Saturday, September 12, 2009

Contoh isi buku terbaru dalam pasaran.

Di bawah ini ada dimasukkan sedikit sebahagian isi kandungan buku Undang-Undang Tatacara Mal Mahkamah Syariah ; Prinsip dan Amalan. Kandungan ini dipetik dari versi asal buku tersebut dalam Bab 3 yang menyentuh mengenai pihak-pihak dalam pengendalian kes di Mahkamah Syariah.

1-PENENTUAN PIHAK-PIHAK
           
Kebiasaannya pada bahagian atas setiap saman atau notis permohonan  mestilah ditulis  nama setiap plaintif dan setiap defendan yang ingin dijadikan pihak dalam prosiding itu.  Nama-nama ini membentuk tajuk tindakan itu. Dalam pemilihan pihak-pihak ini terdapat dua bentuk kesilapan yang biasa berlaku. Plaintif mungkin tertinggal nama pihak yang kehadirannya sangat penting; atau menambah nama pihak yang kehadirannya adalah tidak wajar. Oleh itu plaintif hendaklah memastikan pihak mana yang perlu dan pihak mana yang tidak perlu, siapakah yang mesti disatukan, dan siapakah yang boleh disatukan atau tidak, seperti yang dipilih oleh plaintif.[1]
Apa yang dimaksudkan dengan pihak-pihak ialah “plaintif” termasuklah pemohon dan “defendan” termasuklah responden.[2] Sebelum wujudnya Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia pada akhir tahun 1990an,  ungkapan ‘plaintif’ adalah lebih dikenali sebagai ‘orang yang menuntut’ atau ‘pihak yang menuntut’ manakala defendan dikenali sebagai ‘orang yang kena tuntut’.
Satu contoh yang baik mengenai penentuan pihak-pihak ini dapat dilihat dalam satu kes di Mahkamah Rayuan Syariah, Kota Bharu , Kelantan iaitu kes Nik Mansor bin Nik Ali lwn Tuan Hafsah binti Tuan Man (2006) JH XXI/II 240.[3]  Sewaktu kes ini didengar di Mahkamah Tinggi Syariah, YA Hakim Bicara telah menolak dan membuang tuntutan plaintif, iaitu Nik Mansor bin Nik Ali kerana menuntut aset-aset sebagai harta sepencarian yang bukan hak milik plaintif atau defendan. Perayu yang tidak berpuashati telah mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan Syariah Kota Bharu Kelantan. Panel rayuan yang dipengerusikan oleh YAA Dato’ Haji Daud bin Muhammad, KHS sebulat suara bersetuju dan mengekalkan perintah yang diputuskan YA Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu. Fakta kes ini ialah,  perayu, Nik Mansor bin Nik Ali telah mengemukakan rayuan Ke Mahkamah Rayuan mengenai aset-aset yang didakwanya sebagai harta sepencarian, iaitu sebuah rumah dua tingkat di atas tanah lot no. 2207 Mukim Binjai, Kota Bharu bernilai sebanyak RM215,000.00, sebuah rumah teres 2 tingkat di atas tanah lot no.2207 bernilai RM70,000.00 dan sebidang tanah lot no. 1354, Mukim Binjai Kota Bharu bernilai RM8,000.00. Sewaktu perbicaraan, Mahkamah dapati asset-aset seperti rumah dua tingkat  diatas tanah Lot no. 2207 Mukim Binjai, Kota Bharu bernilai RM215,000,00 adalah hak milik Nik Amani bt nik Mansor, bukan milik plaintif (Nik Mansor) atau milik defendan (Tuan Hafsah), rumah teres dua tingkat di atas tanah lot 2207, Mukim Binjai, Kota Bharu yang bernilai RM70,000.00 pula adalah hak miik Nik Amani bt Nik mansor , bukan milik plaintif atau defendan, dan tanah lot no 1354, Mukim Binjai, kota Bharu pula adalah di bawah hak milik  Nik Ahmad bin Nik Mansor, juga bukan hak milik plaintif mahu pun defendan. YA Hakim bicara memutuskan bahawa tuntutan Nik Mansor adalah salah dan tidak menepati maksud ‘harta sepencarian’ kerana tanah-tanah itu bukan milik plaintif atau defendan maka adalah tidak tepat defendan (responden di dalam kes rayuan tersebut) dijadikan plaintif kerana tidak mematuhi rukun dakwaan mengikut Hukum Syarak.
Di dalam satu kes lain, Bakhtiar bin Adnan lwn Mohd Fawzi bin Nahrawi dan 6 yang Lain (2006) JH XXI/I 19[4], Pemohon, Bakhtiar bin Adnan merupakan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Surau Madrasatul Awwaliah di kampung Segambut Dalam, Kuala Lumpur, manakala responden dan 6 yang lain adalah pemilik  berdaftar ke atas sebidang tanah yang dikenali sebagai GM 6209 lot 1596 mukim Batu Wilayah persekutuan. Responden-responden telah mewakafkan sebahagian tanah lot 1596 sebanyak 1/7 bahagian kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP). MAIWP kemudiannya telah membangunkan di atas tapak tanah wakaf tersebut sebuah surau yang dinamakan Madrasatul Awwaliah di mana Pemohon adalah Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Surau tersebut. Pada 11hb April 2005, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan telah menghantar notis meroboh dan mengalihkan bangunan surau tersebut untuk dibangun dan dimajukan. Notis tersebut telah dihantar  kepada ahli jawatankuasa surau tersebut. Pemohon yang tidak berpuashati dengan keputusan Jabatan Agama Islam Wilayah persekutuan berdasarkan notis tersebut, telah memohon satu perintah interim injunksi bagi menghalang apa-apa tindakan untuk merobohkan dan mengalihkan surau tersebut. Diputuskan bahawa permohonan ex-parte perintah interim injunksi yang dibuat oleh pemohon adalah salah aturan dan ditolak oleh Mahkamah kerana Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan yang merupakan tuan tanah kepada tapak surau yang telah diwakafkan itu sepatutnya dijadikan sebagai responden dalam kes ini dan bukannya pemilik tanah yang asal.
Dalam kes Hasan Arif Hafiz Ahmed lwn Hasimah Hafiz Ahmed & Hasnah Hafiz Ahmed[5], Panel Rayuan sebulat suara menolak rayuan pemohon dan berpendapat bahawa responden-responden bukanlah pihak-pihak yang sepatutnya dikaitkan dalam urusan harta pesaka kerana mereka telah jelas bukan disenaraikan sebagai ahli waris.


[1] Ibid.
[2] Lihat Sek. 17 ETCMMS
[3] Nik Mansor bin Nik Ali lwn Tuan Hafsah binti Tuan Man (2006) JH XXI/II 240
[4] Bakhtiar bin Adam lwn Mohd Fawzi bin Nahrawi dan 6 yang Lain (2006) JH XXI/I 19
[5]Hasan Arif Hafiz Ahmed lwn Hasimah Hafiz Ahmed & Hasnah Hafiz Ahmed, (2006) JH XXII/I, 61

No comments:

MADRID II

  Kota Madrid seawal abad ke 9 pernah diperintah oleh gabenur Umayyah Andalusia dan kota ini dikenali sebagai 'majrit' dari kata asa...