat pertunjukan ataupun di mana sahaja mereka dapal berjumpa.

b)     Mendapat Kebenaran Bermain

Satu lagi tugas penganjur ialah mendapatkan kebenaran pertunjukan dari pihak berkuasa seperti penghulu, penggawa, pegawai polis dan ketua jajahan / daerah.

c)      Menampal Iklan-Iklan dan Poster

Iklan-iklan ditampal, disebar dan didedahkan di sekitar kawasan kampung dalam bahasa atau loghat daerah. Walau bagaimanapun pengumuman melalui pembesar suara sangat popular. Pihak penganjur akan pergi ke kampung-kampung yang berdekatan pada waktu petang sebelum pertunjukan itu dan turut memberi tahu bahawa permainan tersebut akan diadakan di kampung yang tertentu pada waktu lain. Di antara pengumuman tersebut berbunyi begini :

Jage lupa adik kakak ini male ni dikir barat
di pade sekolah Alo Bakat denge
tuke karutnya mat Yeh de Sudin: Tok Joranya
Ripin ana denge Daud Bukit Abal serta penyanyi
wanita Che Esah Sayonara de
Zaleha Gula Batu
Datela berghama-ghama

d)     Tempat Bermain

Permainan dikir barat dimainkan di atas pentas. Biasanya, bentuk pentas dibina mengikut corak permainan sesebuah dikir barat.
i.                    Bangsal atau Pentas Untuk Pertunjukan Percuma
Jika permainan ini dipertunjukkan di hari perayaan atau majlis perkahwinan maka bangsal atau pentas didirikan setinggi 4 kaki. Pertunjukan ini percuma dan semua penonton dapat melihat dari jauh. Bangsal ini biasanya diperbuat daripada buluh berlantaikan papan dan beratapkan daun kelapa.
ii.                  Bangsal atau Pentas Untuk Pertunjukan Yang Dikenakan Bayaran
Kadang kala terdapat juga penganjur yang mengadakan permainan ini dengan tujuan mengutip wang. Penonton dikenakan bayaran masuk. Para penonton menyaksikan persembahan dikir barat Kedudukan pentas pertunjukan ini amat rendah. Oleh itu, hanya orang yang masuk ke kawasan panggung sahaja dapat melihat pertunjukan. Pentas ini berlantaikan papan dan beratapkan daun kelapa dan dibina di tengah-tengah padang yang dikeliling oleh pagar yang juga diperbuat daripada daun kelapa.

PERSEDIAAN ALAT-ALAT MUZIK           
            
           Rebana Ibu dan Anak

Rebana ini mempunyai satu muka berbentuk bulat dengan menggunakan belulang kambing dipasang pada badan dengan siratan tali rotan kepada cincin rotan di bawah rebana itu. Badan alat ini diperbuat daripada kayu yang tidak dalam (5″ – 6″ dalam). Belulang dikemaskan dengan menggunakan pancang kayu di antara cincin dan bahagian bawah badan rebana. Rebana anak lebih kecil daripada rebana ibu.
           
                      Tetawak

Tetawak diperbuat daripada perunggu berbentuk bulat. Alat ini mempunyai dinding yang tebal serta berbusut di tengah permukaan. Bunyi pukulan tetawak lebih tinggi daripada gong. Biasanya tetawak digantung dan dipalu pada busutnya.

PAKAIAN

Permainan dikir barat di Kelantan yang berasal dari Patani tidak mempunyai pakaian tertentu atau menarik untuk dipakai oleh juara, tukang karut mahupun awok-awok. Ini tidak dapat dinafikan kerana permainan ini merupakan permainan rakyat biasa yang diadakan di kawasan sawah padi dan kampung. Oleh itu, mereka tidak mementingkan pakaian kerana tujuan utama ialah memberi hiburan yang berupaya memuaskan selera penonton. Jadi pasukanpasukan dikir barat dari kelompok ini memakai pakaian biasa ketika membuat persembahan.

