Khamis 9 September bersamaan 30 Ramadhan, suasana di kampung masih sepi. Setibanya kami sekeluarga dari Kuala Lumpur disambut oleh ibu yang satu-satunya menghuni di rumah usang peninggalan aewah ayah. Tergenang air mata gembira seorang ibu bila menyambut anak cucunya kembali untuk meraikan aidil fitri tahun ini. Ibu yang sudah uzur merupakan penghuni tetap rumah usang ini sejak peninggalan arwah ayah beberapa tahun dahulu. Sebenarnya agak janggal meninggalkan ibu keseorangan di rumah usang ini memikirkan sakit peningnya yang sudah tentulah sukar untuk diuruskan kerana semua anak-anak berada jauh dirantauan. Pun begitu, meski puas dipujuk, ibu masih tetap berkeras untuk terus tinggal berseorangan dikampung. memahami kehendak naalurinya yang mungkin tersimpan seribu kenangan pahit manis bersama arwah ayah di rumah ini, kami adik beradik membiarkan ibu terus kekal di rumah usang ini. Sesekali jika berkelapangan, kami akan bergilir-gilir membawa ibu ke rumah masing-masing di KL, Penang, Nilai, Damansara, kedah dan Kemaman.
Tahun ini, ibu agak sugul apabila sehingga hari terakhir puasa pun, anak-anak masih belum menjengah muka. Kebetulan kami pula sukar untuk menghubungi ibu apabila seminggu sebelum puasa apabila telefonya hilang dicuri oleh pembantu rumah sewaktu beliau berada di Kemaman, rumah adik. Jadi adik beradik yang lain langsung tak dapat menghubungi ibu untuk memaklumkan mereka akan balik bercuti di kampung tahun ini.
Tidak seperti kebiasaannya pada tahun-tahun sebelumnya, Tidak semua adik beradik kami dapat berkumpul pada hari raya, maklumlah semuanya sudah berkeluarga, ada yang balik Penang, Terengganu, Kedah dan ada yang tak dapat cuti. Menurut ibu, tahun ini juga mungkin tidak semua adik beradik yang lain juga dapat berkumpul kerana setakat hari ini, cuma kami sekeluarga sahaja yang muncul, dan esok sudah hari raya. Jelas sugul di muka ibu bila kami bertanyakan hal tersebut.
Beberapa jam sebelum berbuka hari terakhir Ramadhan itu, satu demi satu kereta muncul memenuhi ruang laman yang sempit di rumah usang peninggalan arwah ayah. 15 minit sebelum azan maghrib berkumandang, kereta kelapan muncul di hadapan rumah dan tidak ada lagi ruang untuknya 'parking' menjadikan sawah kontang di penjuru rumah sebagai tempat lepak kereta 'baru' tersebut, menjadikan semua anak-anak ibu beraya dan berkumpul bersama tahun ini. Tak sangka pula, pada tahun ini sebahagian besar telah kembali ke kampung asal mereka termasuklah anak-anak menantu dan cucu-cucu serta cicit yang telah berkeluarga pun menjadikan rumah ibu pusaka arwah ayah sebagai tempat berkumpul yang tidak dirancang bagi tahun ini.
Kegembiraan jelas terpancar di wajah ibu yang sibuk ke sana kemari gelisah kerana tidak menyangkakan semua akan balik bercuti tahun ini. Masalah ibu hanya satu, beliau tidak sempat menyediakan makanan untuk juadah berbuka kerana tidak menjangkakan semua akan pulang. Juadah yang disediakan hanya untuk kami sekeluarga kerana hanya kami yang tiba awal, iaitu sebelum zohor tengahari tadi. Pakcik yang keluar sebelum jam 6 petang tadi untuk membeli juadah berbuka pun masih belum kembali lagi mungkin dah terperangkap dalam kesesakan di Pekan. Resah ibu mula terubat apabila kereta ke sembilan tiba beberapa detik sebelum azan maghrib membawa murtabak daging sebanyak 30 keping yang sempat di'tapau' dalam perjalanan dari Pulau Pinang. Menyedari mungkin semua sudah ada dikampung, adik bongsu ini telah 'booking' semua murtabak dari gerai kenalannya di Tanah Merah semata-mata untuk dibawa balik bagi juadah berbuka. Apalagi, meriahlah suasana berbuka pada hari terakhir Ramadhan di rumah usang ini yang hampir setahun tidak dipijak oleh kami kecuali ibu berseorangan. Selepas solat maghrib, sewaktu tahmid dialunkan dari corong masjid kedengaran sayup-sayup, cucu cicit ibu dah meredah reban menangkap dua-tiga ekor ayam dara bagi santapan malam itu dan untuk lauk raya besok harinya. Meskipun kami lambat pekena nasi selepas berbuka kerana menunggu gulai ayam siap dimasak, murtabak daging dan sedikit kurma sudah memadai bagi mengalas perut ala kadar sebelum kami sekali lagi menghadap hidangan untuk menjamah nasi gulai ayam bagi 'berbuka puasa' yang sebenarnya malam itu. meskipun kami sebenarnya berbuka jam 11.00 malam pada malam raya itu, tidak ada seorang pun dari kami mahupun cucu-cicit ibu yang merungut mereka lapar. Semuanya kenyang dengan keseronokan dan gembira berkumpul bersama malah kami sebenarnya terlupa untuk makan jika tidak dipanggil oleh ibu.
