Monday, December 15, 2008

SELAMAT PENGANTIN BARU buat Adli dan Liyana


13hb Disember 2008 baru-baru ini merupakan tarikh keramat buat Ahmad Adli bin Haji Abdul Rahman dan pasangannya Liyana Fairuz binti Ahmad yang selamat melangsungkan majlis perkahwinan yang gilang gemilang. majlis akad nikah telah berlangsung lebih kurang jam 6.30 petang di masjid al-Bukhari, Kompleks yayasan al Bukhari, Alor Malai, Alor Star Kedah. Majlis persandingan pula berlangsung pada keesokan harinya iaitu 14hb Disember 2008 di rumah pengantin perempuan di Teluk Wan jah Alor Star Kedah. Majlis menyambut menantu di rumah pengantin lelaki dijangka berlangsung pada 27hb Disember 2008, di Ketereh, Kota Bharu, Kelantan.

Al Fatihah buat Mohd Badrul Ihsan bin Mohd Badruddin



Tanggal 18hb November 2008 yang lalu, Mohd Badrul Ihsan bin Mohd Badruddin, 21tahun, yang juga lebih dikenali sebagai Abang Ih di kalangan keluarga terdekat, telah kembali ke rahmatullah akibat kemalangan jalanraya di Manjung, Lumut Perak. Kemalangan yang mengerikan tersebut telah meragut nyawa beliau. Pemergiannya telah ditangisi oleh seluruh ahli keluarga, sahabat handai dan kenalan. Beliau juga adalah salah seorang anak buah saya yang paling disayangi. Al-Fatihah buat Abang Ih, semoga rohnya dicucuri rahmat oleh Allah swt. Amin.

Sunday, November 2, 2008

UNDANG-UNDANG ISLAM: Murtad - Pengisytiharan mengenainya - Bidangkuasa - Sama ada tertakluk kepada bidangkuasa Mahkama

