Tuesday, October 7, 2008

selamat hari raya aidil fitri



SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI. maaf zahir batin.
sempat juga bergambar dengan sebahagian keluarga waktu balik dari sembahyang raya.

Monday, October 6, 2008

artikel penghinaan mahkamah

Assalamulaikum wbt dan Salam sejahtera buat semua sahabat. Alhamdulillah kita baru selesai menjalani ibadah puasa dan merayakan aidil fitri bersama sanak saudara. Moga masa yang diluangkan bersama keluarga sepanjang cuti baru-baru ini memberikan kita ketenangan dan dada yang lapang bagi memulakan kembali tugas rutin kita.

Sengaja saya masukkan artikel mengenai konsep penghinaan mahkamah secara ringkas bagi tatapan dan panduan sahabat-sahabat sekalian. Sebahagian daripada artikel ini ada dimuatkan di dalam buku Undang-Undang Tatacara mal, Prinsip dan Amalan yang dijangka akan diterbitkan tak lama lagi. Artikel ini bagaimanapun tidaklah mengupas secara terperinci mengenai konsep penghinaan mahkamah sepertimana yang disentuh di dalam buku sebelumnya, "Penghinaan Mahkamah: Undang-Undang Sivil dan Undang-Undang Islam", ianya lebih banyak menyentuh mengenai prosiding atau tatacara di Mahkamah Syariah. Semoga ianya dapat membantu sahabat-sahabat dan memberikan ilmu yang bermanfaat.



BAB 16

PENGHINAAN MAHKAMAH

PENDAHULUAN

Di Malaysia, undang-undang Islam, setakat yang dibenarkan, dilaksanakan di Mahkamah Syariah. Penubuhan Mahkamah Syariah adalah berdasarkan peruntukan perlembagaan yang memberi kuasa kepada negeri untuk mentadbir undang-undang Islam yang digolongkan sebagai undang-undang diri (personal law) berdasarkan kehendak Jadual ke-9, Senarai 2 Butiran 1. Walaupun bidang kuasa Mahkamah Syariah diberikan hanya dalam undang-undang diri, ia disertakan pula dengan sekatan tertentu melalui peruntukan perlembagaan dan akta. Walau apa pun sekatan, Mahkamah Syariah adalah satu badan tertinggi di Malaysia yang melaksanakan undang-undang Islam setakat yang diberikan.

Menegakkan institusi kehakiman syariah merupakan satu tuntutan syarak kerana hukum syarak tidak akan dapat dilaksanakan dan dihayati tanpa adanya institusi ini. Dengan menegakkan dan melaksanakan kehakiman syariah bermakna keadilan dapat ditegakkan dan kezaliman dapat dihapuskan. Perkara ini adalah selaras dengan tujuan penggubalan undang-undang iaitu untuk mencapai keadilan dengan menyelesaikan pertikaian dan perbalahan, menghukum pihak yang bersalah, memberikan hak kepada pihak yang berhak dan menempatkan sesuatu pada tempatnya, dan mengelakkan serta menghapuskan kezaliman. Berdasarkan kepada prinsip inilah, maka menghormati kemuliaan kepada Mahkamah Syariah itu adalah menjadi satu tuntutan. Apa-apa tindakan sama ada berbentuk fizikal seperti mencemuh, mengkritik, menghalang perjalanan prosiding sama ada secara lisan, tulisan ataupun reaksi secara langsung atau tidak langsung yang boleh menyebabkan kemuliaan atau kehormatan Mahkamah Syariah tercemar atau aib boleh dikenakan tindakan kesalahan penghinaan Mahkamah.



Apa Itu Penghinaan Mahkamah

Prinsip penghinaan Mahkamah di Mahkamah Syariah ini pada asasnya diambil dari amalan di Mahkamah-mahkamah awam. Oleh kerana prinsip ini tidak bertentangan dengan hukum syarak, malah menegakkan prinsip ini akan menambahkan lagi kemuliaan dan kehormatan kepada Mahkamah Syariah, maka prinsip ini diguna pakai dan menjadi teras kepada Mahkamah Syariah untuk mempertahankan kewibawaan dan integritinya.

Perkataan ‘penghinaan mahkamah’ ini diambil dari perkataan Inggeris iaitu ‘contempt of court’. Perkataan contempt bermaksud penghinaan atau sikap memandang rendah kepada kepada sesuatu perkara. Menurut A.S Hornby dalam Oxford Dictionary Of Current English, ‘contempt’ atau penghinaan ialah satu unsur memandang rendah kepada sesuatu pekara atau tidak mengendahkan (mempedulikan): iaitu dalam semua bentuk peraturan atau undang-undang. Apabila disebut ‘contempt of court’ atau penghinaan Mahkamah, ia memberi maksud tidak mematuhi terhadap perintah yang dikeluarkan oleh mahkamah atau tidak menghormati sistem kehakiman .

K.J. Aiyars memberikan pengertian yang sama mengenai maksud penghinaan mahkamah ini di mana beliau mendefinisikan sebagai suatu sikap yang tidak mematuhi perintah mahkamah atau tidak menghormati hakim . Dalam Encyclopedia Of The Law Of England, prinsip penghinaan ini diterima di dalam perundangan di mana ia merupakan satu unsur dalam kesalahan sama ada secara langsung ataupun secara tidak langsung, yang bertentangan dengan perintah hakim atau mereka yang mengetuai undang-undang ataupun mencabar kedudukan hakim yang menjalankan tugas pentadbiran keadilan. Maksud penghinaan dalam makna asalnya ialah mana-mana kesalahan menghina atau merendahkan authority kedudukan raja atau individu yang dilantik sebagai wakil raja yang berfungsi menjalankan pentadbiran keadilan .

Jika dilihat kepada pengertian ini, Mahkamah Syariah di Malaysia adalah satu-satunya badan terunggul yang melaksanakan undang-undang Islam setakat yang diberikan oleh Perlembagaan. Kuasanya adalah yang tertinggi jika dibandingkan dengan badan-badan yang berbentuk keagamaan yang lain. Perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah adalah perintah yang selaras dengan aturan syariat secara langsung dari Allah s.w.t. Melanggari perintah tersebut adalah sesuatu jenayah yang serius kerana mengingkari perintah Allah yang disalurkan melalui Mahkamah Syariah.

JENIS-JENIS PENGHINAAN MAHKAMAH

Penghinaan mahkamah boleh jadi berlaku melalui kesalahan jenayah atau sivil. Kesalahan yang berlaku itu mungkin akibat daripada perkataan, kelakuan atau apa-apa bentuk penulisan yang menghalang atau boleh menghalang kelicinan pentadbiran keadilan .

Penghinaan mahkamah dalam bentuk jenayah adalah seperti merendahkan nama baik hakim, menuduh hakim berat sebelah dan sebagainya. Satu-satu kelakuan itu dikatakan penghinaan jenayah bila mengandungi unsur-unsur kesalahan seperti campurtangan dalam pentadbiran keadilan atau cuba merendahkan authority mahkamah dan mengganggu prosiding mahkamah .

