Tuesday, September 2, 2008

PERISYTIHARAN MURTAD NYONYA BT TAHIR

DALAM MAHKAMAH TINGGI SYARIAH
DI SEREMBAN
DALAM NEGERI SEMBILAN


PERMOHONAN EX PARTE :
PENGISYTIHARAN STATUS ISLAM

NO. KES : 05100-099-0021-2006


MAJLIS AGAMA ISLAM NEGERI SEMBILAN
JABATAN HAL EHWAL AGAMA ISLAM NEGERI SEMBILAN
PEGAWAI AGAMA ISLAM DAERAH TAMPIN
… PEMOHON-PEMOHON




DI HADAPAN YANG ARIF
TUAN MOHD SHUKOR BIN SABUDIN, PMC.
HAKIM MAHKAMAH TINGGI SYARIAH
NEGERI SEMBILAN




ATAS TUNTUTAN Plaintif, tuntutan ini dipanggil untuk perbicaraan di dalam Mahkamah Terbuka, dalam kehadiran Plaintif dan Defendan bersama Peguam Syarie masing-masing. MAKA PADA HARI INI YANG ARIF HAKIM TELAH MEMBUAT PENGHAKIMAN SEPERTI BERIKUT :-






Keputusan :

Di hadapan Mahkamah ini adalah suatu permohonan se pihak ( ex parte ) di antara Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JAINS) serta Pegawai Agama Islam Daerah Tampin berhubung status dan ketentuan agama Islam Nyonya binti Tahir yang telah meninggal dunia pada tarikh 18 Januari 2006 kerana sakit tua.
Status agama Nyonya disedari di Balai Polis Tampin , apabila anak dan cucunya datang membuat laporan kematiannya. Ini adalah kerana dalam salinan kad pengenalan Nyonya jelas menunjukkan dia Melayu dan kebiasaannya beragama Islam sedangkan anaknya menggunakan nama Cina dan beragama Buddha.
Bertindak di atas kejadian ini pihak Plaintif-plaintif , melalui peguam syarie mereka, Puan Siti Harlina binti Shahran, dari Tetuan Nizam Harlina & Co, telah memfailkan permohonan untuk menentukan status keIslaman si mati, Nyonya binti Tahir.
Mahkamah, sebelum memberikan apa-apa keputusan bagi permohonan ini harus meneliti dan membuat beberapa pemerhatian dan siasatan berhubung dengan beberapa perkara dan isu penting, yang berkaitan dengannya.

Bidangkuasa Mahkamah Tinggi Syariah :
Perkara utama yang harus diberikan perhatian oleh Mahkamah ini adalah, adakah Mahkamah Tinggi Syariah Seremban ini mempunyai bidangkuasanya bagi memutuskan isu dan perkara yang dipohon tersebut dan apakah si mati ini tertakluk di bawah bidangkuasa Mahkamah ini ?
Bagi menjawab persoalan ini, sayugia Mahkamah ini merujuk kepada seksyen 61 , dengan jelas menyebutkan bahawa :
(1) Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah mempunyai bidangkuasa di seluruh Negeri Sembilan dan hendaklah diketuai oleh Hakim Mahkamah Tinggi Syariah.
(2) Walau apa pun seksyen (1) , Ketua Hakim Syarie boleh bersidang sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Syariah dan mengetuai Mahkamah itu.
(3) Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah-
(a) dalam bidangkuasa jenayah, membicarakan mana-mana kesalahan yang dilakukan oleh seseorang Islam dan boleh dihukum di bawah Enakmen ini atau Enakmen Undang-undang Keluarga Islam 1983 atau undang-undang bertulis lain yang memberi kepada Mahkamah Syariah bidangkuasa untuk membicarakan sebarang kesalahan, dan boleh mengenakan sebarang hukuman yang diperuntukkan di dalamnya; dan
(b) dalam bidangkuasa Mal, mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding jika semua pihak dalam tindakan dan prosiding itu ialah orang Islam dan tindakan dan prosiding itu adalah berhubungan dengan-
(i) pertunangan, perkahwinan, ruju’, penceraian, pembubaran perkahwinan (fasakh), nusyuz, atau pemisahan kehakiman ( faraq) atau apa-apa perkara yang berkaitan dengan perhubungan antara suami dengan isteri;
(ii) sebarang pelupusan atau tuntutan kepada harta yang wujud daripada perkara-perkara yang disebut dalam subperenggan (i);
(iii) nafkah orang-orang tanggungan, kesahtarafan atau penjagaan (hadhanah) atau jagaan budak-budak;
(iv) pembahagian atau tuntutan harta sepencarian;
(v) wasiat atau hibah semasa maradh-al maut;
(vi) hibah semasa hidup atau penyelesaian yang dibuat tanpa balasan yang memadai dengan wang atau nilai wang oleh seseorang orang Islam;
(vii) wakaf atau nazr;
(viii) pembahagian dan pewarisan harta berwasiat dan tidak
berwasiat ;