KAMARIAH ALI & ANOR lwn. MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ADAT MELAYU TERENGGANU & ANOR
MAHKAMAH TINGGI MALAYA, KUALA LUMPUR
RAUS SHARIF H
[SAMAN PEMULA NO: R1-24-65-2005]
30 DISEMBER 2005
PENGHAKIMAN
Raus Sharif H:
[1] Melalui saman pemula di kandungan I yang difailkan pada 15 Ogos 2005 plaintif-plaintif menuntut terhadap defendan-defendan antara lain untuk perintah-perintah seperti berikut:
(i) Deklarasi bahawa plaintif pertama dan plaintif kedua mempunyai hak yang mutlak dan bebas di bawah art. 11(1) Perlembagaan Persekutuan untuk memilih sama ada untuk menganuti mana-mana agama dan, jika ia, untuk menganuti dan mengamalkan agama pilihan mereka sendiri;
(ii) Deklarasi bahawa hak mutlak dan kebebasan plaintif pertama dan plaintif kedua di bawah art. 11(1) Perlembagaan Persekutuan untuk memilih sama ada untuk menganuti mana-mana agama dan, jika ia, untuk menganuti dan mengamalkan agama pilihan mereka sendiri dan agama yang dianuti dan diamalkan oleh plaintif pertama dan plaintif kedua adalah ditentukan oleh plaintif pertama dan plaintif kedua sendiri dan bukan oleh atau tertakluk kepada pengisytiharan dan/atau pengesahan mana-mana pihak yang lain;
(iii) Deklarasi bahawa art. 11(1) Perlembagaan Persekutuan mempunyai keutamaan ke atas dan akan mengatasi mana-mana undang-undang persekutuan atau enakmen-enakmen negeri berkenaan dengan perkara pengakuan dan pengamalan agama pilihan plaintif pertama dan plaintif kedua;
(iv) Deklarasi bahawa peruntukan-peruntukan dalam mana-mana undang-undang persekutuan dan enakmen-enakmen negeri atau mana-mana peraturan-peraturan termasuk tetapi tidak terhad kepada Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 yang tidak mengiktirafkan art. 11(1) Perlembagaan Persekutuan atau adalah bertentangan dengannya, adalah tidak sah.
(v) Deklarasi bahawa memandangkan plaintif pertama dan plaintif kedua telah menguatkuasakan hak mutlak mereka di bawah art. 11(1) Perlembagaan Persekutuan untuk memilih sama ada untuk menganuti mana-mana agama dan, jika ia, untuk menganuti dan mengamalkan agama pilihan mereka sendiri dengan mengisytiharkan diri mereka tidak lagi menganuti dan mengamal agama Islam, mana-mana undang-undang persekutuan dan enakmen-enakmen negeri berkenaan dengan agama Islam termasuk tetapi tidak terhad kepada Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 adalah tidak terpakai terhadap plaintif pertama dan plaintif kedua.
(vi) Deklarasi bahawa peruntukan dalam apa jua undang-undang persekutuan dan enakmen-enakmen negeri, sekiranya ada, yang kononnya memberi kuasa atau bidangkuasa kepada Mahkamah Syariah untuk menentukan sama ada plaintif pertama dan plaintif kedua telah keluar dari agama Islam atau menghendaki suatu deklarasi dari Mahkamah Syariah sebagai pra-syarat sebelum plaintif pertama dan plaintif kedua dapat atau dianggap telah keluar dari agama Islam adalah bertentangan dengan art. 11(1) Perlembagaan Persekutuan.
(vii) Deklarasi bahawa peruntukan-peruntukan dalam mana-mana undang-undang persekutuan atau enakmen-enakmen negeri atau mana-mana peraturan-peraturan yang menyekat atau melarang atau yang mengenakan syarat-syarat terhadap dan ke atas hak mutlak plaintif pertama dan plaintif kedua sendiri untuk memilih sama ada untuk menganuti mana-mana agama dan, jika ia, untuk menganuti dan mengamalkan agama pilihan mereka sendiri dan selaras hak tersebut, untuk mengisytiharkan diri mereka tidak lagi menganuti dan mengamal agama Islam adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan khususnya art. 11(1) dan adalah tidak sah;
(viii) Deklarasi bahawa defendan pertama, kakitangan dan/ejennya dan setiap pihak berkuasa agama Islam di Negeri Terengganu, termasuklah tetapi tidak terhad kepada Mahkamah-Mahkamah Tinggi dan Rendah Syariah Negeri Terengganu dan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu tidak mempunyai apa-apa bidangkuasa ke atas plaintif pertama dan plaintif kedua; dan
(ix) Berlanjutan dengan perintah (i) hingga (viii) di atas, deklarasi bahawa berdasarkan Perlembagaan Persekutuan khususnya art. 11(1), defendan pertama dan/atau defendan kedua atau mana-mana pihak yang bertindak di bawah arahan dan/atau jagaan defendan pertama dan/atau defendan kedua tidak berhak mengenakan atau menentukan apa-apa syarat atau pra-syarat sebelum plaintif pertama dan plaintif kedua dapat atau dianggap tidak lagi menganuti dan mengamal agama Islam;
[2] Pada tarikh dan masa yang sama plaintif-plaintif juga telah memfailkan saman dalam kamar di kandungan 3 memohon supaya dua soalan undang-undang dirujuk melalui satu kes khas ke Mahkamah Persekutuan. Dengan itu mereka memohon supaya prosiding di kandungan 1 digantung sementara menunggu penentuan dan penyelesaian di Mahkamah Persekutuan atas soalan-soalan undang-undang yang hendak dirujuk itu. Soalan-soalan undang-undang yang hendak dirujuk itu adalah seperti berikut:
(i) Sama ada hak untuk menganuti agama di bawah art. 11(1) Perlembagaan Persekutuan merangkumi hak seseorang yang beragama Islam yang telah mencapai umur majoriti untuk keluar dari agamanya; dan
(ii) Jika sedemikian, sama ada undang-undang dan/atau tindakan mana-mana pihak berkuasa yang menghadkan atau mengenakan sekatan-sekatan yang lain ke atas hak seseorang yang beragama Islam yang telah mencapai umur majoriti untuk keluar dari agamanya adalah tidak konsisten dengan art. 11(1) Perlembagaan Persekutuan dan demikian, adalah tidak sah.
[3] Fakta dan latar belakang yang membuat kedua-dua plaintif memfailkan tindakan-tindakan ini boleh dirumuskan seperti berikut.
[4] Pada tahun 1992, kedua-dua plaintif telah dituduh di Mahkamah Tinggi Syariah, Negeri Kelantan di bawah s. 69, Undang-Undang Majlis Agama Islam Kelantan dan Adat Istiadat Melayu Bil. 2/66 atas pertuduhan membuat istiadat atau perkara yang berlawanan dengan Hukum Syarak. Kedua-dua mereka telah didapati bersalah dan disabitkan terhadap pertuduhan tersebut. Plaintif pertama telah dikenakan hukuman penjara dua puluh bulan, sementara plaintif kedua dikenakan hukuman penjara dua puluh empat bulan.
[5] Kedua-dua plaintif telah membuat rayuan terhadap sabitan dan hukuman tersebut kepada Mahkamah Rayuan Syariah Negeri Kelantan. Pada tahun 1996, Mahkamah Rayuan Syariah Negeri Kelantan telah mengesahkan sabitan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Kelantan tetapi telah menggantikan hukuman penjara dengan perintah yang menghendaki mereka masing-masing mengikat jamin berkelakuan baik untuk lima tahun di samping mereka diwajibkan menghadiri di pejabat Qadhi Jajahan pada setiap bulan untuk tempoh lima tahun dan melafazkan taubat selaras dengan Hukum Syarak.
[6] Pada tahun 1998, kedua-dua plaintif telah mengambil keputusan untuk tidak lagi beragama Islam dan untuk tujuan itu, mereka, masing-masing telah mengikrarkan satu surat akuan bertarikh 24 Ogos 1998 dan 28 Ogos 1998, di mana kedua-dua mereka mengatakan bahawa mereka atas kerelaan hati sendiri telah keluar dari agama Islam.
[7] Pada bulan Oktober 2000, kedua-dua plaintif telah didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Kelantan atas kegagalan mereka mematuhi perintah Mahkamah Rayuan Syariah yang menghendaki mereka untuk menghadirkan diri di pejabat Qadhi untuk melafazkan taubat. Semasa pembicaraan di Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Kelantan mereka telah memaklumkan Mahkamah bahawa mereka telah meninggalkan agama Islam. Tetapi Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Kelantan tidak menerima dakwaan dan telah mensabitkan mereka atas kesalahan di bawah s. 69 Enakmen Majlis Agama Kelantan dan Adat Istiadat Melayu Bil. 2/66 dan masing-masing dihukum tiga tahun penjara.
[8] Kedua-dua plaintif kemudiannya telah memfailkan permohonan untuk habeas corpus dan untuk pengisytiharan bahawa mereka telah keluar dari agama Islam di Mahkamah Tinggi Kota Bharu. Mahkamah Tinggi Kota Bharu telah menolak permohonan mereka. Kedua-dua mereka telah membuat rayuan kepada Mahkamah Rayuan. Rayuan mereka telah ditolak oleh Mahkamah Rayuan.
[9] Seterusnya, kedua-dua plaintif adalah di antara mereka yang telah memohon kebenaran untuk merayu kepada Mahkamah Persekutuan terhadap penolakan rayuan mereka oleh Mahkamah Rayuan. Pada 5 November 2002 Mahkamah Persekutuan telah memberi kebenaran untuk mereka merayu di atas persoalan-persoalan berikut:
(i) Sama ada hak untuk menganuti agama di bawah Artikel 11(1) Perlembagaan Persekutuan merangkumi hak seseorang yang beragama Islam yang telah mencapai umur majoriti untuk keluar dari agamanya;
(ii) Sama ada undang-undang yang menghadkan atau mengenakan sekatan-sekatan yang lain ke atas hak seseorang (selain dari seseorang yang belum mencapai umur majoriti) untuk keluar dari agamanya, adalah tidak konsisten dengan Artikel 11(1) Perlembagaan Persekutuan dan yang demikian, adalah tidak sah; dan
(iii) Sama ada had atau sekatan yang dikenakan di bawah peruntukan seksyen 102(1), (2) dan (3) Enakmen Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan 1994, (yang dibacakan bersama dengan definisi perkataan "Muslim" di bawah seksyen 2 Enakmen yang sama) adalah tidak konsisten dengan Artikel 11(1)(5) dan Artikel 74 Perlembagaan dan yang demikian adalah tidak sah.
[10] Pada 21 Julai 2004, Mahkamah Persekutuan sebulat suara telah memutuskan bahawa soalan-soalan (i), (ii) dan (iii) di atas tidak perlu dijawab. Justeru itu rayuan plaintif-plaintif telah ditolak dengan kos.
[11] Pertembungan antara plaintif-plaintif dengan pihak berkuasa agama Islam tidak berkakhir dengan keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut. Kali ini mereka bertelagah pula dengan pihak berkuasa agama Islam di Negeri Terengganu. Ianya berlaku apabila pada 20 Julai 2005, pegawai-pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu ("JHEAT") dengan bantuan pihak polis telah melakukan satu serbuan di Kampong Ayah Pin di Daerah Besut, Negeri Terengganu dan telah menahan ramai penduduk termasuklah kedua-dua plaintif.
[12] Keesokannya pada 21 Julai 2005, kedua-dua plaintif telah dibawa ke Mahkamah Rendah Syariah Besut dan ditahan tanpa jaminan sehingga dikemukakan di mahkamah semula pada 28 Julai 2005. Pada 28 Julai 2005, Mahkamah Rendah Syariah Besut telah membenarkan plaintif kedua diikat jamin tetapi plaintif pertama diperintahkan ditahan seterusnya. Kes mereka telah diperintahkan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Syariah, Kuala Terengganu.
[13] Pada 4 Ogos 2005, kedua-dua plaintif telah dituduh di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu di bawah s. 10 Enakmen Kesalahan Jenayah (Takzir) (Terengganu) 2001. Plaintif pertama juga dikenakan tuduhan kedua di bawah s. 7 Enakmen yang sama. Plaintif pertama kemudiannya, seperti plaintif kedua telah dibebaskan dengan ikatan jaminan sementara menunggu perbicaraan kes mereka di Mahkamah Tinggi Syariah, Kuala Terengganu.
[14] Pada 15 Ogos 2005, kedua-dua plaintif memfailkan kandungan 1 dan kandungan 3. Pada asasnya aduan plaintif-plaintif di mahkamah ini adalah bahawa walaupun mereka telah keluar daripada agama Islam pada 1998, JHEAT masih mengenakan tindakan terhadap mereka sebagai orang Islam. Menurut mereka, Mahkamah Syariah, pendakwaraya syariah dan pegawai-pegawai penguatkuasa JHEAT, menguatkuasakan bidangkuasa terhadap mereka seolah-olah mereka masih beragama Islam. Kedua-dua plaintif bertegas bahawa tindakan pihak berkuasa agama Negeri Terengganu termasuk Mahkamah Syariah adalah bertentangan dengan hak mereka di bawah art. 11(1) Perlembagaan Persekutuan. Menurut mereka, oleh kerana mereka telah mengisytiharkan mereka keluar dari agama Islam, Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidangkuasa terhadap mereka.
[15] Pada 28 September 2005, Peguam Negara Malaysia telah memfailkan di mahkamah ini saman dalam kamar (kandungan 14), memohon kebenaran untuk mencelah dan dijadikan sebagai satu pihak dalam prosiding ini. Kesemua pihak tidak mempunyai bantahan terhadap permohonan tersebut dan mahkamah ini pada 3 Oktober 2005, telah membenarkan permohonan Peguam Negara itu, dan dengan itu Peguam Negara telah dijadikan pihak dalam prosiding ini.
[16] Di permulaan pendengaran saman dalam kamar di kandungan 3 pada 29 November 2005, En. Zamani bin Mohamad yang mewakili Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (defendan pertama), En. Ahmad Kamal bin Md. Shaid, Penasihat Undang-Undang Negeri Terengganu yang mewakili Kerajaan Negeri Terengganu (defendan kedua) dan Pn. Azizah Hj. Nawawi yang mewakili Peguam Negara Malaysia (pencelah) telah mengemukakan bantahan terhadap permohonan plaintif-plaintif. Rata-rata mereka berhujah bahawa mahkamah ini tidak perlu merujuk kedua-dua soalan yang dikemukakan oleh kedua-dua plaintif kerana kedua-dua soalan itu terbit dari kandungan 1 di mana mahkamah ini tidak mempunyai bidangkuasa untuk mendengarnya. Menurut mereka bahawa perkara pokok kepada permohonan plaintif-plaintif di kandungan 1 adalah untuk pengisytiharan bahawa mereka tidak lagi menganuti dan mengamalkan agama Islam. Dengan itu adalah dihujahkan bahawa kuasa untuk memutuskan sama ada seseorang itu telah keluar daripada agama Islam atau murtad hanya boleh diputuskan oleh Mahkamah Syariah Negeri Terengganu mengikut Enakmen-Enakmen yang berkuatkuasa di negeri tersebut. Jadi menurut mereka Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidangkuasa untuk memutuskan perkara-perkara yang adalah di bawah bidangkuasa Mahkamah Syariah.
[17] En. Malik Imtiaz, peguam utama yang mewakili plaintif-plaintif telah berhujah bahawa kedua-dua persoalan yang hendak diketengahkan dan diputuskan oleh mahkamah ialah mengenai pentafsiran Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan iaitu sama ada seseorang Islam yang telah mencapai umur dewasa boleh dalam menggunakan haknya di bawah art. 11(1) Perlembagaan Persekutuan untuk memilih atau mengisytiharkan telah keluar daripada agama Islam. Menurut En. Malik Imtiaz, art. 11(1) Perlembagaan Persekutuan memberi kebebasan dan dengan itu melindungi plaintif-plaintif. Malangnya mengikut En. Malik Imtiaz keputusan-keputusan Mahkamah Tinggi dan juga di peringkat Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan di dalam persoalan ini telah menimbulkan banyak kekeliruan dan bercanggah antara satu sama lain dan dengan itu seharusnya persoalan yang dikemukakan oleh plaintif-plaintif dikemukakan ke Mahkamah Persekutuan untuk mahkamah yang tertinggi sekali di negara ini memuktamadkannya.
[18] Dengan hormatnya saya tidak dapat bersetuju dengan En. Malik Imtiaz. Pada saya persoalan sebenar yang hendak diketengahkan oleh kedua-dua plaintif di dalam kes ini adalah kesan pengisytiharan mereka bahawa mereka tidak lagi menganuti dan mengamalkan agama Islam. Dengan lain perkataan mereka mahukan Mahkamah Sivil menentukan sama ada mereka telah keluar dari agama Islam. Kehendak plaintif-plaintif ini jelas dari apa yang dinyatakan oleh plaintif kedua dalam afidavit sokongan kepada kandungan 3 di mana beliau menyatakan di perenggan 6:
6. Sebagai permulaan saya menyatakan bahawa plaintif pertama dan diri saya memulakan tindakan Saman Pemula tersebut untuk memperoleh perintah-perintah deklarasi (selepas ini dirujuk sebagai "Perintah Yang Dipohon") dari Mahkamah yang Mulia ini berkenaan kesan pengisytiharan oleh plaintif pertama dan diri saya tidak lagi menganuti dan mengamalkan agama Islam.
[19] Pada saya soal sama ada plaintif-plaintif yang dahulu beragama Islam dan selepas itu mengisytiharkan telah keluar daripada agama Islam adalah perkara di dalam bidangkuasa Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidangkuasa terhadap perkara tersebut. Ini adalah selaras dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan di mana Perkara 121 (1A) dengan jelasnya memperuntukkan bahawa "Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidangkuasa berkenaan dengan apa-apa perkara dalam bidangkuasa Mahkamah Syariah."
[20] Untuk Negeri Terengganu, s. 11(3)(b)(x) Enakmen Mahkamah Syariah (Terengganu) 2001 telah memberi kuasa kepada Mahkamah Tinggi Syariah untuk mendengar permohonan mengenai kes murtad. Seksyen 11(3)(b)(x) memperuntukkan:
11(3) Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah:
(b) dalam bidangkuasa marnya mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding jika semua pihak dalam tindakan atau prosiding itu adalah orang Islam dan tindakan atau prosiding itu adalah berhubungan dengan:
(x) pengisytiharan bahawa seseorang itu bukan lagi orang Islam.
[21] Seterusnya s. 205(2) Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam Negeri Terengganu 1986, telah dengan khasnya memberikan bidangkuasa kepada Mahkamah Syariah untuk mendengar permohonan berkaitan dengan isu murtad. Seksyen 205(2) memperuntukkan:
205(2). Tidaklah boleh sesiapa kecuali Hakim Syarie, memutuskan seseorang yang menganut Agama Islam sebagai murtad, syirik, atau kafir.
[22] Jelas terdapat peruntukan yang khas di dalam Enakmen-Enakmen Negeri Terengganu yang memberikan bidangkuasa kepada Mahkamah Syariah untuk menentukan seseorang itu bukan lagi orang Islam atau telah menjadi murtad. Dalam keadaan sedemikian Mahkamah Sivil tidak seharusnya campur tangan dengan perkara-perkara yang secara termaktub adalah di bawah bidangkuasa Mahkamah Syariah.
[23] Dalam hal ini, saya berpendapat bahawa tidak terdapat kekeliruan mengenai bidangkuasa Mahkamah Sivil terhadap perkara-perkara yang Mahkamah Syariah mempunyai bidangkuasa ke atasnya. Kes-kes terdahulu memutuskan bahawa apa-apa perkara yang jatuh ke atas bidangkuasa Mahkamah Syariah, maka bidangkuasa itu adalah eksklusif dan tidak boleh dicampuri atau diambil alih oleh Mahkamah Sivil.
[24] Di dalam kes Lim Chan Seng v. Pengarah Jabatan Agama Islam Pulau Pinang & 1 Kes Yang Lain [1996] 3 CLJ 231 Abdul Hamid ‘H’ (pada masa itu) semasa menolak permohonan kedua-dua plaintif untuk deklarasi bahawa penolakan agama Islam yang dibuat oleh mereka melalui surat ikatan pol bertarikh 12 Julai 1995 dan 25 Mei 1996 masing-masing adalah mengikut undang-undang dan sah telah memutuskan:
Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidangkuasa dalam perkara-perkara yang Mahkamah Syariah mempunyai bidangkuasa ke atasnya.
Ini jelas dicerminkan oleh Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan, dan dua kes Mahkamah Agung iaitu Majlis Agama Islam Pulau Pinang lwn. Isa Abdul Rahman & Satu Yang Lain [1992] 2 MLJ 244 dan Mohamed Habibullah lwn. Faridah bte Dato’ Talib [1993] 1 CLJ 264.
[25] Seterusnya di dalam kes Md. Hakim Lee v. Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur [1997] 4 CLJ Supp 419, mengenai isu yang sama Abdul Kadir Sulaiman J (pada masa itu) telah memutuskan:
This matter of the plaintiff which involves the determination of his status upon his purported renunciation of the Islamic faith by the deed poll and the statutory declaration is outside the jurisdiction of this court to determine, on account of the ouster of the jurisdiction by art 121 (1A) of the Federal Constitution. By virtue of para 1 in List 11 of the Ninth Schedule to the Federal Constitution, the jurisdiction lies with the syariah court on its wider jurisdiction over a person professing the religion of Islam even if no express provisions are provided in the Administration of Islam Law (Federal Territories) Act 1993 ("the Act") because under art 74 of the Constitution, it is within the competency of the legislative to legislate on the matter. Its absent from the express provision in Act would not confirm the jurisdiction in the civil court.
To my mind, the language of art 121(1A) used by the legislative is clear and without any ambiguity. The civil courts, in this case, the High Court, has no jurisdiction in respect of any matter that is within the jurisdiction of the syariah court.
[26] Isu mengenai bidangkuasa Mahkamah Sivil dalam perkara di bawah bidangkuasa Mahkamah Syariah juga telah diputuskan oleh Abdul Hamid Embong ‘J’ dalam kes Priyathaseny & Ors v. Pegawai Penguatkuasa Agama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perak & Ors [2003] 2 CLJ 221. Di dalam kes tersebut plaintif pertama seorang Islam telah meninggalkan Islam dan menerima agama Hindu sebagai agama beliau. Beliau telah berkahwin dengan plaintif kedua, seorang yang berketurunan India dan merupakan penganut agama Hindu. Hasil perkahwinan, mereka telah mendapat dua orang anak. Plaintif pertama telah ditahan dan dituduh di bawah beberapa kesalahan di bawah Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam Perak 1992 dan disabitkan dan didenda. Plaintif pertama kemudiannya memohon pengisytiharan dari Mahkamah Tinggi bahawa layanan berterusan terhadap beliau sebagai seorang Muslim dan hukuman jenayah yang dikenakan terhadap beliau adalah tidak berperlembagaan. Hakim Abdul Hamid Embong dalam penghakimannya telah memutuskan bahawa isu sama ada plaintif pertama kekal sebagai seorang Muslim meskipun beliau telah melepaskan agama Islam adalah isu yang terlingkung di dalam bidangkuasa Mahkamah Syariah. Beliau menyatakan:
Clause 1A of art 121 of the Federal Constitution provides that the High Courts shall have no jurisdiction in respect of any matter within the jurisdiction of the Syariah Court thus ensuring no conflict of jurisdiction.
[27] Saya sendiri dalam kes Zubeydah bt Shaik Mohd lwn. Kalaichelvan a/l Alagapan dan Lain-lain [2003] 2 MLJ 471 telah memutuskan perkara yang sama di mana saya menyatakan:
(i) Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidangkuasa untuk menentukan sama ada seseorang Islam itu telah keluar dari agama Islam atau menjadi murtad. Kuasa itu adalah di bawah bidangkuasa Mahkamah Syariah. Ini sememangnyalah begitu kerana soal sama ada seseorang Islam telah terkeluar daripada agamanya atau menjadi murtad merupakan isu yang serius yang hanya boleh ditentukan oleh pakar-pakar yang berkelayakan dalam bidang perundangan Islam.
(ii) Seseorang yang mengisyhtiharkan dirinya telah keluar daripada agama Islam perlu mendapatkan pengesahan daripada Mahkamah Syariah. Pengisyhtiharan melalui surat akuan berkenaan yang mengisyhtiharkan seseorang itu telah keluar daripada agama Islam adalah tidak memadai untuk menentukan kedudukan seseorang itu sama ada telah keluar dari agama Islam atau sebaliknya.
[28] Jelas pada saya tidak terdapat percanggahan keputusan oleh Hakim-Hakim Mahkamah Tinggi dalam isu ini. Malah keputusan Hakim-Hakim Mahkamah Tinggi, adalah berpandukan dan selari dengan keputusan oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. Di dalam kes Dalip Kaur v. Pegawai Polis Daerah, Balai Polis Daerah, Bukit Mertajam & Anor [1991] 3 CLJ 2768; [1991] 1 CLJ (Rep) 77 Mohamed Yusof SCJ dalam membincangkan sama ada Mahkamah Tinggi mempunyai bidangkuasa untuk mengisyhtiharkan seseorang itu telah murtad telah menyatakan seperti berikut:
Such a serious issue, would, to my mind, need consideration by eminent jurists who are properly qualified in the field of Islamic jurisprudence.
On this view it is imperative that the determination of the question in issue requires substantial consideration of the Islam law by relevant jurists qualified to do so.
[29] Perkara yang sama telah diputuskan oleh Gunn Chit Tuan SCJ di dalam kes Mohamed Habibullah bin Mahmood v. Faridah bte Dato’ Taib [1993] 1 CLJ 264 yang antara lain menyatakan:
With respect to the submission of Mr. Balwant Singh Sidhu regarding whether the plaintiff could be considered as apostate, reference ought to be made to the dictum of Mohamed Yusoff SCJ (as he then was) in the recent decision of this court in Dalip Kaur v. Pegawai Polis Daerah Bukit Mertajam & Anor when he pointed out that in determine whether a Muslim has renounce Islam, the only forum qualified to answer the question is the Syariah Court.
[30] Seterusnya di dalam kes Soon Singh a/l Bikar Singh v. Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) [1999] 2 CLJ 5, Dzaiddin FCJ (pada masa itu) yang memberikan penghakiman untuk Mahkamah Persekutuan telah menyatakan:
Therefore, when jurisdiction is expressly conferred on the matters to conversion to Islam, in out opinion, it is logical that matters concerning conversion out of Islam (apostasy) could be read necessarily implied in and falling within the jurisdiction of the Syariah Courts. One reason we can think of is that the determination of a Muslim convert’s conversion out of Islam involves inquiring into the validity of his purported renunciation of Islam under Islamic law in accordance with hokum syarak (Dalip Kaur). As in this case of conversion to Islam, certain requirements must be complied with under hokum syarak for a conversion out of Islam to be valid, which only the syariah courts are the experts and appropriate to adjudicate.
[31] Jelas, tidak ada perbezaan atau kekeliruan mengenai perkara ini. Mahkamah di semua peringkat telah memutuskan bahawa Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidangkuasa untuk memutuskan sama ada seseorang itu telah terkeluar daripada agama Islam atau menjadi murtad. Bidangkuasa itu terletak di bawah bidangkuasa Mahkamah Syariah.
[32] Baru-baru ini Mahkamah Rayuan di dalam kes Lina Joy v. Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan & Ors [2005] 4 CLJ 666 antara lain telah memutuskan bahawa seseorang yang ingin keluar daripada agama Islam dikehendaki berbuat sedemikian melalui pihak berkuasa agama Islam. Abdul Aziz Mohamed JCA telah menyatakan:
One might tempted to think that the fact a person affirms in a statutory declaration that he is no longer a Muslim, or the fact the he has been participating in a Christian form of worship, or the fact that he has been baptized is sufficient, according to Islamic Law, to warrant others to treat him as having apostatized and as being no longer a Muslim. But is that so in Islam Law? It may be that according to Islamic Law no Muslim may be treated as having apostatized, no matter what he may have done or failed to do, unless and until he has been declared an apostate by some proper authority.
[33] Pada saya ‘proper authority’ yang dimaksudkan oleh Mahkamah Rayuan itu semestinya badan yang diwujudkan di bawah enakmen tiap-tiap negeri di Malaysia, di bawah Perkara 74 (2) Perlembagaan Persekutuan. Perkara 74(2) berbunyi seperti berikut:
74(2) Without prejudice to any power to make laws conferred on it by any other Article, the Legislative of a State may make laws with respect to any of the matters anumerated in the State List (that is to say), the Second List set out in the Ninth Schedule or the concurrent list.
[34] Jelas pada saya, kuasa di bawah Perkara 74(2) Perlembagaan Persekutuan seperti di ataslah yang memberi kuasa kepada Dewan Undangan Negeri Terengganu untuk mewujudkan Enakmen Mahkamah Syariah (Terengganu) 2001. Pada saya kewujudan Enakmen Mahkamah Syariah (Terengganu) 2001 bukanlah bertujuan untuk menghalang penganut Islam daripada menukar agama, kerana ia sudah tentu akan bertentangan dengan Perkara 11 Perlembagaan. Sebaliknya kewujudan Enakmen Mahkamah Syariah (Terengganu) 2001 itu adalah untuk bertindak sebagai forum yang mempunyai bidangkuasa yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan untuk mentadbir undang-undang diri dan keluarga penganut agama Islam di Negeri Terengganu, termasuklah mengenai permohonan untuk mereka yang hendak keluar daripada agama Islam.
[35] Jadi pada saya, tidak ada keperluan untuk mahkamah ini merujuk kepada Mahkamah Persekutuan persoalan undang-undang seperti yang dikemukakan oleh pihak plaintif. Kedudukan undang-undang dalam hal ini adalah sangat jelas.
[36] Sebenarnya tindakan plaintif-plaintif ini merupakan cubaan kali kedua, memohon kepada mahkamah untuk memutuskan perkara yang sama. Dari fakta kes ini adalah didapati bahawa kedua-dua plaintif adalah antara plaintif-plaintif yang memfailkan permohonan habeas corpus dan pengisytiharan bahawa mereka telah keluar dari Islam, di Mahkamah Tinggi Kota Bharu. (Daud Mamat & Ors v. Majlis Agama Islam/Adat & Anor [2001] 2 CLJ 161. Suriyadi Halim J dalam menolak permohonan itu pada asasnya memutuskan bahawa plaintif-plaintif yang mengisytiharkan mereka telah keluar agama Islam, masih dianggap di sisi undang-undang sebagai seorang Islam sehinggalah di sahkan oleh Mahkamah Syariah. Jadi menurutnya, memandangkan plaintif-plaintif masih dianggap orang Islam, mereka akan terus berada di bawah bidangkuasa Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidangkuasa terhadap mereka.
[37] Plaintif-plaintif dalam kes tersebut, termasuk kedua-dua plaintif, kemudiannya telah membuat rayuan ke Mahkamah Rayuan seperti dalam kes Kamariah bte Ali & Lain-lain lwn Kerajaan Negeri Kelantan, Malaysia dan Satu Lagi [2002] 3 CLJ 766. Perkara pokok yang ditimbulkan di Mahkamah Rayuan ialah mengenai
s. 102 Enakmen Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan 1994 yang dikatakan adalah bercanggah dengan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan. Seksyen 102 Enakmen tersebut berbunyi:
(1) Tiada seorang pun yang telah diakui beragama Islam boleh mengaku bahawa ia bukan Islam melainkan setelah Mahkamah memberi pengesahan sedemikian;
(2) Sebelum Mahkamah membuat pengesahannya, seseorang itu hendaklah dianggap beragama Islam dan segala perkara yang berkaitan dengan agama Islam adalah terkena ke atasnya; dan
(3) Jika seseorang Islam dengan sengaja cuba sama ada dengan perkataan atau perbuatan hendak keluar dari agama Islam, Mahkamah bolehlah, jika berpuashati, memerintahkan orang itu supaya ditahan di Pusat Bimbingan Islam untuk tempoh tidak melebihi 36 bulan bagi tujuan pendidikan dan orang itu hendaklah diminta bertaubat mengikut Hukum Syarak.
[38] Mahkamah Rayuan telah memutuskan bahawa s. 102 di atas tidak menghalang seseorang Islam keluar dari agama Islam. Ia cuma memerlukan seseorang Islam yang hendak membuat pengakuan bahawa dia bukan Islam mendapat pengesahan Mahkamah Syariah terlebih dahulu. Jadi, rayuan plaintif-plaintif dalam kes tersebut telah ditolak dan adalah juga diputuskan bahawa soalan sama ada seseorang itu murtad atau tidak adalah persoalan hukum syarak, bukan undang-undang sivil.
[39] Plaintif-plaintif dalam kes tersebut, termasuklah kedua-dua plaintif dalam kes ini telah membuat permohonan untuk kebenaran merayu ke Mahkamah Persekutuan. Seperti yang dinyatakan terdahulu bahawa pada 5 November 2002 Mahkamah Persekutuan telah memberi kebenaran kepada mereka untuk merayu ke atas persoalan-persoalan tertentu. Dua daripada tiga persoalan yang dikemukakan oleh plaintif-plaintif dalam kes tersebut adalah persoalan yang sama yang hendak dikemukakan oleh plaintif-plaintif di dalam permohonan di kandungan 3. Persoalan-persoalan itu ialah:
(i) Sama ada hak untuk menganut agama di bawah Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan merangkumi hak seseorang beragama Islam yang telah mencapai umur majoriti untuk mengisytiharkan keluar dari agamanya.
(ii) Sama ada undang-undang yang menghadkan atau mengenakan sekatan-sekatan yang lain ke atas hak seseorang (selain dari mereka yang belum mencapai umur majoriti) untuk mengisytiharkan keluar dari agamanya, adalah tidak konsisten dengan Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan dan demikian tidak sah.
[40] Pada 24 Julai 2004 di Mahkamah Persekutuan yang diketuai oleh Ahmad Fairuz KHN di dalam kes Kamariah bte Ali & Yang Lain-lain lwn. Kerajaan Negeri Kelantan & Satu Lagi [2004] 3 CLJ 409 sebulat suara berpendapat soalan-soalan tersebut tidak perlu dijawab walaupun kebenaran untuk merayu ke atas soalan-soalan tersebut telah diberikan oleh Mahkamah Persekutuan. Dengan itu rayuan perayu-perayu telah ditolak dengan kos oleh Mahkamah Persekutuan.
[41] Pada saya apabila Mahkamah Persekutuan yang berkeputusan untuk tidak menjawab soalan-soalan tersebut, saya tidak nampak apa keperluan soalan-soalan atas fakta yang sama perlu dikemukakan semula kepada Mahkamah Persekutuan. Tindakan plaintif-plaintif dalam pemfailan kandungan 1 dan kandungan 3 adalah tergolong di dalam tindakan yang menyalahguna proses mahkamah.
[42] Kesimpulannya, saya berpendapat tidak ada keperluan untuk merujuk soalan-soalan yang dikemukakan oleh plaintif-plaintif seperti di kandungan 3 melalui satu kes khas ke Mahkamah Persekutuan. Pada saya persoalan sebenar yang hendak diketengahkan oleh plaintif-plaintif dalam kes ini ialah untuk pengisytiharan mereka tidak lagi menganut dan mengamalkan agama Islam. Seperti yang saya nyatakan di dalam penghakiman ini bahawa bidangkuasa untuk menentukan seseorang itu telah keluar daripada agama Islam adalah Mahkamah Syariah. Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidangkuasa.
[43] Dengan itu permohonan plaintif-plaintif di kandungan 3 adalah ditolak dengan kos kecuali pencelah yang hendaklah menanggung kosnya sendiri. Atas alasan-alasan yang sama kandungan 1 adalah dibatalkan.
* * * * * *
[Kandungan 1 dibatalkan; permohonan kandungan 3 ditolak.]
Kes-kes yang dirujuk:
Dalip Kaur v. Pegawai Polis Daerah, Balai Polis Daerah, Bukit Mertajam & Anor [1991] 3 CLJ 2768; [1991] 1 CLJ (Rep) 77 SC (dirujuk)
Daud Mamat & Ors v. Majlis Agama Islam/Adat & Anor [2001] 2 CLJ 161 HC (dirujuk)
Kamariah Ali & Lain-lain lwn. Kerajaan Negeri Kelantan, Malaysia & Satu Lagi [2002] 3 CLJ 766 CA (dirujuk)
Kamariah Ali & Lain-lain lwn. Kerajaan Negeri Kelantan, Malaysia & Satu Lagi [2004] 3 CLJ 409 FC (dirujuk)
Lim Chan Seng v. Pengarah Jabatan Agama Islam Pulau Pinang & Satu Kes Yang Lain [1996] 3 CLJ 231 HC (dirujuk)
Lina Joy v. Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan & Ors [2005] 4 CLJ 666 CA (dirujuk)
Md Hakim Lee v. Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur [1997] 4 CLJ Supp 419 HC (dirujuk)
Mohamed Habibullah Mahmood v. Faridah Dato’ Taib [1993] 1 CLJ 264 SC (dirujuk)
Priyathaseny & Ors v. Pegawai Penguatkuasa Agama Jabatan Hal Ehwal Islam Perak & Ors [2003] 2 CLJ 221 HC (dirujuk)
Soon Singh Bikar Singh v. Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) [1999] 2 CLJ 5 SC (dirujuk)
Zubeydah Shaik Mohd lwn. Kalaichelvan Alagapan & Lain-lain [2003] 2 MLJ 471 (dirujuk)
Perundangan yang dirujuk:
Enakmen Kesalahan Jenayah (Takzir) (Terengganu) 2001, s. 10
Enakmen Mahkamah Syariah (Terengganu) 2001, s. 11(3)(b)(x)
Enakmen Majlis Agama Islam Kelantan dan Adat Istiadat Melayu Bil 2/66, ss. 69, 102
Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam Negeri Terengganu 1986, s. 205(2)
Federal Constitution, arts. 11(1), 74(2), 121(1A)
Bagi pihak plaintif - Malik Imtiaz Salwar (Haris Ibrahim & Sunil Lopez bersamanya); T/n Haris & Co
Bagi pihak defendan pertama - Zamani Mohammad (Mohd Zamani bersamanya); T/n Zamani Mohammad & Co
Bagi pihak defendan kedua - Ahmad Kamal Md Shahid
Bagi pihak pencelah - Azizah Hj Nawawi
Dilaporkan oleh WA Sharif