Manakala penghinaan sivil atau mal pula termasuklah tidak mematuhi mahkamah dengan sengaja seperti membantah perintah mahkamah supaya memulangkan anak, tidak mengemukakan dokumen seperti yang diarahkan oleh mahkamah, gagal mematuhi penghakiman atau proses mahkamah yang lain termasuklah tidak mematuhi sepina, injunksi atau apa-apa perintah atau arahan yang dikeluarkan oleh mahkamah.

Di Mahkamah Syariah, kekerapan kesalahan penghinaan mahkamah adalah berlaku dalam bentuk ini.

BENTUK-BENTUK PENGHINAAN MAHKAMAH

Umumnya, penghinaan mahkamah di Mahkamah Syariah dapat dibahagikan kepada dua bentuk utama iaitu penghinaan secara lamgsung dan penghinaan secara tidak langsung. Dalam perkataan lain ia juga disebut penghinaan di dalam mahkamah dan juga penghinaan di luar mahkamah. Penghinaan secara langsung atau di dalam mahkamah ialah perlakuan menghina hakim secara terus. Manakala penghinaan secara tidak langsung atau penghinaan di luar mahkamah ialah menghina hakim atau mahkamah semasa pelakunya tidak berada di dalam mahkamah atau tidak dilihat oleh hakim.

Penghinaan secara langsung ini disebut juga sebagai penghinaan in facie iaitu penghinaan yang dilakukan secara langsung atau secara terus terhadap mahkamah atau di hadapan mahkamah (in the face of the court). Manakala penghinaan secara tidak langsung pula disebut sebagai penghinaan ex facie iaitu penghinaan yang dilakukan secara tidak langsung atau kadang-kadang ia juga dikenali sebagai penghinaan konstruktif , iaitu penghinaan yang tidak berlaku di dalam mahkamah tapi bertujuan untuk melemahkan pelaksanaan pentadbiran keadilan .

Perbezaan bentuk kesalahan penghinaan mahkamah sama ada di dalam mahkamah atau kesalahan menghina di luar mahkamah hendaklah diberi perhatian oleh hakim bicara. Mungkin sekali imbas kedua-dua bentuk kesalahan ini nampaknya hampir sama, tetapi kesan dan prosidingnya adalah berbeza walau pun hukuman yang diberikan adalah sama. Kegagalan membezakan bentuk kesalahan penghinaan mahkamah ini menyebabkan ketidak adilan berlaku kepada seseorang. Di dalam kes Ahmad bin Shapiai lwn Hani binti itam Ali Husin , YA Dato’ Hj Mohd Asri bin Abdullah, KHS mengulas:

“Saya juga berpendapat bahawa pertuduhan menghina mahkamah di bawah Enakmen Acara Mal 1996 sek. 219 hendaklah diasingkan di antara penghinaan di dalam mahkamah dan luar mahkamah kerana mengikut sek. 219 (5) menjelaskan jika seseorang melakukan penghinaan dalam mahkamah, orang itu tidak perlu disampaikan notis tunjuk sebab selainnya notis tunjuk sebab hendaklah disampaikan kepada orang yang dikatakan melakukan penghinaan tersebut. Dalam kes ini nampaknya tuduhan penghinaan dalam mahkamah di hadapan Hakim dan di luar mahkamah telah dicampuradukkan.”


PROSIDING PENGHINAAN MAHKAMAH

Bagi penghinaan mahkamah untuk kes mal, Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa untuk memulakan prosiding di atas usulnya sendiri terhadap mana-mana orang kerana menghina mahkamah. Dalam prosiding tersebut, mahkamah boleh, membuat suatu perintah untuk mengkomitkan seseorang selama tempoh yang tidak melebihi enam bulan atau boleh mengenakan denda tidak melebihi dua ribu ringgit. Seksyen 229 (1) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (negeri Sembilan) 2003 memperuntukkan:

(1) Mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk memulakan prosiding terhadap mana-mana orang kerana menghina mahkamah dan boleh, dalam prosiding sedemikian, membuat suatu perintah pengkomitan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau boleh mengenakan denda tidak melebihi dua ribu ringgit.


Prosiding Penghinaan Di Dalam Mahkamah (Secara Langsung)

Jika penghinaan mahkamah itu dilakukan secara langsung, iaitu dilakukan di hadapan hakim atau di dalam mahkamah, mahkamah boleh memulakan prosiding itu secara terus pada masa tersebut tanpa perlu menyampaikan notis untuk menunjukkan sebab.

Mahkamah yang memulakan prosiding tersebut, hendaklah mencatat kesalahan-kesalahan yang difikirkan telah dilakukan oleh seseorang yang dikatakkan telah menghina mahkamah, merekodkan kesalahan-kesalahan penghinaan yang dilakukan, menderaf dan dan membacakan tuduhan tehadap orang yang dikatakan telah melakukan penghinaan itu dan hendaklah memastikan bahawa orang itu faham tentang jenis kesalahan yang dikatakan (dituduh) terhadapnya. Orang itu juga hendaklah diberi peluang sewajarnya untuk membela atau mempertahankan dirinya. Pada masa yang sama Mahkamah hendaklah mencatat dan merekodkan semua prosiding semasa proses tersebut dilaksanakan. Seksyen 229 (2) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003 memperuntukkan:

(2) Jika penghinaan dilakukan di dalam Mahkamah, maka tidaklah perlu bagi Mahkamah menyampaikan notis untuk menunjukkan sebab tetapi Mahkamah hendaklah memastikan bahawa orang yang dikatakan melakukan penghinaan itu faham tentang jenis kesalahan yang dikatakan terhadapnya dan diberi peluang untuk didengar untuk membela dirinya, dan Mahkamah hendaklah membuat suatu rekod yang sepatutnya mengenai prosiding itu.


Dalam kes Kamariah Salim lwn Zulkifli Puteh, . Kes ini pada awalnya merupakan permohonan tuntutan fasakh plaintif terhadap Defendan. Pernyataan pembelaan Defendan banyak mengandungi pernyataan yang menghina mahkamah dan institusi kehakiman. Sepatutnya pernyataan pembelaan mengandungi jawapan kepada tuntutan plaintif. Pada kali pertama, YA Hakim memerintahkan supaya pihak Defendan menarik balik pernyataan itu dan membuat pernyataan pembelaan yang lain. Defendan akur dengan perintah mahkamah. Kali kedua, tiada perubahan yang berlaku dengan pernyataan pembelaan yang dibuat malahan pernyataan penghinaan yang dibuat semakin berat sehingga menyatakan “hakim syaitan”. Hakim kemudiannya mengarahkan Zulkifli (Defendan) berjumpa pakar psikiatrik bagi menganalisis keadaan mentalnya. Tempoh masa yang diberikan adalah selama dua bulan. Selepas dua bulan, laporan mengenai keadaann mentalnya diperoleh dan menunjukkan keadaan mental Defendan adalah normal. Ini bermakna tindakan yang dibuat oleh Defendan adalah satu tindakan yang tidak dipengaruhi oleh tekanan mental ataupun bukanlah kerana dia mempunyai penyakit mental. Berdasarkan laporan perubatan dan peluang yang diberikan, YA Hakim telah mensabitkan kesalahan di bawah seksyen 220(1), iaitu penghinaan di dalam Mahkamah dengan hukuman penjara selama tiga (3) hari. Hakim bicara telah memberi faham akan kesan tindakannya, memberi peluang kepada Defendan untuk membela diri, dan merekodkan semua prosiding terhadap kes tersebut.