(ix) penentuan orang-orang yang berhak kepada bahagian harta pusaka seseorang si mati yang beragama Islam atau bahagian-bahagian yang kepadanya masing-masing orang itu berhak;

(x) pengisytiharan bahawa seseorang itu bukan lagi orang Islam;

(xi) pengisytiharan bahawa seseorang yang telah mati itu ialah seorang Islam atau sebaliknya pada masa kematiannya; dan

(xii) perkara-perkara lain yang berkenaan dengannya bidangkuasa diberikan oleh mana-mana undang-undang bertulis.

Apakah si mati Nyonya binti Tahir, tertakluk di bawah bidangkuasa Mahkamah Tinggi Syariah ini ?
Mahkamah ini telah dibekalkan dan dikemukakan beberapa dokumen, sepertimana berikut :
a. Salinan Kad Pengenalan Nyonya binti Tahir, ( ditandakan sebagai P1 )
b. Salinan Surat dari Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia, Negeri Melaka, ( ditandakan sebagai P2 )
c. Salinan Borang Permintaan Kad Pengenalan Baharu ( ditandakan sebagai P3 )
d. Surat asal daripada Jabatan Agama Islam dan Mahkamah Kadi Alur Gajah ( ditandakan sebagai P4 )

Mahkamah ini amat berpuashati bahawa Nyonya binti Tahir , No. Kad Pengenalan 180425-04-5054, ( 0203418 ) adalah beralamat di No. 3714 Taman Indah 73000 Tampin Negeri Sembilan. Melalui Ekshibit P2, dinyatakan bahawa di perenggan nombor 3, maklumat Bangsa ialah MALAY ( dilampirkan salinan fotokopi Borang NR2A ( P3 ) ). Saya menyatakan bahawa dokumen-dokumen ini adalah secara jelas menjadi bukti utama bahawa Nyonya bin Tahir adalah seorang berbangsa Melayu, bermastautin dan menetap di Tampin, Negeri Sembilan.
Saya seterusnya ingin menarik perhatian dengan pemakaian umum ‘common practise’ perkataan Melayu di sisi undang-undang perlembagaan negara kita. Disebutkan pada Perkara 160 “ Melayu ” ertinya seseorang yang menganut ugama Islam, lazimnya bercakap Bahasa Melayu, menurut adat istiadat Melayu.
Mahkamah ini juga turut mengambil perhatian kepada Seksyen 5 , yang menyebutkan :
Jika bagi maksud Enakmen ini timbul apa-apa soal tentang sama ada seseorang itu orang Islam, soal itu hendaklah diputuskan mengikut kriterium reputasi am, tanpa membuat apa-apa percubaan untuk mempersoalkan keimanan, kepercayaan, kelakuan, perangai, watak, perbuatan atau kemungkiran orang itu.

Berdasarkan kepada keadaan-keadaan di atas, tanpa syak lagi, saya memutuskan bahawa si mati , Nyonya binti Tahir, adalah seorang yang menganut agama Islam.

Saya seterusnya juga berpeluang untuk membuat rujukan kepada kes Dalip Kaur dan Pegawai Polis Daerah, Bukit Mertajam , Hakim Mahkamah Agung , Mohamed Yusoff Mohamed , telah berkata :

“ Adalah jelas daripada kenyataan penghakiman yang dibuat oleh Yang Arif Pesuruhjaya Kehakiman bahawa keputusan mengenai persoalan-persoalan sama ada seseorang itu masih beragama Islam atau telah keluar daripada agama Islam sebelum mati, ialah persoalan yang melibatkan Hukum Syarak yang memerlukan penelitian serius dalam pentakrifan yang betul mengenai Hukum Syarak itu. Tanpa nas yang sah untuk menyokong hujah-hujah itu, adalah tidak mencukupi untuk mengatakan bahawa sama ada terdapat prasyarat sebelum seseorang itu menjadi Islam atau sekiranya si mati telah dibuktikan telah bersembahyang di kuil Sikh, maka ia sudah semestinyalah seorang murtad.
Persoalan dalam kes ini, pada pandangan saya, tidak boleh ditentukan melalui penggunaan fakta secara mudah sebagaimana yang dibuat oleh Pesuruhjaya Kehakiman semata-mata atas alasan kesahihan dan keberkaitan bukti mengikut Undang-undang Sivil. Isu yang begitu serius, pada pandangan saya, berkehendakkan perhatian oleh pakar juri yang berilmu dan berkelayakan di dalam Hukum Syarak.
Melihat kepada keadaan ini, maka adalah mustahak supaya keputusan persoalan yang menjadi isu dalam kes ini berkehendakkan perhatian yang mendalam mengenai Hukum Syarak oleh pakar-pakar yang terlatih dan berkelayakan berbuat demikian. Forum yang layak untuk berbuat demikian ialah Mahkamah Syariah ” .