Kuatkuasa Perintah Nafkah, Komitan dan Saman Penghutang Penghakiman

Terdapat banyak kekeliruan dalam permohonan penguatkuasaan perintah nafkah, pelaksanaan perintah, perintah komitan, saman penghutang penghakiman dan sebagainya. Secara ringkas, semua itu adalah hampir sama tetapi ianya berbeza dari sudut pelaksanaannya. Secara mudah, terdapat satu kes yang baik untuk dirujuk dalam membezakan tindakan-tindakan ini. kes tersebut telah diputuskan oleh MTS Seremban dan telah mengupas perkara ini dan penekanan telah dibuat oleh Kahim MTS (rayuan semakan) mengenai proses saman penghutang penghakiman. Kes ini bermula apabila Responden dikenakan perintah tahanan akibat gagal melunaskan hutang nafkah, tetapi kes tersebut kemudiannya telah disemak dan diputuskan terdapat beberapa kekhilafan. Perintah komitan kemudiannya dibatalkan. Dalam membantu memahami situasi tersebut, YA Hakim MTS telah memberi beberapa panduan yang berguna. Apa yang boleh dipetik daripada kes ini ialah mengenai peraturan Semakan (Sehingga tahun 2005 sebelum Arahan Amalan terbaru mengenai semakan dikeluarkan), penguatkuasaan perintah nafkah,penghinaan mahkamah, saman penghutang penghakiman dan perintah komitan.



