Wednesday, May 22, 2013

Seni guaman syarie


TUGAS sebagai peguam syarie bukanlah suatu yang mudah, lebih-lebih ketika mengendalikan prosiding mahkamah yang mencabar selain berhadapan kerenah anak guam.

Hal demikian memerlukan bimbingan dan latihan supaya para peguam syarie lebih mampu mengendalikan kes-kes mahkamah syariah dengan penuh dedikasi dan bertanggungjawab.
Oleh itu sebagai seorang peguam, mereka memerlukan seni ketika berinteraksi dengan pihak-pihak terlibat ketika prosiding berlangsung.

Menurut peguam syarie, Abdul Razak Muhidin seni guaman membawa maksud kebolehan untuk memujuk dan menyakinkan serta menambat minda mahkamah dan mendorong dengan logik.

Kata beliau lagi, seni guaman itu juga menjelaskan dan mendapatkan apa yang dikehendaki dalam mahkamah dengan kekuatan hujah serta alasan ketika memulakan prosiding mahkamah termasuk memfailkan tuntutan dan sebagainya.

Abdul Razak memberitahu, seni seorang peguam dalam mahkamah bergantung kepada persediaan sebelum prosiding sama dan akhirnya terhasil ketika mengendalikan perbicaraan.

"Maka kesan guaman berseni adalah kepentingan klien atau pihak-pihak terlibat berjalan dengan teratur dan berkesan selain menampakkan keindahan terhadap proses keadilan serta membina keyakinan.
"Yang paling penting dengan seni guaman adalah ia boleh menyakinkan dan boleh mempengaruhi semua pihak," jelas Abdul Razak.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan kertas kerja bertajuk, Seni Guaman dalam seminar anjuran Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) di Putrajaya, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Abdul Razak berkata peguam berkemahiran adalah mereka menyedari banyak tidak diketahui, bertanya perkara yang tidak diketahui dan menilai perkara serta memproses yang diketahui bagi menentukan kesahihan.

"Melihat daripada sudut pandang pihak defendan menilai kelemahan, memperkasa kekuatan dan membangunkan asas kukuh untuk berhujah," kata beliau.

Namun pokok pangkalnya kata peguam itu asas utama bagi seorang pengamal undang-undang adalah berkomunikasi dengan mempersembahkan dan mengendalikan kes dengan berkesan.

Fahami hukum syarak

Nada sama turut disuarakan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Selangor, Mohamed Fouzi Mokhtar yang antara lain beliau berkata elemen penting bagi seorang peguam syarie adalah memahami hukum syarak.

Mohamed Fouzi, hal berkenaan menepati prinsip enam asas dakwaan seperti mana terkandung dalam kitab Hasyiah I'anat al-Talibin iaitu:
"Dakwaan yang mendakwa mesti terang dan terperinci, yang didakwa kena terikat dengan dakwaan, hendaklah ditentukan orang didakwa, dakwaan dilihat tidak bercanggah dengan dakwaan lain, bahawa tiap-tiap orang yang mendakwa mesti mukalaf, setiap pihak mestilah terikat dengan hukum hakam," katanya.

Ketika membentangkan kertas kerja, Mohamed Fouzi menasihatkan agar para peguam syarie supaya melengkapkan diri dengan persediaan ilmu, dokumen dan lain-lain lagi sebelum tiba hari perbicaraan.
Menurut beliau, persediaan dokumen dan fakta adalah penting selain jangan meletakkan perkara tidak perlu agar perjalanan prosiding teratur dan tersusun.

Selain kedua-dua penceramah itu, turut membentang kertas kerja ialah peguam syarie, Fakhrul Azman Abu Hasan yang bertajuk Seni Guaman Semasa Perbicaraan yang antara lain beliau menyentuh pemahaman tentang undang-undang digunapakai dalam mahkamah syariah.

Tingkat kualiti peguam syarie

Seminar Seni Guaman Syarie 2013 itu bertujuan untuk mendukung ke arah kecemerlangan dan membina kepakaran dalam profesion peguam dalam kalangan peguam syarie sama ada berpengalaman atau masih baru dalam bidang berkenaan.

Bagi Presiden PPMM, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, hal ini berkenaan dilihat apabila sejak kebelakangan ini, kualiti peguam syarie menurun khususnya dalam kalangan peguam muda ketika mengendalikan kes-kes mahkamah.

Zainul Rijal memberitahu terdapat banyak aduan dan laporan berhubung perkara itu walaupun mereka dikatakan telah dilatih sama ada ketika menjadi pelatih dalam kamar atau di universiti, namun masih terdapat lagi kekurangan dalam kalangan peguam muda.

Jelas beliau, pihaknya bertanggungjawab untuk mengalas tugas bagi melatih peguam-peguam muda supaya lebih ke hadapan agar perjalanan prosiding mahkamah syariah berjalan dengan lancar.

"Banyak lagi program PPMM akan diadakan khususnya berkenaan latihan program syarie selain seminar pengukuhan dan pemahaman undang-undang syariah.

"Diharapkan mereka mengambil manfaat daripada program dianjurkan seperti ini," ujar beliau.

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

MADRID II

  Kota Madrid seawal abad ke 9 pernah diperintah oleh gabenur Umayyah Andalusia dan kota ini dikenali sebagai 'majrit' dari kata asa...