Saturday, November 20, 2010

MENGENALI MAHKAMAH SYARIAH DAN UNDANG-UNDANG TATACARA MAL





RM120.00 +RM5.00 (belanja Pos)


BAHAGIAN I

MAHKAMAH SYARIAH

PENDAHULUAN

Sebagai permulaan, sebelum seseorang itu berkecimpung dalam ruang lingkup undang-undang, dari seorang pembaca biasa yang ingin mengetahui secara umum mengenai undang-undang syariah, pelajar, pengamal undang-undang  termasuklah peguam syarie, hakim syarie atau sesiapa saja yang berkhidmat sama ada secara langsung atau tidak langsung yang berkaitan dengan undang-undang seperti di agensi penguatkuasaan dan sebagainya, pengetahuan secara asas mengenai sistem kehakiman Syariah adalah sesuatu yang menjadi teras kepada pembelajaran undang-undang  Syariah di Malaysia. Mengenali secara dekat  hirarki Mahkamah Syariah, pegawai-pegawai kanan Mahkamah Syariah, fungsi dan perkhidmatan yang diberikan, bidangkuasa yang ada pada Mahkamah Syariah dan sebagainya.

Bagi pengamal undang-undang syarie, mengenali Mahkamah Syariah secara dekat bukan saja menjadi satu kemestian, bahkan merupakan satu tanggungjawab hakiki seorang peguam syarie untuk mengetahui struktur Mahkamah Syariah terutamanya dari segi hirarki dan bidangkuasa mahkamah, kerana amanah yang dipikul dalam mengendalikan kes yang dipertanggungjawabkan kepadanya oleh pelanggan akan akan menjadi sia-sia kerana kegagalannya memahami atau mengenali Mahkamah Syariah secara khusus.

Sebagai asas pengenalan kepada sistem kehakiman syariah dan pengendalian kes mal di Mahkamah Syariah, bab ini akan membincangkan  serba ringkas mengenai struktur Mahkamah Syariah, pegawai-pegawai kanan Mahkamah Syariah, hirarki, bidangkuasa Mahkamah Syariah dan seterusnya menyentuh sedikit mengenai enakmen tatacara mal yang merupakan nadi dalam menjalankan kes-kes mal di Mahkamah Syariah.

Penubuhan Mahkamah Syariah

Untuk menjalankan pentadbiran undang-undang Islam dan menubuhkan Mahkamah Syariah, kerajaan telah bersetuju untuk menyusun semula struktur organisasi dan fungsi mahkamah sebagai sartu langkah untuk mempertingkatkan peranan Mahkamah Syariah dan kecekapannya memberikan perkhidmatan kepada orang ramai. Kerajaan Negeri telah mengambil tindakan meminda Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam dan Enakmen Mahkamah Syariah untuk mewujudkan tiga peringkat Mahkamah Syariah, iaitu:
i.              Mahkamah Rayuan Syariah
ii.            Mahkamah Tinggi Syariah, dan
iii.           Mahkamah Rendah Syariah.

Mahkamah Syariah dipisahkan daripada organisasi Jabatan Agama Islam Negeri yang bebas pengurusannya sendiri dan diketuai oleh Ketua Hakim Syarie dengan dibantu oleh Hakim-hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Ketua Pendaftar Mahkamah Syariah, Pegawai Sulh, Pendaftar, Penolong Pendaftar Mahkamah Syariah dan kakitangan lain.

Di Negeri Sembilan, penubuhan Mahkamah-Mahkamah Syariah ada disentuh di dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003.  Mengenai penubuhan Mahkamah Rendah Syariah, Yang di-Pertuan Besar, atas nasihat Majlis, boleh melalui pemberitahuan dalam Warta, menubuhkan Mahkamah-Mahkamah Rendah Syariah bagi Negeri Sembilan di tempat-tempat yang difikirkannya patut,.menubuhkan Mahkamah Tingggi Syariah[1] dan Mahkamah Rayuan Syariah bagi Negeri Sembilan.[2]

            Kebiasaannya di Malaysia, khususnya di Negeri Sembilan, setiap Mahkamah Rendah Syariah ditempatkan di daerah-daerah utama, misalnya di Seremban, Port Dickson, Jelebu, Jempol dan sebagainya. Bagi Mahkamah Tinggi Syariah pula, kebiasannya diwujudkan di Ibu negeri atau di bandar-bandar besar sahaja. Di Negeri Sembilan misalnya, Mahkamah Tinggi Syariah ditempatkan di Seremban dan ianya merupakan ibu pejabat yang mentadbir mahkamah-mahkamah bawahan yang berada di daerah-daerah tertentu. Pada era tahun-tahun 80an dan 90an, mahkamah Tinggin Syariah tidak mempunyai tempat yang khusus dan hakim Mahkamah Tinggi (ketika itu dikenali sebagai tuan kadi) akan bergerak secara litar dan hadir ke daerah-daerah tertentu bagi mengendalikan kes Mahkamah Tinggi. Menjelang abad ke 20, kebanyakan negeri-negeri di Malaysia termasuklah Negeri Sembilan menetapkan hanya satu Mahkamah Tinggi Syariah yang terletak di Ibu Negeri iaitu di Seremban dengan menjalankan fungsi mendengar kes-kes yang dibawah bidangkuasanya termasuklah kes-kes yang dirayu dari mahkamah bawahan. Mahkamah Tinggi Syariah di negeri-negeri juga berfungsi sebagai ibu pejabat yang menjalankan pentadbiran dan diketuai oleh seorang Ketua Hakim Syarie negeri.

Manakala Mahkamah Rayuan Syariah pula diketuai oleh seorang Ketua Hakim Syarie di peringkat Kebangsaan yang merangkap sebagai Ketua Pengarah Jabatan kehakiman Syariah Malaysia, yang berfungsi sebagai pegawai tertinggi di dalam sistem kehakiman syariah di Malaysia.  Ketua Pengarah adalah merupakan Ketua panel Hakim Mahkamah Rayuan Syarie yang terdiri dari beberapa orang Hakim Mahkamah Rayuan yang beribu pejabat di Wilayah Persekutuan Putrajaya. Panel-panel Hakim Mahkamah Rayuan Syariah ini akan bergerak secara litar ke seluruh negara dan berfungsi mendengar kes-kes rayuan syarie di negeri-negeri (kecuali di negeri-negeri yang tidak terlibat dengan sistem perkhidmatan gunasana Persekutuan). Mahkamah Rayuan Syariah yang bertempat di Putrajaya ini juga berfungsi sebagai ibu pejabat Mahkamah Syariah Malaysia dan menjalankan urusan-urusan pentadbiran dan mengawal mahkamah-mahkamah bawahan di negeri-negeri secara tidak langsung dari sudut kawal selia dan penyeragaman sistem pentadbiran disamping menjalankan tugas mendengar kes-kes rayuan di negeri-negeri. 