NORMAH BINTI ALI PIAH………………………….………..…..PEMOHON DAN MAZALAN BIN JAMALUDDIN…………..………………..…….RESPONDEN


LATARBELAKANG KES

Tindakan ini merupakan satu permohonan semakan kes yang difailkan oleh Encik XXXXXXXXXX, Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Syariah Port Dickson atas arahan Tuan Hakim XXXXXXXXXX, Hakim Syarie Mahkamah Rendah Syariah Port Dickson iaitu hakim bicara yang memutuskan kes tersebut melalui satu surat rujukan No. Bil (17)dlm. MRSPD 05001-033-0140-2005 bertarikh 06hb September 2006.

Rayuan untuk semakan ini dibuat berikutan satu keputusan yang telah dibuat dan dikeluarkan oleh Mahkamah Rendah Syariah Daerah Port Dickson, Negeri Sembilan pada 18hb Oktober 2005, menerusi permohonan kes Mal No. 05001-033-0140-2005 seperti berikut:

“Bahawa Responden diperintahkan untuk membayar bayaran nafkah tertunggak sebanyak RM11,200.00 (Ringgit Malaysia Sebelas Ribu Dua Ratus sahaja) dalam tempoh 07 (tujuh) hari. Jika gagal, responden akan ke penjara selama 06 (enam) bulan mulai 25 Oktober 2005.”

Semakan telah dibuat kepada Mahkamah Tinggi Syariah Seremban atas alasan seperti berikut:
i) Pemohon telah tersilap di dalam permohonan kerana tidak menyatakan secara khusus peruntukan mana permohonan ini dibuat;

ii) YA Hakim khilaf kerana mengeluarkan dua perintah secara serentak iaitu perintah pembayaran nafkah tunggakan dalam masa tujuh hari dan perintah komitan.

KRONOLOGI KES

1. Pemohon bercerai secara fasakh dengan Responden pada 08/03/2005 di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Petaling Jaya melalui kes Mal No. 10001-014-570-2004.

2. Pemohon mengemukakan tuntutan nafkah anak di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Port Dickson melalui Kes Mal No. 05001-024-0008 tahun 2004 pada 27/07/2004 tanpa kehadiran responden tetapi melalui persetujuan Responden dan diperintahkan:

a) responden membayar nafkah 4 orang anak sebanyak RM1108.00 sebulan
b) Pembayaran nafkah hendaklah dibuat melalui tahanan pendapatan tenaga pihak responden dan disalurkan terus ke akaun Pemohon.

3. sejak perintah dikeluarkan, Responden telah gagal membuat pembayaran nafkah selama 6 bulan iaitu sejak bulan 07/2004 hingga 01/2005. Jumlah nafkah telah tertunggak sebanyak RM11,200.00.

4. Pemohon memohon pelaksanaan perintah Mahkamah pada 27/01/2005 dan diperintahkan:

a) Responden iaitu Mazalan bin Jamaluddin membayar tunggakan nafkah anak sebanyak RM11,200.00

b) Pembayaran tunggakan nafkah anak tersebut hendaklah dibuat secara ansuran sebanyak RM400.00 sebulan selama 28 bulan.

5. Pada 21/09/2005, Pemohon melalui peguamnya dari Biro Bantuan Guaman Negeri Sembilan telah memfailkan permohonan perintah pengkomitan melalui kes Mal No. 05001-033-0140-2005 di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Port Dickson Negeri Sembilan.

6. Melalui permohonan tersebut, Pemohon memohon:

a) nafkah anak RM1,108,00 sebulan seperti yang diperintahkan oleh mahkamah;

b) tunggakan nafkah anak sebanyak RM11,200.00 seperti yang diperintahkan oleh Mahkamah;

secara alternatif:

c) perintah pengkomitan terhadap Responden; dan/atau

d) Lain-lain perintah yang difikirkan munasabah oleh Mahkamah.


7. kes ini telah didengar sebanyak 3 kali termasuk iaitu pada 18/10/2005, 07/03/2006 (tangguh kerana peguam Pemohon berkursus) dan 28/03/2006. Secara ringkasnya kronologi untuk kes ini ialah:

a) 18/10/2005 Mahkamah Rendah Syariah Daerah Port Dickson mengeluarkan perintah bahawa:

Responden diperintahkan membayar bayaran nafkah tertunggak sebanyak RM11,200.00 dalam masa 7 hari. Jika gagal Responden akan dipenjarakan selama 6 (enam) bulan mulai 25 Oktober 2005.

Perintah tersebut dimeterai dan dikeluarkan pada 25hb Oktober 2005.

b) 26/10/2005 Peguam Pemohon memaklumkan melalui surat rujukan no (09)dlm.BBG.NS(NS-2)2268/2005 bertarikh 26hb Oktober 2005 bahawa Responden gagal membuat bayaran seperti yang diperintahkan oleh Mahkamah dalam tempoh yang ditetapkan.

c) 08/02/2006 pemohon melalui peguamnya memfailkan kebenaran untuk pengkomitan beserta affidavit sokongan di Mahkamah Rendah Syariah daerah Port Dickson dan memohon mahkamah agar memenjarakan Responden selama 6 bulan dari tarikh tangkapan dan lain-lain perintah yang difikirkan munasabah dan adil.

d) 07/03/2006 Peguam Pemohon mohon penangguhan kerana berkursus.

e) 28/03/2006 Peguam Pemohon mohon Responden dikomitkan seperti perintah yang dipohon. Mahkamah luluskan.

f) 13/04/2006 Peguam Pemohon memfailkan draf perintah untuk disemak dan ditandatangani oleh YA Hakim Bicara.

g) 06/09/2006 Surat dari penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Syariah Daerah Port Dickson rujukan No. Bil(17)dlm. MRSPD 05001-033-0140-2005 bertarikh 06hb September 2006 atas arahan Hakim Syarie Mahkamah Rendah Syariah Daerah Port Dickson ke Mahkamah Tinggi Syariah memohon kes ini disemak kerana terdapat beberapa kekhilafan, antaranya:

i) Pemohon telah tersilap di dalam permohonan kerana tidak menyatakan secara khusus peruntukan mana permohonan ini dibuat;

ii) YA Hakim khilaf kerana mengeluarkan dua perintah secara serentak iaitu perintah pembayaran nafkah tunggakan dalam masa tujuh hari dan perintah komitan.


h) 10/10/2006 ketua Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah melalui surat bertarikh 10/10/2006 meminta YA Hakim Bicara menyediakan alasan Penghakiman.
i) 17/10/2003 Hakim Bicara mengemukakan asas keputusan untuk rekod rayuan.

FAKTA KES

Pemohon, Normah binti Ali piah melalui affidavit yang diikrarkan mendakwa telah bercerai secara fasakh dengan Responden iaitu Mazalan bin Jamaluddin pada 08/03/2005 di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Port Dickson melalui Kes Mal No. 10001-014-570-2004. Sewaktu pembubaran perkahwinan tersebut dilaksanakan di Mahkamah Rendah Syariah, mahkamah bicara waktu itu tidak mengeluarkan apa-apa perintah mengenai nafkah anak. Sehubungan dengan itu, Pemohon kemudiannya mengemukakan tuntutan nafkah anak di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Port Dickson melalui Kes Mal No. 05001-024-0008 tahun 2004 pada 27/07/2004. Mahkamah Rendah Syariah Daerah Port Dickson telah memutuskan tanpa kehadiran Responden tetapi melalui persetujuan Responden dan diperintahkan:

i) Responden membayar nafkah untuk 4orang anak sebanyak RM1108.00 sebulan;

ii) Pembayaran nafkah hendaklah dibuat melalui tahanan pendapatan tenaga Responden dan disalurkan terus ke akaun Pemohon.

Sejak perintah dikeluarkan, Responden telah gagal membuat pembayaran nafkah selama 6 bulan iaitu sejak bulan 07/2004 hingga 01/2005. Jumlah nafkah telah tertunggak sebanyak RM11,200.00. Pemohon kemudiannya memohon Pelaksanaan Perintah Mahkamah pada 27/01/2005 di mahkamah yang sama dan diperintahkan:

i) Responden iaitu Mazalan bin Jamaluddin membayar tunggakan nafkah anak sebanyak RM11,200.00

ii) Pembayaran tunggakan nafkah anak tersebut hendaklah dibuat secara ansuran sebanyak RM400.00 sebulan selama 28 bulan.

Selepas perintah tersebut dikeluarkan, Respondan masih gagal untuk menjelaskan semua hutang-hutang yang diperintahkan tersebut. Pada 21/09/2005, Pemohon melalui peguamnya dari Biro Bantuan Guaman Negeri Sembilan telah memfailkan permohonan perintah pengkomitan melalui kes Mal 05001-033-0140-2005 di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Port Dickson.

Melalui permohonan tersebut, Pemohon telah memohon:

a) nafkah anak RM1,108,00 sebulan seperti yang diperintahkan oleh mahkamah;

b) tunggakan nafkah anak sebanyak RM11,200.00 seperti yang diperintahkan oleh Mahkamah;

secara alternatif:

c) Perintah pengkomitan terhadap Responden; dan/atau

d) Lain-lain perintah yang difikirkan munasabah oleh Mahkamah.

Kes ini mula disebut pada 18hb Oktober 2005. kedua-dua pihak telah hadir. Mengikut rekod bicara di dalam catatan YA Hakim Bicara, Pemohon melalui peguamnya memohon kepada Mahkamah berdasarkan seksyen 229 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003 di atas kegagalan Responden yang enggan atau abai dalam mematuhi perintah Mahkamah Kes Mal No. 05001-024-0008 tahun 2004 bertarikh 27hb April 2004. Bagaimana pun pada 27hb Januari 2005, Responden telah berjanji untuk membayar RM400 sebulan sebagai bayaran ansuran tunggakan nafkah yang berjumlah RM11,200.00 sehingga Januari 2005. Malangnya Responden masih gagal untuk membuat bayaran tersebut dan telah dua kali tidak mematuhi perintah mahkamah. Pemohon melalui peguamnya meminta mahkamah merekodkan penghinaan mahkamah di atas kegagalan Responden mematuhi perintah tersebut.

Sewaktu memberi keterangan, Responden menjelaskan ia mengakui perintah yang dikeluarkan oleh mahkamah tetapi pendapatannya tidak mencukupi, beliau bekerja sebagai pemandu lori dimana pendapatannya yang diperolehinya dalam tempoh 3 hingga 4 bulan ialah sebanyak RM1300.00. responden juga menyatakan keluarga Pemohon ada menyerangnya, memecahkan cermin kenderaannya dimana kos baik pulih ditanggung oleh Responden sendiri. Responden juga dipukul hingga ditahan di wad di Putrajaya, tetapi tidak membuat repot polis kerana menganggap itu hanyalah perkara kecil.


ALASAN MAHKAMAH RENDAH SYARIAH

Mahkamah Bicara, dalam meluluskan permohonan Komitan tersebut beralasan bahawa YA Hakim Bicara menjadikan seksyen 151(1) (a),(b) (aa) yang dibaca bersama dengan seksyen 238(1) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003 sebagai asas panduan dalam memutuskan kes ini.YA Hakim Bicara berpendapat:

Bahawa seksyen 151 memperuntukkan:

“151. (1) Jika—

(a) seseorang yang dikehendaki oleh sesuatu penghakiman atau perintah supaya melakukan sesuatu perbuatan dalam masa yang dinyatakan dalam penghakiman atau perintah itu enggan atau abai melakukannya dalam masa itu atau dalam masa yang dilanjutkan atau dipendekkan di bawah seksyen 238, mengikut mana-mana yang berkenaan; atau

(b) …………..

(aa) dengan kebenaran Mahkamah, perintah pengkomitan; atau

(bb) jika orang itu ialah suatu pertubuhan perbadanan, ……”


Manakala seksyen 238 menyebut:

“238. (1) Mahkamah boleh, atas apa-apa terma yang difikirkannya adil, melalui perintah, melanjutkan atau memendekkan tempoh yang dalamnya seseorang dikehendaki atau dibenarkan oleh Enakmen ini atau oleh mana-mana penghakiman, perintah atau arahan untuk melakukan apa-apa perbuatan dalam mana-mana prosiding.”

YA Hakim Bicara meluluskan perintah komitan tersebut setelah berpendapat bahawa seseorang yang dikehendakki oleh sesuatu penghakiman atau perintah supaya melakukan sesuatu perbuatan (dalam kes ini mengenai pembayaran nafkah sebanyak RM11,200.00) dalam masa penghakiman atau perintah itu enggan atau abai melakukan dalam masa itu atau dalam masa yang dilanjutkan atau dipendekkan (iaitu dalam tempoh 7 hari) di bawah seksyen 238, mengikut mana-mana yang berkenaan, maka dengan kebenaran mahkamah boleh dikenakan perintah komitan.

YA Hakim Bicara juga menggunapakai seksyen 238 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003 sebagai sandaran sewaktu mengubah tempoh bayaran tunggakan nafkah sebanyak RM11,200.00 yang mesti dibayar oleh Responden secara ansuran sebanyak RM400.00 sebulan selama 28 bulan kepada dibayar dalam tempoh 7 hari. Beliau berpendapat, seksyen 238 memberi kuasa kepada Mahakamah sama ada untuk melanjutkan atau memendekkan tempoh tersebut jika difikirkannya adil untuk berbuat demikian.