Saya juga ingin menarik perhatian tentang kes, Majlis Agama Islam, Negeri Sembilan lwn. Hun Mun Meng yang mempunyai persoalan yang serupa, yang mana diputuskan bahawa Majlis Agama Islam hendaklah menjalankan kuasanya menurut Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak ( Negeri Sembilan ) 1991, bagi menyelesaikan perkara akidah dan kepercayaan Cik Nurul Ain dan Mahkamah Tinggi Sivil tiada bidangkuasa untuk mendengar apa-apa perkara yang berada di dalam bidangkuasa Mahkamah Syariah.
Selanjutnya, saya juga telah mengambil perhatian terhadap Perkara 121 (1A) yang menyebutkan bahawa, Mahkamah-mahkamah yang disebutkan dalam Fasal (1) tidaklah boleh mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan apa-apa perkara dalam bidang kuasa mahkamah Syariah. Dengan perkataan lain, Perlembagaan Persekutuan ini dengan sendirinya telah menjelaskan pengasingan bidangkuasa kedua-dua sistem mahkamah itu dan ia mesti dipatuhi

Oleh hal yang demikian , berdasarkan kepada keadaan-keadaan yang telah diterangkan di atas , saya memutuskan bahawa penentuan samada si mati ini , Nyonya binti Tahir, seorang Islam atau tidak semasa kematiannya, adalah tertakluk di bawah bidangkuasa Mahkamah Tinggi Syariah ini .

Persoalan adakah si mati seorang Islam atau sebaliknya pada masa kematiannya ?

Bagi memutuskan persoalan ini , saya harus merujuk kepada keterangan-keterangan yang dikemukakan di hadapan Mahkamah ini dan juga pandangan/pendapat ulama-ulama mengenai ehwal yang berkaitan dengannya.
Mahkamah ini telah dibekalkan satu dokumen melalui Ekshibit bertanda P4 : Suatu dokumen yang dikeluarkan oleh Pejabat Agama Islam dan Mahkamah Kadi, Daerah Alur Gajah, Melaka, bertarikh 7 Mei 1986. Dokumen ini telah disahkan oleh Pegawai Agama Islam Islam Daerah Alur Gajah, Encik Kamarul Saman bin Yaacub : yang mana dokumen ini berbentuk suatu surat lapuran, menyebutkan bahawa :
Bersekedudukan Dengan Lelaki Cina,
NYONYA BT. TAHIR / CHIANG MENG.

Merujuk perkara di atas, dengan hormatnya dimaklumkan bahawa saya telah menjalankan siasatan dan kedudukannya adalah seperti berikut:

a). Seorang perempuan Melayu bernama Nyonya bt. Tahir k.p. 0203418 Tarikh Lahir 1918, berumur 68 tahun. Sekarang tinggal di Kampung Ulu Sungai Buluh, Alor Gajah bersama lelaki Cina Chiang Meng sudah 50 tahun lamanya.
b). Sejak dari kecil lagi dipelihara oleh neneknya ( tidak ingat nama ) bangsa Melayu berkahwin dengan Mualaf Cina keturunan Hailam. Ia tinggal bersama dengan datuknya ( Mualaf Cina ) sejak dari kecil lagi dengan mendapat asuhan dan didikan secara Cina. Emaknya bangsa melayu bernama Nior, telah meninggal.
c). Berkahwin dengan lelaki Cina pada tahun 1936 dalam usia 18 tahun dengan persetujuan datuknya. Suaminya bernama Chiang Meng KP 0203417, tarikh lahir 1909, mendapat 13 orang anak, sejak berkahwin dengan lelaki Cina itu, ia hidup secara Cina, menyembah Tok Kong dan makan babi. Lelaki Cina itu tidak pernah memeluk Agama Islam. Hubungan mereka berdua suami isteri berkekalan hingga ke hari ini.
(d) Nyonya bt. Tahir tidak ada niat hendak kembali kepada Islam dan telah membuat pengakuan akan terus hidup secara Cina dan jika mati mahu ditanam secara orang Cina. Kad Pengenalannya adalah nama Melayu Nyonya binti Tahir No. 0203418.

