Monday, January 20, 2014

DAFTAR ANAK MANJA DI DHAHAS PEDAS

Keputusan PMR Nabella memang  cemerlang. kami sekeluarga turut merasa bangga dengan kejayaan tersebut. 9A adalah sesuatu yang beliau idamkan sejak dari form 2 lagi. kawannya juga turut mengucapkan tahniah. Nabella seperti biasa dan bersahaja, tidak menunjukkan kegirangannya meskipun kami tahu dia juga sebenarnya amat seronok. Nikon D3200 adalah penghargaan di atas impiannya selama ini setelah 2 tahun memendam hasrat untuk memilikinya.

Minat dan cita-citanya unruk menjadi ahli sains begitu berkobar hingga sanggup ia meninggalkan kawan-kawan seperjuangan di Nilai kerana alasannya SMAN tidak menyediaklan aliran sains. Kegembiraan itu tidak lama. Menyedari namanya tidak tersenarai untuk kesekolah berasrama penuh, nampak sangat kusam wajahnya. kami turut merasa simpati dan tidak putus-putus memberikan dorongan agar ia tidak terseret dengan rasa kecewa. Walaupun ada tawaran lain, tetapi terpaksa ditolak kerana tidak menyediakan aliran sains dan agama  seperti yang dihajatinya.Kemuraman itu berterusan apabila namanya tercicir lagi untuk ke SHAMS Seremban, sedangkan satu-satunya rakan baiknya dapat mencelah satu slot penempatan di sana. Kesedihannya terubat apabila namanya disenaraikan di DHAHAS Pedas dan diterima untuk meneruskan aliran sains tulen.Biarpun kami cadangkan agar kekal di SMAN Nilai, ia  bertegas juga untuk ke sana kerana mengejar cita-citanya untuk mendalami sains dan agama. Turut bersamanya beberapa rakan rapat satu sekolah yang sedikit sebanyak mengubah kemurungannya. 

Menyedari dia akan mendaftarkan diri di DHAHAS pada 21 Jan 2014, masa 2 hari digunakan sepenuhnya untuk menyelesaikan beberapa perkara di SMAN Nilai, berpeluang bertemu guru dan rakan-rakan lamanya dan membeli sebarang keperluan untuk kegunaan di DHAHAS nanti. nampak kegembiraan mula terukir di wajahnya dan tidak sabar menanti tarih tersebut.

Malam sebelum berangkat ke DHAHAS, dia mengorbankan masa tidurnya untuk berkemas dan menyediakan keperluan. Kami membiarkan dia berkemas berseorangan. 

Pagi 21 Januari 2014, kami sudah bersiap untuk berangkat ke Pedas. Kakak dan adik-adiknya turut ghairah untuk bersama  ke Pedas dan mereka mula enggan ke sekolah kerana turut ingin menemani kami dan  nabella di sekolah barunya.. 




Perjalanan ke Pedas tidaklah mengambil masa yang panjang, lebih kurang 1 jam dari Nilai melalui lebuhraya PLUS.  Setibanya di sana kami disambut oleh anak-anak yang ceria dan rakan-rakan baru Nabella nanti. Selepas hampir 2 jam menguruskan pendaftaran dan kemasukan ke asrama, kami memunggah barang-barang naik ke dorm 10  bilik  Ruqyah di Bait al-Humaira'. Sempat juga kami belikan rak buku untuknya memandangkan ruang yang sempit untuknya menyimpan barangan dan buku-buku.

Jam 1 tengahari adalah waktu untuk berpisah. Bergenang juga airmata kami sekeluarga kerana tak pernah berpisah dengannya. Walaupun cuba disembunyikan, namun mengalir juga air jernih itu tatkala nabella mencium pipi.. Mujurlah tak siapa perasan. Maklumlah nak melepaskan anak manja yang setiap waktu jika bersama hanya berlingkar dalam pelukan bapanya. Demi mengejar cita-cita dan masa depan itulah pengorbanan yang patut dilakukan. Membiarkan ia bersendirian berdikari tanpa campurtangan kami lagi.



Perjalanan pulang amat menyebakkan hati.Melalui jalan biasa ke SMAN mengingatkan kepayahan menghantar dan mengambil Nabella dan kakaknya setiap hari. Lorong-lorong yang dilalui, kedai-kedai yang kerap kami singgah dan gelak hilai gurau sendanya dalam kereta mula menjadi sepi dan bening. Malam nanti mungkin menambah derap hati, tiada lagi  yang menemani tahajud jam 4 pagi, atau setia mendengar tazkirah  jawahirul qulub setiap hari.... Demi cita-cita kami korbankan kegembiraan hari ini untuk kebahagiaan masa depan..
Tahniah adik! moga tercapai cita-cita...dan jadilah anak yang solehah..

No comments:

MADRID II

  Kota Madrid seawal abad ke 9 pernah diperintah oleh gabenur Umayyah Andalusia dan kota ini dikenali sebagai 'majrit' dari kata asa...