KEPUTUSAN MAHKAMAH RENDAH SYARIAH

Selepas mendengar keterangan pihak-pihak dan setelah berpuashati dengan keterangan yang dikemukakan, YA Hakim Bicara kemudiannya memutuskan:

“ Kes ini telah dibicarakan pada 18 haribulan Oktober 2005, dengan kehadiran Puan Zaliha binti Mohd Janis, Peguam Persekutuan, dari Biro Bantuan Guaman, Negeri Sembilan mewakili pemohon. Pemohon hadir manakala Responden hadir sendirian.

Setelah Responden diberi peluang untuk membela diri dan setelah mendengar penghujahan peguam Syarie Plaintif, Maka Mahkamah dengan ini memerintahkan seperti berikut:

1. Bahawa Responden diperintahkan untuk membayar bayaran nafkah tertunggak sebanyak RM11,200.00 (Ringgit Malaysia Sebelas Ribu Dua Ratus sahaja) dalam tempoh 07 (tujuh) hari. Jika gagal, Responden akan ke penjara selama 06 (enam) bulan mulai 25 Oktober 2005.”

ALASAN PENGHAKIMAN MAHKAMAH TINGGI SYARIAH

1. LATARBELAKANG

Semakan kes ini telah dikemukakan ke Mahkamah Tinggi pada 24 hb Januari 2007 oleh ketua Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah melalui surat rujukan No. No. 05001-033-0140-2005 setelah beliau menerima permohonan semakan yang difailkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Syariah Daerah Port Dickson, Negeri Sembilan melalui surat rujukan No. Bil(17)dlm. MRSPD 05001-033-0140-2005 bertarikh 06hb September 2006. Permohonan semakan ini dibuat berdasarkan alasan kerana terdapat beberapa kekhilafan, antaranya:

i) Pemohon telah tersilap di dalam permohonan kerana tidak menyatakan secara khusus peruntukan mana permohonan ini dibuat;

ii) YA Hakim khilaf kerana mengeluarkan dua perintah secara serentak iaitu perintah pembayaran nafkah tunggakan dalam masa tujuh hari dan perintah komitan.

2. BIDANGKUASA

Perkara utama yang Mahkamah perlu lihat dalam permohonan ini ialah sama ada Mahkamah Tinggi mempunyai bidangkuasa untuk membuat semakan terhadap kes-kes Mahkamah Rendah atau mahkamah bawahannya. Jika ada bidangkuasa, siapakah yang layak atau mempunyai locus standi untuk memfailkan satu-satu permohonan untuk semakan?, pada peringkat manakah semakan ini boleh dikemukakan?, apakah pihak-pihak lain yang bukan menjadi pihak-pihak atau litigant dalam kes induk tersebut layak dan mempunyai hak untuk memfailkan kes tersebut untuk disemak oleh Mahkamah yang lebih tinggi. Jika layak apakah ada satu permohonan khusus atau prosedur yang mengatur selia permohonan semakan tersebut?

i) Bidangkuasa Semakan Mahkamah Tinggi Syariah

Dalam menjawab persoalan tersebut, adalah baik kita merujuk kepada punca asas bidangkuasa Mahkamah Tinggi Syariah yang diperuntukkan di bawah seksyen 66(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003. Seksyen tersebut memperuntukkan:

“66. (1) Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah mempunyai bidang kuasa pengawasan dan penyemakan ke atas semua Mahkamah Rendah Syariah dan boleh, jika didapatinya perlu oleh Mahkamah Tinggi Syariah itu demi kepentingan keadilan, sama ada atas kehendaknya sendiri atau atas kehendak mana-mana pihak atau orang yang berkepentingan, pada mana-mana peringkat dalam apa-apa perkara atau prosiding, sama ada mal atau jenayah, dalam mana-mana Mahkamah Rendah Syariah, memanggil dan memeriksa mana-mana rekod tentang perkara atau prosiding itu dan boleh memberikan apa-apa arahan yang dikehendaki demi keadilan.

(2) Apabila Mahkamah Tinggi Syariah memanggil rekod apa-apa perkara atau prosiding di bawah subseksyen (1), semua prosiding dalam Mahkamah Rendah Syariah tentang perkara atau prosiding itu hendaklah digantung sementara menanti perintah selanjutnya daripada Mahkamah Tinggi Syariah.”

Berdasarkan seksyen 66(1), Mahkamah Tinggi Syariah memang mempunyai bidangkuasa khusus untuk membuat pengawasan dan penyemakan ke atas semua Mahkamah Rendah Syariah.

ii) Siapakah yang layak atau mempunyai locus standi untuk memfailkan satu-satu permohonan untuk semakan

Dalam menentukan siapakah yang layak untuk mengemukakan sesuatu permohonan semakan ke Mahkamah Tinggi, suka saya merujuk kepada pandangan Mimi Kamariah Majid di dalam bukunya Pentadbiran Keadilan Jenayah Di Malaysia (Kuala Lumpur, 1991, hal 500), beliau berpendapat:

“Hakim Mahkamah Tinggi boleh meminta rekod mana-mana penemuan, hukuman atau perintah yang direkodkan atau dikeluarkan atau tentang pengaturan mana-mana prosiding Mahkamah Rendah Syariah sedemikian. Hakim akan mengambil rekod jika perhatiannya dibawa kepada sesuatu kes. Kes-kes itu mungkin dibawa kepada perhatiannya melalui akhbar atau saudara mara pesalah yang telah menulis kepadanya, atau kadang kala hakim itu sendiri yang memajukan rekod prosiding jika mereka merasakan kes-kes mereka perlu disemak. Ini boleh dilakukan secara sukarela tanpa menunggu rayuan diserahkan oleh pesalah jika pegawai yang mendengar kes berpendapat perlu untuk berbuat demikian.”


Pandangan ini adalah selaras dengan kehendak seksyen 66 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003, iaitu:


“66. (1)……. jika didapatinya perlu oleh Mahkamah Tinggi Syariah itu demi kepentingan keadilan, sama ada atas kehendaknya sendiri atau atas kehendak mana-mana pihak atau orang yang berkepentingan, pada mana-mana peringkat dalam apa-apa perkara atau prosiding, sama ada mal atau jenayah, dalam mana-mana Mahkamah Rendah Syariah, memanggil dan memeriksa mana-mana rekod tentang perkara atau prosiding itu dan boleh memberikan apa-apa arahan yang dikehendaki demi keadilan.

Dalam kes ini, permohonan semakan dikemukakan oleh Penolong pendaftar Mahkamah Rendah Syariah Daerah Port Dickson atas arahan YA Hakim Bicara yang merasakan bertanggungjawab ke atas kes tersebut. Berdasarkan seksyen 66(1) dan pandangan yang dikemukakan, Mahkamah ini berpendapat pihak-pihak lain selain dari pihak-pihak yang menjadi litigan dalam kes tersebut, iaitu Pemohon dan Responden adalah layak atau berhak untuk mengemukakan permohonan semakan, mereka adalah terdiri dari Hakim Mahkamah Tinggi Syariah sendiri yang merasakan perlu adanya satu semakan dibuat demi kepentingan keadilan, Hakim Bicara kes tersebut juga boleh memohon setelah ia merasakan bahawa disebabkan ketakaturan atau ketakpatuhan undang-undang atau kesilapan hakim bicara, semakan itu perlu dilakukan untuk memperbetulkan kesilapan dan mengelakkan ketidakadilan berlaku, peguam kedua-dua belah pihak, pihak-pihak di dalam kes tersebut atau orang yang berkepentingan dalam kes tersebut. Dalam kes ini, Yang Arif Bakim Bicara itu sendiri yang mengusulkan kes ini disemak apabila menyedari sesuatu yang tidak kena terhadap kes ini sewaktu beliau menyemak semula fail ketika diminta menandatangani perintah untuk menahan Responden ke penjara.

Pandangan ini dikukuhkan lagi dengan kenyataan YAA Dato’ Hj Mohammad Asri bin Haji Abdullah di dalam artikelnya “Bidang Kuasa Pengawasan Dan Penyemakan Mahkamah Tinggi Syariah” dalam Jurnal Hukum Jld. XX Bahagian II 2005, iaitu:

“Adakalanya juga semakan datang dari Hakim Mahkamah Rendah Syariah itu sendiri apabila dia menyedari telah tersilap membuat keputusan di dalam sesuatu kes. Biasanya Hakim tersebut akan menuliskan permohonannya untuk semakan di atas kertas minit fail tersebut dan Penolong Pendaftar akan memanjangkan dengan segera fail itu ke Mahkamah Tinggi Syariah. Setelah menerima fail itu, dengan seberapa segera Pendaftar akan membawa fail tersebut kepada hakim Mahkamah Tinggi Syariah untuk disemak dan diputuskan.” (2005) JH XX/II 194.

Bagaimana pun, pihak-pihak litigan yang menerima keputusan dalam kes tersebut (iaitu pemohon/plaintif dan responden/defendan) dan mempunyai hak untuk merayu adalah tidak digalakkan untuk membuat semakan biarpun mereka berhak untuk melakukannya. Tujuannya adalah untuk mengelakkan berlakunya prejudis terhadap kes tersebut. Arahan Amalan Mahkamah Syariah No. 13 tahun 2003 menyebut:


“......berhubung dengan peraturan semakan kes di Mahkamah Tinggi Syariah atau di Mahkamah Rayuan Syariah hendaklah mengikut peraturan seperti berikut:-

1. Permohonan semakan boleh dibuat ke atas kes mal atau jenayah sama ada kes yang dalam prosiding atau yang telah diputuskan ;

2. Permohonan semakan kes oleh pihak-pihak hendaklah dibuat melalui Notis Permohonan bersama dengan Affidavit kecuali permohonan oleh Hakim Syarie ;

3. Pihak-pihak yang menerima keputusan dan mempunyai hak merayu adalah tidak digalakkan memohon semakan”

Berdasarkan peruntukan seksyen 66(1), Arahan Amalan No. 13 tahun 2003 dan pandangan dua tokoh tersebut, bolehlah disimpulkan bahawa orang yang layak untuk mengemukakan permohonan semakan ke Mahkamah Tinggi Syariah adalah terdiri dari Hakim Mahkamah Tinggi, Hakim Bicara kes tersebut, pihak-pihak di dalam kes tersebut dan orang yang berkepentingan terhadap kes tersebut. Dalam kes ini, Penolong Pendaftar adalah orang yang berkepentingan di dalam kes tersebut termasuklah YA Hakim Bicara itu sendiri yang mengusulkan rayuan kes ini untuk semakan kepada Mahkamah Tinggi Syariah.

iii) apakah ada satu permohonan khusus atau prosedur yang mengatur selia permohonan semakan tersebut?

Setakat ini tidak ada peraturan khusus atau prosedur yang mengatur permohonan semakan yang dibuat kepada Mahkamah Tinggi Syariah. Selain dari Arahan Amalan No. 13 Tahun 2003 yang menyatakan satu permohonan semakan kes oleh pihak-pihak hendaklah dibuat melalui notis permohonan yang disokong oleh affidavit, tiada peruntuan khusus lain mengenainya. Pendaftar, yang menerima permohonan tersebut akan menetapkan tarikh untuk semakan setelah notis kehadiran diserahkan kepada pihak-pihak. Hakim Mahkamah Tinggi boleh, memanggil dan memeriksa mana-mana rekod tentang perkara atau prosiding itu dan boleh memberikan apa-apa arahan yang dikehendakki demi keadilan. Tindakan tersebut boleh dibuat pada mana-mana peringkat prosiding sama ada kes tersebut masih berjalan atau telah diputuskan. Selain itu, amalan semakan ini adalah dirujuk kepada kes-kes yang terdahulu.

Kuasa semakan ini adalah jelas dan pernah diamalkan sejak peringkat awal Islam lagi. Sejarah perundangan Islam memperlihatkan kepada kita bahawa kuasa semakan atau dipanggil murajaah telah ada dipraktikkan oleh para sahabat Baginda Rasulullah SAW di awal perkembangan institusi kehakiman Islam. Semakan atau murajaah amat perlu terutama sekali apabila ternyata sesuatu keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Rendah Syariah salah dan bertentangan dengan nas-nas syarak yang qat’ie. (lihat Dato’ Haji Muhammad Asri bin Haji Abdullah, (2005) JH XX/II, 188). Saidina Umar al-Khattab pernah berkata:

Maksudnya: “Tidak ada halangan bagi mu, untuk memeriksa dengan akal mu dan mempertimbangkan dengan petunjuk mu keputusan yang telah engkau putuskan pada hari ini agar engkau sampai kepada kebenaran. Kerana sesungguhnya kebenaran itu harus dilaksanakan. Dan kembali kepada kebenaran itu lebih baik daripada berpanjangan dalam kebatilan” (Sayyid Sabiq, fiqh Sunnah, 1971, Juz. 3,hal.407)

Seksyen 245 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003 pula memperuntukkan mengenai pemakaian Hukum Syarak apabila terdapat kekosongan di dalam undang-undang. Seksyen tersebut memperuntukkan:

“245. (1) Mana-mana peruntukan atau tafsiran peruntukan di bawah Enakmen ini yang tidak selaras dengan Hukum Syarak adalah terbatal setakat ketidakselarasan itu.

(2) Jika terdapat lacuna atau jika apa-apa perkara tidak diperuntukkan dengan nyata oleh Enakmen ini, Mahkamah hendaklah memakai Hukum Syarak”


3. ALASAN SEMAKAN

YA Hakim Bicara semasa mengusulkan permohonan semakan ini menyatakan alasannya bahawa Pemohon telah tersilap di dalam permohonan kerana tidak menyatakan secara khusus peruntukan mana permohonan ini dibuat.