Pada perenggan 2 , dokumen itu menyebutkan :
2. Pada pandangan zahirnya bahawa Nyonya bt. Tahir ini tidak akan kembali kepada Islam kerana ia telah lama hidup secara orang Cina dan sejak dari kecil lagi nia dibesarkan oleh datuknya mualaf Cina dengan cara hidup orang Cina dan terasing dari masyarakat Melayu. Sekarang ia tinggal dengan suaminya di tempat yang terpencil dan berjauhan dari masyarakat melayu.
Di dalam rumahnya terdapat Tekong Cina dan ia mengaku bahawa ia menyembah tekong itu. Semua anak-anaknya berkahwin dengan orang Cina.

Terdahulu daripada itu, pihak Peguam Plaintif-plaintif telah memohon untuk dipanggil beberapa saksi , yang terdiri daripada anak-anak si mati, yang mana boleh membantu Mahkamah ini, dalam penentuan status si mati , ibu mereka. Mahkamah bersetuju untuk dikemukakan saksi-saksi ini.
Anak lelaki bongsu si mati , Chiang Ah Fatt , No. Kad Pengenalan 660720-05-5477 telah memberikan keterangan bahawa , sejak mereka masih kecil lagi, ibu mereka adalah seorang pemelok agama Buddha. Si mati tidak pernah mengamal cara hidupnya sebagai seorang Islam, tetapi mengamalkan cara hidup agama Buddha dan bersembahyang secara agama Buddha. Saksi ini hadhir menyatakan ke Mahkamah ini bahawa mereka menuntut mayat ibunya agar boleh disemadikan dan dikebumikan mengikut upacara pengkebumian Buddha.
Mahkamah ini turut dikemukakan dengan suatu affidavit yang diikrarkan oleh Encik Chiang Ah Fatt , di hadapan seorang Pesuruhjaya Sumpah Law Keong Chin di Seremban. Saya meneliti affidavit ini dan saya mendapati bahawa ianya tidak memenuhi kehendak seksyen 112 , kerana tidak dibuat di hadapan mana-mana Hakim Syarie atau Pendaftar.
Walau bagaimanapun, tentang dokumen ini, saya berpendapat saya wajar mengambil tahu kandungannya ‘ take cognisance ’ di samping keterangan secara lisan saksi ini. Di dalamnya terdapat beberapa dokumen awam , seksyen 57 , , yang mengandungi tindakan atau rekod tindakan - seperti ekshibit P4, surat Akuan si mati dan beberapa dokumen persendirian, seksyen 58 , terdiri daripada beberapa keping gambar si mati bersama keluarga.

Melalui saksi ini , beberapa keping gambar telah dikemukakan :


1. Gambar-gambar perkahwinan kakak-kakaknya ( saksi ) , gambar perkahwinan saksi, hadir bersama ibu ( si mati ).

2. Gambar-gambar keluarga, di meja minum, terdapat dua botol minuman ( dipercayai arak ) di atas meja.

3. Gambar altar di dalam rumah, beralamat di No. 3714 Taman Indah 73000 Tampin Negeri Sembilan, yang diduduki oleh saksi bersama ibu mereka ( si mati ). Kelihatan seperti tempat sembahyang cina buddha dan colok.

4. Gambar keluarga di hadapan hidangan meja makan, turut bersama gambar ibu saksi ( si mati ).

5. 2 keping gambar di kawasan perkuburan bapa saksi. Kelihatan satu lubang kubur besar yang telah siap digali ( reserved ) untuk dikebumikan ibu saksi ( si mati ). Saksi ini memberitahui bahawa ibunya berpesan bahawa apabila ia mati kelak hendaklah dikebumikan secara agama Buddha, disemadikan di sebelah kubur suaminya, yang telah lama disediakan.

Saksi seterusnya ditunjukkan kepada dokumen P4 dan mengakui bahawa salinan surat ini adalah di dalam simpanan ibu mereka. Saksi seterusnya diambil perhatiannya kepada suatu dokumen bertajuk Surat Akuan . Dokumen ini adalah di dalam simpanan ibu mereka dan dokumen itu menyatakan :
Saya , Nyonya binti Tahir ( No. K.P. 0203418 ) yang cukup umur dan beralamat di Ulu Sungai Buluh, Alor Gajah, Melaka dengan sesungguhnya mengesahkan dan menyatakan seperti berikut :-
1. Saya adalah seorang perempuan Melayu dan mempunyai nama Melayu seperti yang tercatit di dalam Kad Pengenalan dan di lahirkan didalam keluarga yang beragama Islam.
2. Setelah kematian ibu saya, saya dipelihara oleh nenek yang berbangsa Melayu berkahwin dengan mualaf Cina. Semenjak dari kecil lagi saya telah dipelihara mengikut asuhan dan didikan secara Cina.
3. Saya telah berkahwin dengan seorang lelaki Cina bernama Chiang Meng, kini ( telah meninggal ) pada tahun 1936 dan hasil dari perkahwinan saya telah melahirkan 13 orang anak yang didaftarkan mengikut nama Cina dan hidup secara orang Cina.
4. Suami saya tidak pernah memeluk agama Islam dan selepas berkahwin saya juga telah hidup secara orang Cina.
5. Oleh sebab itu saya tidak berniat untuk kembali kepada agama Islam dan di sini saya ingin membuat pengakuan bahawa saya telah keluar dari agama Islam dan saya akan terus hidup secara orang Cina dan jika saya mati hendaklah dikebumikan secara tradisi orang Cina.
6. Saya membuat akuan ini dengan kepercayaan bahawa apa-apa yang tersebut di dalamnya adalah benar serta menurut undang-undang Surat Akuan 1960.