AHLI-AHLIKUMPULAN 

Setiap pasukan dikir barat mempunyai seorang tukang karut, seorang juara dan beberapa orang awok-awok (selalunya antara 15-30 orang).

a)      Awok – awok

Awok – awok adalah sekumpulan orang yang berdikir dalam permainan dikir barat. Kebiasaannya awok-awok terdiri dari muda-mudi belasan tahun (tetapi mereka tidak pernah bercampur) dan kerana faktor usia inilah orang menamakan mereka sebagai budak-budak dikir. Pada praktiknya orang dewasalah yang lebih ramai menjadi awok-awok. Awok-awok menyanyikan korus sambil duduk dalam kedudukan secara bulatan 8…Gelaran awok-awok ini mengambil sempena dari nama kumpulan orang-orang nelayan yang turun ke laut dalam sebuah perahu di bawah jagaan seorang ketua dipanggil sebagai jeragan dan keadaan ini disesuaikan dengan pelakon awok-awok dalam permainan dikir barat yang di bawah jagaan ketua mereka iaitu juara. Tugas awok-awok ialah mengikut atau mengulangi secara beramai-ramai. Seni kata lagu yang didendangkan oleh juara dan tukang karut mereka. Sebenarnya, awok-awok melahirkan suara latar atau korus bagi permainan dikir barat.

b)     Juara (Tok Juara)

Juara merupakan orang yang kedua penting dalam satu pertunjukan dikir barat. Tugasnya ialah berdikir sebelum tukang karut mengarut. Pada waktu tertentu juara juga terpaksa mengarut iaitu sewaktu menunggu ketibaan tukang karut (biasanya di awal permainan) tetapi karutnya tidak panjang. Juara tidak menyanyi tetapi berdikir sambil duduk di sepanjang masa permainan. Tukang karut pula mendendangkan karutnya sambil berdiri dan menari. Suara juara yang baik dan merdu boleh menaikkan semangat tukang karut dan awok-awok pasukannya. Tema yang dibawa oleh juara selalunya menjadi panduan kepada tukang karut untuk mengarut kerana selepas juara berdikir tukang karut akan mengarut pula.

Awok-awok berpakaian seragam. Mereka duduk dalam dua barisan dan kedudukan ini sudah menjadi kelaziman apabila berada di alas pentas. Juara juga bertindak sebagai ketua dan guru kepada seluruh awok – awoknya sebab segala bentuk dikir yang merupakan suara latar atau korus, yang diperlukan adalah dari ajaran dan arahan juara. Walau bagaimanapun, tukang karut tidak terikat dengan tindakan juara atau awok-awok sewaktu berlangsungnya persembahan. Lagu dan seni kata boleh dianggap sebagai ciptaan juara. Awok-awoknya dilatih terlebih dahulu sebelum permainan dikir barat diadakan dan seorang juaranya selalu mempunyai beberapa pasukan awok-awok yang terdekat dengan tempat permainan dikir barat akan dipilih atau ditugaskan oleh juara bagi mewakili pasukannya ketika mengadakan persembahan di daerah tersebut.

c)      Tukang Karut

Orang yang memainkan peranan utama dalam pasukan dikir barat ialah tukang karut. Tugas tukang karut yang penting ialah berpantun dan bersyair. Pantun dan syair yang didendangkan mengikut selera tukang karut. Idea, isi, bahasa dan persoalan yang terkandung dalam puisi berkenaan (pantun dan syair) selalunya dikemukakan secara spontan. Tukang karut juga boleh menyanyi pelbagai jenis lagu. Biasanya, lagu-lagu sendiri lebih dipentingkan oleh tukang karut dan kerap kali menjadi masyhur, terkenal serta menjadi sinonim dengan namanya seperti Seman Wau Bulan, Dolah Kulai Malam, Awang Ikan Duyung, Dollah Tok Deh dan Iain-lain. Tukang karut merupakan watak yang mempunyai kebolehan semulajadi kerana tidak semua orang boleh menjadi tukang karut.

CARA PERSEMBAHAN

Dalam permainan ataupun persembahan dikir barat selalunya ada dua pasukan yang mengambil bahagian pada suatu masa. Mereka akan berbalas pantun, sindir-menyindir ibarat orang berkelahi. Walau bagaimanapun, keadaan ini hanya dianggap sebagai hiburan dan disampaikan dalam loghat Kelantan. Permainan akan dimulakan tepat pada pukul 10.00 malam. Berkemungkinan keadaan sunyi dan sepi pada waktu malam memberikan sumber ilham kepada tukang-tukang karut. Manakala awok-awok kedua-dua pasukan pula mengambil tempat masing-masing iaitu duduk bersila mengelilingi pembesar suara ibarat orang yang sedang menghadapi satu hidangan.