Dalam kes yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan Syariah di Ipoh perak, iaitu kes Ahmad bin Shapiai lwn Hani binti itam Ali Husin , fakta kesnya ialah Perayu telah disabitkan kesalahan dan dihukum penjara lima bulan. Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Kangsar pada 30.6. 1999 telah mengekalkan sabitan, keputusan dan penghukuman Mahkamah Rendah Syariah kuala Kangsar pada 13.4.1999 dimana pemohon telah disabitkan bersalah menghina mahkamah di bawah seksyen 219 (5) Enakmen Acara Mal Syariah 1996. Persoalan undang-undang yang timbul ialah sama ada Mahkamah Rendah Syariah gagal memberikan hak membela diri sebelum sabitan dibuat oleh Mahkamah Rendah Syariah atau tidak kepada Perayu. Dalam kes tersebut, setelah tuduhan dibacakan kepada tertuduh, Hakim telah bertanya sama ada tertuduh mengerti dan faham semua yang Hakim sebutkan. Tertuduh mengangguk kepala menunjukkan dia faham dan mengerti di atas tuduhan yang dibacakan. Di atas akuan faham akan tuduhan tersebut, Hakim terus mensabitkan tertuduh bersalah. Panel Rayuan telah membuat ulasan dengan menyatakan:

“Saya berpendapat YA Hakim Mahkamah Tinggi Syariah yang mendengar rayuan ini telah terlepas pandang terhadap soal utama yang menjadi asas persoalan undang-undang iaitu hak untuk membela diri dalam tuduhan menghina mahkamah ini. Ia mungkin berbeza dari segi pertuduhan jenayah biasa di mana setelah tuduhan dibaca kepada tertuduh ia hendaklah ditanya sama ada faham terhadap tuduhan yang dibacakan dan hendaklah ditanya pengakuannya, tetapi dalam kes menghina mahkamah ini pengakuannya tidak perlu diambil tetapi apabila ia mengaku faham tuduhan yang dibacakan tertuduh hendaklah diberi hak membela diri sebelum sabitan dibuat oleh Hakim.”

Dalam kes ini, Mahkamah Rayuan Syariah telah sebulat suara membenarkan rayuan Perayu dan sabitan hukuman penjara selama lima bulan telah dibatalkan dan keputusan tersebut telah diketepikan.

Dalam kes Zainur bin zakaria lwn Pendakwa Raya (Penghina Mahkamah) , isu yang timbul ialah sama ada Hakim perrbicaraan telah dengan betul mengguna pakai prosedur ringkas dalam mensabitkan Perayu atas kesalahan penghinaan di dalam mahkamah. Steve LK Shim, H.B (Sabah dan Sarawak) dalam ulasannya menyatakan:

“ Dalam prosiding penghinaan, penghina yang didakwa mesti diberikan peluang yang munasabah untuk menyediakan kesnya. Dalam kes ini, Hakim perbicaraan telah enggan membenarkan permohonan perayu untuk penangguhan kes bagi beliau menyediakan pembelaan terhadap dakwaan penghinaan dan untuk memanggil saksi. Memandangkan betapa beratnya dakwaan tersebut, perayu sepatutnyadiberi peluang untuk memanggil saksi-saksi untuk mematahkan dakwaan bahawa affidavit sokongan terhadap permohonan untuk membatalkan dua orang pendakwa tersebut mengandungi hal-hal yang menghina. Penangguhan juga patut diberikan supaya perayu dapat menyediakan pembelaan beliau dengan lengkap. Di dalam kes ini perayu sebenarnya telah dinafikan peluang daripada menjawab dakwaan terhadapnya. Dalam keadaan ini, prosedur ringkas yang digunakan oleh Hakim perbicaraan telah tidak dilaksanakan sewajarnya menyebabkan ketidak adilan kepada perayu.

Tindakan Hakim perbicaraan sendiri telah menyebabkan prosiding tersebut, khususnya soal siasat ke atas perayu dan cepatnya perayu disabitkan tanpa beliau dibenarkan memanggil sebarang saksi, memberikan gambaran bahawa Hakim seolah-olah bertindak sebagai peguam bagi kedua-dua pendakwa dalam usul tersebut.”

Dalam kes Public Prosecutor lwn Seeralan. Hakim Tun Salleh Abbas telah menggariskan beberapa panduan dalam prosedur penghinaan terhadap mahkamah di mana ia berdasarkan jawapan kepada tiga soalan berikut:

(a) whether or not in law criminal contempt has been committed in the face of the court by the respondent by accusing the presiding magistrate in Port Dickson Magistrate’s Court Inquest No. 47/1984 of being biased, unfair and prejudiced and by refusing to leave the court when ordered to do so by the learned magistrate;
(b) if the answer to question (a) is in the affirmative, then whether it is right in law for the learned magistrate in the circumstances of this case to exercise his power of punishment for contempt of court summarily;
(c) if the answer to question (b) is in the affirmative, then whether it is right in
law for the iearned Judge to set aside the order of the learned magistrate committing the respondent for contempt of court in chambers without giving due notice or the right to be heard to the public prosecutor?


Prosiding Penghinaan Di Luar Mahkamah (Secara Tidak langsung)

Penghinaan di luar mahkamah (contempt ex-facie of court) pula ialah penghinaan yang dilakukan bukan semasa prosiding berjalan di dalam mahkamah, tetapi boleh jadi masih didalam prosiding namun dilakukan di luar mahkamah. Contoh penghinaan diluar mahkamah adalah seperti ingkar perintah mahkamah, membicarakan kes yang sudahpun menjadi sub judice, membuat komen atau ulasan terhadap hakim atau mahkamah secara tidak wajar, membuat tohmahan terhadap hakim dan sebagainya. Arahan Amalan No 13 Tahun 2004 ada menggambarkan beberapa contoh kesalahan penghinaan di luar mahkamah. Arahan Amalan tersebut menyebut:

Penghinaan diluar Mahkamah termasuklah:-

i. Keengganan mematuhi apa-apa perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah ; atau
ii. Mengeluarkan apa-apa kenyataan samada secara lisan atau bertulis oleh mana-mana orang atau badan atau pertubuhan atau organisasi yang adalah satu perbuatan menghina Mahkamah Syariah.

Prosiding penghinaan di luar mahkamah ini bolehlah dimulakan oleh sama ada Pendakwa Syarie atau mana-mana orang yang berkepentingan. Jika dimulakan oleh Pendakwa Syarie, sekurang-kurangnya satu aduan (atau laporan) dibuat bagi membolehkan pendakwa Syarie memulakan tindakan bagi meneruskan prosiding tersebut.