( Dokumen bertarikh 19 Julai 1991, bercap ibu jari kanan Nyonya bte Tahir , di hadapan Chong Yong Mok, Pesuruhjaya Sumpah Melaka ( no. 578 ).

Seterusnya saksi menyatakan bahawa tempat kubur itu mendapat persetujuan daripada ibunya dahulu. Ibunya tidak mengamalkan apa-apa amalan yang merujuk kepada agama Islam. Ibunya juga mempunyai nama cinanya iaitu Wong Ah Kin, tetapi tidak sempat untuk didaftarkan walaupun pernah cuba untuk berbuat demikian. Saksi memberitahu bahawa beliau tinggal bersama ibunya sehinggalah nafas-nafas terakhir ibunya. Saksi ini mengulangi lagi bahawa mereka menuntut mayat ibunya untuk dikebumikan secara tradisi Cina ( Buddha ) kerana ibunya memang seorang Cina ( Buddha ) dan mengamalkan cara hidup sebagai seorang Buddha.

Mahkamah seterusnya mendengar seorang lagi anak perempuan si mati Chiang Kwai Ying, 630126 05 5282, beralamat di 5496, Taman Gunung Emas, 73000 Tampin. Saksi menyatakan bahawa ia hadir untuk menyatakan agar Mahkamah ini membenarkan mereka mengebumikan mayat ibu mereka. Saksi menyatakan bahawa ibu mereka semasa hidupnya pernah menyatakan tidak mahu kembali kepada agama Islam sepertimana yang dinyatakan di dalam surat Akuan ibu mereka. Ibu ada wasiat agar dikebumikan ikut adat Cina. Ibunya tidak mengamalkan agama lain kecuali Buddha sahaja.
Saksi mengakui bahawa ibunya ada nama cina, Wong Ah Kin semenjak tahun 1986 lagi dan pernah ke Pejabat Pendaftaran untuk tukar nama tetapi tidak dibenarkan. Saksi mengharapkan agar dapat menuntut mayat ibunya supaya dapat dikebumikan bersama / bersebelahan kubur ayah mereka.

Pada peringkat ini , dalam menerimapakai keterangan-keterangan saksi bukan Islam ini, Mahkamah suka mengambil perhatian dan merujuk kepada Bahagian III, Pengemukaan dan Kesan Keterangan, Bab 2, SAKSI, seksyen 83 :
(1) Tertakluk kepada peruntukan seksyen ini, semua orang Islam adalah berwibawa untuk memberikan syahadah atau baiyyinah sebagai saksi dengan syarat bahawa mereka adalah aqil, baligh, adil, mempunyai ingatan yang baik dan tidak berprasangka.
(2) Seorang yang bukan Islam adalah berwibawa memberikan baiyyinah untuk orang Islam jika keterangannya boleh diterima mengikut Hukum Syarak.
Huraian - Baiyyinah seorang pakar bukan Islam terhadap seorang Islam boleh diterima, jika dikehendaki.

Berdasarkan kepada seksyen ini, Mahkamah Tinggi Syariah ini adalah mempunyai kuasa budibicaranya untuk mendengar keterangan secara baiyyinah daripada anak-anak ini, walaupun bukan Islam, berkenaan kehidupan dan laku perbuatan ibu mereka, jika apa-apa pernyataan mereka itu boleh diterima mengikut Hukum Syarak.