Suasana lengang beberapa jam sebelum berbuka puasa 30 Ramadhan 1431H
Jam 6 petang, kereta anak menantu dan cucu cicit ibu dah
memenuhi ruang laman rumah pusaka arwah ayah.
Itu kisah berbuka. bayanglah betapa peningnya ibu nak sediakan juadah berbuka untuk 35 orang dewasa tidak termasuk anak-anak kecil dalam satu masa? Ibu hanya diberi masa 3 jam sahaja oleh anak cucunya, dari jam 5 petang - 9 malam untuk menyediakan semua itu. 3 kali kami ke pasar meredah jem dan kesesakan untuk membeli lauk bagi juadah berbuka dan anak-anak buah meredah reban menangkap, menyembelih dan menggulai ayam dara selepas berbuka. Dua kotak tamar Yusof Taiyyob habis sekelip mata diratah oleh anak-anak buah buat hidangan berbuka menantikan gulai ayam siap yang dimasak tergesa-gesa. Pun begitu langsung ibu tidak menunjukkan kesusahan hatinya malah dia yang uzur menjadi sihat secara tiba-tiba menyediakan itu semua untuk kami.
Jam 12 malam sebaik kami selesai makan, ibu sekali lagi terbongkok-bongkok menyelongkar almari mencari tilam, cadar, selimut, bantal dan segala barang untuk anak cucunya selesa tidur kerana esok pagi mereka akan keluar beraya. Bayangkan macamana susahnya ibu nak menyusun dan mengagihkan segala tilam kekabu, span, cadar, selimut dan bantal untuk 11 keluarga dari 9 buah kereta yang tiba-tiba memenuhi ruang rumahnya! Ibu sebagai arkitek mengatur susun tempat tidur kami di tengah-tengah balai rumah. Ruang yang siang hari tadi adalah amat luas bagi kami sudah menjadi terlalu sempit bila malam hari hingga untuk menyusun tapak kaki pun menjadi terlalu sukar. Malam itu tidak ada ruang kosong di atas rumah pusaka arwah ayah bila segenap inci papan reput itu dihuni oleh kami. Rumah yang biasanya dihuni oleh ibu seorang diri yang hanya dipenuhi oleh suaranya mengaji al-Quran, tiba-tiba malam ini menjadi sukar untuk melangkah kerana ada saja tubuh anak-anak yang tidur bergelimpangan dan bingit dengan bun yi mercun dan teriak tawa anak-anak cucu. Semua bilik dipenuhi oleh adik-adik dan anak buah yang baru berkahwin dan yang ada anak kecil, manakala segenap ruang lantai dialas oleh tilam dan cadar oleh kami anak beranak. Secara mudahnya kalau sebuah kereta diisi sekurang-kurangnya satu keluarga dengan 5 ahli, jika ada 9 kereta bermakna 45 orang, sekurang-kurangnya 35 dewasa dan 15-20 kanak-kanak! Itu hanya anggaran kerana tidak pula dibuat kiraan. Yang pastinya malam itu kami tidur seperti dalam dewan Balairaya waktu bulan disember tatkala kampung digenangi banjir. Bagi yang ada anak kecil, ibu sibuk menggantung kelambu dan separuh ubat nyamuk Fumakilla jadi mangsa malam itu.
kerana penat, jam 1.45 pagi aku dah tertidur kerana penat seharian di hujung anjung tanpa peduli riuh bising mercun anak-anak buah yang membingitkan telinga. sebelum terlelap, sempat juga terfikirkan bahawa aku mesti bangun seawal pagi yang boleh untuk mandi sunat aidil fitri besok pagi. bayangkanlah kalau aku terlewat besok pagi, kerana bilik air hanya satu, ada hampir 50 orang yang akan beratur menunggu giliran, jika seorang mengambil masa 5 minit untuk mandi, bermakna hampir 250 minit untuk semua selesai. Jika bermula jam 6.00 pagi bagi orang pertama, maknanya orang terakhir akan selesai mandi jam 10 atau 11 pagi...sah tak akan sempat solat hari raya besok! tengah berkira-kira itu tak tahu bila masa aku terlena sesedarnya aku abang dah mengalunkan azan untuk kami solat subuh berjemaah pada pagi aidil fitri yang mulia. Sambil menggosok mata, aku terkenang, jika arwah ayah masih ada.......Aidil fitri ini mungkin yang paling gembira baginya......
ziarah kubur arwah ayah hari raya pertama
1 comment:
ibubapa adalah segalanya bagi kita..=)
tanpa kasih sayang dan bimbingannya...siapalah kita..
Post a Comment