PEGAWAI-PEGAWAI KANAN DI MAHKAMAH SYARIAH NEGERI

Di peringkat negeri, terdapat beberapa orang yang menunjangi organisasi Mahkamah Syariah. Mereka adalah pegawai-pegawai kanan Mahkamah Syariah yang terdiri daripada Hakim-hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Ketua Hakim Syarie, Hakim-hakim Mahkamah Tinggi Syariah,  Hakim-hakim Mahkamah Rendah Syariah, Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah, Ketua Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah dan Penolong-penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Syariah.

i)          Hakim-Hakim Mahkamah Rayuan Syariah

Di Negeri Sembilan, Yang di-Pertuan Besar, atas nasihat Majlis dan Ketua Hakim Syarie, boleh melantik tujuh orang Islam untuk membentuk suatu panel tetap Hakim Mahkamah Rayuan Syariah. Tiap-tiap pelantikan tersebut hendaklah disiarkan dalam Warta. Seseorang yang dilantik panel Hakim Mahkamah Rayuan Syariah hendaklah memegang jawatan selama tempoh tiga tahun dan boleh dilantik semula.[3] Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia adalah merupakan ketua panel Hakim Rayuan Syariah dan kebiasaannya mempengerusikan sidang Rayuan  di Negeri-negeri.

ii)         Ketua Hakim Syarie

Di Negeri Sembilan, Yang di-Pertuan Besar, atas nasihat Majlis, boleh melantik seorang Ketua Hakim Syarie dan hendaklah disiarkan di dalam warta. Seseorang itu  layak dilantik  sebagai Ketua Hakim Syarie  jika dia—
(a)        seorang warganegara; dan
(b)        selama tempoh tidak kurang daripada sepuluh tahun sebelum pelantikannya, telah memegang jawatan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah atau Qadi atau Pendaftar atau Pendakwa Syarie sesuatu Negeri atau pada suatu masa memegang mana mana satu daripada jawatan itu dan pada masa yang lain memegang mana-mana yang lain pula.[4]

Ketua Hakim Syarie di Negeri Sembilan, seperti juga di negeri-negeri lain yang menerima skim perkhidmatan gunasama Persekutuan, merupakan pegawai tertinggi yang mengetuai sistem kehakiman Syariah di negeri tempatnya bertugas.  Beliau bertanggungjawab kepada Ketua Hakim Syarie Persekutuan di Putrajaya dan juga kepada Setiausaha Kerajaan Negeri di peringkat negeri.


iii)       Hakim-Hakim Mahkamah Tinggi Syariah

Yang di-Pertuan Besar, atas nasihat Majlis dan Ketua Hakim Syarie, boleh melantik Hakim-Hakim Mahkamah Tinggi Syariah. Tiap-tiap pelantikan sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah disiarkan dalam Warta. Seseorang layak dilantik sebagai Hakim Mahkamah TInggi Syariah jika—
(a)        dia seorang warganegara; dan
(b)        dia—
(i)         selama tempoh tidak kurang daripada sepuluh tahun sebelum pelantikannya, telah memegang jawatan Hakim Mahkamah Rendah Syariah atau Qadi atau Pendaftar atau Pendakwa Syarie sesuatu Negeri atau pada suatu masa memegang mana-mana satu daripada jawatan itu dan pada masa yang lain memegang mana-mana yang lain pula; atau
(ii)        selama tidak kurang daripada sepuluh tahun sebelum  pada bila-bila masa sebelum itu di mana-mana Negeri.[5]

iv)        Hakim-Hakim Mahkamah Rendah Syariah

Yang di-Pertuan Besar, atas nasihat Ketua Hakim Syarie, boleh melantik, daripada kalangan anggota perkhidmatan awam am persekutuan atau perkhidmatan bersama, Hakim-Hakim Mahkamah Rendah Syariah dan perlantikan tersebut juga hendaklah disiarkan dalam warta.[6] Hakim-hakim Mahkamah Rendah Syariah kebiasaannya akan ditempatkan di daerah-daerah dan mengetuai pejabatnya dari segi pentadbiran selain dari mengendalikan kes-kes mal dan jenayah di Mahkamah Rendah Syariah.

v)         Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah, Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah dan Penolong-Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Syariah.

Yang di-Pertuan Besar, atas nasihat Ketua Hakim Syarie, boleh melantik, daripada kalangan anggota perkhidmatan awam am Persekutuan atau perkhidmatan bersama seorang Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah, Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah dan Penolong-Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Syariah.[7] Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah, Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah berfungsi menjalankan tugas-tugas pentadbiran dan undang-undang.  Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah ditempatkan di ibu pejabat negeri dan berfungsi mengawal selia penolong-Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Syariah di daerah-daerah dalam menjalankan tugas-tugas pentadbiran dan undang-undang.

