Monday, May 6, 2013

Menziarahi Perkuburan Baqi'

Hari pertama di Kota Madinah, sebaik selsai menunaikan solat subuh di Masjid nabi, kami bertiga bersama abang Jaafar dari Slim River menemani abangnya ustaz Bakar menziarahi perkuburan Baqi', tempat di mana isterinya disemadikan.
Abang Jaafar, Tok APa, Ayah Dho dan Ust Bakar di makam Baqi'.


Perkuburan Baqi’ terletak di tenggara Masjid Nabawi di Madinah. Di satu sudut di Masjid Nabawi terdapatnya kubur junjungan besar kita, Nabi Muhammad saw, Abu Bakar as-Siddiq dan Umar al-Khattab. Perkuburan Baqi’ juga dikenali dengan Jannatul Baqi’ atau Taman Syurga. Perkuburan Baqi’ juga mempunyai gelaran lain iaitu Baqi’ul Qarqad atau Taman Qarqad.
Gelaran Baqi’ul Qarqad diberikan kepada perkuburan Baqi kerana sebelum tanah tersebut digunakan sebagai wakaf perkuburan Baqi’, tanah tersebut telah dipenuhi dengan pohon Qarqad. Pohon Qarqad adalah sejenis pohon renek yang berduri. Ia mampu hidup subur di iklim sederhana dan subtropika. Kepada yang tidak mengetahui apakah itu pohon Qarqad ini, Rasulullah saw pernah bersabda,
“Tidaklah akan berlakunya kiamat, sehingga kaum Muslimin memerangi kaum Yahudi sehingga kaum Yahudi itu bersembunyi di sebalik batu dan pohon kayu, lalu batu dan pohon kayu itu berkata, “Hai orang Islam, inilah orang Yahudi di belakang saya. Kemarilah! Dan bunuhlah ia!” kecualipohon Qarqad, kerana sesungguhnya pohon ini adalah dari pohon Yahudi”
Jenazah pertama yang disemadikan di Perkuburan Baqi’ adalah seorang sahabat Rasulullah saw daripada golongan Ansar iaitu Asa’ad bin Zararah. Oleh yang demikian, Asa’ad bin Zararah tercatat sebagai sahabat Rasulullah saw pertama yang disemadi di Perkuburan Baqi daripada golongan Ansar. Manakala, jenazah pertama yang disemadikan di Perkuburan Baqi’ daripada golongan Muhajirrin adalah Uthman bin Mahzun. Ahlul Bait pertama disemadikan di perkuburan mulia ini adalah anak perempuan Rasulullah saw, Ruqayyah bin Muhammad saw.
Perluasan pertama yang dilakukan terhadap Perkuburan Baqi’ adalah pada zaman pemerintahan Muawiyyah bin Abi Sufian. Beliau telah membeli beberapa ladang yang berhampiran dengan Perkuburan Baqi’ untuk dijadikan wakaf perkuburan.
Kemudian Muawiyyah telah membina kubah di atas kubur Saidina Uthman bin Affan yang juga merupakan warisnya. Kubur Saidina Uthman bin Affan adalah kubur pertama yang dibina kubah di Perkuburan Baqi. Selepas daripada pembinaan kubah di kubur Saidina Uthman bin Affan, banyak lagi kubah telah dibina untuk para sahabat dan tabien yang mashyur oleh para khalifah Islam yang bersilih ganti.


Pada 1 Mei 1925, Perkuburan Baqi’ telah dimusnahkan atas arahan Raja Abdul Aziz al-Saud dan ulama-ulama Mazhab Wahabbi. Ulama-ulama Wahabbi yang berpegang teguh dengan prinsip anti-Bidaah itu memusnahkan seluruh moseleum, kubah dan struktur binaan di Perkuburan Baqi’. Tindakan yang disifatkan mereka sebagai ‘penyucian daripada khurafat dan bidaah’ sebenarnya menyahut pegangan mazhab Wahabbi yang melarang sebarang struktur dibina di atas makam.
Tindakan ulama-ulama Wahabbi dan Raja Abdul Aziz ini dianggap melampau dan keterlaluan oleh sesetengah pihak terutama puak Syiah. Puak Syiah menyifatkan tindakan ulama Wahabbi meruntuhkan dan meratakan kesemua binaan Ahlul Bait seperti makam Fatimah binti Muhammad, Masjid Fatimah, Rumah Rasulullah saw di Mekah, makam Bani Hasyim di Mekah, Mesoleum dan rumah Imam pertama Syiah, Imam Jaafar al-Sadiq dan banyak lagi adalah melampau dan sangat keterlaluan. Mereka mengingati peristiwa ini sebagai Yaumi Gham atau Hari Kesedihan.


Sebenarnya, tindakan ulama-ulama Wahabbi yang merata dan memusnahkan seluruh binaan di Perkuburan Baqi’ ada rasional dan nasnya. Ulama Wahabbi menggunakan beberapa hadis Rasulullah saw yang melarang sebarang binaan dan tulisan dicatatkan di kuburan.
Diriwayatkan dari Abi Sa’id al-Khudri ra menceritakan;
“Sesungguhnya Nabi saw menegah dari membuat binaan di atas kubur” (Riwayat Imam Ibnu Majah dengan sanad yang soheh).
Hadis yang lain turut menyatakan Rasulullah saw melarang daripada membina binaan di perkuburan.
“Rasulullah menegah dari melapisi kubur dengan kapur putih, dari duduk di atasnya dan dari membuat binaan di atasnya” (Riwayat Imam Muslim ra dari Jabir ra).

