Tuesday, May 25, 2010

Persidangan Penyelarasan Undang-Undang Syarak dan Sivil Kali ke 20


Persidangan Penyelarasan Undang-Undang Syarak dan Sivil Kali ke 20 yang diurusetiakan oleh Pejabat Penasihat Undang-Undang, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah diadakan pada 14 hingga 15 Mei 2020 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). hadir mewakili ketua jabatan pada hari tersebut memberikan manfaat besar dalam menyingkap perkembangan terbaru mengenai undang-undang syariah/sivil untuk perhatian kerajaan.

Persidangan tahunan ini menemukan Ahli-Ahli Jawatankuasa Teknikal Undang-undang Syarak/Sivil yang dipengerusikan oleh Y.Bhg. Tan Sri Sheikh Ghazali bin Abd Rahman dengan Ashabul Samahah Mufti negeri-negeri, YB Penasihat Undang-Undang negeri-negeri, Y.A.A. Ketua Hakim Syarie negeri-negeri, Pengarah Jabatan Agama Islam negeri-negeri dan Setiausaha atau Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam negeri-negeri bertujuan untuk membincang, membahas dan mendapatkan pandangan mengenai undang-undang atau kaedah-kaedah yang berkaitan dengan hal ehwal Islam serta isu-isu undang-undang yang berbangkit yang yang berkaitan dengan kemaslahatan masyarakat Islam

 
Persidangan pada tahun ini yang dirasmikan oleh YB Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir bin Baharom (B), Menteri di Jabatan Perdana Menteri, mencadangkan tiga perkara penting dalam ucapannya iaitu keperluan untuk menaik taraf dan memperkasakan Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak/Sivil agar segala keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa ini dapat dilaksanakan dengan sempurna dan digunapakai di seluruh Malaysia. Oleh itu, beliau mencadangkan bahawa Jawatankuasa ini perlu diletakkan di bawah Majlis Raja-Raja.

  Yang kedua, beliau mencadangkan agar Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1984 dipinda bagi membolehkan Mahkamah Syariah dalam bidang kuasa jenayahnya Mahkamah itu, boleh menjatuhkan apa-apa hukuman yang diperuntukkan oleh undang-undang syariah selain hukuman mati dan boleh membuat perintah penahanan terhadap mana-mana orang yang melakukan kesalahan jenayah syariah. Pada masa ini, Mahkamah Syariah hanya boleh menjatuhkan hukuman denda tidak lebih daripada RM5000.00, penjara tidak lebih daripada 3 tahun dan sebat tidak boleh melebihi 6 kali sebatan.


Yang ketiga YB Dato’ Seri memaklumkan mengenai cadangan pindaan Akta Perihal Dagangan 1972 yang dihasratkan oleh JAKIM dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan pindaan tersebut akan dibentangkan dalam sesi persidangan Parlimen pada bulan Jun yang akan datang ini. Sekiranya undang-undang ini diluluskan, segala permasalahan yang timbul berkaitan dengan halal seperti masalah ”self declaration” oleh pihak-pihak yang tidak berautoriti akan dapat diselesaikan. Pihak yang terlibat dengan industri halal pula hanya akan berurusan dengan pihak yang berautoriti seperti JAKIM dan Majlis Agama Islam di Negeri-negeri untuk mendapatkan sijil halal. 

Syarikat-syarikat yang memohon sijil halal tidak lagi dibenarkan mendapatkan sijil halal daripada pihak-pihak lain, selain daripada JAKIM dan Majlis Agama Islam Negeri-negeri. 


Persidangan pada tahun ini juga amat bermakna sekali apabila Y.Bhg. Tan Sri Abdul Gani Patail, Peguam Negara Malaysia sudi membentangkan Kertas mengenai cadangan Menaiktaraf Mahkamah Syariah di Malaysia. Dalam sesi pembentangan kertas oleh YBhg. Tan Sri Abdul Gani Patail, beliau menerangkan mengenai konsep Mahkamah Syariah yang baru yang hampir setaraf dengan Mahkamah Sivil dan konsep baru Mahkamah Syariah yang dicadangkan ini akan dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja untuk kelulusan.


Sekiranya Majlis Raja-Raja memperkenankan cadangan ini, Mahkamah Syariah akan memasuki suatu lembaran baru di dalam sejarah penubuhannya di mana tarafnya hampir akan sama dengan Mahkamah Sivil. Cadangan ini juga selaras dengan program tranformasi oleh Kerajaan yang diwar-warkan oleh Y.A.B. Perdana Menteri pada ketika ini.
 


Persidangan pada tahun ini juga membincangkan Draf Kedah-Kaedah Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Perkahwinan, Perceraian dan Ruju’) 2010. Tujuan Kaedah-Kaedah ini diwujudkan untuk menyelaras dan menyeragamkan pengurusan perkahwinan, perceraian dan ruju’ di seluruh Malaysia.


  Ahli-Ahli Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak/Sivil
bersama peserta-peserta Persidangan Penyelarasan Undang-Undang Syarak dan Sivil.
 
Tarikh :   25 Mei 2010
Sumber : Unit Perhubungan Awam JAKIM
Editor : PRO JAKIM 


Dipetik dari laman web JAKIM


No comments:

MADRID II

  Kota Madrid seawal abad ke 9 pernah diperintah oleh gabenur Umayyah Andalusia dan kota ini dikenali sebagai 'majrit' dari kata asa...