BIDANGKUASA MAHKAMAH-MAHKAMAH SYARIAH
Di dalam sistem perundangan Islam, bidang kuasa Mahkamah Syariah disebut sebagai 'al-wilayah', yakni hak dan juga kuasa untuk mendengar dan memutuskan kes. Sekiranya Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa ini, maka mahkamah tidak boleh membuat sebarang keputusan terhadap mana-mana perbicaraan. [8]
Sistem perundangan di Malaysia adalah berbentuk dualisme, iaitu satu di Mahkamah Sivil dan satu lagi ialah Mahkamah Syariah yang mempunyai bidang kuasa yang berbeza. Sungguhpun sehingga hari ini kontroversi mengenai bidang kuasa tersebut masih berlarutan, penulisan ini  tidak berhasrat untuk mengulas mengenai perkara tersebut. Dengan adanya bidang kuasa eklusif yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan,  secara dasarnya kita tidak mengalami konflik dalam menentukan kuasa mendengar dan memutus sebarang kes. Bidang kuasa yang tertentu juga dapat menentukan kes-kes yang boleh dibicarakan oleh Mahkamah Rendah, Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan Syariah.
Secara umumnya, bidang kuasa yang dimiliki oleh Mahkamah Syariah di Malaysia tidaklah berbeza jika hendak dibandingkan ketika zaman kemerdekaan lagi. Walau bagaimanapun, Mahkamah Syariah mengalami perkembangan yang positif dan lebih baik dari aspek status kakitangan, pentadbiran, penaikan taraf mahkamah itu sendiri dan infrastrukturnya. Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia yang ditubuhkan adalah sebahagian daripada perkembangan yang positif ini. Masyarakat Islam di negara ini khususnya perlu menghargai dan melihatnya sebagai suatu perkara yang positif sekalipun ia bukanlah perubahan yang sangat ketara. [9]
Bidang kuasa Mahkamah Syariah di Bawah Perlembagaan Persekutuan
Perlembagaan Persekutuan Jadual Sembilan memperuntukkan Senarai 1 kepada bidang kuasa Persekutuan, Senarai 2 kepada bidang kuasa negeri dan Senarai 3 kepada bidang kuasa bersama. Dalam konteks Mahkamah Syariah, sumber bidang kuasanya adalah berdasarkan kepada Senarai 2, yakni Senarai Negeri. Jadual Sembilan memberikan kuasa perundangan kepada negeri melainkan dalam soal-soal jenayah. Badan Perundangan Negeri yang diberikan kuasa oleh Perlembagaan Persekutuan mentadbirkan Undang-Undang Islam dan semua hal-ehwal Islam di negeri masing-masing kecuali Wilayah Persekutuan, yang diletakkan di bawah Persekutuan.
Jadual Kesembilan, Senarai 2 , Senarai Negeri, di bawah Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan;
1. Kecuali mengenai Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan, Hukum Syarak dan undang-undang diri dan keluarga bagi orang yang menganut ugama Islam, termasuk Hukum Syarak berhubung dengan mewarisi harta berwasiat dan tak berwasiat, pertunangan, perkahwinan, perceraian, mas kahwin, nafkah, pengambilan anak angkat, taraf anak, penjagaan anak, pemberian, pembahagian harta dan amanah bukan khairat; Wakaf Islam dan takrif serta peraturan mengenai amanah khairat dan khairat ugama, perlantikan pemegang-pemegang amanah dan perbadanan bagi orang-orang mengenai pemberian ugama Islam dan Khairat, yayasan, amanah, khairat dan yayasan khairat yang dijalankan kesemuanya sekali dalam Negeri; adat istiadat Melayu; Zakat, Fitrah dan Baitulmal atau hasil ugama yang seumpamanya; masjid atau mana-mana tempat sembahyang awam untuk orang Islam; mengadakan dan menghukum kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh orang-orang yang menganut ugama Islam terhadap rukun-rukun Islam, kecuali mengenai perkara-perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan; keanggotaan, penyusunan dan cara bagi Mahkamah-Mahkamah Syariah, yang akan mempunyai bidangkuasa hanya ke atas orang-orang yang menganut ugama Islam dan hanya mengenai mana-mana perkara yang termasuk dalam perenggan ini, tetapi tidak mermpunyai bidang kuasa mengenai kesalahan-kesalahan kecuali setakat yang diberi oleh undang-undang persekutuan; mengawal pengembangan iktikad dan kepercayaan antara orang-orang yang menganut ugama Islam; menentukan perkara-perkara Hukum Syarak dan iktikad dan adat istiadat Melayu.
Di bawah kuasa Perlembagaan Persekutuan ini juga, pihak berkuasa negeri mewujudkan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri, dan di bawah enakmen inilah Mahkamah Syariah ditubuhkan. Serentak dengan ini juga, di bawah enakmen inilah diperuntukkan bidang kuasa dan juga pegawai-pegawai mahkamah yang akan mengendalikannya. Pentadbiran mahkamah ini juga telah diasingkan daripada pentadbiran agama Islam negeri. Oleh sebab itu terdapat Jabatan Kehakiman Syariah Negeri-negeri dan di bawah jabatan ini, diwujudkan mahkamah-mahkamah yang diketuai oleh Yang Amat Arif Ketua Hakim Syarie Negeri masing-masing. [10]
Bidang kuasa Mahkamah Syariah Mengikut Enakmen Pentadbiran Negeri

Mengikut Enakmen PentadbiranAgama Islam, bidangkuasa Mahkamah Syariah dibahagikan kepada tiga, iaitu mengikut peringkat mahkamah.[11]


i)          Bidang Kuasa Mahkamah Rendah Syariah

Di Negeri Sembilan, sesuatu Mahkamah Rendah Syariah hendaklah mempunyai bidang kuasa di seluruh Negeri Sembilan dan hendaklah diketuai oleh seorang Hakim Mahkamah Rendah Syariah. Menurut Arahan Amalan, Hakim yang mengetuai Mahkamah Rendah Syariah ini hendaklah dipanggil sebagai ‘Tuan Hakim’ sama ada dalam panggilan semasa perbicaraan atau urusan surat menyurat secara  resmi.[12]

Dari segi bidang kuasanya pula, Mahkamah Rendah Syariah hendaklah-[13]

(a)        dalam bidang kuasa jenayahnya, membicarakan apa-apa kesalahan yang dilakukan oleh seseorang orang Islam di bawah Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Sembilan) 2003 atau mana-mana undang-undang bertulis lain yang menetapkan kesalahan-kesalahan terhadap rukun-rukun agama Islam yang baginya hukuman maksimum yang diperuntukkan oleh Enakmen atau mana-mana undang-undang bertulis lain itu tidak melebihi tiga ribu ringgit atau pemenjaraan selama tempoh dua tahun atau kedua-duanya, dan boleh mengenakan manamana hukuman yang diperuntukkan bagi kesalahan itu; dan

(b)        dalam bidang kuasa malnya, mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding yang Mahkamah Tinggi Syariah diberi kuasa untuk mendengar dan memutuskannya, jika amaun atau nilai hal perkara yang dipertikaikan itu tidak melebihi seratus ribu ringgit atau tidak dapat dianggarkan dengan wang (tidak termasuk tuntutan hadhanah atau harta sepencarian).

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan boleh dari semasa ke semasa melalui perintah yang disiarkan dalam Warta memperluas bidang kuasa mal Mahkamah Rendah Syariah.[14]



Rayuan Ke Mahkamah Tinggi Syariah

Rayuan boleh dibuat kepada Mahkamah Tinggi Syariah daripada apa-apa keputusan sesuatu Mahkamah Rendah Syariah [15]

(a)        dalam bidang kuasa jenayahnya, oleh pendakwa atau oleh orang yang telah disabitkan, dan rayuan itu boleh dibuat terhadap pembebasan, sabitan atau hukuman atau mana-mana satu daripadanya; dan
(b)        dalam bidang kuasa malnya—
(i)         oleh mana-mana orang yang terkilan dengan keputusan itu, jika amaun yang dituntut itu tidak kurang daripada satu ribu ringgit;
(ii)        dalam semua kes yang melibatkan apaapa keputusan mengenai taraf diri, oleh mana-mana orang yang terkilan dengan keputusan itu; dan
(iii)       dalam semua kes yang berhubungan dengan nafkah orang-orang tanggungan, oleh mana-mana orang yang terkilan dengan keputusan itu, tetapi tiada rayuan boleh dibuat terhadap keputusan yang telah dibuat dengan persetujuan; dan
(c)         dalam apa-apa kes lain, jika Mahkamah Tinggi Syariah memberikan kebenaran untuk merayu.

