PUTRAJAYA - Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Kemajuan Islam
Malaysia (Jakim) akan bekerjasama menubuhkan Unit Polis Syarie sebagai
langkah menyelesaikan isu-isu berkaitan penguatkuasan dan perundangan
Islam.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menteri berkenaan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, KDN
mendapat persetujuan Jakim untuk menubuhkan unit itu, yang antara lain,
akan mempunyai anggota polis berkelulusan ijazah dan ijazah sarjana.
Beliau berkata mereka akan ditempatkan di Jakim namun tarikh pelaksanaannya belum ditetapkan.
"Umat Islam di Malaysia kini berhadapan dengan pelbagai cabaran
antaranya penggunaan kalimah Allah oleh Kristian, fahaman Syiah, ajaran
sesat dan tuntutan keterlaluan oleh Gabungan NGO-NGO Hak Asasi Manusia
(Comango).
"Mengenai isu kalimah Allah, mengapa mereka (golongan Kristian) masih
berdegil dan tidak menghormati keputusan Mahkamah...penggunaan kalimah
Allah dalam Bible hanya dibenarkan di Sabah dan Sarawak dan bukannya di
Semenanjung Malaysia," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival 'Rasul in My
Heart' dan melancarkn projek Al-Quran, Waqaf dan Ibtida anjuran Masjid
Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Telaga Biru Sdn Bhd di Masjid Tuanku
Mizan Zainal Abidin di sini, malam ini.
Turut hadir perintis projek Al-Quran, Waqaf dan Ibtida Tan Sri Hassan
Azhari, Imam Besar Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin Hazarudin Baharudin
dan Pengarah Urusan Telaga Biru Sdn Bhd Zahazan Mohamed.
Karnival tiga hari itu berkonsepkan dakwah, tarbiyah dan tijarah (perniagaan) di perkarangan masjid berkenaan.
Ahmad Zahid berkata, umat Islam di Malaysia harus mengetepikan
kepentingan politik masing-masing dan bersatu dalam menyelesaikan
isu-isu semasa berkaitan Islam.
Beliau juga menjelaskan bahawa Perkara 10 yang dipersetujui Kerajaan
Pusat bagi membenarkan import, penggunaan dan pencetakan Bible versi
bahasa Melayu di negara ini, bukanlah Perlembagaan sebaliknya terikat
sebagai undang-undang sesebuah negeri. - Bernama
Sinar Harian 25/1/2014