Tindakan tegas ulama Wahabbi ini telah menyebabkan protes oleh puak Syiah yang sering mengunjungi beberapa tempat dan kuburan yang dianggap mereka sebagai suci seperti makam Fatimah, makam Imam Jaafar as-Sadiq, makam Ibnu Abbas, Qubbat’ al-Thanaya(makam gigi Rasulullah saw ditanam semasa Perang Uhud) dan beberapa lagi tempat lain.

Mereka sering berada di tempat tersebut untuk membayar nazar atau berdoa meminta berkat. Ia benar-benar menyalahi hukum syarak dan ini diambil oleh ulama Wahabbi sebagai punca kepada pemusnahan kesemua tempat-tempat suci pada pandangan mereka.

Harus dipuji kepada tindakan Wahabbi ini adalah mereka ternyata tidak pilih kasih kepada segala tindakan yang telah dibuat. Sebagai contoh, tanah perkuburan yang dikhaskan kepada keluarga diraja Raja Saudi iaitu Perkuburan Al-Oud, tiada satupun binaan mahupun tanda batu bertulis di perkuburan tersebut. Perkuburan Al-Oud berlainan dengan perkuburan-perkuburan diraja lain di dunia di mana perkuburan diraja lain dilengkapi dengan kubah dan moseleum yang mahal dan mewah seperti Taj Mahal, Perkuburan Diraja Adhamiya di Baghdad dan lain-lain.

Di Perkuburan Baqi’, terdapat beberapa tempat yang sering dikunjungi kerana ia menempatkan makam para Ahlul Bait, isteri-isteri Rasulullah saw(kecuali Siti Khadijah binti Khuwailid kerana beliau dikuburkan di Jannatul Ma’ala), para sahabat besar, para tabien, para syuhada dan ulama-ulama salaf. Walaubagaimanapun, kubur tersebut tidak bertanda kerana telah dimusnahkan atas arahan Raja Saudi dan ulama-ulama Wahabbi.


Perkuburuan ini menempatkan makam para Syuhada al-Hurrah. Para syuhada ini digelar sedemikian rupa adalah kerana mereka telah rebah syahid semasa tragedi al-Hurrah. Tragedi al-Hurrah adalah tragedi di mana Yazid bin Abi Sufyan telah mengarahkan bala tenteranya membunuh dan menghukum penduduk Madinah yang enggan memberi kerjasama terhadapnya. Kempen berdarah ini diketuai oleh Muslim bin Uqbah dan telah mengorbankan ramai sahabat dan golongan tabien. Kesemua mereka disemadi di Perkuburan Baqi’.

makam syuhada al-Hurrah

Perkuburan ini juga menempatkan makam Imam Malik bin Anas ra dan gurunya Imam Nafi ra. Nama sebenar Imam Nafi ra adalah Nafi’ bin Abdul Rahman bin Abi Na’im. Beliau yang dilahirkan sekitar 70H meninggal dunia pada 169H. Di sini juga menempatkan makam para isteri Nabi saw kecuali Siti Khadijah binti Khuwalid ra. Siti Khadijah binti Khuwalid ra disemadikan di Jannatul Ma’ala di Mekah. Sepertimana Perkuburan Baqi’, Jannatul Ma’ala turut diratakan oleh pemerintah Arab Saudi.
Selain itu, perkuburan ini juga menempatkan tiga orang Ahlul Bait iaitu anak perempuan bongsu Rasulullah saw, Siti Fatimah, bapa saudara Rasulullah saw, Abbas bin Abi Mutallib dan cucu Rasulullah saw, Hasan bin Ali. Ketiga-tiga ahlul bait ini ditempatkan di satu sudut di belakang tembok setinggi 2 meter.

Berada di tengah-tengah komplek Perkuburan Baqi’ adalah makam Saidina Uthman bin Affan. Saidina Uthman adalah sahabat besar Rasulullah saw dan juga khalifah Islam ketiga selepas Abu Bakar as-Siddiq dan Umar bin Al-Khattab. Di satu sudut yang lain pula, terdapat makam ibu susuan Rasulullah saw iaitu Halimahtul Saadiah, sepupu Rasulullah saw, Jaafar dan Uqail bin Abi Talib, ibu kepada Ali, Jaafar dan Uqail, Fatimah binti Assad, sahabat nabi saw, Abu Said al-Qudri ra dan Abu Sufyan ra serta ramai lagi.


Halimahtul Saadiah merupakan ibu susuan kepada Nabi Muhammad saw. Beliau daripada suku Saad yang miskin. Diriwayatkan, sebelum Halimahtul Saadiah menyusu junjungan besar kita ini, susu Halimahtul Saadiah hampir kering. Namun, selepas menyusu, susunya mula banyak sehingga mampu menyusu anak sendiri sehingga kenyang.

No comments:

MADRID II

  Kota Madrid seawal abad ke 9 pernah diperintah oleh gabenur Umayyah Andalusia dan kota ini dikenali sebagai 'majrit' dari kata asa...