Dalam mana-mana rayuan yang dikemukakan, Mahkamah Tinggi Syariah boleh[16]

(a)        dalam perkara jenayah, menolak rayuan, mensabitkan dan menghukum pihak yang merayu, memerintahkan Mahkamah perbicaraan memanggil pembelaan atau membuat siasatan lanjut, menambah atau meminda bentuk hukuman, memerintahkan perbicaraan semula, atau meminda atau mengakaskan mana-mana perintah Mahkamah Rendah yang membicarakan kes itu; dan
(b)       dalam perkara mal, mengesahkan, mengakaskan atau mengubah keputusan Mahkamah perbicaraan, menjalankan mana-mana kuasa yang boleh dijalankan oleh Mahkamah perbicaraan, membuat apa-apa perintah yang sepatutnya dibuat oleh Mahkamah perbicaraan, atau memerintahkan perbicaraan semula dijalankan.

ii)         Bidang kuasa Mahkamah Tinggi Syariah

Bidang kuasa bagi Mahkamah Tinggi Syariah ada diperuntukkan di bawah sek. 61(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam. Di Negeri Sembilan, Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah mempunyai bidang kuasa di seluruh Negeri Sembilan dan hendaklah diketuai oleh seorang Hakim Mahkamah Tinggi Syariah [17] yang dikenali sebagai Ketua Hakim Syarie.[18] Ketua Hakim Syarie boleh bersidang sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Syariah dan mengetuai Mahkamah itu.[19]  Panggilan kepada Ketua Hakim Syarie yang mengetuai Mahkamah Tinggi Syariah ialah ‘Yang Amat Arif’ (YAA) sama ada sewaktu perbicaraan, tugas-tugas resmi atau urusan surat menyurat,   manakala hakim-hakim Mahkamah Tinggi Syariah pula dikenali dengan panggilan ‘Yang Arif’ (YA). [20] 

Sek. 61 (3) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003 ada memperuntukkan mengenai bidang kuasa Mahkamah Tinggi Syariah yang merangkumi bidang kuasa jenayah dan mal. Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah—

(a)        dalam bidang kuasa jenayahnya, membicarakan apa-apa kesalahan yang dilakukan oleh seseorang orang Islam dan boleh dihukum di bawah Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Sembilan) 2003 atau di bawah mana mana undang-undang bertulis lain yang sedang berkuat kuasa yang menetapkan kesalahan kesalahan terhadap rukun-rukun agama Islam, dan boleh mengenakan apa-apa hukuman yang diperuntukkan bagi kesalahan itu; dan

(b)        dalam bidang kuasa malnya, mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding jika semua pihak dalam tindakan atau prosiding itu ialah orang Islam dan tindakan atau prosiding itu adalah berhubungan dengan—

(i)      pertunangan, perkahwinan, ruju’, perceraian, pembubaran perkahwinan (fasakh), nusyuz, atau pemisahan kehakiman (faraq) atau apa-apa perkara yang berkaitan dengan perhubungan antara suami dengan isteri;
(ii)     apa-apa pelupusan atau tuntutan harta yang berbangkit daripada mana-mana perkara yang dinyatakan dalam subperenggan (i);
(iii)    nafkah orang-orang tanggungan, kesahtarafan, atau penjagaan atau jagaan (hadhanah) budak-budak;
(iv)    pembahagian atau tuntutan harta sepencarian;
(v)     wasiat atau hibah semasa marad-al-maut;
(vi)    hibah semasa hidup, atau penyelesaian yang dibuat tanpa balasan yang memadai dengan wang atau nilaian wang oleh seorang orang Islam;
(vii)   wakaf atau nazr;
(viii)  pembahagian dan pewarisan harta berwasiat atau tak berwasiat;
(ix)    penentuan orang-orang yang berhak kepada bahagian harta pusaka seseorang si mati yang beragama Islam atau bahagian-bahagian yang kepadanya masing-masing orang itu berhak;
(x)     pengisytiharan bahawa seseorang itu bukan lagi orang Islam;
(xi)    pengisytiharan bahawa seseorang yang telah mati itu ialah seorang Islam atau sebaliknya pada masa kematiannya; dan
(xii)   perkara-perkara lain yang berkenaan dengannya bidang kuasa diberikan oleh mana-mana undang-undang bertulis.

Kuasa Semakan Dan Pengawasan

Selain dari bidang kuasa jenayah dan mal  yang disebut di atas, Mahkamah Tinggi Syariah juga mempunyai bidangkuasa  pengawasan dan penyemakan ke atas semua Mahkamah Rendah Syariah dan boleh, jika didapatinya perlu oleh Mahkamah Tinggi Syariah itu demi kepentingan keadilan, sama ada atas kehendaknya sendiri atau atas kehendak mana-mana pihak atau orang yang berkepentingan, pada mana-mana peringkat dalam apa-apa perkara atau prosiding, sama ada mal atau jenayah, dalam mana-mana Mahkamah Rendah Syariah, memanggil dan memeriksa mana-mana rekod tentang perkara atau prosiding itu dan boleh memberikan apa-apa arahan yang dikehendaki demi keadilan.[21]  Di dalam kes Mohd Razali bin Mat Saman lwn Norshidah binti Nik Man,[22] YA Hakim Mahkamah Tinggi Syariah kelantan telah mengulas mengenai fungsi bidang kuasa semakan oleh Mahkamah Tinggi Syariah sewaktu penghakiman kes tersebut. Menurut YA Hakim Mahkamah Tinggi Syariah tersebut:

“Mahkamah yang berbidang kuasa lebih luas, seperti Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah, diberi kuasa melakukan semakan terhadap kes yang dibicarakan di Mahkamah Rendah Syariah. Peranan semakan membabitkan penyelidikan, pemerhatian, kajian dan rujukan. Rujukan bermaksud, catatan Hakim Bicara perlu diambil kira kerana menerusi catatan itulah terungkainya hukuman atau keputusan.”

Apabila Mahkamah Tinggi Syariah memanggil rekod apa-apa perkara atau prosiding bagi tujuan pengawasan dan semakan, semua prosiding dalam Mahkamah Rendah Syariah tentang perkara atau prosiding itu hendaklah digantung sementara menanti perintah selanjutnya daripada Mahkamah Tinggi Syariah.[23]

Permohonan Untuk Mendapatkan Kebenaran Merayu

Suatu rayuan atau permohonan bagi mendapatkan kebenaran untuk merayu di bawah perenggan 63(1)(c) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003 (EPAINS)  hendaklah dibuat kepada Mahkamah Tinggi Syariah mengikut apa-apa cara yang ditetapkan, tetapi dalam apa apa keadaan hendaklah dalam tempoh empat belas hari dari tarikh penghakiman, perintah atau keputusan yang berkenaan dengannya permohonan itu dibuat atau, dalam keadaan apabila pemohon tidak mengetahuinya pada tarikh itu dan tidak dapat dengan menjalankan usaha yang munasabah mengetahuinya, dalam tempoh empat belas hari dari tarikh penghakiman, perintah atau keputusan itu sampai kepada pengetahuannya.[24]