Kedudukan kedua-dua pasukan dalam persembahan

LAGU KARUT DIKIR BARAT

Kebanyakan lagu karut dikir barat lahir secara spontan dari ilham tukangtukang karut itu sendiri sewaktu mengarut di dalam permainannya. Apabila sedap didengar lagu berkenaan akan menjadi terkenal dan menjadi ikutan tukang karut lain. Nama lagu-lagu ciptaan ini amat terkenal dan menjadi kesukaan ramai. Di antara lagu dikir barat yang terkenal ialah :

i. Karut Kelantan cepat
ii. Karut Kelantan anyo’ (Perlahan)
iii. Karut Petani
iv. Karut Wok Yoh
v. Karut pendek
vi. Karut Yengki Cepat
vii. Karut Yengki Anyo’
viii. Karut Yengki Tengah (Sederhana)
ix. Karut Yengki a ding dong
x. Karut Alo

xi. Karut Selampit
xii. Karut Menora
xiii. Karut Jenaka Mak Yong
xiv. Karut Wau Bulan
Terdapat tiga jenis dikir :
i. Irama Melayu Asli
ii. Irama Padang Pasir
iii. irama Hindustan

Alat-alat muzik dipalu oleh awok-awok yang terdiri dari rebana ibu, rebana anak, tetawak, buah rumba dan seruling. Persembahan bermula apabila juara pasukan A mengalunkan lagu dikirnya mengalu-alukan kedatangan penonton penonton. Di antara lagunya berbunyi demikian :

Inilah resam dunia
Insan rang sama dibeza-beza
Yang miskin mengapa dihina
Yang kaya selalu dimulia … (suara latar)
Selamat malam selamat datang
Para penonton budiman
Terlebih dahulu harap maafkan
Salah silap jangan dicaci jangan
Malam ini sungguhlah bertuah
Cahayanya terang cuaca
Pantun dan lagu kami mempersembahkan
Untuk hiburan saudara dan saudari
Dunia ini hanya sementara
Tempat mencari bekalan
Miskin kaya mengapa dibeza
Hanya bahagia diharapkan
Tempat mencari bekalan
Walau di buku dan di hutan
Hanya bahagia diharapkan
Tetapi yang miskin mengapa ketinggalan
Walau di bukit dan di lautan
Kerjasama bergotong-royong
Tetapi yang miskin selalu ketinggalan
Mungkinkah itu salah ibu mengandung.

Juara ini terpaksa menambah beberapa rangkap pantun lagi sementara menunggu tukang karut pasukannya naik ke pentas. Antaranya :

Terima kasih saudara
Mana datang ini malam
Tukang karut masuk mari
Lewat masa sampai jam
Terima kasih tuan kerja
Dan juga kongsi-kongsi
Ambo tera nok mulo-mulo
Buat mula tanda jadi
Terima kasih ketua kampung
Tuan penghulu dan penggawa
Silap salah minta ampun
Baso dia main goni

Selepas itu pasukan B mengambil giliran dan juaranya akan berdikir seperti yang dilakukan oleh pasukan A iaitu memperkenalkan diri serta mengucapkan selamat datang serta perlu menambah beberapa rangkap pantun lagi seandainya tukang karut kumpulannya belum sampai. Apabila tiba giliran pasukan A semula tetapi tukang karutnya tidak juga muncul, jadi terpaksalah tukang nyanyi wanitanya naik ke pentas untuk mempersembahkan beberapa buah lagu. Kebanyakan lagu yang dinyanyikan merupakan lagu – lagu yang popular pada ketika itu tetapi disampaikan dalam loghat Kelantan. Selesai sahaja penyanyi wanita menyanyi juara akan berdikir semula. Di antara lagu tersebut berbunyi demikian :

Muda mudi di bangku pelajaran
Jago diri jangan diabaikan
Dirimu itu wajiblah dijaga
Janganlah sampai tergoda … (suara latar)
Dengarlah adik abang berkata
Nasihat abang sebagainya pelita
Bolehlah menerang segalalah benda
Untuk dirimu dek masalah tua
Andainya jadi kecemaran
Rosakkan diri meranalah badan
Jiwa terseksa di dalam badan
Hidup derita dek sepanjang zaman
Di bangku pelajaran jangan main asmara
Ikutlah dek gurumu berkata
Jauhlah dadah dan ganja
Itu perkara dek jadi merhahaya
Sekaranglah ini dah dapat dilihat
Bagaimana gara-gara orang yang terlibat
Hidup terseksa oh sungguhlah dahsyat
Dikeji diseksa oleh masyarakat
Dengarlah dek abanglah berkata
Jangan menyalahgunakan dadah
Perbuatan sia-sia tidaklah terkira
Mugopun salah undang-undang pun salah
Sekianlah dahulu abanglah berkata
Lepaslah adik lelaki dan perempuan
Carilah ilmu penuh di dada
Untuk kemudahan diri hari kemudian

Setelah selesai juara pasukan A ini berdikir, tiba-tiba tukang karutnya naik ke pentas dan ini diikuti oleh tukang karut pasukan B. Tukang karut pasukan A mula mengarut dan bunyinya demikian.