Suatu cara pembuktian yang di sebutkan di dalam Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah , ialah qarinah yang diertikan sebagai fakta yang mempunyai kaitan dengan fakta yang satu lagi dengan apa-apa cara yang disebut dalam Enakmen ini. Fakta yang, walaupun tidak menjadi persoalan, sebegitu berkaitan dengan suatu fakta persoalan sehingga menjadi sebahagian daripada transaksi yang sama ialah qarinah. Saya memahamkan dengan perkataan mudah , bahawa qarinah ini adalah apa-apa perkara , sebarang perkara, yang boleh menerangkan perihal keadaan sesuatu itu dan menjadi dalil atau tanda , ujud atau tidaknya sesuatu itu.
Saya suka menarik perhatian terhadap beberapa dokumen yang dikemukakan oleh saksi ini, berkaitan dengan si mati, khasnya Surat Akuan ibu mereka, bertarikh 19 Julai 1991 adalah merupakan suatu qarinah bagi kes ini. Dokumen berupa gambar-gambar, pernyataan-pernyataan dan keterangan secara baiyyinah anak-anak ini , semuanya boleh membantu Mahkamah ini dalam memberikan keputusannya , yang mana ianya adalah termasuk di dalam konteks qarinah. Dokumen yang dikemukakan, yang berupa rekod lapuran oleh Pejabat Agama Islam dan Mahkamah Kadi, Daerah Alur Gajah, Melaka, bertarikh 7 Mei 1986, juga merupakan suatu qarinah.

Selanjutnya , saya berpendapat dan saya memutuskan bahawa semua baiyyinah ( keterangan ) ini dan semua qarinah ini wajar saya terima bagi saya membuat keputusan nanti. Saya mendapati bahawa semuanya ini adalah konsisten di antara satu dengan yang lain dan dapat membantu saya untuk mencari penyelesaian bagi kes ini.

Seterusnya saya membuat beberapa penelitian terhadap isu utama bagi kes ini. Beberapa rujukan telah dibuat untuk menghuraikan perkara-perkara yang berkaitan dengan persoalan yang berkaitan dengan Akidah, Kepercayaan, Iman dan Kufur serta Murtad ; khasnya tentang pengakuan oleh si mati :
Oleh sebab itu saya tidak berniat untuk kembali kepada agama Islam dan di sini saya ingin membuat pengakuan bahawa saya telah keluar dari agama Islam dan saya akan terus hidup secara orang Cina dan jika saya mati hendaklah dikebumikan secara tradisi orang Cina.

dan juga perkara-perkara seperti yang diceritakan oleh anak-anak si mati , altar yang terdapat di dalam rumah si mati, gambar-gambar yang telah dikemukakan, gambar-gambar kubur dan sebagainya.

Bagaimana Boleh Murtad ?

Makna riddah ( murtad ) pada bahasa ialah kembali daripada sesuatu kepada yang lain. Ia adalah sekeji-keji kekufuran dan mendapat seberat-berat hukuman.
Pada pengertian Syarak, riddah ialah kembali daripada agama Islam kepada kekufuran, samada dengan niat atau perbuatan yang menunjukkan kepada kekufuran atau dengan perkataan yang mempersendakan, kedegilan ataupun i’tiqad .
Dengan yang demikian, orang murtad ialah orang yang kembali daripada agama Islam kepada kekufuran. Umpamanya orang yang mengingkari kewujudan tuhan Yang Maha Pencipta, menafikan para Rasul, membohongi seseorang Rasul , menghalalkan perkara yang haram secara ijma’ seperti zina, liwat, minum arak dan melakukan kezaliman, atau mengharamkan perkara yang halal secara ijma’ seperti jualbeli dan nikah kahwin; atau menafikan perkara yang wajib yang telah disepakati ijma’ ulama ke atasnya, seperti ia menafikan satu rakaat daripada solat fardu lima waktu; atau mengiktikadkan wajib perkara yang tidak wajib secara ijma’, seperti tambah satu rakaat daripada solat fardu yang lima; atau wajib berpuasa sebahagian daripada bulan Syawal, atau berazam untuk menjadi kafir pada esok hari, atau berbolak balik untuk menjadi kafir.
Contoh perbuatan yang boleh menyebabkan kekafiran ialah meletakkan al Quran atau buku hadis Nabawi ke atas perkara-perkara yang kotor atau keji, sujud / menyembah kepada berhala ataupun matahari .
Para ulama’ telah menetapkan unsur-unsur penting mengenai kesalahan ini. Antaranya ialah dengan keluarnya seseorang itu daripada Islam, iaitu dengan tidak lagi perpegang atau mempercayai kebenaran yang dibawa oleh Islam. Seseorang itu boleh terkeluar daripada Islam atau menjadi murtad dengan salah satu daripada tiga cara, iaitu melalui perbuatan, pertuturan atau iktikad ( kepercayan di dalam hati ).
Sebagai tambahan untuk memperjelaskan lagi keadaan ini, seseorang itu boleh menjadi murtad secara perbuatan apabila ia melakukan penyembahan kepada selain daripada Allah  seperti menyembah berhala ( patung ), matahari, bulan bintang dan sebagainya. Ia juga boleh berlaku apabila seseorang itu melakukan perkara yang diharamkan oleh Islam dengan sengaja dan menganggapnya sebagai halal dengan tujuan merendah-rendahkan dan menghina segala peraturan yang dibuat oleh Islam.
Demikian juga jika ia meninggalkan perintah-perintah yang diwajibkan, di samping mengatakan perintah-perintah itu tidak diwajibkan ke atas mereka. Contohnya sebagaimana yang telah berlaku pada zaman Saidina Abu Bakar as Siddiq, sebahagian daripada umat Islam ketika itu enggan membayar zakat dengan anggapan bahawa zakat tidak lagi wajib selepas wafatnya Rasulullah S .
Murtad boleh berlaku dengan penuturan perkataan yang menunjukkan kekufuran seperti mengengkari kewujudan Allah , menafikan rukun-rukun iman yang lain serta menidakkan kewajipan-kewajipan yang dikenakan ke atas seluruh umat Islam. Ini seperti mengatakan bahawa dia tidak diwajibkan solat atau mengatakan hukum-hukum Islam hanya sesuai untuk zaman dahulu, tetapi tidak lagi sesuai untuk zaman moden ini dan lain-lain kenyataan yang menunjukkan kepada merendahkan kedudukan agama Islam itu sendiri.
Melalui iktikad juga seseorang itu boleh murtad jika dia mempercayai sesuaitu yang bertentangan dengan akidah Islam, seperti mengiktikadkan bahawa al Quran bukan wahyu, Nabi Muhammad S bukan pesuruh Allah  atau dengan mempercayai bahawa undang-undang ciptaan manusia adalah lebih baik daripada syariat Islam.
Secara ringkas, ulama bersepakat bahawa dua syarat bagi kesahihan murtad ini adalah berakal waras dan pilihan sendiri ( sukarela ) .