Mahkamah Tinggi Syariah, apabila mendengar apa apa permohonan bagi mendapatkan kebenaran untuk merayu, boleh atas alasan khas melanjutkan masa untuk merayu, walaupun masanya telah habis tempoh.[25] Dalam kes Tengku Azimi binti Tengku Yusof lwn. Raja Abdullah Wahman bin Raja Sulaiman[26], Kes ini pada asalnya Responden melalui persetujuan bersama telah bersetujui membayar RM1,875,000.00 kepada Perayu mengenai nafkah iddah, harta sepencarian, mutaah dan nafkah tunggakan. Bagaimanapun, Responden  hanya membayar sebahagian dari perintah persetujuan tersebut. Perayu kemudiannya memfailkan permohonan untuk melaksanakan perintah. Kes tersebut telah ditolak oleh Mahkamah Bicara. Perayu telah memfailkan notis Rayuan ke Mahkamah Rayuan Syariah Negeri Selangor. Bagaimanapun, akibat berlakunya kesilapan teknikal di peringkat pentadbiran, Notis Rayuan tersebut tidak didaftarkan dalam tempoh sepatutnya.  Perayu berhujah bahawa kelewatan memfailkan notis tersebut disebabkan kesilapan teknikal di peringkat pentadbiran Mahkamah.. Alasan tersebut telah diterima oleh Mahkamah sebagai satu alasan khas dan permohonan kebenaran untuk merayu  telah dibenarkan walaupun telah melebihi tempoh.

iii)        Bidang Kuasa Mahkamah Rayuan Syariah

Mahkamah Rayuan Syariah hendaklah mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan memutuskan apa-apa rayuan terhadap apa-apa keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Syariah dalam menjalankan bidang kuasa asalnya.[27]

Apabila suatu rayuan daripada suatu keputusan Mahkamah Rendah Syariah telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Syariah, Mahkamah Rayuan Syariah boleh atas permohonan mana-mana pihak memberikan kebenaran untuk diputuskan olehnya sendiri apa-apa persoalan undang-undang yang berkepentingan awam yang telah timbul dalam perjalanan rayuan itu dan yang keputusannya oleh Mahkamah Tinggi Syariah telah menyentuh keputusan rayuan itu.[28]

Apabila kebenaran telah diberikan oleh Mahkamah Rayuan Syariah, Mahkamah itu hendaklah mendengar dan memutuskan persoalan yang dibenarkan dirujukkan bagi keputusannya dan membuat apa-apa perintah yang boleh dibuat oleh Mahkamah Tinggi Syariah dan yang difikirkannya adil bagi pemberesan rayuan itu.[29]

            Kebenaran merayu ini hendaklah diperolehi terlebih dahulu daripada Mahkamah Rayuan  Syariah dan hal ini perlu diberi perhatian kerana ianya telah dikanunkan sebagai undang-undang yang tak dapat tidak mengikat pihak-pihak bila berurusan dengan prosedur berkenaan. Seksyen 67 Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003 telah menyentuh mengenai perkara ini seperti yang telah disebut di atas. Di dalam kes yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan Syariah Negeri Selangor, iaitu kes Mohd Nasir bin Daud lwn Azura binti Abu Bakar (2007) JH XXIII/I, 35,[30] YAA KHS dalam penghakimannya ada menyebut;

“Dalam kes ini nampaknya pihak Perayu telah mengambil pendekatam seolah-olah kes rayuan ini adalah atas keputusan Mahkamah Tinggi Syariah dan bukannya bermula atau berasal dari Mahkamah Rendah Syariah Kajang. Itu asdalah suatu tanggapan yang tidak betul, kerana kes itu melibatkan isu yang yang bermula dan berlarutan dari kes permohonan di bawah seksyen 47 Undang-undang Keluarga Islam Negeri Selangor yang difailkan di Mahkamah Rendah Syariah Kajang. Oleh itu jika diteliti atau diperhalusi, permohonan kebenaran adalah diperlukan bila proses melibatkan kes yang berasal dari Mahkamah Rendah Syariah sebelum ke Mahkamah Rayuan Syariah. Saya berpendapat bahawa peruntukan seksyen 67 adalah jelas menghendakki permohonan dimasukkan terlebih dahulu bagi kes-kes yang berasal dari Mahkamah Rendah. Jadi isu yang gagal ditangani dan terlepas pandang di peringkat awal ini, telah menerbitkan dan menghasilkan cabang-cabang isu lain yang berkaitan yang tidak sepatutnya timbul jika tindakan berhemah dan berhati-hati diamalkan”


Dari keputusan kes ini, satu pengajaran yang amat berguna dan boleh dipelajari oleh semua pihak ialah jika kes tersebut bermula di Mahkamah Rendah Syariah, berlarutan sehingga ke Mahkamah Rayuan Syariah, satu kebenaran untuk merayu hendaklah dibuat terlebih dahulu sebelum rayuan tersebut dikemukakan ke Mahkamah Rayuan Syariah. Anggapan seolah-olah kes itu adalah bermula di Mahkamah Tinggi Syariah adalah suatu anggapan yang salah dan perlu diperbetulkan.

Selain dari bidang kuasa untuk mendengar kes-kes yang dirayu dari Mahkamah Tinggi Syariah, Mahkamah Rayuan Syariah juga adalah mempunyai bidang kuasa pengawasan dan penyemakan ke atas Mahkamah Tinggi Syariah dan boleh, jika didapati perlu demi kepentingan keadilan, sama ada atas kehendaknya sendiri atau atas kehendak mana-mana pihak atau orang yang berkepentingan, pada mana-mana peringkat dalam apa-apa perkara atau prosiding, sama ada mal atau jenayah, dalam Mahkamah Tinggi Syariah, memanggil dan memeriksa mana-mana rekod tentang perkara atau prosiding itu dan boleh memberikan apa-apa arahan yang dikehendaki demi keadilan.[31] Apabila Mahkamah Rayuan Syariah memanggil rekod tentang apa-apa perkara atau prosiding di bawah subseksyen (1), semua prosiding dalam Mahkamah Tinggi Syariah tentang perkara atau prosiding itu hendaklah digantung sementara menanti perintah selanjutnya daripada Mahkamah Rayuan Syariah.[32]

Dalam kes Ahmad Shukri bin Kasim lwn Ida Hidayati binti Taufik,[33] HMTS Shah Alam Selangor telah menggantung pelaksanaan perintah yang dikeluarkan sebelumnya setelah Mahkamah membenarkan rayuan difailkan walaupun ianya telah melewati satu tahun 4 bulan 24 hari atas alasan jika penangguhan keputusan tidak dibenarkan, maka keadilan tidak akan tercapai dan rayuan tersebut akan menjadi sia-sia, sedangkan Pemohon mempunyai alasan-alasan yang hendak dikemukakan di dalam rayuannya.