TATACARA PENGHINAAN MAHKAMAH YANG DIMULAKAN OLEH PENDAKWA SYARIE

Untuk mempastikan pentadbiran keadilan dilaksanakan mengikut kehendak Hukum Syarak dan agar kezaliman dapat dielakkan, maka undang-undang yang berkaitan dengan kesalahan mengingkari, melanggar, mempertikaikan serta menghina mahkamah telah digubal dan tindakan jenayah boleh diambil ke atas mereka yang melakukannya. Peruntukan tersebut ada terdapat di dalam enakmen. Apabila sesuatu kesalahan penghinaan mahkamah itu dimulakan dengan satu aduan, maka tugas pengendalian kes penghinaan mahkamah adalah menjadi tanggungjawab Pendakwa Syarie. Secara ringkas, dinyatakan disini tatacara pendakwaan kes-kes jenayah bagi kesalahan penghinaan mahkamah bagi memudahkan pemahaman. Jika kes penghinaan mahkamah ini dimulakan oleh Pendakwa Syarie melalui satu aduan yang diterima, pengendaliannya di mahkamah adalah sama sepertimana kes-kes jenayah biasa yang lain.

Pendakwaan

Tindakan jenayah ke atas pihak yang ingkar perintah mahkamah bermula apabila mereka yang berkepentingan terhadap sesuatu perintah mahkamah itu memberi maklumat atau membuat aduan kepada pegawai penguatkuasa agama negeri. Selepas sesuatu maklumat atau aduan diterima, pegawai penguatkuasa agama hendaklah melaksanakan tindakan yang sewajarnya mengikut prosedur undang-undang yang diperuntukkan.

Selepas segala proses diperingkat penguatkuasaan dilaksanakan dengan sempurna dan kertas siasatan disediakan dengan lengkap tindakan seterusnya akan dikendalikan oleh Bahagian Pendakwaan yang diketuai oleh seorang Ketua Pendakwa Syarie Negeri dan dibantu oleh (Timbalan) Pendakwa-Pendakwa Syarie.

Bagi menjamin segala proses kerja yang dilakukan oleh Pegawai Penguatkuasa Agama dan tindakan pendakwaan berjalan dengan sempurna tanpa menyalahi prosedur yang ditetapkan adalah menjadi tanggungjawab Ketua Pendakwa Syarie Negeri. Sebagai langkah untuk mengawal, Ketua Pendakwa Syarie Negeri perlu menyediakan suatu garis panduan atau “dasar pendakwaan” yang bertujuan untuk memberi panduan kepada Pendakwa Syarie dan Pegawai Penguatkuasa Agama dalam menjalankan sesuatu siasatan kes jenayah syariah.

Selain daripada itu untuk menjamin kelicinan proses kerja ini, Ketua Pendakwa Syarie dari semasa ke semasa boleh mengeluarkan “Arahan Ketua Pendakwa Syarie” sebagaimana amalan Jabatan Peguam Negara yang mengeluarkan “Arahan Pendakwaraya”. Perkara ini boleh dilakukan kerana kuasa yang ada pada Ketua Pendakwa Syarie di dalam penentuan kes jenayah Syariah adalah sama dengan kuasa yang ada pada Peguam Negara bagi kes jenayah sivil.

Kriteria Dalam Membuat Keputusan Pendakwaan Kesalahan Penghinaan Mahkamah

Keputusan samada untuk mendakwa ataupun tidak dalam kes yang berkaitan dengan kesalahan ingkar perintah mahkamah merupakan suatu langkah yang amat penting dalam proses pendakwaan. Dalam setiap keputusan, pertimbangan yang wajar harus diberikan kepada kepentingan mangsa/pengadu, orang yang disyaki dan masyarakat seluruhnya bagi mempastikan keputusan yang betul dibuat. Keputusan yang salah atau tidak tepat untuk mendakwa atau tidak mendakwa kedua-duanya boleh menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap sistem keadilan pentadbiran undang-undang syariah di negara ini.

Dalam menentukan objektif pendakwaan dapat dicapai iaitu untuk mendapatkan keadilan dengan membuktikan tertuduh telah melakukan kesalahan seperti yang dikemukakan dalam pertuduhan, dua kriteria penting perlu dilihat oleh pihak pendakwaan dalam membuat keputusan iaitu:
a) keterangan yang cukup bagi mewajarkan pendakwaan; dan
b) Kepentingan awam.


a) Keterangan Yang Cukup

Dalam menimbangkan kriteria ini untuk membuat keputusan berkaitan pendakwaan kes ingkar perintah Mahkamah adalah sama dengan kes-kes jenayah yang lain iaitu adalah keterangan yang ada boleh membuktikan wujudnya “prima facie” kes yang boleh mensabitkan tertuduh di peringkat akhir kes pendakwaan. Berhubung dengan pertimbangan yang perlu kepada wujudnya “prima facie” selalu digunakan dalam membuat keputusan berkaitan kes-kes jenayah. Jabatan Peguam Negara Malaysia dalam Arahan Pendakwa Raya Bil. 2 Tahun 1998 ada menetapkan:

“Keputusan untuk mendakwa bolehlah dibuat dalam mana-mana kes setelah timbalan Pendakwa Raya meneliti dengan terperinci pihak pendakwa boleh membuktikan kes “prima facie” terhadap orang yang kena tuduh pada akhir kes pendakwaan”.

Dalam keadaan yang sama, amat wajar kiranya Ketua-ketua Pendakwa Syarie Negeri mengeluarkan arahan seumpamanya untuk menjadi garis panduan kepada Pendakwa-pendakwa Syarie semasa meneliti kertas-kertas siasatan sebelum diangkat untuk pendakwaan. Dalam menentukan samada terdapat prospek yang munasabah untuk mendapatkan sabitan terhadap tertuduh, Pendakwa Syarie hendaklah menganalisis kekuatan kes tersebut sekiranya tertuduh dituduh di mahkamah. Perkara-perkara yang perlu dipertimbangkan kehadiran saksi-saksi yang kompeten dan berkredibiliti dan kesan keterangan mereka kepada hakim dan lain-lain keterangan yang berkaitan.

Pendakwa Syarie hendaklah juga memberi perhatian kepada apa-apa pembelaan yang mungkin boleh ditimbulkan oleh pihak tertuduh atau peguamnya. Pada kebiasaannya, kelemahan dari segi teknikal yang tidak diperhalusi oleh pendakwa dalam menyemak kertas siasatan boleh menimbulkan masalah di peringkat pendakwaan dan yang lebih malang lagi sehingga tertuduh dilepaskan oleh mahkamah.

Dalam meneliti kertas siasatan sekiranya terdapat catatan atau dokumen-dokumen yang meragukan atau ada apa-apa pernyataan saksi yang berkemungkinan boleh dicabar oleh pihak tertuduh, sepatutnya diselesaikan terlebih dahulu sebelum pertuduhan difailkan ke mahkamah.

Untuk mempastikan proses penyiasatan dan penyediaan dokumen dapat mencapai tahap memuaskan sebelum difailkan pertuduhan di mahkamah adalah menjadi tanggungjawab pihak pendakwa semasa menyemak kertas siasatan. Sekiranya terdapat apa-apa kekurangan yang berlaku, sepatutnya pendakwa yang bertanggungjawab boleh terus berurusan atau memanggil pegawai penyiasat berkenaan untuk berbincang.