Hukuman Bagi Orang Murtad :
Ulama telah sepakat tentang wajibnya hukuman bunuh ke atas orang murtad berdasarkan sabda Rasulullah S :
من بدل دينه فاقتلوه
“ Sesiapa yang menukar keIslamannya, bunuhlah dia ’’
Sabda Rasulullah S lagi :
لا يحل دم امرىء مسلم إلا بإحدى ثلاث : الثيب الزانى، والنفس بالنفس ، والتارك لدينه المفارق للجماعة
Tidak halal darah seseorang Muslim kecuali dengan salah satu daripada tiga perkara : duda ( thayyib ) yang berzina, qisas nyawa dengan nyawa dan orang meninggalkan agamanya yang terpisah daripada jamaah.

Murtad dianggap sebagai satu kesalahan besar dan dosanya tidak akan diampunkan oleh Allah  . Allah  berfirman : :
وَمَنْ يَرْتَدِدْ مِنْكُمْ عَنْ دِينِهِ فَيَمُتْ وَهُوَ كَافِرٌ فَأُولَئِكَ حَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ وَأُولَئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ
yang bermaksud :
Barangsiapa yang murtad di antara kamu dari agamanya, lalu ia mati dalam kekafiran, maka mereka itulah yang sia-sia amalannya, di dunia dan di akhirat , dan mereka itu penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya ( selama-lamanya ).

Allah  berfirman :
إِنَّ اللَّهَ لا يَغْفِرُ أَنْ يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَلِكَ لِمَنْ يَشَاءُ وَمَنْ يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدِ افْتَرَى إِثْمًا عَظِيمًا
“Sesungguhnya Allah tidak mengampuni dosa syirik dan Allah mengampuni segala dosa yang selain dari ( syirik ) itu, bagi sesiapa yang dikehendaki Nya. Sesiapa yang mempersekutukan Allah, sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang amat besar.’’

Oleh itu sebahagian besar ulama’ menyenaraikan kesalahan murtad ini sebagai satu daripada kesalahan hudud yang dikenakan hukuman mati ( bunuh ).

Petikan daripada riwayat Sheikh Abu Sujak daripada Kitab Kifayatul Akhyar :
فصل فى الردة ومن ارتد عن الاسلام استتيب ثلاثــا. فـإن تـاب والا قتل ولم يغسل و لم يصــل عليه ولم يدفن فى مقابر المسلمين
yang bermaksud:
" Barang siapa yang keluar daripada Islam, ia diminta bertaubat tiga kali. Jika bertaubat ( diterima taubatnya dan ia kembali kepada Islam )dan jika tidak, dia dibunuh, dan tidak boleh dimandikan, tidak boleh disembahyangkan dan tidak boleh dikuburkan di perkuburan orang Islam ".

Seterusnya di sebutkan bahawa barangsiapa yang tetap dan kekal atas kemurtadannya, ia harus ditumpahkan darahnya, disebabkan kerana ia telah melakukan perkerjaan yang paling keji dan paling berat hukumannya, iaitu kekufuran. Apabila telah dijalankan hukuman bunuh tersebut, maka mayat si murtad itu tidak boleh dimandikan, tidak boleh disolatkan dan tidak boleh dikuburkan bersama orang-orang Islam kerana dia adalah seorang kafir, yang tidak mempunyai hak untuk dihormati .