Keanggotaan Mahkamah Rayuan Syariah

Sesuatu rayuan dalam Mahkamah Rayuan Syariah hendaklah didengar dan dibereskan oleh seorang pengerusi dan dua orang Hakim lain Mahkamah Rayuan Syariah yang ditentukan oleh Ketua Hakim Syarie daripada kalangan anggota panel tetap Hakim Mahkamah Rayuan Syariah yang dilantik di bawah seksyen 57 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (negeri Sembilan) 2003.[34]

Ketua Hakim Syarie, bagaimanapun boleh melantik mana-mana Hakim Mahkamah Tinggi Syariah untuk menjadi seorang anggota Mahkamah Rayuan Syariah bagi mana-mana prosiding yang tertentu jika Ketua Hakim Syarie berpendapat wajar berbuat demikian.[35] Ketua Hakim Syarie hendaklah menjadi pengerusi tiap-tiap prosiding Mahkamah Rayuan Syariah tetapi:
(a)        jika rayuan di hadapan Mahkamah Rayuan Syariah itu ialah terhadap keputusan Ketua Hakim Syarie yang telah bersidang sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Syariah; atau
(b)        jika Ketua Hakim Syarie tidak dapat menjadi pengerusi kerana apa-apa sebab lain, Ketua Hakim Syarie hendaklah melantik Hakim yang paling kanan antara Hakim Mahkamah Rayuan Syariah untuk menjadi pengerusi.[36]

Di Mahkamah Rayuan, kebiasaannya ahli panel yang bersidang adalah terdiri dari tiga orang panel hakim. Bergantung pada undang-undang Pentadbiran Agama Islam Negeri, Ketua Hakim Syarie biasanya adalah pengerusi kepada jawatankuasa rayuan tersebut. Bagi negeri-negeri yang memilih perkhidmatan gunasama seperti Negeri Sembilan, Pengerusi Panel Rayuan adalah Ketua Hakim Syarie/Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) atau wakilnya yang terdiri dari Hakim-hakim Mahkamah Rayuan Syariah yang dilantik di bawah sek. 57 Enakmen Pentadbiran Agama Islam.[37] Keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Rayuan Syariah hendaklah diputuskan berdasarkan pendapat majoriti.[38]

Jika, dalam perjalanan apa-apa prosiding dalam sesuatu rayuan atau pada bila-bila masa sebelum diumumkan penghakiman, mana-mana Hakim Mahkamah Rayuan Syariah yang mendengar prosiding itu tidak dapat, kerana sakit atau apa-apa sebab lain, untuk hadir dan menyelesaikan prosiding itu atau selainnya menjalankan fungsinya sebagai Hakim Mahkamah itu, maka, jika kedua dua pihak bersetuju, pendengaran itu hendaklah diteruskan dan penghakiman atau penghakiman yang ditangguhkan, mengikut mana-mana yang berkenaan, hendaklah diberikan oleh dua orang Hakim Mahkamah yang ada itu, dan bagi maksud-maksud rayuan itu, Mahkamah hendaklah disifatkan telah dianggotai dengan sempurna.[39] Bagaimanapun, jika panel hakim yang terdiri dari dua orang Hakim Mahkamah Rayuan tersebut gagal mendapatkan keputusan sebulat suara, rayuan itu hendaklah didengar semula.[40]

 Dalam situasi yang lain, iaitu  Jika  kedua-dua pihak (perayu dan penentang) tidak memberikan persetujuan mereka untuk  kes tersebut diputuskan oleh dua orang Hakim, atau lebih daripada seorang Hakim tidak dapat, kerana sakit atau apa sebab lain, untuk hadir dan menyelesaikan prosiding itu atau selainnya menjalankan fungsi mereka sebagai Hakim Mahkamah itu, rayuan itu hendaklah didengar semula.[41]

Perbicaraan di Mahkamah Syariah hendaklah Secara terbuka


Tertakluk kepada mana-mana undang-undang bertulis lain dan seksyen 71 (2) Enakmen Pentadbiran Agama Islam, semua perbicaraan dalam Mahkamah Syariah hendaklah, terbuka kepada orang ramai. Bagaimanapun, Mahkamah boleh memerintahkan supaya keseluruhan atau mana-mana bahagian mana-mana prosiding di hadapannya diadakan dalam mahkamah tertutup jika Mahkamah itu berpuas hati bahawa perintah sedemikian adalah demi kepentingan keadilan atau kesopanan.[42] Di dalam kes Raja Suzana bt Raja Kasim dan Seorang lagi lwn kasim bin Othman dan Fatimah bt salleh.,[43] Dalam kes ini, Pemohon-pemohon adalah anak dan menantu kepada Responden. Responden-Responden telah memfailkan satu tuntutan nafkah seumur hidup supaya pemohon-pemohon menanggung dan membiayai responden-responden sepanjang hayat responden berdasarkan janji yang dibuat oleh Pemohon 1 yang juga anak perempuan kandung kepada responden-responden. Sewaktu kes tersebut difailkan ke Mahkamah, ianya mendapat liputan meluas oleh ahkbar-akhbar tempatan. Sehubungan dengan itu, Pemohon telah memfailkan satu permohonan injunksi secara ex parte ke Mahkamah Tinggi Syariah supaya kes tersebut didengar secara tertutup dan menghalang akhbar-akhbar tempatan dari membuat liputan mengenainya. Mahkamah Tinggi Syariah telah membenar dan meluluskan permohonan tersebut. Bagaimanapun, perintah tersebut hanya sah selama 30 hari sahaja. Pemohon-pemohon kemudiannya memfailkan satu lagi permohonan yang sama ke Mahkamah Tinggi Syariah bagi melanjutkan injunksi tersebut. YA Hakim MTS Seremban telah menolak permohonan tersebut dengan alasan Mahkamah Tinggi Syariah telah membenarkan injunksi tersebut sebelum ini kerana waktu itu proses sulh sedang berjalan. Liputan yang meluas di dalam akhbar tempatan mungkin menyebabkan pemohon-pemohon merasa aib dan tertekan yang boleh jadi menghalang kepada penyelesaian diperolehi secara saksama. Berbeza dengan permohonan kali yang kedua, majlis sulh telah didapati gagal dan penyelesaian antara pihak-pihak telah tidak diperolehi. Hanya satu jalan yang perlu dilalui oleh pihak-pihak bagi menyelesaikan kes ini, iaitu melalui perbicaraan penuh. HMTS telah merujuk kepada seksyen 72(1) dan (2) Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan memutuskan bahawa kes tersebut hendaklah didengar secara terbuka.


Bahasa Melayu Hendaklah Menjadi Bahasa Bagi Semua Prosiding Di Mahkamah Syariah

Bahasa Melayu hendaklah menjadi bahasa bagi semua prosiding dalam Mahkamah Syariah dan semua dokumen serta nota prosiding boleh menggunakan tulisan rumi atau jawi.[44] Bagaimanapun, Bahasa asing boleh digunakan di dalam prosiding mahkamah atas kebenaran Hakim Bicara tetapi ianya tidaklah digalakkan. Penggunaan penterjemah yang berkelayakan adalah disyorkan jika pihak-pihak tidak fasih berbahasa Melayu. Mengenai penggunaan bahasa ini, seksyen 232 Enakmen Tatacara Mal memperuntukkan:

“(1) Melainkan jika diarahkan selainnya oleh Ketua Hakim Syarie, bahasa kebangsaan hendaklah digunakan dalam semua prosiding di Mahkamah.