Ketika merujuk catatan perbicaraan ini, Mahkamah mendapati peguam Pemohon memohon kepada Mahkamah berdasarkan seksyen 229 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003 di atas kegagalan Responden yang enggan atau abai dalam mematuhi perintah Mahkamah Kes Mal No. 05001-024-0008 tahun 2004 bertarikh 27hb April 2004. Peguam Pemohon selanjutnya meminta mahkamah merekodkan penghinaan mahkamah di atas kegagalan Responden mematuhi perintah tersebut. Mahkamah kemudiannya melulus dan membenarkan permohonan tersebut. Yang anihnya, YA hakim Bicara telah memutuskan kes tersebut berdasarkan seksyen 151 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003 dan seksyen 238 Enakmen yang sama dan bukan seperti mana yang dipohon oleh peguam Pemohon.

Seksyen 229 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan)2003 adalah mengenai penghinaan Mahkamah. Seksyen tersebut memperuntukkan:

“229. (1) Mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk memulakan prosiding terhadap mana-mana orang kerana menghina mahkamah dan boleh, dalam prosiding sedemikian, membuat suatu perintah pengkomitan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau boleh mengenakan denda tidak melebihi dua ribu ringgit.

(2) Jika penghinaan dilakukan di dalam Mahkamah, maka tidaklah perlu bagi Mahkamah menyampaikan notis untuk menunjukkan sebab tetapi Mahkamah hendaklah memastikan bahawa orang yang dikatakan melakukan penghinaan itu faham tentang jenis kesalahan yang dikatakan terhadapnya dan diberi peluang untuk didengar untuk membela dirinya, dan Mahkamah hendaklah membuat suatu rekod yang sepatutnya mengenai prosiding itu.

(3) Dalam hal penghinaan yang dilakukan di luar Mahkamah, notis supaya menunjukkan sebab mengapa tindakan atau prosiding tidak boleh diambil terhadapnya hendaklah disampaikan ke diri orang yang dikatakan melakukan penghinaan itu.”


Tindakan yang boleh dibuat melalui seksyen ini adalah tindakan menghina mahkamah. Dari segi prinsipnya, penghinaan mahkamah terdiri dari dua elemen. Elemen pertama ialah penghinaan di dalam mahkamah dan elemen kedua ialah penghinaan di luar Mahkamah.

Penghinaan di dalam mahkamah (contempt in-facie of court) ialah seperti mengganggu perjalanan kes, ingkar mematuhi arahan atau perintah hakim bicara (sewaktu kes sedang dibicarakan), mengeluar kata-kata kesat dan sebagainya. Jika penghinaan dilakukan di dalam Mahkamah, maka tidaklah perlu bagi Mahkamah menyampaikan notis untuk menunjukkan sebab tetapi Mahkamah hendaklah memastikan bahawa orang yang dikatakan melakukan penghinaan itu faham tentang jenis kesalahan yang dikatakan terhadapnya dan diberi peluang untuk didengar untuk membela dirinya, dan Mahkamah hendaklah membuat suatu rekod yang sepatutnya mengenai prosiding itu. Dalam kes Kamariah Salim v Zulkifli Puteh, (kes Mal 481/2001/MRSD Shah Alam, lihat juga Abdul Basir Mohammad, Penghinaan Mahkamah Di Mahkamah Syariah, dalam Kaedah Perundangan, Bidang Kuasa dan Tatacara Mal mahkamah Syariah, (2005), Dewan bahasa Dan Pustaka, hal.102). Kes ini pada awalnya merupakan permohonan tuntutan fasakh plaintif terhadap Defendan. Pernyataan pembelaan Defendan banyak mengandungi pernyataan yang menghina mahkamah dan institusi kehakiman. Sepatutnya pernyataan pembelaan mengandungi jawapan kepada tuntutan plaintif. Pada kali pertama, YA Hakim memerintahkan supaya pihak Defendan menarik balik pernyataan itu dan membuat pernyataan pembelaan yang lain. Defendan akur dengan perintah mahkamah. Kali kedua, tiada perubahan yang berlaku dengan pernyataan pembelaan yang dibuat malahan pernyataan penghinaan yang dibuat semakin berat sehingga menyatakan “hakim syaitan”. Hakim kemudiannya mengarahkan Zulkifli (Defendan) berjumpa pakar psikiatrik bagi menganalisis keadaan mentalnya. Tempoh masa yang diberikan adalah selama dua bulan. Selepas dua bulan, laporan mengenai keadaannya mentalnya diperoleh dan menunjukkan keadaan mental Defendan adalah normal. Ini bermakna tindakan yang dibuat oleh Defendan adalah satu tindakan yang tidak dipengaruhi oleh tekanan mental ataupun bukanlah kerana dia mempunyai penyakit mental. Berdasarkan laporan perubatan dan peluang yang diberikan, YA Hakim telah mensabitkan kesalahan di bawah seksyen 220(1), iaitu penghinaan di dalam Mahkamah dengan hukuman penjara selama tiga(3) hari. Hakim bicara telah memberi faham akan kesan tindakannya, memberi peluang kepada Defendan untuk membela diri, dan merekodkan semua prosiding terhadap kes tersebut.

Manakala penghinaan di luar mahkamah (contempt ex-facie of court) pula ialah penghinaan yang dilakukan bukan semasa prosiding berjalan di dalam mahkamah, tetapi boleh jadi masih didalam prosiding namun dilakukan di luar mahkamah. Contoh penghinaan diluar mahkamah adalah seperti ingkar perintah mahkamah, membicarakan kes yang sudahpun menjadi sub judice, membuat komen atau ulasan terhadap hakim atau mahkamah secara tidak wajar, membuat tohmahan terhadap hakim dan sebagainya. Dalam hal penghinaan yang dilakukan di luar Mahkamah ini, satu notis supaya menunjukkan sebab mengapa tindakan atau prosiding tidak boleh diambil terhadapnya hendaklah disampaikan ke diri orang yang dikatakan melakukan penghinaan itu. Orang itu hendaklah diberi peluang untuk membela diri termasuklah mendapatkan khidmat guaman dan memanggil saksi-saksi bagi pihaknya, Prosiding itu mesti dicatat oleh hakim dan boleh didengar oleh hakim yang sama (yang mengeluarkan perintah yang diingkari itu), jika orang itu gagal menunjukkan sebab, atau gagal memuaskan mahkamah maka dia boleh dikomit ke penjara selama tidak lebih dari 6 bulan atau denda tidak melebihi RM2,000.

Dalam kes Kesatuan Pekerja-Pekerja Perusahaan Dunlop Malaysia v Md Jaafar Abd Carrim & Anor [1998] 1 CLJ Supp 454, Hakim Nik Hashim berpendapat bahawa pemohon mesti mematuhi kaedah prosedur secara ketat dalam memutuskan kes-kes yang melibatkan penghinaan Mahkamah atau komital. Sebarang kecacatan dalam prosedur atau keraguan dalam bukti adalah padah. Alas an-alasan atas mana satu perintah komital dipohon mestilah dinyatakan dalam penyataan dengan butir-butir yang mencukupi bagi membolehkan orang yang dikatakan menghina memenuhi pertuduhan. Sifat penghinaan mestilah dikenal pasti dan dinyatakan dengan jitunya. Orang yang dikatakan menghina mestilah tahu dengan tepat apakah dia dikatakan telah buat atau tertinggal buat yang membentuk penghinaan Mahkamah. Dalam kes yang lain, Helen Yeap Sin v Universal Trustee (Malaysia) Bhd [2001] 7 CLJ 414, Hakim Dato’ Jefrey Tan Kok Wah menyatakan:

“Harus juga diingat bahawa kuasa mahkamah untuk mengkomitkan seseorang ke penjara kerana kegagalan mematuhi perintah mahkamah perlu dijalankan dengan berhati-hati.”


Dalam kes di Mahkamah Tinggi Syariah, pahang iaitu kes Azman Abdul Talib lawan Suhaila Ibrahim [2004] CLJ (Sya) 392, Hakim Abdul Rahman Yunus telah memakai prinsip yang sama sewaktu membebaskan Respondan dari perintah komital kerana kegagalan mematuhi perintah mahkamah dengan menyatakan:

“kuasa Mahkamah untuk mengkomitkan seseorang ke penjara kerana kegagalan mematuhi perintah Mahkamah perlu dilaksanakan dengan penuh berhati-hati.”

Selain daripada memakai prinsip-prinsip yang terdapat di mahkamah sivil, hakim berkenaan juga merujuk kepada kitab Fathul Qadir Juz 8, hal. 158 yang menyatakan maksudnya; “Tidak diterima satu dakwaan itu sehinggalah ianya menyebut sesuatu dalam dakwaan secara jelas jenisnya dan kadarnya, kerana ianya dikira hujah kepada dakwaan tersebut. Jika perkara ini tidak jelas maka beerti dakwaan itu tidak pasti.”

Dalam sistem kehakiman Islam, penghinaan dari segi bahasa disebut sebagai ihtiqar, ihdhira’, imtihan, intihak hurmah, istirdhal dan qillat al-ihtiram. Apabila digabungkan perkataan-perkataan tersebut dengan perkataan mahkamah seperti intihak al-mahkamah, ihtiqar al-mahkamah dan imtihan al-mahkamah, ia membawa maksud penghinaan mahkamah. (Harith Suleiyman Faruqi, Faruqi’s Law Dictionary, Beyrut: Librarie du Liban, hal.162).

Dari sudut istilah pula, penghinaan mahkamah bermaksud perlakuan tidak menghormati mahkamah atau hakim atau keputusan-keputusan mahkamah yang berdasarkan hukum Islam (lihat Munir al Ba’albaki, al–Mawrid, 1977, Beyrut: Dar al ‘Ilmi li al Malayin, hal.211).

Menurut Harith Suleyman al-Faruqi didalam Faruqi’s law Dictionary, hal. 169, penghinaan mahkamah atau intihak al mahkamah terjadi dalam dua bentuk, iaitu secara langsung (mubashir) dan secara tidak langsung (ghair al mubashir). Kesalahan intihak al al mahkamah al mubashir ialah kesalahan seperti mempersendakan hakim atau seseorang di dalam mahkamah, meninggikan suara untuk mengganggu penumpuan hakim, menghina hakim dan sebagainya. Manakala kesalahan intihak al mahkamah ghair al mubashir pula ialah seperti penghinaan yang dilakukan ketika berada diluar premis mahkamah atau dengan kata lain tidak dilihat oleh hakim, ingkar terhadap perintah hakim dan sebagainya.


Dari penerangan ringkas diatas, jelaslah penghinaan mahkamah adalah salah satu dari ciri-ciri kehakiman Islam. Setiap dakwaan yang dikemukakan kepada mahkamah hendaklah teratur dan betul serta nyata. Merujuk kepada kes ini, dan berdasarkan catatan hakim, sungguhpun peguam pemohon menghujahkan tindakan ini adalah satu tindakan penghinaan terhadap mahkamah, tetapi ciri-ciri tersebut telah tidak dikemukakan secara nyata. Antaranya:

a) tidak dapat dipastikan sama ada penghinaan mahkamah tersebut secara nyata di dalam mahkamah yang tidak memerlukan satu notis tunjuk sebab dikemukakan seperti yang dikehendakki oleh seksyen 229 (2) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003, atau sebaliknya. Jika permohonan tersebut sebagai satu kesalahan di dalam Mahkamah, YA Hakim Bicara tidak pula merekodkan prosiding kes tersebut, tidak memberi faham merngenai kesalahan menghina mahkamah, tidak memberi peluang kepada responden membela diri terhadap penghinaan mahkamah dan tidak memberi peluang ia mengemukakan permaafan.
b) Jika permohonan tersebut adalah kesalahan menghina di luar mahkamah kerana ingkar perintah nafkah yang dikeluarkan sebelumnya, peguam pemohon tidak pula memfailkan satu notis tunjuk sebab dan tidak ada pula prosiding mengenai tindakan tersebut.

Kesimpulannya, berkenaan dengan perkara ini, saya bersetuju dengan usul semakan oleh YA Hakim Bicara bahawa Pemohon telah tersilap di dalam permohonan kerana tidak menyatakan secara khusus peruntukan mana permohonan ini dibuat.

Bagi fakta yang kedua, iaitu YA Hakim Bicara telah khilaf kerana mengeluarkan dua perintah secara serentak iaitu perintah pembayaran nafkah tunggakan dalam masa tujuh hari dan perintah komitan pula, YA Hakim Bicara telah menjadikan seksyen 151(1) (a),(b) (aa) yang dibaca bersama dengan seksyen 238(1) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003 sebagai asas panduan dalam memutuskan kes ini.YA Hakim Bicara berpendapat:

Bahawa seksyen 151 memperuntukkan:

“151. (1) Jika—

(a) seseorang yang dikehendaki oleh sesuatu penghakiman atau perintah supaya melakukan sesuatu perbuatan dalam masa yang dinyatakan dalam penghakiman atau perintah itu enggan atau abai melakukannya dalam masa itu atau dalam masa yang dilanjutkan atau dipendekkan di bawah seksyen 238, mengikut mana-mana yang berkenaan; atau

(b) …………..

(aa) dengan kebenaran Mahkamah, perintah pengkomitan; atau

(bb) jika orang itu ialah suatu pertubuhan perbadanan, ……”


Manakala seksyen 238 menyebut:
.
“238. (1) Mahkamah boleh, atas apa-apa terma yang difikirkannya adil, melalui perintah, melanjutkan atau memendekkan tempoh yang dalamnya seseorang dikehendaki atau dibenarkan oleh Enakmen ini atau oleh mana-mana penghakiman, perintah atau arahan untuk melakukan apa-apa perbuatan dalam mana-mana prosiding.”

YA Hakim Bicara meluluskan perintah komitan tersebut setelah berpendapat bahawa seseorang yang dikehendaki oleh sesuatu penghakiman atau perintah supaya melakukan sesuatu perbuatan (dalam kes ini mengenai pembayaran nafkah sebanyak RM11,200.00) dalam masa penghakiman atau perintah itu enggan atau abai melakukan dalam masa itu atau dalam masa yang dilanjutkan atau dipendekkan (iaitu dalam tempoh 7 hari) di bawah seksyen 238, mengikut mana-mana yang berkenaan, maka dengan kebenaran mahkamah boleh dikenakan perintah komitan.

