Friday, January 25, 2013

Bidang kuasa Jabatan Bantuan Guaman diperluas



ARKIB : 20/01/2012


PUTRAJAYA 19 Jan. – Jabatan Bantuan Guaman (JBG) memperluaskan bidang kuasa sivil dan syariahnya bagi memperluaskan fungsi jabatan itu dalam usaha memberi bantuan kepada golongan kurang berkemampuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, langkah yang dilaksanakan awal bulan ini membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan rakyat bagi membolehkan mereka mendapatkan akses keadilan sewajarnya.

Katanya, kali terakhir bidang kuasa JBG diperluas adalah pada 1982, justeru perubahan yang dilaksanakan sekarang sememangnya wajar selaras perkembangan semasa dan kehendak masyarakat.

Bagaimanapun, beliau berkata, peluasan bidang kuasa itu mengambil kira kemampuan sumber manusia di JBG bagi memastikan kualiti perkhidmatan yang tinggi dapat dikekalkan.

‘‘Peluasan bidang kuasa syariah bagi JBG meliputi prosiding berhubung ganti rugi pertunangan, hutang perkahwinan dan mutaah, alang semasa hidup (hibah) dan wasiat yang juga merupakan kes berkaitan dengan kes kekeluargaan.

‘‘Peluasan bidang kuasa sivil di Sabah dan Sarawak pula berhubung dengan permohonan nafkah, pengangkatan (anak) dan pentadbiran harta pusaka yang selama ini hanya terdapat di Semenanjung sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), di sini hari ini.

Mohamed Nazri berkata, sebelum ini bidang kuasa JBG meliputi kes kekeluargaan sivil dan syariah yang melibatkan kes nafkah, jagaan, perceraian dan harta sepencarian/aset perkahwinan.

Selain itu, beliau menambah, JBG juga boleh mengendalikan kes pengangkatan anak, pampasan pekerja, penanaman padi, harta pusaka kecil, kemalangan jalan raya, pemberi pinjam wang, sewaan, sewa beli probet dan surat mentadbir pusaka dan tuntutan pengguna.

Sementara itu, Mohamed Nazri turut ditanya desakan pelbagai pihak agar Peguam Negara mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada tuduhan meliwat Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 9 Januari lalu.

Katanya, di bawah Perlembagaan Persekutuan adalah menjadi hak Peguam Negara sama ada untuk mendakwa atau tidak, merayu atau tidak.

Kedua pula bagi saya sama ada Peguam Negara merayu atau tidak, apa yang penting adalah memastikan Mohd. Saiful Bukhari Azlan berpeluang untuk mendapatkan keadilan yang sewajarnya,” katanya.

No comments: