Monday, August 3, 2009

Bas Merah London; Bukan sekadar merah yang menyerlah...

The Red London Bus merupakan salah satu daripada ikon kota London, bermula dari bas dua tingkat yang menggunakan pintu masuk dari arah belakang sehinggalah kepada bas double decker generasi moden hari ini menjadikan bas merah ini dikenali seluruh dunia. Sejarah bas di London jika ditinjau sebenarnya bermula di kota London sejak tahun 1829 lagi, apabila George Shillibeer memulakan operasi syarikatnya dengan mengambil penumpang menggunakan kereta kuda dari Paddington ke kota London. Manakala pada tahun 1855, Syarikat The London General Omnibus Company atau LGOC diasaskan oleh beliau untuk mengurus dan mengatur perkhidmatan bas yang beroperasi di seluruh kota London.


Selari dengan perkembangan industri bermotor waktu itu, Syarikat LGOC mulai menggunakan enjin wap pada tahun 1902, dan mereka membina sendiri enjin tersebut pada tahun 1909 dengan menyesuaikannya kepada dua jenis bas iaitu type x dan Type B. Manakala saingan LGOC, Thomas Tilling, yang menubuhkan Thomas Tilling Group pada 1900an pula mula menggunakan khidmat bas yang beroperasi dengan enjin bermotor pada tahun 1904. LGOC menggunakan khidmat bas-kereta kuda yang terakhir pada 25 Oktober 1911 dengan mengambil penumpang dari stesyen London Bridge ke Moorgate, sungguh pun begitu khidmat kereta kuda masih terus digunapakai sehinggalah pada tahun 1914.




LGOC menggunakan perkhidmatan bas-kereta kuda double-decker yang terakhir pada
25 Oktober 1911 dari stesyen London Bridge ke Moorgate, London.

Pada tahun 1909, Thomas Tilling Group dan Syarikat LGOC telah mengadakan perjanjian bagi menamatkan persaingan bas penumpang di Kota London. Mereka menguasai perkhidmatan bas di seluruh kota London waktu itu. Bagaimanapun, pada 1909 juga, Thomas Clarkson, menubuhkan syarikat The National Steam car Company yang menjalankan perkhidmatan bas kuasa stim bagi menyaingi Syarikat LGOC dan Thomas Tilling. Pada tahun 1919, Syarikat National Company telah mencapai kata sepakat dengan Syarikat LGOC dan menamatkan khidmat operasi bas di London, dan kemudianya diikuti oleh bas kuasa stim pada tahun yang sama. Pada tahun 1912, The Underground Group, iaitu syarikat yang memiliki sebahagian besar sistem London Underground telah membeli syarikat LGOC. Pada tahun 1933, LGOC bersama dengan Underground Group, membentuk London Passenger Transport Board (LPTB). Nama Syarikat LGOC (London General) kemudiannya ditukar kepada London Transport, yang mana logo syarikat itu sendiri berwarna merah, kerana itulah bas kota London sinonim dengan warna merah.


LGOC membina bas dengan enjin wap Type X


Type B


LPTB diberi tanggung jawab untuk mengendalikan semua perkhidmatan bas di Kota London. Mereka memberi khidmat kepada penumpang di sekitar 30 batu dari pusat Kota London. Perkhidmatan ini termasuklah mengendali dan memantau perkhidmatan bas dari syarikat lain seperti London Green Country Buses, Green Line Coaches dan sebahagian perkhidmatan Tilling Group dan syarikat-syarikat persendirian yang lain.



Perkhidmastan bas London ini berterusan di bawah pengurusan LPTB dari tahun 1933-1948, kemudian perkhidmatannya bertukar pula kepada The London Transport Executive pada tahun 1948-1963, Dari tahun 1963-1970 di bawah pengurusan London Transport Board, Greater London Council (1970-1984)dan seterusnya di bawah pengurusan London Regional Transport dari tahun 1984 sehingga tahun 2000. Bagaimanapun pada tahun 1969, perkhidmatan The Green Country Services, bersekutu dengan Green Line Coaches merupakan satu syarikat yang berasingan dan menubuhkan London Country Bus Services, yang mana pada tahun 1970 mereka membentuk syarikat yang bernama The National Bus Company. Sekitar tahun 1980-an, kerajaan Britain di bawah Perdana Menteri Margaret Thatcher waktu itu memutuskan untuk menswastakan perkhidmatan operasi bas di United kingdom, yang mana ketika itu perkhidmatan bas penumpang di London di dominasi oleh London Transport iaitu perkhidmatan bas nasional yang dimiliki penuh oleh kerajaan. Bagi membezakan dengan perkhidmatan bas-bas lain di seluruh Negara, perkhidmatan bas di London yang dikenali sebagai ‘London Buses’ telah ditubuhkan. Pada tahun 2000, perkhidmatan pengangkutan dan operasi bas dikendalikan sepenuhnya di bawah 'transport organisation of The Mayor of London'.


New Routmaster/bendy bus


Konsep bas ini diperkenalkan sejak 18 April 1966 bagi menggantikan bas double decker kepada long single-decker buses. Bas panjang ini asalnya bagi menggantikan bas double decker yang dikatakan tidak mesra pengguna. Bas panjang ini juga mempunyai kapasiti penumpang yang lebih ramai dan mempunyai dua atau tiga pintu dan selesa kepada pengguna serta cepat dan mudah berbanding bas double decker. Bas ini juga adalah mesra penumpang kerana lantainya lebih rendah dan memudahkan bagi penumpang golongan kurang upaya atau penumpang yang menggunakan kerusi roda. Bagaimanapun, operasi bas ini akan ditamatkan secara berperingkat dan sebahagian operasinya telah pun dihentikan pada pertengahan tahun 2009 kerana penggunaanya dikatakan tidak ekonomik dan agak membahayakan pengguna jalanraya lain terutamanya pejalan kaki dan penunggang basikal.

Bas ni panjang sangat. Ada 2 atau 3 pintu. Bahayanya tak adalah
sangat, tapi yang pastinya penumpang boleh mencelah dan
mengelak dari bayar tambang kerana badan bas yang panjang
menyukarkan kawalan oleh pemandu yang sayup jauh di hadapan.

Night Buses


Night Buses memulakan operasi sejak tahun 1913 lagi di Kota London. Kebiasaannya bas yang beroperasi waktu malam ini mudah dikenali dengan tanda 'N'. Bas malam ini beroperasi di central London iaitu melalui Trafalgar Square ke destinasi-destinasi mengikut line stesyen keretapi atau tube yang tidak mengadakan perkhidmatan di malam hari.

Heritage Bus
Walaupun bas yang mempunyai pintu masuk dari arah belakang ini telah ditamatkan perkhidmatan biasanya, tetapi bas ini masih ditagih khidmatnya di dua 'heritages routes' atau laluan di central london. Heritages Routes ini adalah sebahagian daripada jaringan perkhidmatan london Bus. Dua 'route' bas ini ialah dari Royal Albert Hall ke Aldwych dan Trafalgar Square ke Tower Hill. Heritage bus adalah antara bas yang biasa dapat kita lihat di kota London. Kebiasaanya 'heritage bus' adalah bas dua tingkat atau separa terbuka diatas. Bas ini tidak mengambil penumpang seperti biasa tetapi perlu ditempah tiketnya terlebih dahulu melalui ejen-ejen yang disediakan. Tiketnya boleh diperolehi untuk satu hari atau lebih atau mengikut jam. Dalam setengah keadaan, penumpang tidak perlu membuat penempahan tetapi boleh mendapatkan terus tiket daripada pemandu atau dimana-mana hentian bas.




Tour Bus


Pemandangan biasa juga di Kota london ialah Tour Bus. Majoriti bas jenis ini ialah double decker dengan sebahagian bumbungnya adalah terbuka, tujuannya bagi memudahkan pelancong menikmati panorama kota London. Sebelum tiba ke Kota London, melihat bas ini di dalam iklan tv dan movie menyebabkan hati begitu teruja untuk menyaksikannya dengan mata sendiri. Dah tiba sini, menyesal naik... pasal harganya boleh lah tahan.

Long Distance Coaches


Coach Jarak jauh adalah jaringan perkhidmnatan bas London dengan Bandar-bandar sekitar UK dan Bandar-bandar lain di Europe. Kebanyakan perkhidmatan bas jenis ini dijalankan oleh National Express dengan kerjasama European affiliate Eurolines. Bas Nasional Express biasanya berwarna putih dan lebih besar dari bas awam biasa. Bas ini mengambil dan menurunkan penumpang hanya di Stesyen Victoria Coach.


Bas ni lah yang kami naik pergi tour to Europe.....


Selain dari itu ada juga bas airport, Bas Kilang dan macam-macam jenis bas lagi. Tak yah cerita lah, sama je dengan bas express tadi, banyak kat KL. Yang pentingnya ialah bas warna merah di London. kita sering bertanya kenapa bas di London warna merah? satu persoalan yang sudah agak lama saya simpan dalam kepala. Tanya pemandu pun kebanyakannya mereka hanya menggelengkan kepala. kebanyakan pemandu di London adalah berbangsa asing seperti Pakistan, India, Singh dan sebagainya. so, memang mereka ni tak tahu apa-apa selain dari pandu bas saja.

Akhirnya saya dapat juga jawapannya, kenapa sebenarnya bas di London warnanya merah. Warna merah ini adalah sama seperti mana warna merah yang digunakan di "roundel" London underground, dan warna yang sama juga untuk mengenali central line. Mengikut Dokumen 'Transport For London's London Buses Corporate Indentity Colour Standards', ianya mencatatkan bahawa;

Carefully controlled use of corporate, mode, safety and London Underground line colours is highly effective in communicating the strengths of our organisation. Consistent use of colour across journey planners, signage and livery etc, also helps guide passengers to their destinations.”

So, patutlah bas di London ni semuanya warna merah. Memang ada regulation mengenai perkara tersebut. Ingatkan dia saje-saje je kaler merah bagi nampak cantik dan terang, nak publisiti...rupanya Mat Salleh memang buat sesuatu tu bersebab, dan mereka cukup perihatin pada sesuatu termasuklah warna, malah mereka tidak tukar sesuatu itu sewenang-wenangnya walaupun perkara itu mungkin kecil pada kita seperti warna, kerana nak tukar kepada warna lain memerlukan justifikasi yang kuat dan munasabah...


Ini lah sign kenderaan awam darat, Logo nya warna merah. Sama ngan bas merah.

Seperti yang kita maklumi, pengangkutan awam di London adalah antara yang tercekap di dunia, termasuklah pengangkutan bas. Anda tidak perlu risau mengejar masa jika terlepas bas kerana bas seterusnya hanyalah selang 5-10 minit kemudian atau menaiki mana-mana bas lain yang mungkin mengikut laluan yang sama.




Dari segi tiketnya pula, harganya adalah munasabah dan mampu dibayar oleh pengguna. bayaran tiket juga ada disediakan secara mingguan atau bulanan. Maksimum bayaran tiket ialah GBP3.20 untuk sehari perjalanan dan anda boleh naik bas beberapa kali yang anda mahu. Bas pula dilengkapi dengan kamera tertutup dan mesra pengguna terutamanya bagi penumpang yang kurang upaya. Kebiasaannya setiap bas kecuali bas jenis bendy dan heritage, menyediakan pelantar untuk kemudahan kerusi roda dan boleh menempatkan satu atau dua ruang kepada mereka bagi setiap bas. Apa pun, sejarah pengangkutan bas yang panjang di England bermula dari zaman kereta kuda sehinggalah penciptaan enjin dan melangkaui kenderaan hybrid zaman moden ini menjadikan pengurusaan pengangkutan bas di kota London sentiasa ke depan berbanding pengangkutan awam di negara lain.

Setakat ni tak sempat lagi nak bergambar dekat bas merah......


Inilah bas yang setiap hari kami naik nak ke college....

No comments:

MADRID II

  Kota Madrid seawal abad ke 9 pernah diperintah oleh gabenur Umayyah Andalusia dan kota ini dikenali sebagai 'majrit' dari kata asa...