YA Hakim Bicara juga menggunapakai seksyen 238 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003 sebagai sandaran sewaktu mengubah tempoh bayaran tunggakan nafkah sebanyak RM11,200.00 yang mesti dibayar oleh Responden secara ansuran sebanyak RM400.00 sebulan selama 28 bulan kepada dibayar dalam tempoh 7 hari. Beliau berpendapat, seksyen 238 memberi kuasa kepada Mahakamah sama ada untuk melanjutkan atau memendekkan tempoh tersebut jika difikirkannya adil untuk berbuat demikian.

Mahkamah ini berpendapat, pemakaian seksyen 151 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003 adalah tidak tepat dalam memutuskan kes mengenai penguatkuasaan atau pelaksanaan perintah nafkah. YA Hakim Bicara yang bijaksana telah gagal memahami maksud sebenar atau intipati seksyen tersebut dan mentafsirnya secara literal.

Seksyen 151 adalah perintah pengkomitan sebagai alternatif terakhir kepada seksyen 148, 149 dan 150 Enakmen Tatacara Mal. Perintah pengkomitan ini dibenarkan hanya dalam hal keadaan tertentu, misalnya ingkar patuhi injunksi, gagal serah anak, gagal patuhi hak lawatan dan sebagainya. Dengan kata lainnya, seseorang yang dikehendaki oleh sesuatu penghakiman atau perintah supaya melakukan sesuatu perbuatan dalam masa yang dinyatakan dalam penghakiman atau perintah itu enggan atau abai melakukannya dalam masa yang ditentukan maka barulah seksyen ini adalah terpakai. Pembayaran wang bagi nafkah anak bukanlah sebagai melakukan sesuatu perbuatan yang dimaksudkan di bawah seksyen ini. Seksyen ini hendaklah dibaca bersama dengan seksyen 148 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah. Seksyen 148 memperuntukkan:


“148. (1) Tertakluk kepada Enakmen ini, suatu penghakiman atau perintah bagi pembayaran wang, selain penghakiman atau perintah bagi pembayaran wang ke dalam Mahkamah, bolehlah dikuatkuasakan melalui satu atau lebih daripada satu cara yang berikut, iaitu—

(a) perintah penyitaan dan penjualan;

(b) prosiding hiwalah; atau

(c) dalam hal apabila seksyen 151 terpakai, perintah pengkomitan.

(2) Tertakluk kepada Enakmen ini, sesuatu penghakiman atau perintah bagi pembayaran wang ke dalam Mahkamah boleh dikuatkuasakan, dalam hal jika seksyen 151 terpakai, melalui perintah pengkomitan”.


Seksyen 148 adalah mengenai penguatkuasaan terhadap semua perintah mahkamah termasuklah hadhanah, harta sepencarian, injunksi, pembayaran wang seperti nafkah, mutaah dan sebagainya. Bagaimana pun, bagi penguatkuasaan perintah yang melibatkan pembayaran wang di bawah seksyen ini, hanya ada dua bentuk penguatkuasaan sahaja, iaitu secara penyitaan dan penjualan dan prosiding hiwalah. Manakala pengkomitan pula adalah tidak terpakai bagi pembayaran wang di bawah seksyen ini kerana pengkomitan adalah tertakluk kepada seksyen 151. sedangkan seksyen 151 (1) (a)adalah pengkomitan terhadap seseorang supaya melakukan sesuatu perbuatan oleh sesuatu penghakiman atau perintah dan orang itu telah enggan atau abai melakukannya dalam masa yang ditetapkan. Manakala seksyen 151 (1)(b) pula ialah mengenai seseorang yang mengingkari suatu penghakiman atau perintah yang menghendakinya supaya menahan diri daripada melakukan sesuatu perbuatan tetapi telah menginkarinya. Bagi kesalahan pada subseksyen 1(a) dan (b) barulah boleh dikomitkan ke penjara tetapi hendaklah dengan kebenaran mahkamah terlebih dahulu.

4. KETAKAKURAN LAIN

i) Kesalahan Fakta dalam affidavit

Pemohon melalui peguamnya telah memfailkan satu permohonan perintah komitan melalui Borang MS 3 yang disokong oleh affidavit. Dalam Afidavit yang diikrarkan oleh Pemohon pada 09hb September 2005, terdapat kesalahan nyata mengenai fakta yang dinyatakan di dalam perenggan 3 affidavit berkenaan. Affidavit tersebut menyebut bahawa:

“ Saya dan Defendan telah bercerai pada 08.03.2005 di Mahkamah Rendah Syariah Port Dickson dengan gugurnya talaq satu yang pertama keatas saya. (sesalinan Surat perakuan Cerai dilampirkan dan ditandakan sebagai ekshibit NAP-1).

Apabila dirujuk kepada Eksibit “NAP-1”, iaitu surat Perakuan Cerai yang dikeluakan oleh Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Orang Islam Daerah Petaling, Selangor Bil. Daftar Cerai No. 134/2005, tarikh bercerai pada 08/03/2005 bersamaan 27 Muharram 1426H dan cerai melalui fasakh. Manakala Mahkamah yang memutuskannya ialaah mahkamah Rendah Syariah Daerah Petaling jaya, Selangor berdasarkan kes bil. No. 10001-014-570-2004. Perkara ini tidak diungkit, dpinda atau diberi penjelasan dan tiada rekod atau catatan di dalam nota bicara.

Dalam perenggan keempat pula affidavit pemohon pula disebutkan:

“4. Di atas persetujuan bersama, Mahkamah pada tarikh yang sama juga telah mengeluarkan perintah seperti berikut:-

4.1 defendan telah diperintahkan membayar nafkah 4 orang anak sebanyak RM1,108.00 sebulan. (sesalinan penghakiman bertarikh 27.07.2004 dan perintah tahanan pendapatan dilampirkan dan ditandakan sebagai ekshibit “NAP-2”). ”

Apabila rujukan dibuat kepada Eksibit “NAP-2”, Keputusan perintah tersebut dikeluarkan oleh Mahkamah Rendah Syariah Daerah Port Dickson melalui kes Mal No. 05001-024-0008 Tahun 2004, penghakiman dibuat tanpa kehadiran Defendan tetapi dengan persetujuan Pihak defendan pada 17 Februari 2004 dan perintah Mahkamah tersebut dibuat pada 27 Julai 2004 dalam mahkamah terbuka. Jika persetujuan dan perintah tersebut dibuat pada tarikh yang sama dengan perceraian, sekali lagi menimbulkan keraguan pada Mahkamah ini kerana perceraian direkodkan di dalam sijil perakuan cerai yang dikeluarkan oleh pejabat Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Orang Islam Daerah petaling Selangor ialah pada 08hb. 03 (Mac) 2005 iaitu setelah berlalu setahun kemudian.

Timbul persoalan sama ada perintah nafkah dikeluarkan terlebih dahulu atau perintah mengenai perceraian yang dikeluarkan terlebih dahulu. Jika kedua-dua perintah (cerai dan nafkah) dikeluarkan pada tarikh yang berbeza dan ditempat yang berbeza, bagaimana pula perenggan 4 affidavit pemohon boleh nyatakan “pada tarikh yang sama”. Sama ada ini satu kesilapan ’typing error’ atau sebaliknya, kecuaian seperti ini tidak sepatutnya berlaku, tambahan pula affidavit adalah satu akuan bersumpah yang mempunyai nilai dari sudut undang-undang, apatah lagi ia melibatkan permohonan untuk ’menahan diri seseorang ke dalam penjara!’. Mungkin sesetengah hakim Mahkamah Syariah menganggap kesalahan-kesalahan sebegini dianggap remeh dan boleh diperbetulkan secara lisan, tetapi Mahkamah ini menganggap ianya satu kesalahan yang serius dan kecuaian yang tak sepatutnya berlaku dan menurunkan taraf pandangan masyarakat terhadap kewibawaan Mahkamah Syariah. Dalam hal ini saya menyarankan agar mahkamah mengambil jalan berhati-hati, menyemak, meneliti dan membuat kajian serta rujukan terhadap apa saja permohonan yang dikemukakan dihadapannya.

ii) perintah komitan hendaklah mendapatkan kebenaran daripada Mahkamah Tinggi Syariah

Kebenaran daripada Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah diperolehi terlebih dahulu sebelum pelaksanaan menurut seksyen 151 (1) (b) (aa) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah dilaksanakan. Seksyen 151 (1) (b)(aa) menyebut:

“ (aa) dengan kebenaran Mahkamah, perintah pengkomitan; ....”

Arahan Amalan No.3 tahun 2006 menjelaskan lagi perkara ini. Arahan tersebut berbunyi:

“...kebenaran pengkomitan hendaklah terlebih dahulu diperolehi daripada Mahkamah Tinggi Syariah sebelum pelaksanaan dilaksanakan menurut peruntulan seksyen 151 (1)(b)(aa) Akta/Enakmen/Ordinan Tatacara Mal Mahkamah Syariah Negeri-negeri.”

Bagaimana pun, tidak terdapat kebenaran diperolehi oleh mana-mana mahkamah terlebih dahulu di dalam kes ini.

iii) Kuatkuasa Perintah nafkah adalah melalui Saman Penghutang Penghakiman

Secara peribadi, penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah nafkah adalah salah satu elemen terpenting di Mahkamah Syariah tetapi tidak diberi perhatian oleh kebanyakan Hakim-hakim Syarie mahu pun peguam Syarie yang beramal di Mahkamah Syariah. Kerana itulah kita dapati ada pelbagai versi permohonan mahupun pelaksanaan yang dibuat di Mahkamah Syariah. Kebanyakan berpandangan bahawa, “yang paling penting, pembayaran terhadap nafkah dapat dilaksanakan” dan “perintah mahkamah hendaklah dipatuhi”. Saya bersetuju dengan frasa tersebut, tetapi tidak bersetuju mengenai pendekatan yang diambil, terutamanya secara semberono. Undang-undang tetap undang-undang, ianya dikanunkan dan menjadi sebahagian dari peraturan yang perlu diikuti. Pendekatan yang salah biarpun maksudnya tercapai adalah zalim dan tidak melambangkan keadilan.

Selepas kajian dibuat, tidak terdapat rujukan mengenai kes-kes penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah yang dilaporkan di dalam jurnal-jurnal, keadaan ini menyulitkan Mahkamah ini dan Mahkamah-Mahkamah Rendah Syariah untuk membuat rujukan. Sebagai satu panduan kepada Hakim Bicara, antara tips yang boleh diberi perhatian dalam mengendalikan kes-kes penguatkuasaan perintah nafkah ialah:

Menurut Seksyen 148 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003, perintah mengenai pembayaran wang bolehlah dibuat dengan dua cara, iaitu:
i) perintah penyitaan;
ii) prosiding hiwalah.

Bagaimana pun, cara yang paling baik, mudah dan lebih sempurna ialah dengan mengikut panduan yang diberikan oleh seksyen 175 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003. Seksyen tersebut menyebut:

“175. (1) Melainkan jika diperuntukkan selainnya di bawah mana-mana undang-undang bertulis lain, Bab ini hendaklah terpakai bagi pelaksanaan penghakiman untuk pembayaran wang.

(2) Dalam Bab ini “penghakiman” termasuk apa-apa perintah bagi pembayaran wang.”

Matlamat utama atau falsafah disebalik penggubalan seksyen ini ialah untuk mendapatkan pembayaran wang dan supaya penghutang penghakiman hadir di mahkamah untuk diperiksa secara lisan tentang keupayaannya membayar atau menyelesaikan hutang penghakiman dan untuk mendapatkan apa-apa harta yang boleh digunakan bagi pembayaran itu. (lihat seksyen 17(91) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003 dan pemenjaraan adalah langkah terakhir apabila semua cara atau pilihan yang ada masih gagal untuk memaksa penghutang penghakiman melaksanakannya.

a) Permohonan untuk mendapatkan saman Penghutang penghakiman

Jika perintah mahkamah telah diperolehi mengenai apa-apa perintah yang melibatkan pembayaran wang seperti nafkah diri, nafkah anak, nafkah ’iddah, mutaah dan sebagainya, dimana satu pihak (penghutang penghakiman telah gagal untuk membayarnya), Pemiutang Penghakiman (debtor) boleh menguatkuasakan penghakiman itu dengan memintanya hadir ke Mahkamah untuk diperiksa secara lisan tentang keupayaannya membayar atau menyelesaikan hutang penghakiman dan mendapatkan apa-apa harta milik penghutang penghakiman yang boleh digunakan bagi penyelesaian hutang penghakiman tersebut. (jika penghutang penghakiman memiliki harta, tindakan di bawah seksyen 148 adalah lebih munasabah).

Pemiutang penghakiman hendaklah membuat permohonan bagi meminta kehadiran Penghutang penghakiman (creditor) hadir ke Mahkamah hendaklah dibuat dengan cara memfailkan suatu permintaan dalam borang MS 42 (permohonan untuk mendapatkan saman Penghutang Penghakiman) yang disokong oleh affidavit pemiutang penghakiman.. seksyen 176 memperuntukkan:

“176. (1) Jika penghakiman Mahkamah adalah untuk mendapatkan pembayaran wang, pemiutang penghakiman yang berhak menguatkuasakan penghakiman itu boleh menghendaki penghutang penghakiman yang bertanggungan di bawah penghakiman itu hadir di Mahkamah untuk diperiksa secara lisan tentang keupayaannya membayar atau menyelesaikan hutang penghakiman itu dan untuk mendapatkan apa-apa harta yang boleh digunakan bagi pembayaran itu.

(2) Sesuatu permohonan bagi meminta kehadiran seseorang penghutang penghakiman di bawah subseksyen (1) hendaklah dibuat dengan memfailkan suatu permintaan dalam Borang MS 42 yang ditandatangani oleh pemohon atau Peguam Syarienya.”