Berdasarkan kepada huraian di atas adalah jelas bahawa riddah ( murtad ) itu adalah suatu kesalahan besar di sisi agama Islam dan mempunyai hukuman yang sangat berat.

Seterusnya , bagi menentukan status si mati, Nyonya binti Tahir, berdasarkan kepada huraian di atas :
1. Seseorang itu boleh menjadi murtad secara perbuatan apabila ia melakukan penyembahan kepada selain daripada Allah  seperti menyembah berhala ( patung ) dan sebagainya : si mati , Nyonya binti Tahir,
a. melalui lapuran P4 , ... berkahwin dengan lelaki Cina pada tahun 1936 dalam usia 18 tahun dengan persetujuan datuknya. Suaminya bernama Chiang Meng KP 0203417, tarikh lahir 1909, mendapat 13 orang anak, sejak berkahwin dengan lelaki Cina itu, ia hidup secara Cina, menyembah Tok Kong dan makan babi.
b. Melalui saksi anaknya, Chiang Ah Fatt, mempunyai altar di dalam rumahnya yang dihuni bersama ibunya.
c. Melalui saksi anaknya, Chiang Kwai Ying , ibunya tidak mengamalkan agama lain kecuali amalan agama Buddha sahaja dan mahu dikebumikan bersama / bersebelahan kubur bapanya ( suami si mati ).

2. Murtad boleh berlaku dengan penuturan perkataan yang menunjukkan kekufurannya ; si mati , Nyonya binti Tahir ;
a. menyatakan melalui Surat Akuannya , ... Oleh sebab itu saya tidak berniat untuk kembali kepada agama Islam dan di sini saya ingin membuat pengakuan bahawa saya telah keluar dari agama Islam dan saya akan terus hidup secara orang Cina dan jika saya mati hendaklah dikebumikan secara tradisi orang Cina.
b. Melalui lapuran P4 ; Pada pandangan zahirnya bahawa Nyonya bt. Tahir ini tidak akan kembali kepada Islam kerana ia telah lama hidup secara orang Cina dan sejak dari kecil lagi nia dibesarkan oleh datuknya mualaf Cina dengan cara hidup orang Cina dan terasing dari masyarakat Melayu. Sekarang ia tinggal dengan suaminya di tempat yang terpencil dan berjauhan dari masyarakat melayu. Di dalam rumahnya terdapat Tekong Cina dan ia mengaku bahawa ia menyembah tekong itu. Semua anak-anaknya berkahwin dengan orang Cina.

Suka saya menarik perhatian bahawa seseorang itu boleh terkeluar daripada Islam atau menjadi murtad walaupun hanya melakukan salah satu daripada tiga cara berkenaan , iaitu samada melalui perbuatan, pertuturan atau iktikad ( kepercayan di dalam hati ).

Berdasarkan kepada keadaan-keadaan di atas juga, saya pasti bahawa si mati, Nyonya binti Tahir, adalah seorang berakal waras semasa hidupnya dan melakukan perbuatan dan percakapan di atas secara sukarela dan pilihannya sendiri tanpa sebarang paksaan, sehinggalah kepada saat kematiannya.




KEPUTUSAN :

Mahkamah, setelah mendengar semua keterangan yang telah diberikan dengan bantuan pihak peguam dan juga keterangan daripada beberapa dokumen dan beberapa ekshibit yang telah dikemukakan kepada Mahkamah ini. Juga peluang yang telah diberikan kepada ahli-ahli waris kepada si mati di dalam Mahkamah ini, di dalam membuat penghakiman bagi permohonan ini, saya menghukumkan bahawa :

1. Si mati Nyonya binti Tahir , Kad Pengenalan bernombor 180425-04-5054 / 02033418 adalah bukan beragama Islam semasa kematian.

2. Mahkamah membenarkan ahli-ahli waris si mati untuk menguruskan pengkebumian mayat berkenaan.

3. Mahkamah mengarahkan Hospital Daerah Tampin menyerahkan mayat kepada ahli waris si mati.

Wallahu a'lam.


(2006) JLD XX1 BHG 11 221-239.
MOHD SHUKOR BIN SABUDDIN
HAKIM MAHKAMAH TINGGI SYARIAH
NEGERI SEMBILAN

1 comment:

Anonymous said...

Terima kasih tuan punya blog.. artikel-artikel yang sangat membantu :)

MADRID II

  Kota Madrid seawal abad ke 9 pernah diperintah oleh gabenur Umayyah Andalusia dan kota ini dikenali sebagai 'majrit' dari kata asa...