Monday, August 6, 2012

Novel Barbara inspirasi hidup masyarakat Kelantan

BERCAKAP mengenai wayang kulit, ternyata kebudayaan yang wujud lebih 1,000 tahun dahulu diasimilasi secara berperingkat dari beberapa negara, sebelum ia meresap ke dalam budaya masyarakat Melayu. 

Wayang kulit Melayu yang agak popular di Malaysia rata-ratanya adalah dari pantai timur Malaysia dengan kebanyakan mempunyai ciri dan sentuhan Siam. 

Antaranya ialah wayang kulit Kelantan atau lebih dikenali sebagai wayang kulit Siam. Ia dikatakan berasal dari Kemboja dan dibawa masuk melalui Patani, selatan Thailand. 

Dasarnya, kisah-kisah yang dipersembahkan adalah berdasarkan Hikayat Ramayana dan penglipur lara tempatan dan disampaikan menggunakan loghat Kelantan. Antara watak penting ialah Hanuman, Sri Rama, Sita Dewi, Maharaja Rawana dan Laksamana. 

Sebagai negeri yang bersempadan dengan selatan Thailand, Kelantan mempunyai persamaan dari segi elemen kebudayaan, sosial dan sesetengahnya memiliki loghat serta gaya hidup masyarakatnya. 

Kekayaan budaya Kelantan

“Berdiri sebagai sebuah negeri yang khusus, Kelantan kaya dengan kerja kraf, seni, makanan dan bahasa yang sangat unik. Tidak ketinggalan wayang kulit dan lain-lain seni persembahan yang menjadikan warga Kelantan bangga dengan siapa diri mereka,” kata seorang penulis buku bersiri misteri Shadow Play, Barbara Ismail dari Brooklyn, New York, Amerika Syarikat.

Wanita berdarah Inggeris itu menjadi saksi kepada beberapa persembahan wayang kulit di Kelantan, khususnya Kota Bahru pada era tahun 1970-an hingga 1980-an.

Tergerak hati untuk membukukan memori tersebut, novel beliau bukan sahaja diolah seperti kisah misteri ala Sherlock Holmes, bahkan menyentuh kehidupan masyarakat Kelantan terutamanya wayang kulit.

Dalam novel itu, Barbara tampil dengan siri penyiasatan penuh misteri membabitkan watak Maryam, seorang penjual kain songket di pasar Kota Bharu.


BARBARA (paling kanan) bersama kedua-dua anak perempuannya, Ariell (tengah) dan Jerushah di New York.

 
Mungkin agak luar biasa untuk menceritakan bagaimana seorang wanita yang menjual kain di pasar menjadi penyiasat dalam membantu polis menyelesaikan sebuah pembunuhan melibatkan pemain wayang kulit. 

Namun, Barbara ternyata bijak menggunakan watak-watak hidup yang ditemuinya di Kota Bahru dan memanipulasi secara bijak. Semua garapan penulisan itu adalah hasil daripada adaptasi diri beliau dalam kalangan penduduk tempatan.

“Saya belajar di Kolej Hamilton di New York dan menerima falsafah kedoktoran di Universiti Yale juga di New York. Pengenalan saya dengan wayang kulit buat pertama kali adalah ketika saya berada di Jawa semasa belajar dulu. 

“Profesor saya, Doug Raybeck seorang antropologis yang belajar di Kelantan, mengajar saya bahasa Melayu,” kata wanita itu melalui temu bual e-mel yang dilakukan baru-baru ini.

Fasih berbahasa Melayu tetapi dalam loghat Kelantan, Barbara terpengaruh dengan Raybeck dalam melanjutkan pendidikan mengenai wayang kulit Siam di Kelantan. 

“Pertama kali saya menonton wayang kulit Siam, saya terus jatuh hati,” katanya.

Ibu kepada dua orang anak, Jerushah, 25 dan Arielle, 21, itu amat mendalami penceritaan dan persediaan wayang kulit termasuk mempunyai hubungan rapat dengan tok dalang sehinggalah kepada para penonton tempatan. 

Mengimbas pengalaman menonton wayang kulit, masih segar dalam kotak fikiran Barbara mengenai persembahan yang melarut hingga lewat malam itu.

“Ada orang yang melintas ulang-alik di hadapan tabir putih dan urusan jual beli snek serta kopi berlangsung di tepi pentas. Ada yang duduk, merokok, berbual-bual dan makan sewaktu persembahan itu. Ia seperti sebuah majlis keramaian,” ujar beliau yang turut mendirikan rumah tangga dengan lelaki Melayu.