Pertimbangan Dalam Menyemak Kertas Siasatan

Pegawai pendakwa yang menyemak kertas siasatan khususnya dalam kes ingkar perintah mahkamah hendaklah mempastikan perkara-perkara berikut disediakan oleh pihak penguatkuasa agama dan pegawai penyiasat mengikut kehendak peruntukan undang-undang :

(1) Senarai semak keterangan yang dikehendaki;
(2) Borang maklumat yang diisi dengan betul mengikut prosedur undang-undang;
(3) Perintah atau salinan perintah yang dikeluarkan oleh mahkamah;
(4) Laporan tangkapan;
(5) Laporan berhubung Jaminan;
(6) Pernyataan saksi-saksi yang berkaitan;
(7) Pernyataan Orang Yang Disyakki jika berkaitan;
(8) Diari siasatan pegawai penyiasat;
(9) Senarai barang-barang kes jika ada;
(10) Rajah, pelan lakar jika berkaitan;
(11) Apa-apa dokumen berkaitan yang boleh menyokong (Eksibit);
(12) Pastikan siasatan diselesaikan dalam tempoh yang munasabah.

Setelah menilai keterangan-keterangan yang ada, pihak pendakwa perlu memberi pertimbangan kepada perkara-perkara berikut sebelum membuat keputusan antaranya:

i) Adakah terdapat alasan-alasan di mana keterangan tersebut akan ditolak atau diketepikan berdasarkan kepada prinsip-prinsip kebolehterimaan mengikut Enakmen keterangan Mahkamah Syariah;
ii) Adakah saksi-saksi yang ada boleh dipercayai, pelupa atau seorang yang bermusuhan dengan tertuduh;
iii) Adakah saksi mempunyai motif yang tidak baik dalam memberi keterangan dan menyebabkan peluang yang besar kepada pihak peguambela untuk mencabar;
iv) Bagaimana keadaan saksi dari segi ketahanan mental dan fizikal dalam menghadapi soalan balas dari peguambela, pastikan juga kredibilitinya tidak akan terjejas;
v) Adakah terdapat percanggahan keterangan antara saksi-saksi dan adakah percanggahan tersebut boleh melemahkan kes itu atau menimbulkan syak bahawa keterangan tersebut tidak benar;
vi) Sekiranya isu identiti terlibat, adakah terdapat saksi-saksi yang boleh mengecam tertuduh;
vii) Sekiranya terdapat lebih dari seorang tertuduh, adakah terdapat prospek yang munasabah samada untuk mendakwa mereka secara berasingan atau bersama.

b) Kepentingan Awam

Selepas seseorang pendakwa Syarie berpuashati bahawa terdapat keterangan yang mencukupi untuk mewajarkan pendakwaan, dia hendaklah seterusnya memberi pertimbangan samada berdasarkan kepada fakta kes yang boleh dibuktikan dan selepas melihat seluruh keadaan yang wujud di dalam kes tersebut dan juga kepentingan awam yang memerlukan kes tersebut di bawa ke muka pengadilan.

Dalam membuat pertimbangan berkaitan kepentingan awam bagi kes ingkar perintah atau penghinaan mahkamah ini perlu juga dilihat kepada keadaan yang berlaku di dalam mesyarakat seluruhnya. Sebagai contohnya seperti perlanggaran perintah berkaitan dengan hak penjagaan anak (hadhanah), perintah nafkah, perintah tegahan (interim) dan sebagainya. Selain daripada itu pegawai pendakwa dan pegawai penguatkuasa perlu peka kepada kritikan-kritikan oleh pihak tertentu yang sering mencemuh tentang penguatkuasaan kes-kes syariah terutama dalam usaha untuk menguatkuasakan perintah yang dikeluarkan oleh mahkamah.

Untuk menyelesaikan masalah ini, setiap pihak adalah disarankan supaya menjalankan tugas masing-masing dengan jujur, cekap dan berkesan termasuklah JAKIM, JKSM, Jabatan Agama Islam Negeri dan Mahkamah.

Andaikata persoalan berkaitan dengan kepentingan awam tidak dapat ditangani dengan sempurna sebelum sesuatu pendakwaan dijalankan atau sebaliknya nescaya pelbagai cemuhan akan dibuat oleh masyarakat yang akan menjejaskan imej institusi agama Islam keseluruhannya.

Objektif Pendakwaan Penghinaan Mahkamah

Objektif pendakwaan adalah untuk membuktikan tertuduh telah melakukan kesalahan seperti yang dikemukakan dalam pertuduhan. Selain dari itu, tugas pendakwa dan juga peguambela ialah membantu hakim supaya beliau dapat membuat keputusan yang adil. Dalam hal ini kedua-dua pihak dipanggil sebagai pegawai mahkamah dalam sesuatu perbicaraan berkaitan. Dari itu, tugas pendakwa adalah bermula dari seawal proses sesuatu kes itu bermula dan mempastikan segala prosedur diikuti bermula dari proses penerimaan maklumat, penangkapan, penyiasatan sehinggalah kepada penyediaan kertas siasatan. Sebagai contoh seperti;

(a) Kes boleh tangkap atau kes tak boleh tangkap.
(b) Hak-hak tertuduh semasa dalam jagaan pihak penguatkuasa.
(c) Prosedur pelepasan jika siasatan tidak dapat diselesaikan dalam tempoh 24 jam.

Sekiranya perkara-perkara teknikal seperti ini tidak diberi perhatian ianya boleh menyebabkan tertuduh dilepaskan dan dibebaskan oleh mahkamah walaupun elemen-elemen lain tentang kesalahan tersebut dapat dibuktikan.

Pertuduhan Kesalahan Penghinaan Mahkamah

Apabila keputusan telah dibuat untuk meneruskan dakwaan terhadap seseorang di atas pertuduhan berkaitan kesalahan ingkar perintah atau penghinaan Mahkamah, pihak pendakwa hendaklah menyediakan suatu pertuduhan untuk difailkan kepada mahkamah yang berbidangkuasa. Prinsip-prinsip yang perlu dipatuhi ialah tiap-tiap pertuduhan hendaklah jelas dan terang serta mengandungi semua butir-butir yang terkandung di dalam seksyen yang berkenaan.

Tujuan pertuduhan dibuat adalah untuk menunjukkan kepada tertuduh dengan tepat dan terperinci kes terhadapnya dan tidak boleh mengelirukan tertuduh. Oleh itu, tiap-tiap pertuduhan perlu menyatakan tarikh, masa dan tempat kejadian, termasuklah alamat yang lengkap serta bahan-bahan yang perlu dinyatakan seperti niat dan perbuatan serta seksyen dan enakmen berkaitan. Tujuan pertuduhan yang lengkap adalah untuk memberi faham kepada hakim tentang kedudukan kes itu dan jika berlaku kecacatan sesuatu pertuduhan itu boleh dibuat pindaan pada bila-bila masa sehingga sebelum menutup kes pendakwa.

Contoh pertuduhan yang difailkan di Mahkamah Syariah bagi kes ingkar perintah mahkamah yang dikategorikan sebagai penghinaan Mahkamah ialah:

“Bahawa kamu pada 23.1.98 lebih kurang jam 8.00 malam di hadapan rumah no. 33, Jalan Lili 4, Taman Lili, Nilai Impian, Negeri Sembilan telah mengoyak-ngoyak dan mencampakkan ke dalam longkang Perintah Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Sembilan Kes Mal No 05100-000-000 Tahun 2007.

Dengan itu kamu dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 10 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 2003 iaitu mempersenda atau menyebabkan dipandang hina Perintah Mahkamah yang boleh dihukum di bawah Seksyen dan Enakmen yang sama di atas”.