(2) Apa-apa dokumen yang dikehendaki untuk digunakan menurut Enakmen ini hendaklah dalam bahasa kebangsaan, dan dokumen dalam mana-mana bahasa lain hendaklah disertakan dengan terjemahannya dalam bahasa kebangsaan.”

Bidang kuasa Tidak meliputi orang bukan Islam.

Tiada keputusan Mahkamah Rayuan Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah atau Mahkamah Rendah Syariah boleh melibatkan hak atau harta seseorang bukan Islam.[45] Bagaimanapun, kehadiran orang bukan Islam di Mahkamah Syariah yang bertindak sebagai saksi kepada pihak-pihak, saksi pakar atau sebagainya adalah tidak dihalang. Di dalam kes  Tuntutan hadhanah Adryana Qestina @ Audrey Christina Samuel,[46] Pemohon dalam kes ini adalah seorang saudara baru dan menderita kerana dua orang anaknya telah dilarikan oleh bekas suaminya yang tidak memeluk Islam. Sewaktu permohonan dibuat, suaminya telah dipanggil ke mahkamah untuk memberi keterangan sebagai saksi setelah YA Hakim Bicara mengarahkan satu sepina dikeluarkan. Bagaimanapun, bekas suaminya, En. Gopal tidak hadir ke Mahkamah. Pemohon telah memanggil dua orang saksi lain yang mana salah seorang darinya adalah ibu pemohon sendiri yang masih beragama kristian. Mahkamah telah mendengar dan menerima kesaksian ibu pemohon sebagai satu bayyinah dan memutuskan hak hadhanah diberikan kepada Pemohon.




Tindakan bersaling.

Jika Mahkamah Syariah di dalam mana-mana Negeri di Malaysia mengeluarkan waran atau saman, mengikut mana-mana yang berkenaan, di bawah peruntukan mana-mana undang-undang yang berkuat kuasa di dalam Negeri itu, untuk dilaksanakan ke atas atau disampaikan kepada mana-mana orang yang berada atau dipercayai berada di dalam Negeri Sembilan, maka mana-mana Hakim Syarie boleh mengendorskan waran atau saman itu dengan menandatanganinya dan waran atau saman itu boleh dilaksanakan ke atas atau disampaikan kepada orang itu seolah-olah waran atau saman itu telah dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah di dalam Negeri Sembilan mengikut peruntukan Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003.[47].

Jika Mahkamah Syariah di dalam Negeri Sembilan mengeluarkan waran yang memberi kuasa untuk menangkap mana-mana orang, atau saman yang memanggil mana mana orang supaya hadir di Mahkamah Syariah, dan orang itu berada atau dipercayai berada di dalam Negeri lain di Malaysia dan waran atau saman itu telah dilaksanakan ke atas atau disampaikan kepada orang itu mengikut mana mana undang-undang yang berkuat kuasa di dalam Negeri itu, maka waran atau saman itu hendaklah bagi maksud Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003, disifatkan telah dilaksanakan atau disampaikan dengan sah seolah-olah pelaksanaan atau penyampaian itu telah dilaksanakan atau disempurnakan di dalam Negeri Sembilan.[48]

Jika Mahkamah Syariah di dalam mana-mana negeri di Malaysia membuat suatu perintah atau penghakiman di bawah peruntukan mana-mana undang-undang yang berkuat kuasa di dalam Negeri itu terhadap seseorang dan orang itu berada atau dipercayai berada di dalam Negeri Sembilan, maka Hakim Syarie, jika dia berpuas hati bahawa perintah atau penghakiman itu telah dikeluarkan dengan sewajarnya oleh suatu Mahkamah Syariah yang berwibawa di dalam mana-mana Negeri di Malaysia, boleh mengendorskan perintah atau penghakiman itu dan perintah atau penghakiman itu boleh kemudiannya dilaksanakan atau disampaikan, mengikut mana-mana yang berkenaan, seolah-olah perintah atau penghakiman itu ialah perintah atau penghakiman yang telah dikeluarkan dengan sah oleh Mahkamah Syariah di dalam Negeri Sembilan mengikut peruntukan Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003.[49]

Tindakan bersaling ini sedikit sebanyak telah mengurangkan kerumitan  terutamanya bagi menguatkuasakan perintah. Dalam sepuluh tahun kebelakangan sebelum ini, pihak-pihak yang berada di luar kawasan liputan bidang kuasa Mahkamah Syariah Negeri akan terlepas dari tindakan undang-undang kerana tiada peruntukan yang membenarkan tindakan tersebut dibuat di negeri lain. Sejak peruntukan ini diperkenalkan beberapa tahun lalu, masalah ini telah diselesaikan dan pihak yang tidak berada di negeri yang mana saman atau perintah itu dikeluarkan, boleh dilaksanakan sepertimana dia berada di dalam negeri tersebut.

Perlindungan Hakim, Pegawai Mahkamah dan lain-lain

Tiada seorang pun Hakim Mahkamah Rayuan Syariah atau Hakim Syarie boleh didakwa di mana-mana Mahkamah Syariah atau Mahkamah Sivil bagi apa-apa perbuatan yang dilakukan atau diperintahkan olehnya supaya dilakukan dalam menunaikan tugas kehakimannya, sama ada dalam had bidang kuasanya atau tidak, dan tiada apa-apa perintah bagi kos boleh dibuat terhadapnya, dengan syarat bahawa dia pada masa itu dengan suci hati mempercayai bahawa dia mempunyai bidang kuasa untuk melakukan atau memerintahkan perbuatan yang diadukan itu.[50]