Apabila permohonan tersebut difailkan ke Mahkamah, Mahkamah yang menerima permohonan tersebut hendaklah mengeluarkan suatu saman penghutang Penghakiman dalam borang MS 43 (1) bagi individu atau MS 43(2) bagi Pegawai Perbadanan. Saman tersebut hendaklah disampaikan sekurang-kurangnya tujuh hari sebelum sebutan kes tersebut didengar. Seksyen 177 memperuntukkan:


“177. (1) Apabila menerima suatu permohonan di bawah seksyen 176, Mahkamah hendaklah mengeluarkan suatu saman penghutang penghakiman dalam Borang MS 43.

(2) Sesuatu saman penghutang penghakiman hendaklah disampaikan kepada penghutang penghakiman itu sekurangkurangnya tujuh hari sebelum hari yang ditetapkan bagi pendengaran saman itu”.


b) Pemeriksaan terhadap Penghutang Penghakiman

Pada hari sebutan atau pendengaran kes tersebut, Mahkamah boleh memeriksa Penghutang Penghakiman dari segi kemampuannya membayar atau apa-apa cara bagi penyelesaian hutang penghakiman tersebut dan mendengar keterangan saksi-saksi lain jika ada dengan iqrar. Jika berpuashati, Mahkamah boleh memerintahkan penghutang penghakiman tersebut membayar hutang penghakiman itu sama ada secara sekali gus dengan serta merta, atau dengan suatu tempoh yang ditetapkan oleh Mahkamah, atau dengan membayar secara ansuran dalam satu tempoh yang ditetapkan oleh Mahkamah. Jika Penghutang Penghakiman tidak hadir, Mahkamah boleh mengeluarkan waran tangkap dan mengarahkan Penghutang Penghakiman hadir ke hadapan Mahkamah untuk diperiksa dan Mahkamah boleh mengeluarkan perintah seperti yang disebutkan tadi setelah pemeriksaan dibuat terhadap Penghutang Penghakiman. Seksyen 178 memperuntukkan:


“178. (1) Pada hari yang ditetapkan untuk pendengaran saman penghutang penghakiman, Mahkamah boleh memeriksa penghutang penghakiman itu dan saksi-saksi lain dengan iqrar.

(2) Jika penghutang penghakiman tidak hadir pada hari yang ditetapkan untuk pendengaran saman itu, Mahkamah boleh—
(a) memerintahkan supaya dia ditangkap dan dibawa ke hadapan Mahkamah untuk diperiksa; atau
(b) membuat suatu perintah di bawah subseksyen (3) terhadap penghutang penghakiman itu.

(3) Mahkamah boleh memerintahkan penghutang penghakiman membayar hutang penghakiman itu sama ada—
(a) sekali gus dengan serta-merta atau dalam apa apa masa yang ditetapkan oleh Mahkamah; atau

(b) dengan apa-apa ansuran yang hendaklah dibayar pada masa yang ditetapkan oleh Mahkamah.”
c) Jika Penghutang Penghakiman masih gagal membuat bayaran, permohonan untuk mendapatkan Notis Penghakiman hendaklah dibuat

Jika Penghutang penghakiman masih lagi gagal untuk membuat bayaran seperti yang diperintahkan di bawah seksyen 178, Pemiutang Penghakiman hendaklah meminta Penghutang Penghakiman hadir sekali lagi ke Mahkamah menlalui satu notis penghakiman bagi menunjukkan sebab mengapa dia tidak patut dikomitkan ke penjara kerana keingkaran terhadap perintah yang dikeluarkan di bawah seksyen 178 tadi. Permohonan untuk mendapatkan notis penghakiman tersebut hendaklah dibuat dengan memfailkan Borang MS 44 beserta satu affidavit sokongan oleh pemiutang penghakiman. Seksyen 179 memperuntukkan:

“179. (1) Jika seseorang penghutang penghakiman tidak mematuhi mana-mana perintah yang dibuat oleh Mahkamah terhadapnya di bawah seksyen 178, pemiutang penghakiman boleh, melalui notis penghakiman, meminta penghutang penghakiman itu hadir di Mahkamah untuk menunjukkan sebab mengapa dia tidak patut dikomitkan ke penjara kerana keingkaran itu.

(2) Sesuatu permohonan untuk mendapatkan notis penghakiman di bawah subseksyen (1) hendaklah dibuat dan diangkat sumpah oleh pemohon dalam Borang MS 44.”

Apabila Pemiutang Penghakiman telah memfailkan permohonan untuk mendapatkan Notis Penghakiman bagi menunjuk sebab, Mahkamah yang menerima permohonan tersebut hendaklah mengeluarkan suatu notis penghakiman di dalam Borang MS 45 (Notis Penghakiman). Notis tersebut hendaklah disampaikan kepada Penghutang Penghakiman sekurang-kurangnya tujuh hari sebelum tarikh yang ditetapkan bagi pendengaran kes tersebut. Seksyen 180 (1) dan (2) memperuntukkan:

“180. (1) Apabila Mahkamah menerima permohonan di bawah seksyen 179, Mahkamah hendaklah mengeluarkan suatu notis penghakiman dalam Borang MS 45.

(2) Melainkan jika diperintahkan selainnya oleh Mahkamah, suatu notis penghakiman hendaklah disampaikan ke diri penghutang penghakiman sekurangkurangnya tujuh hari sebelum tarikh yang ditetapkan bagi kehadiran penghutang penghakiman itu.”

d) Pendengaran Notis Penghakiman

Pada tarikh kes tersebut didengar, Mahkamah hendaklah meminta penghutang penghakiman memberikan alasan bagi menjawab tunjuk sebab mengapa beliau tidak boleh dikomitkan ke penjara kerana gagal mematuhi perintah di bawah seksyen 178 (perintah saman penghutang penghakiman). Jika mahkamah tidak berpuashati dengan alasan Penghutang penghakiman tersebut, mahkamah bolehlah memerintahkan Penghutang penghakiman tersebut dikomitkan ke penjara bagi tempoh yang tidak melebihi tiga puluh (30) hari dan perintah tersebut hendaklah dibuat melalui Borang MS 46 (Perintah Pengkomitan) atau mengubah perintah yang dikeluarkan di bawah seksyen 178 jika Mahkamah memikirkannya adil untuk berbuat demikian. Bagaimana pun, Mahkamah masih boleh menggantung perintah pengkomitan tersebut dengan atau tanpa apa-apa syarat jika Mahkamah memikirkan Penghutang Penghakiman boleh membayar amaun seperti mana yang Mahkamah perintahkan. Seksyen 181 menyebut:

“181. (1) Mahkamah boleh, selepas mendengar penghutang penghakiman yang hadir menurut suatu notis penghakiman di bawah seksyen 180, membuat suatu perintah pengkomitan bagi tempoh yang tidak melebihi tiga puluh hari atau mengubah perintah yang disebut dalam seksyen 178 sebagaimana yang difikirkannya adil.

(2) Jika suatu perintah pengkomitan dibuat, Mahkamah boleh mengarahkan supaya pelaksanaan perintah itu digantung dengan atau tanpa syarat untuk membolehkan penghutang penghakiman membayar amaun yang mengenainya perintah itu dibuat.”

Perintah pengkomitan yang telah dikeluarkan oleh mahkamah hendaklah mengandungi tarikh perintah tersebut dibuat dan hendaklah terus berkuatkuasa selama tempoh satu tahun dari tarikh ianya dikeluarkan. Seksyen 185 memperuntukkan:

“185. Apa-apa perintah pengkomitan seseorang penghutang penghakiman di bawah seksyen 181 hendaklah mengandungi tarikh perintah itu dibuat dan hendaklah terus berkuat kuasa selama tempoh satu tahun dari tarikh itu.”

Dalam mengeluarkan perintah pengkomitan di bawah seksyen ini, Mahkamah perlulah berhati-hati dan setiap hakim bicara perlulah memahami niat sebenar seksyen ini digubal. Dari sudut falsafahnya, adalah tidak elok seorang bapa (bagi nafkah anak) atau seorang suami (bagi nafkah diri) dipenjarakan semata-mata kerana kegagalannya membayar nafkah tersebut jika ada cara lain yang boleh dilaksanakan.

Hukuman penjara mungkin menyedarkan sesetengah pihak, dan mungkin tidak bagi sesetengah pihak yang lain. Bagaimana pun, pemenjaraan adalah patut dan wajar jika Mahkamah memikirkan tiada jalan lain lagi bagi melaksanakan perintah pembayaran tersebut. Dalam sesetengah keadaan, hukuman pemenjaraan boleh mendidik seseorang untuk lebih bertanggungjawab serta mematuhi perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah. Seksyen 183 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003 membenarkan pada bila-bila masa, penghutang penghakiman boleh membayar amaun yang dinyatakan di dalam perintah, sama ada kepada bailif, jika sebelum ditahan di penjara, atau kepada Pegawai Penjara jika ia sudah berada di dalam penjara. Dalam satu kes yang tidak dilaporkan diputuskan oleh Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Abdul kadir bin Geroh (lihat Abdul Bashir Mohammad, Penghinaan Mahkamah Di Mahkamah Syariah, dalam Kaedah Perundangan Bidang Kuasa dan tatacara Mahkamah Syariah, Dewan bahasa Dan Pustaka, 2005, hal. 104), dalam kes ini yang merupakan keingkaran pihak suami membayar tunggakan nafkah isteri dan anaknya sebanyak RM12,000.00. Si suami juga didapati gagal untuk menyerahkan anaknya kepada jagaan si isteri sebagaimana yang diperintahkan oleh Mahkamah. Hal ini menunjukkan bahawa pihak suami telah ingkar kepada perintah yang dibuat oleh Mahkamah. Mahkamah memerintahkan hukuman penjara selama 10 hari ke atas pihak suami. Kemudian, pihak suami, setelah menjalani hukuman beberapa hari, telah berubah fikiran dan bersetuju untuk menjelaskan bayaran tertunggak tersebut. Bayaran tersebut kemudiannya dibayar beberapa hari kemudian.


e) Jika Penghutang Penghakiman telah menjelaskan hutang penghakiman

Apabila penghutang penghakiman telah ditahan dipenjara, tetapi kemudiannya telah berubah fikiran dan menjelaskan hutang penghakiman seperti yang diperintahkan, Pemiutang Penghakiman (debtor) hendaklah menyerah simpan dengan Pendaftar suatu perakuan penunaian yang ditandatangani oleh Pemiutang Penghakiman melalui Borang MS 47 (perakuan penunaian). Jika Pemiutang Penghakiman tidak berbuat demikian atau ingkar, penghutang penghakiman boleh membuat permohonan kepada Mahkamah, dan Mahkamah boleh melepaskannya dengan mengeluarkan borang MS 48 dan boleh mengarahkan pemiutang penghakiman menanggung kos permohonan tersebut.


“183. Jika suatu perintah pengkomitan dibuat di bawah seksyen 181, penghutang penghakiman boleh, pada bilabila masa, membayar amaun yang dinyatakan dalam perintah itu sama ada kepada bailif atau, jika penghutang penghakiman berada di dalam penjara, kepada pegawai penjara dan mendapatkan pelepasannya.

Demikianlah secara ringkas penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah yang melibatkan pembayaran wang yang boleh dijadikan panduan oleh Mahkamah bawahan pada masa-masa yang akan datang. Diharap panduan yang ringkas ini dapat membantu Mahkamah khususnya Mahkamah Rendah Syariah tidak hilang punca apabila permohonan penguatkuasaan dan pelaksanaan nafkah dikemukakan di hadapannya. Kesilapan dalam menentukan arah tuju kes tersebut boleh mengundang kezaliman, kekesalan dan hilangnya integriti serta kewibawaan terhadap Mahkamah Syariah.

Bagi kes ini, Mahkamah ini mendapati terdapat banyak kesilapan termasuklah dari peringkat pemfailan dimana prosiding pendengaran dan perintah yang dikeluarkan adalah tidak selari, Mahkamah ini juga mendapati permohonan yang difailkan adalah cacat dan terdapat kesalahan pada fakta, kemungkinan difailkan oleh peguam secara tergesa-gesa tanpa menyelidiki fakta sebenar, ketidaktelitian hakim bicara menyemak pliding yang dikemukakan, permohonan yang tidak tepat, catatan yang tidak lengkap dan sebagainya. Bagaimana pun, jika kes ini ditolak, maka peluang kepada Pemohon iaitu Normah binti Ali Piah untuk mendapatkan haknya akan hilang sedangkan penghakiman terhadap sesuatu nafkah itu adalah menjadi satu hutang yang tidak akan luput. Sesuai dengan maxim undang-undang “ubi jus ibi remedium” di mana jika terdapat suatu hak, maka terdapat juga suatu remedi, maka adalah wajar kes ini diteruskan dengan satu permohonan yang baru.

5. KEPUTUSAN MAHKAMAH TINGGI SYARIAH

Selepas meneliti, menyemak, mempertimbangkan hujah-hujah yang dikemukakan dan diperhalusi serta alasan-alasan yang telah dinyatakan tadi maka Mahkamah ini memutuskan bahawa rayuan semakan terhadap kes ini adalah diterima dan diperintahkan bahawa:

i) Perintah Mahkamah Rendah Syariah Daerah Port Dickson melalui kes Mal No. 05001-033-0140-2005 bertarikh 18hb Oktober 2005 adalah dibatalkan.
ii) Bahawa Pemohon dalam kes ini, iaitu Normah bt Ali Piah dibenarkan untuk memfailkan semula kes ini secara lebih teratur.

Tuesday, October 7, 2008

selamat hari raya aidil fitri



SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI. maaf zahir batin.
sempat juga bergambar dengan sebahagian keluarga waktu balik dari sembahyang raya.

MADRID II

  Kota Madrid seawal abad ke 9 pernah diperintah oleh gabenur Umayyah Andalusia dan kota ini dikenali sebagai 'majrit' dari kata asa...