Persediaan Perbicaraan

Setelah pertuduhan difailkan di mahkamah dan tarikh sebutan (tarikh jaminan untuk hadir di mahkamah) telah ditetapkan, pihak pendakwa perlu membuat persediaan yang secukupnya dan berada dalam keadaan selesa dan bersedia untuk membuat pendakwaan dengan penuh yakin. Selain daripada persediaan dari segi mental, kelengkapan fizikal perlu juga disediakan seperti, fail kes yang lengkap, Enakmen yang berkaitan, alat tulis dan keperluan-keperluan lain yang difikirkan perlu.

Apa yang lebih penting sebelum hadir di mahkamah, seseorang pendakwa Syarie itu perlu membaca, menyemak dan memahami kedudukan kes yang hendak disebut di mahkamah. Dalam keadaan ini, pendakwa Syarie perlu membuat persediaan jika tertuduh mengaku salah.

Antara persediaan yang perlu jika tertuduh mengaku salah ialah :
i- Penyediaan fakta kes secara bertulis dan satu salinan kepada mahkamah dan tertuduh. Sebelum menyediakan fakta kes ini, pastikan ianya dibuat dengan teliti untuk mengelakkan kekeliruan kepada tertuduh dan boleh memberi kesan terhadap pengakuan salah.

ii- Persediaan untuk berhujjah selepas tertuduh membuat rayuan. Dalam menyediakan hujjah ini antara faktor pemberatan hukuman yang perlu diambilkira adalah seperti berikut:

a) Kesalahan melibatkan kepentingan awam.
b) Kesalahan yang dilakukan adalah berat.
c) Kekerapan kesalahan yang dilakukan (berulang).
d) Keseriusan kes tersebut.
e) Kesan terhadap agama, ketenteraman awam dan moral terhadap masyarakat serta imej pihak berkuasa agama dan pentadbiran undang-undang Syariah.

Perbicaraan

Dalam perbicaraan penuh, tanggungjawab utama pendakwa ialah memanggil semua saksi-saksi yang telah memberi keterangan dan disenaraikan di mahkamah untuk memberi keterangan dengan pemeriksaan utama oleh pendakwa dan disoal balas oleh peguambela dan juga mahkamah, jika perlu. Tujuan pendakwa menyoal saksinya adalah bagi mendapat keterangan untuk membuktikan dakwaan terhadap tertuduh.

Selain dari itu, pendakwa bersama dengan peguambela juga bertindak sebagai pegawai mahkamah (officer of court) yang membantu hakim untuk memudah serta melicinkan perjalanan perbicaraan tanpa menimbulkan isu-isu yang tidak releven atau yang mengelirukan. Mereka perlu membantu hakim untuk memelihara imej mahkamah dan tidak menimbulkan suasana tegang dalam seluruh perbicaraan.

Soalan-soalan yang diajukan kepada saksi perlu dibuat dengan tenang dan terang. Hendaklah bersabar jika mana-mana saksi tidak dapat atau teragak-agak memberi keterangan kerana mungkin itulah pertama kali berada di kandang saksi dan sudah tentu berasa takut dan bukannya tidak mahu bekerjasama dengan pendakwa. Mungkin juga saksi itu terlupa apa yang ia telah nyatakan dalam keterangan beberapa lama dahulu. Jika perlu, pendakwa boleh memohon dari hakim supaya saksi merujuk kepada keterangannya. Sekiranya didapati saksi sengaja tidak mahu memberi kerjasama, pendakwa boleh memohon dari hakim untuk mencabar kredibilitnya. Proses ini jarang berlaku dan akan mengambil masa dengan prosedurnya (impeachment proceeding).

Saksi-saksi yang tidak dipanggil memberi keterangan, akan diserahkan kepada mahkamah selepas pendakwa menutup kes pendakwaan. Tujuannya supaya tertuduh boleh memanggilnya sebagai saksi. Jika tidak, barulah mereka dibenar pulang. Menurut keputusan kahakiman yang berasaskan kepada undang-undang keterangan, kegagalan pendakwa memanggil saksi memberi keterangan atau bertindak seperti di atas tanpa alasan akan menimbulkan anggapan bahawa saksi itu akan memberi keterangan yang bertentangan dengan kes pendakwa.

Peranan peguambela dalam soal balas saksi-saksi pihak pendakwa ialah mengajukan soalan-soalan yang terang dan tidak mengelirukan serta mengelak dari soalan yang menyakitkan hati atau menyentuh maruah saksi tersebut. Tujuan utamanya adalah untuk membuktikan bahawa saksi tidak bercakap benar. Kedua-dua pihak perlu patuh kepada arahan hakim yang menentukan soalan yang releven atau sebaliknya dan keterangan yang boleh diterima (admissible) atau tidak. Arahan hakim yang dipertikaikan dalam proses itu boleh dibawa ke Mahkamah Tinggi kemudiannya sekiranya ada rayuan.

Beban Bukti

Di dalam perbicaraan penuh, kewajipan pendakwa ialah membuktikan tertuduh telah melakukan kesalahan seperti di dalam pertuduhan. Tertuduh dianggap tidak bersalah sehinggalah ia dibuktikan bersalah. Dengan ini beban bukti di pihak pendakwaan adalah berat dan tanggungjawab tertuduh atau peguambela menjadi lebih ringan.

Kewajipan pihak pendakwa ialah membentangkan keterangan-keterangan yang membuktikan “melampaui keraguan yang munasabah” (beyond reasonable doubt) pada keseluruhannya. Mahkamah akan menilai dan menimbangkan beban bukti ini di dua peringkat perbicaraan iaitu peringkat pertama pada penutup kes pendakwa, mahkamah akan menimbangkan samada pendakwa telah membuktikan “prima facie“ terhadap tertuduh. Jika mahkamah berpuashati tertuduh akan diperintah membuat pembelaan diri. Jika pendakwa gagal, mahkamah akan bebaskan tertuduh.

Peringkat kedua, selepas tertuduh membela dirinya dan selepas penutupan kes, mahkamah akan menimbang semula pendakwa telah membuktikan kesalahan tertuduh melebihi batas keraguan yang munasabah (beyond reasonable doubt). Jika didapati demikian, tertuduh akan disabit kesalahan dan akan dihukum. Tanggungjawab tertuduh hanyalah untuk menimbulkan keraguan yang munasabah (raise a reasonable doubt) ke atas kes pendakwa. Jika keadaan seperti ini berlaku, mahkamah akan melepaskan dan membebaskan tertuduh.

Tindakan Selepas Mahkamah Memberikan Penghakiman

Jika tertuduh dijatuhkan hukuman samada didenda atau dipenjarakan, pihak pendakwa dan pegawai penguatkuasa hendaklah mempastikan tertuduh selesai melaksanakannya. Tugas untuk menghantar tertuduh ke penjara adalah menjadi tanggungjawab pegawai penguatkuasa agama sekiranya tidak ada bantuan daripada Polis Mahkamah.

Sekiranya tertuduh dibebaskan, pendakwa yang bertanggungjawab hendaklah merujuk kepada ketua pendakwa Syarie untuk mendapatkan arahan selanjutnya. Ketua pendakwa Syarie hendaklah menggunakan pertimbangan yang wajar dalam membuat keputusan untuk menentukan samada sesuatu keputusan/hukuman itu perlu dirayu atau sebaliknya.