Selamat malam saudara
Terima kasih saudari
Hilang royak timbul cerita
Mulo-mulo ambo gori
Terima kasih saudari
Kecil besar tuo mudo
Mulo setak mula gori
Walau letih tubuh ambo
Kecil besar tuo mudo
Peminat dikir barat
Letih lesu tubuh ambo
Tubuh badan kure sihai

Tukang karut ini akan mencipta pantun atau karutnya di atas bangsal atau pentas secara spontan. Mereka akan mengemukakan berbagai – bagai tema. Di antaranya ialah budi dan jasa, pelajaran, pembangunan, dakwah dan percintaan. Kadang kala tukang karut ini akan sindir-menyindir, kata-mengata, keji-mengeji dan pukul memukul di antara satu sama lain. Ini dilakukan dengan tujuan berhibur semata-mata. Tukang karut terus menyambung karutnya :

Karut Kelantan Slow (perlahan)
Hilan royak balik sana
Nok timbul alik sini
Nati dengar kawe demo
Nak royak gitu gini
Pada perkara masa sekare
Kena kita berjago-jago
Kerajaan kita duduk lare
Dia royak semo-semo
Bagi yan ore muda
Jangan amal salah dadah
Keno kita berjago-jago
Hok termake payah bedoah
Kalau sapo-sapo ke rumah
Kena pakat-pakat payung
Kalau tubuh kita lemoh
Keno jago kesihate
Saudara saudari
Ibu-ibu bapa-bapa
Mulo-mulo tanda jadi
Mulo-mulo buka tekok
Keluarga muslimin
Anak cucu Tok Adam
Baso dia main goni
Mulo-mulo pembukaan
Pembangunan adik kakak
Benar benar di Malaysia
Keno fikir dengan otak
Fikir dengan akal
Aman makmur bahagia
Melayu, Cina dan India
Bersatu pada di Negara
Itulah negara Malaysia
Keno hapus segala musuh
Yang pertama ni komunis
Bersatu kita baru kukuh
Walau belia beliawanis

Setelah itu tiba masanya pula untuk tukang nyanyi wanita pasukan B menyanyi dan ini akan diikuti oleh juaranya berdikir. Seterusnya tibalah giliran pasukan A sekali lagi. Juaranya akan berdikir dan tukang karutnya akan mengarut. Kemudian tiba pula giliran pasukan B. Juaranya akan berdikir dan selepas itu disambut oleh tukang karutnya. Temanya juga sama dengan pasukan A. Biasanya tukang karut pasukan A tidak melagukan lagu yang serupa dengan pasukan B walau pun temanya sama. Mereka akan bergilir-gilir membuat persembahan ini hingga pukul tiga pagi atau waktu rehat. Ketika mereka berdikir dan mengarut inilah diselitkan selingan atau penambahan unsur-unsur nyanyian lagu-lagu lucu, lucah, dan sebagainya. Lagu-lagu ini dalam loghat Kelantan ataupun lagu-lagu saduran dari piring hitam. Lagu ini sebagai hiburan ataupun untuk menghilangkan rasa mengantuk para penonton. Jam pada pukul tiga pagi adalah waktu rehat. Tukang karut dan juara akan turun berjalan-jalan di sekeliling tempat bermain. Pada masa inilah penganjur mengumumkan pertandingan, tikam pulut, tikam rokok, kain lepas, tikam basikal dan lain-lain permainan. Ketika itu juga peminat-peminat dikir barat mengambil kesempatan menempah tukang karut dan juara untuk bermain di tempat mereka pula. Selepas waktu rehat kedua-dua pasukan ini akan naik ke pentas semula. Mereka akan memulakan dengan lagu dikir yang lebih panas. Kebanyakan yang disampaikan pada waktu ini adalah lagu-lagu berunsur lucah. Begitu pun terdapat juga lagu yang berunsur pengajaran dan nasihat di sebaliknya. Sebelum acara berakhir tukang karut akan mengarut serentak. Misalnya, tukang pasukan A memberi pembayang manakala tukang karut pasukan B pula akan memberi maksud pantun. Akhir sekali untuk penghabisan persembahan, tukang karut sebelah pihak akan mengalunkan lagu sedih. Di antaranya lagu Wau Bulan, Kilat Malam, Ikan Duyung, Layang-layang dan lain-lain lagi. Di samping itu, tukang karut ini meminta maaf dan mengenangkan nasib sebagai tukang karut.