Tiada seorang pun pegawai mana-mana Mahkamah atau orang lain yang terikat untuk melaksanakan waran atau perintah sah Hakim Mahkamah Rayuan Syariah atau Hakim Syarie boleh didakwa dalam mana-mana Mahkamah Syariah atau mahkamah sivil kerana melaksanakan waran atau perintah itu.[51] Didalam kes Permohonan interim Ex Parte Jamilah bt Sheikh Daud dan Tiga Yang lain,[52] Pemohon keempat dalam kes ini, yang juga merupakan peguam Syarie kepada Pemohon-Pemohon telah memohon kepada Mahkamah Tinggi Syariah Seremban bagi mendapatkan kebenaran untuk melaksanakan perintah di bawah seksyen 154 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah. Pada masa yang sama, peguam pemohon-pemohon juga memohon supaya kekebalan atau ’imunity’ diberikan kepada peguam yang mengendalikan kes tersebut kerana mendakwa beliau telah diugut dan diancam untuk diambil tindakan tata tertib dan satu aduan resmi akan dibuat kepada ‘bar council’ atas alasan peguam pemohon telah bertindak di luar batasan undang-undang kerana cuba menghalang institusi-institusi kewangan dari menjalankan tugas mereka sehingga menyebabkan kerugian dialami oleh syarikat-syarikat kewangan tersebut. Peguam pemohon telah berhujah bahawa tindakannya menghalang daripada institusi kewangan tersebut menjalankan urusniaga di atas tanah pemohon-pemohon bagi menguatkuasakan perintah hibah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah sebelumnya. Satu injunksi telah dibuat dan notis amaran telah dikeluarkan kepada institusi-institusi berkenaan bagi mematuhi perintah Mahkamah yang dikeluarkan. Bagaimanapun, Institusi-Institusi kewangan berkenaan, yang terjejas akibat perintah tersebut telah memfailkan satu tindakan sivil penghinaan mahkamah di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor. Merasa tertekan dengan tindakan tersebut, Peguam Pemohon-pemohon telah memohon satu perintah dari Mahkamah Tinggi Syariah seremban bagi mendapatkan kekebalan dari tindakan undang-undang atas alasan ia bertindak bagi menguatkuasakan perintah Mahkamah Syariah. YA Hakim MTS Seremban telah menolak permohonan tersebut atas alasan seksyen 76(2) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003 telah memberi hak dan perlindungan kepada mahkamah dan pegawai-pegawai Mahkamah daripada apa-apa tindakan sama ada di Mahkamah Syariah atau di Mahkamah sivil jika dia pada masa itu dengan suci hati mempercayai bahawa dia mempunyai bidang kuasa untuk melakukan atau memerintahkan perbuatan yang diadukan itu.



[1] Lihat sek. 55 (2) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan)  2003 (EPAINS)
[2] Lihat sek. 55 (3) EPAINS
[3] Lihat sek. 57 EPAINS
[4] Lihat sek. 56 EPAINS
[5] Lihat sek. 58 EPAINS
[6] Lihat sek. 59 EPAINS
[7] Lihat sek. 60 EPAINS
[8] Siti Shamsiah bt. Mohd. Supi, Bidang Kuasa Mahkamah Syariah Di Malaysia: Satu  
  Pengenalan  Ringkas,http://ikim.gov.my/
[9] Ibid
[10] Ibid, Siti Shamsiah bt. Mohd. Supi
[11] Lihat sek.62-67 EPAINS
[12] Lihat Arahan Amalan No 16 Tahun 2007
[13] Lihat sek. 62 (2) EPAINS
[14] Lihat sek. 62 (3) EPAINS
[15]  Lihat sek. 63 (1) EPAINS
[16]  Lihat sek. 63 (2) EPAINS
[17]  Lihat sek. 61(1) EPAINS
[18]  Panggilan sama ada urusan surat menyurat atau semasa perbicaraan kepada Ketua Hakim    
    Syarie ialah Yang Amat Arif. Lihat Arahan Amalan No. 16 Tahun 2007.
[19]  Lihat sek. 61 (2) EPAINS
[20]  Arahan Amalan No 16 Tahun 2007
[21] Lihat sek. 66 (1) EPAINS
[22] Mohd Razali bin Mat Saman lwn Norshidah binti Nik Man (2002) JH XV/II, 157
[23] Lihat sek. 66 (2) EPAINS
[24] Lihat sek. 64 (1) EPAINS
[25] Lihat sek. 64 (2) EPAINS
[26] Tengku Azimi binti Tengku Yusof lwn. Raja Abdullah Wahman bin Raja Sulaiman, MTS Shah
   Alam Selangor,  Kes Mal No. 11000-2 Tahun 2000.Kes ini tidak dilaporkan.
[27] Lihat sek. 67 (1) EPAINS
[28] Lihat sek. 67 (2) EPAINS
[29] Lihat sek. 67 (3) EPAINS
[30] Mohd Nasir bin Daud lwn Azura binti Abu Bakar (2007) JH XXIII/I, 35
[31] Lihat kes Rosliza @ Mazwani binti Mustafa lwn Wan Mohd Kamil bin Wan Abd Ghani (2007)
   JH 24/2, 313 yang  menyentuh mengenai bidangkuasa Mahkamah Rayuan Syariah dalam
   pengawasan dan penyemakan ke atas Mahkamah Tinggi Syariah. Lihat juga Mohd Aruwa
   bin Mohd Amin lwn Daing Kelthom binti Daing Abu Bakar dan 7 Yang lain (2005) JH XIX/II,
   257
[32] Lihat S 68 (1) dan (2) EPAINS
[33] JH (2007) XXIII/II, 221. Lihat juga kes Ahmad Shukri bin Kasim lwn Ida Hidayati binti 
   Taufik, JH (2007) XXIII/II, 221 dan Hamzah bin Zainuddin lwn Noraini Binti Abdul Rashid,
  (2005) JH IX/II, 217,
[34] Lihat sek. 69 (1) EPAINS
[35] Lihat sek. 69 (2) EPAINS
[36] Lihat sek. 69 (3) EPAINS
[37] Lihat sek. 57 EPAINS
[38] Lihat sek. 70 EPAINS
[39] Lihat sek. 71 (1) EPAINS
[40] Lihat sek. 71 (2) EPAINS
[41] Lihat sek. 71 (3) EPAINS
[42] Lihat sek. 72 (1) dan (2) EPAINS
[43] Raja Suzana bt Raja Kasim dan seorang lagi lwn kasim bin Othman dan Fatimah bt Salleh,
   (2008) JH JLD 25 BHG 2, 279.

[44] Lihat sek. 73 EPAINS
[45] Lihat sek. 74 EPAINS
[46]Dalam Perkara Tuntutan hadhanah Adryana Qestina @ Audrey Christina Samuel, Kes Mal No.
  05100-028-0193-2007, Kes MTS Seremban, sewaktu penulisan ini dibuat, kes ini belum
  dilaporkan. Lihat juga kes Permohonan Perisytiharan Status Agama Simati Nyonya bt Tahir-
  Ex Parte Majlis Agama Islam Negeri Sembilan & 2 Yang Lain, (2006) JHXXI/II 221.

[47] Lihat sek. 75 (1) EPAINS
[48] Lihat sek. 75(2)  EPAINS
[49] Lihat sek 75(3) EPAINS
[50] Lihat sek. 76(1) EPAINS
[51] Lihat sek. 76(2) EPAINS
[52] Permohonan interim Ex Parte Jamilah bt Sheikh Daud dan Tiga Yang lain, 05100-038-0499-
  2007, MTS Seremban, Kes ini belum dilaporkan.

MADRID II

  Kota Madrid seawal abad ke 9 pernah diperintah oleh gabenur Umayyah Andalusia dan kota ini dikenali sebagai 'majrit' dari kata asa...