(I) Jika kes dibuang tanpa memanggil tertuduh untuk membela diri (diperingkat prima facie kes) sewajarnya kes tersebut dibuat rayuan.
(II) Jika kes dibuang selepas tertuduh dipanggil membela diri, rayuan tidak wajar dibuat kecuali wujud kekhilafan undang-undang yang nyata.

TATACARA PENGHINAAN MAHKAMAH OLEH PIHAK YANG BERKEPENTINGAN

Jika permohonan penghinaan mahkamah itu difailkan oleh pihak-pihak yang berkepentingan, pemohon hendaklah memfailkan satu notis tunjuk sebab bagi kesalahan penghinaan yang dikatakan dilakukan itu dan dialamatkan kepada orang tersebut. Notis tunjuk sebab tersebut hendaklah difailkan ke Mahkamah dan Mahkamah hendaklah mendaftar dan membicarakan permohonan tersebut mengikut undang-undang yang diperuntukkan.

Notis supaya menunjukkan sebab mengapa tindakan atau prosiding tidak boleh diambil terhadapnya hendaklah disampaikan ke diri orang yang dikatakan melakukan penghinaan itu. Orang itu hendaklah diberi peluang untuk membela diri termasuklah mendapatkan khidmat guaman dan memanggil saksi-saksi bagi pihaknya. Prosiding itu mesti dicatat oleh hakim dan boleh didengar oleh hakim yang sama (yang mengeluarkan perintah yang diingkari itu). Seksyen 229 (3) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003 memperuntukkan:

(3) Dalam hal penghinaan yang dilakukan di luar Mahkamah, notis supaya menunjukkan sebab mengapa tindakan atau prosiding tidak boleh diambil terhadapnya hendaklah disampaikan ke diri orang yang dikatakan melakukan penghinaan itu.

Jika orang itu gagal menunjukkan sebab, atau gagal memuaskan Mahkamah, maka dia boleh dikomit ke penjara selama tidak lebih dari 6 bulan atau denda tidak melebihi RM2,000. Peruntukan mengenai hukuman ini ada dinyatakan di bawah seksyen 229 (1) Enakmen yang sama yang memperuntukkan:

(1) Mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk memulakan prosiding terhadap mana-mana orang kerana menghina mahkamah dan boleh, dalam prosiding sedemikian, membuat suatu perintah pengkomitan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau boleh mengenakan denda tidak melebihi dua ribu ringgit.

Bagaimanapun, sebelum tindakan mengkomitkan seseorang yang melakukan kesalahan penghinaan mahkamah itu diputuskan oleh Mahkamah, Mahkamah hendaklah berpuashati bahawa orang yang menghina mahkamah itu harus dikomitkan ke penjara. Perintah pengkomitan ke penjara hendaklah ditetapkan bahawa pesalah itu hendaklah dipenjarakan sehingga pesalah itu membersihkan diri dari kesalahan penghinaan mahkamah itu dengan meminta maaf tanpa syarat kepada Mahkamah dan orang lain yang ada kepentingan dan juga mematuhi perintah Mahkamah yang diingkari atau memberhentikan perbuatan lain yang menghina Mahkamah dan sekiranya pesalah gagal berbuat demikian, pesalah akan dipenjara sehingga tempoh yang ditetapkan oleh Mahkamah yang tidak melebihi had maksima penjara bagi kesalahan menghina mahkamah .

Tiada apa-apa permohonan atau tuntutan dari orang yang dituduh menghina mahkamah itu boleh didengar oleh Mahkamah selagi perintah penghakiman terdahulu belum dipatuhi dengan sepenuhnya .

Setakat ini tidak ada satu tatacara khusus untuk mengendalikan prosedur penghinaan mahkamah melalui notis tunjuk sebab yang difailkan oleh pihak-pihak yang berkepentingan. Di dalam kes Roslaili bt Abdul Ghani lwn Ahmad Azman bin Yaacob , Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam Selangor telah memberikan panduan mengenai tatacara penghinaan mahkamah. Menurut YA HMTS Shah Alam sewaktu membacakan penghakiman kes tersebut;

Mahkamah ini berpendapat prosedur-prosedur yang sedia ada diamalkan di mana-mana Mahkamah boleh dijadikan panduan”

Antara panduan yang diberikan dari kes tersebut ialah;
1. Pihak Pemohon perlu membuat permohonan pada mahkamah untuk Mahkamah mengeluarkan Notis Tunjuk sebab. Notis permohonan tersebut yang ditandatangani Plaintif atau peguamnya hendaklah disokong ole affidavit. Permohonan tersebut boleh dibuat secara ex parte. Tujuan ex parte adalah untuk menegah defendan melupuskan apa-apa ‘subject matter’ atau membuat apa-apa helah dengan permohonan tersebut;
2. Mahkamah perlu meneliti Notis tersebut dan juga affidavit yang digunakan. Sekiranya Mahkamah berpuashati yang Notis Tunjuk Sebab tersebut adalah munasabah dan pelanggarannya adalah menghina mahkamah, Mahkamah boleh perintahkan satu Notis Tunjuk Sebab disempurnakan ke atas pihak Defendan;
3. Oleh kerana tidak ada satu borang Notis Tunjuk Sebab dimuatkan dalam Enakmen Prosedur Mal Mahkamah Syariah, pihak Perndaftar boleh membuat satu pekeliling berkenaan dengan perkara tersebut;
4. Notis tunjuk sebab diserahkan secara kediri kepada Defendan bersama dengan Afidavit yang digunakan dalam permohonan untuk dikeluarkan Notis tersebut;
5. Sekiranya defendan tidak hadir pada tarikh yang ditetapkan, waran tangkap boleh dikeluarkan;
6. Pada tarikh yang ditetapkan, defendan akan diperiksa oleh Mahkamah secara lisan atau dibenarkan dengan Afidavit terhadap dokumen menghina Mahkamah tersebut;
7. Sekiranya tunjuk sebab diterima dan diputuskan oleh Mahkamah sebagai tidak menghina Mahkamah, Defendan dilepaskan;
8. Sekiranya Mahkamah tidak menerima tunjuk sebab berkenaan, Mahkamah perlu membuat hukuman di bawah seksyen 229 dan Perintah Pengkomitan dikeluarkansekiranya hukuman penjara dikenakan;
9. Sekiranya pengkomitan berkenaan penghutang penghakiman dan Defendan telah dipenjarakan, Penghutang boleh dilepaskan jika penunaian hutang telah dibuat.

Dalam kes ini, pemohon, iaitu Roslaili telah mendakwa Responden telah gagal mematuhi perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Rendah Syariah Hulu Selangor terutamanya mengenai hak lawatan anak. Pemohon telah mengemukakan satu notis tunjuk sebab beserta affidavit dan setelah meneliti affidavit Responden serta memeriksa Responden, Mahkamah mendapati Responden tidak terjumlah sebagai melanggar perintah mahkamah dan permohonan mengkomitkan Responden kerana menghina mahkamah adalah ditolak atas alasan perintah asal tidak menetapkan secara jelas mengenai hal lawatan anak dan tidak ada pula perintah lain dikeluarkan oleh mana-mana mahkamah mengenai alamat atau tempat mengambil anak tersebut.