Lagu Wau Bulan
i wa i wa bulan
wau bulan teraju tiga …
Minta maaf adik kakak sekalian
Kalau ada silap jangan simpan dalam dado
Tinggal kasih menolak sayang
Kalau panjang umur semula pulok kita jumpo
Oh samo-samo paling belakan
Selamat tinggal nok baliklah ambo
Oh ambo ini pakar ilmu tolo saran
Orang sayang orang merai waktu muda
Kalau dah tua habis Sayan ni aban
Taruh butir buat bako letok atas paro
Tak dak aroh ini malam
Sampai pun ye time dan maso
Oh ada salah nok minta maaf
Aban jangan taruh bimban dalam dado
Takut terkasar takut tersalah benar
Mana tahu kerajaan puak ambo
Oh rasa bebas cari makan
Turut untuk badan kecil jual suara
Ni ibarat burung terbang
Di mana dahan di situlah tempat ambo
Oh ada anok betina atau jantan
Mintok aban jangan tiru pengarai ambo
Kalau tak adok ilmu pengujian
Balah ni contoh buat kijo
Oh kita taat ambo nak pesan
Kalau dah habis tok sah ingat bila-bila
Maklum saja demo rama amba soran
Tok boleh nok buat tok boleh nok jago
Oh selamat tinggal selamat baik selamat jalan
Tok payah tunggu nok sudahlah ambo
Oh ni assalamualaikum ambo beri salam
Hilan royak doh habis alik ambo

PEMBAHARUAN DALAM PERMAINAN DIKIR BARAT

Semenjak pihak RTM (Radio Televisyen Malaysia) menyiarkan dikir barat ini sebagai salah satu rancangannya dan juga semenjak diadakan pertandingan dendang rakyat, dikir barat mengalami beberapa proses perubahan dari beberapa segi. Perubahan dan pembaharuan berlaku dalam aspek pakaian, tempat, cara persembahan dan juga lagu-lagu yang didikirkan untuk permainan ini.

Pada asalnya tiada pakaian seragam dalam permainan dikir barat. Walaubagaimanapun, semenjak diadakan pertandingan dikir barat dalam dendang rakyat kebanyakan pasukan dikir barat mempunyai pakaian masingmasing. Biasanya, awok-awok memakai baju yang sepasang serta bersamping dan kepala dililit dengan kain yang bercorak balik atau sebagainya. Juara, sebagai ketua berpakaian lain daripada awok-awok, berbaju sepasang dan mengikat kain di kepala dan sampin yang juga diperbuat daripada kain batik. Tukang karut pula memakai baju sepasang, baju luar (overcoat) dan mengikat kain di kepala seperti tanjak. Dari segi persembahan, pada asalnya awok-awok duduk bersila mengelilingi pembesar suara seperti sebuah bulatan dan tok juara serta tukang karut duduk di tengah. Semenjak diadakan pertandingan, awok-awok duduk bersila di dalam dua barisan yang menyerupai bentuk separuh bulatan. Pembesar suara diletak di hadapan barisan hadapan iaitu di tengah-tengah kumpulan. Juara dan tukang karut juga duduk di barisan hadapan. Alat-alat muzik dipegang oleh awok-awok yang duduk di tepi. Lagu-lagu yang didikirkan kebanyakannya bertemakan pembangunan, dasar ekonomi kerajaan, pelajaran, perpaduan dan lain-lain. Begitu pun tidak terdapat lagu-lagu yang berunsur lucah didikirkan seperti tahun-tahun sebelum pertandingan.

PENUTUP

Demikianlah persembahan dikir barat yang asalnya adalah dalam bentuk dikir tetapi diubahsuai dengan pantun masyarakat Melayu. Kemudian persembahan ini diselitkan lagu-lagu lucu, sedih yang bertujuan untuk hiburan. Dikir barat berkembang begitu pesat dengan tertubuhnya beberapa kumpulan dikir barat di tanahair. Pada masa yang sama permainan ini telah menjalani beberapa proses perubahan serta pembaharuan. Dikir barat bukan sahaja berfungsi sebagai arena hiburan tetapi juga mampu menyampaikan amanat kerajaan kepada rakyat dengan berkesan, terutamanya dalam mengubah cara penghidupan dan pemikiran rakyat sesuai dengan peredaran masa.
Sumber: http://koiry.multiply.com/journal

MADRID II

  Kota Madrid seawal abad ke 9 pernah diperintah oleh gabenur Umayyah Andalusia dan kota ini dikenali sebagai 'majrit' dari kata asa...