 BARBARA (kiri) bersama salah seorang daripada jiran rapat yang dikenalinya selama lima tahun tinggal di Kelantan.

 
Wanita lebih berkuasa

Pemerhatian Barbara di Negeri Cik Siti Wan Kembang itu turut berkisar mengenai pengaruh wanita. Wanita tempatan dilihat bukan sahaja cantik pada rupa, malah amat berkuasa. Laksana ketua dalam keluarga, peranan mereka merentasi kemahiran berniaga dan menjaga kebajikan ahli keluarga
.
Beliau juga berpendapat, golongan lelaki pula digambarkan sebagai kurang reputasi dalam berniaga lantas lebih suka membantu isteri dan lepak di kedai-kedai kopi selepas bersara. 

“Seperti watak utama novel saya, Maryam, wanita di Kelantan sangat berbakat, berani dan mampu berdiri di kaki sendiri tanpa bayang-bayang lelaki. 

“Mungkin juga ia menjadi sebab mengapa Kelantan agak mendahului statistik perceraian kerana wanita-wanita tidak perlu bergantung kepada lelaki,” katanya lagi sambil menambah bahawa pada tahun 1970-an, Kelantan agak ketinggalan dan terasing daripada bahagian barat Semenanjung Malaysia dari segi pembangunan.

Keramahan dan kemesraan penduduk di Kelantan juga menambat hati Barbara dan dia berharap pada suatu hari nanti kedua-dua anak perempuannya dapat merasai pengalaman yang sama.

Budaya Melayu

Kisah yang dibawa dalam novel Barbara banyak dibantu oleh rakannya, Ijan Shaari. 

“Dia membaca draf novel dan banyak membantu dalam penelitian penggunaan bahasa Melayu serta penerangan tentang budaya. 

“Jiran saya di Kota Bharu yang ketika itu berusia 12 tahun, Ashikin Mohd. Ali, turut menawarkan bantuan dalam mendapatkan maklumat mengenai budaya dan orang Kelantan,” ujarnya Barbara yang menetap sekitar lima tahun di Kelantan. 

Barbara juga amat berterima kasih kepada ramai lagi orang perseorangan, jiran-jiran dan rakan-rakan beliau di Kelantan yang banyak membekalkannya dengan pengalaman yang indah tatkala di Kelantan.

“Bryn Barnard, seorang artis yang saya kenali sejak kami di Kelantan pada tahun 70-an, membaca draf dan memberi komen membina. Pengarang saya, Richard Lord, memberi idea dalam saya menjayakan novel ini, tidak dilupakan adik ipar, Shahmim Dhilawala, yang berkerja keras untuk novel ini,” kata Barbara.

Wanita kulit putih yang lebih menyukai kehidupan fasa perlahan Kelantan berbanding New York itu turut menggambarkan kebudayaan orang Melayu khususnya di Kelantan.

“Orang Melayu amat menjaga hati orang lain dalam setiap tindakan dan percakapan. Di New York, kami cakap sahaja apa yang terlintas, tanpa memikirkan impak kepada orang lain. Pengalaman di Kelantan membuatkan saya lebih kemelayuan. Kini saya bercakap, makan, masak, bertindak, semuanya dipengaruhi resam Kelantan,” katanya bangga.

Walaupun sudah sekian lama tidak melawat Kelantan, negeri itu menjadi kegemarannya di Malaysia memandangkan, dia masih mempunyai ramai kenalan di situ selain di Melaka dan Kuala Lumpur. 

Merindui pemandangan semula jadi Kelantan dan makanannya seperti nasi dagang dan kek Kelantan, Barbara mengakui, rasa cintanya terhadap Kelantan sesuatu yang tidak dapat dipadam begitu sahaja dan akan terus dihidupkan melalui penulisan buku beliau.

“Saya masih ingat apabila balik ke rumah selepas menonton wayang kulit, segala-galanya gelap gelita. Apabila mendongak ke atas, saya dapat lihat awan yang cantik dipenuhi bintang-bintang. 

“Tidak mungkin saya mendapat perkara yang sama di New York. Itu adalah kecantikan milik Kelantan,” ujarnya.

Kosmo. 7 Ogos 2012

MADRID II

  Kota Madrid seawal abad ke 9 pernah diperintah oleh gabenur Umayyah Andalusia dan kota ini dikenali sebagai 'majrit' dari kata asa...