Dalam memutuskan sesuatu pelanggaran perintah itu terjumlah di dalam kesalahan penghinaan mahkamah atau tidak, pendekatan yang diambil hendaklah secara berhati-hati dan berhemah. Kesalahan penghinaan mahkamah adalah tidak sama sepertimana kes jenayah yang lain walaupun pendekatannya adalah hampir sama. Bagi penghinaan mahkamah akibat pelanggaran perintah, isu yang perlu ditimbulkan adakah pelanggaran kepada perintah tersebut berlaku?, jika berlaku adakah pelanggaran tersebut suatu tindakan yang menghina kredebiliti mahkamah?. Jika tidak terdapat unsur-unsur tersebut, sesuatu pelanggaran terhadap perintah mahkamah tidaklah terjumlah sebagai suatu penghinaan mahkamah. Di dalam kes Hasnan bin Yusuf lwn Yasmin bt Mohd Yacob, (2008) JH 25/I, 89, YA HMTS Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menegaskan;
“(1) Sama ada Responden melakukan pelanggaran terhadap perintah yang dikeluarkan oleh mahkamah pada 18hb Mei 2004;
(2) Sekiranya perintah dilanggari, sama ada Mahkamah merasa terhina dengan pelanggaran tersebut dan sama ada Responden telah berjaya atau berupaya memberi sebab atau alasan yang wajar dan boleh diterima oleh Mahkamah supaya Responden tidak dikenakan perintah pengkomitan atas kegagalan Responden mematuhi perintah.”


Di dalam kes ini, Pemohon telah mengemukakan suatu Notis Tunjuk Sebab supaya Responden dikomitkan kerana melanggar perintah mahkamah yang dikeluarkan sebelumnya mengenai hak lawatan dan bermesra dengan anak. Dalam affidavit Pemohon, beliau menjelaskan Responden telah menghalang Pemohon dari berjumpa dan bermesra dengan anaknya. Setiap kali Pemohon melawat anaknya, Pemohon hanya dibenarkan bermesra dengan anak melalui celah gril (besi jeriji) pintu rumah dan tidak dibenarkan bermesra secara sempurna dengan anaknya. Responden sewaktu memberikan tunjuk sebab beliau telah bertindak menghalang pemohon dengan mengunci gril dan membiarkan Pemohon bermesra dengan anaknya dengan dibatasi oleh gril rumah kerana Pemohon pernah melarikan anak tersebut selama enam bulan sewaktu anak tersebut di dalam jagaan Responden. Tindakan Pemohon tersebut memaksa Responden memfailkan suatu perintah sementara dan waran tangkap pernah dikeluarkan kepada Pemohon supaya hadir dalam prosiding tersebut dan seterusnya menyerahkan anak. Responden juga beberapa kali membuat laporan polis akibat berlakunya kacau ganggu yang disyakki didalangi oleh Pemohon. Atas alasan-alasan tersebutlah Responden menghalang Pemohon dari bermesra dan bersama anak dengan membatasinya diluar rumah dan gril yang terkunci kerana bimbangkan keselamatan anak tersebut dari dilarikan kali kedua oleh Pemohon. Mahkamah akhirnya memutuskan pelanggaran perintah mengenai hak lawatan dan bermesra dengan anak yang dilakukan oleh Responden adalah munasabah dan perlakuan tersebut tidak terjumlah sebagai penghinaan Mahkamah. Bagi menyelesaikan kekusutan mengenai hak lawatan tersebut, Mahkamah telah mengeluarkan suatu perintah baru dengan mengubah hak lawatan yang lebih adil kepada kedua-dua pihak.

Perintah Hendaklah Diserahkan Sebelum Tindakan Penghinaan Dibuat

Perlu diingatkan disini, sesuatu Notis tunjuk sebab untuk mengkomitkan seseorang yang dikatakan menghina mahkamah kerana tidak mematuhi sesuatu perintah hendaklah disampaikan kepada responden terlebih dahulu sebelum tindakan penghinaan dibuat. Ini bermakna, sesuatu perintah asal sebelum dikatakan tidak dipatuhi oleh responden hendaklah diserahkan dan berada dalam pengetahuan responden. Kegagalan menyerahkan perintah tersebut menjadi satu pembelaan kepada responden dan boleh mengelakkan responden dari dikenakan perintah komitan kerana menghina mahkamah. Dalam kes Azman Abdul Talib lwn Suhaila Ibrahim, Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Pahang Darul Makmur memutuskan permohonan pemohon untuk mengkomitkan responden kerana menghina Mahkamah akibat dari kegagalan Responden untuk mematuhi perintah sementara hadhanah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah sebelumnya adalah ditolak, kerana Mahkamah mendapati pemohon telah gagal menyerahkan perintah hadhanah sementara tersebut kepada responden, melainkan hanya mengepilkannya didalam affidavit bersama permohonan yang dibuat. Dengan tidak menyerahkan perintah kepada responden, Pemohon telah gagal mematuhi secara ketat kaedah yang ditetapkan. Selain itu, penggunaan draf perintah, dan tidak perintah bersih (termeterai) membawa padah kepada permohonan pemohon.

Penghinaan Oleh Pertubuhan Perbadanan

Kesalahan penghinaan mahkamah ini bukan saja boleh dilakukan oleh seseorang atau individu, bahkan ianya boleh juga dilakukan oleh pertubuhan perbadanan, agensi atau syarikat dan sebagainya. Jika penghinaan mahkamah itu dilakukan oleh sesuatu pertubuhan perbadanan, mana-mana orang yang pada masa penghinaan itu dilakukan ialah pengarah, pengurus atau setiausaha pertubuhan perbadanan itu atau selainnya yang bertanggungjawab atas pengurusan pertubuhan perbadanan itu adalah juga bersalah melakukan penghinaan itu melainkan jika dia membuktikan bahawa—

(a) penghinaan itu telah dilakukan oleh pertubuhan perbadanan itu tanpa persetujuan atau pembiarannya; atau
(b) dia telah mengambil segala usaha yang wajar bagi mengelakkan berlakunya penghinaan itu sebagaimana yang patut diambil olehnya dengan mengambil kira sifat jawatannya atau jenis tugasnya dalam pertubuhan perbadanan itu dan segala hal keadaan.

Mana-mana orang yang melakukan apa-apa perbuatan atau mengambil apa-apa prosiding atas nama atau bagi pihak orang lain dengan mengetahui bahawa dia tidak dibenarkan dengan sahnya oleh orang itu, juga adalah dikira sebagai melakukan satu kesalahan menghina mahkamah.


*******************
Ini adalah sebahagian dari artikel yang dipetik dalam buku "Undang-Undang Tatacara Mal Mahkamah Syariah, Prinsip dan Amalan". Sesiapa yang berminat bolehlah hubungi saya untuk mendapatkan naskhah tersebut atau untuk bertukar pandangan, memberi sebarang komen dan sebagainya.

Wallah a'lam

MADRID II

  Kota Madrid seawal abad ke 9 pernah diperintah oleh gabenur Umayyah Andalusia dan kota ini dikenali sebagai 'majrit' dari kata asa...