Thursday, January 12, 2023

TQN: SATU PENGENALAN

Tarekat Qodiriah Naqsyabandiah adalah thoreqat yang mutabar antara ratusan toreqat yang dianuti oleh umat Islam di seluruh dunia. Thoreqat Qodiriah Naqsyabandiah adalah gabungan 2 thoreqat terbesar iaitu Thoreqat Qodiriah yang dibawa oleh Syeikh Abdul Qodir Jailani dan Thoreqat Naqsyabandiah yang dibawa oleh Syeikh Mohd Nuruddin Bahauddin An-Naqsyabandi.

Thoreqat-thoreqat tersebut telah digabungkan oleh Syeikh Ahmad Khatib As-Syambasi Ibn Abdul Gaffar, seorang Ulama Nusantara yang terkenal pada zamannya yang bermukim di Mekah dan menjadi Mursyid kepada Thoreqat Qodiriah di Mekah pada awal abad ke 13 hijrah jadilah Namanya Thoreqat Qidiriah wa Naqsyabandiah dan berkembang di negeri-negeri nusantara. Syeikh Thalhah kalisapu cerebon adalah salah seorang murid kepada Syeikh Ahmad Khatib As-Syambas dan dikenali sebagai tokoh thoreqat yang prominen dengan karamah beliau selain Syeikh Abdul Karim Banten dan Syeikh Khalil madura, semasa belajar di Mekah dan Syeikh Thalhah telah diangkat sebagai Mursyid dan mengembangkan ajaran daripada thoreqat anutannya di Cerebon, Jawa Barat Indonesia. Syeikh Abdullah Mubarak Bin Nur Muhammad (Abah Sepuh) telah mengambil talqin Thoreqat Qodiriah Naqsyabandiah daripada Syeikh Thalhah dan menjadi murid beliau dan kemudian diangkat sebagai Mursyid Thoreqat Qodiriah Naqsyabandiah yang kemudiannya mengembangkan ajaran ini di Pondok Pesantren Suryalaya, Jawa Barat, Indonesia yang ada sekarang.


Syeikh Ahmad Khatib As-Syambasi Ibn Abdul Gaffar

Pondok Pesantren Suryalaya telah didirikan oleh pengasasnya Syeikh Abdullah Mubarak Bin Nur Muhammad (Abah Sepuh) pada tanggal 5 September 1905 masehi dengan restu Gurunya Syeikh Thalhah menjadikannya sebagai Pusat Pegembangan Thoreqat Qodiriah Naqsyabandiah di nusantara sehinggalah beliau wafat pada tahun 1956 dan disemayamkan di Kejambaran Rahmaniah Puncak Suryalaya. KH Ahmad Sohibulwafa Tajul Arifin (Abah Anom) adalah anak kepada Abah Sepuh dan penerus kepada pimpinan Pondok Pesantren Suryalaya juga berkapasiti sebagai Mursyid Thoreqat Qodiriah Naqsyabandiah satelah wafatnya Ayah beliau Abah Sepuh. Dan di bawah pimpinan Abah Anom, Pondok Pesantren Suryalaya telah berkembang maju merentasi seluruh pelusuk Jawa dan Indonesia saterusnya Malaysia (termasuk Sabah dan Sarawak), Singapura, Brunei bah ke seluruh dunia.


KHA Sahibul Wafa Tajul Arifin (Abah Anom)

Dalam rangka pengembangan dan penyebarluasan ajaran Thoreqat Qodiriah Maqsyabandiah, Abah Anom sebagai Syeikh Mursyidnya melantik Wakil-Wakil Talqin yang berperanan sebagai wakil mursyid memberikan tunjuk ajar dan bimbingan amaliah kepada ikhwan-ikhwan yang mengambil dan mengamalkan ajaran thoreqat ini. Di Malaysia wakil-wakil talqin yang telah ditauliahkan oleh Syeikh Mursyid Abah Anom antaranya ialah:-
  1. Ybhg. Tun Haji Sakaran Dandai yang juga dalam kesepakatan para ikhwan telah melantik beliau sebagai Penasihat Agung TQN Pondok Pesantren Suryalaya di Malaysia, selain beliau-
  2. Ym. Ustaz Haji Mohd Zuki As-Sujak bin Shafie di Kedah;
  3. Ym. Prof. Dr. Haji Abdul Manan Al-Marbawi Bin Haji Muhammad di Terengganu;
  4. Ym. Ustaz Haji Saifuddin Al-Hafiz Bin Haji Maulup di Negeri Sembilan;
  5. Ym. Ustaz Haji Mansor Salleh di Semporna, Sabah;
  6. Ym. Ustaz Haji Abdul Manaf Bin Abidallah di Tawau, Sabah
  7. al Mukarram Tuan Guru Haji Mohammad TrangIssa, Bintangor, Sarawak
Tun Sakaran Dandai (paling kiri)


Dato Mohd Zuki bin Shafie pengasas Pondok Remaja Inabah, Malaysia di Kampong Paya, Mukim Padang Temak, Kuala Nerang juga di kenali Tuan Guru Haji Mohd Zuki As-Sujjak Shafie. Pondok berkenaan di bangunkan berasaskan model di Suryalaya, Jawa dan mulanya di buka di Langgar tahun 80an sebelum berpindah ke Kampong Paya, 1996. Beliau juga merupakan wakil Talqin Tariqat Qodiriyah Naqsyabandiyah. Pondok itu juga terlibat dalam merawati penagih. Dalam menghargai jasa beliau, telah dianugerahi ADK, BKM dan pada hari keputeraan , 2017 telah dianugerahi DSDK

Prof. Dr. Haji Abdul Manan Al-Marbawi Bin Haji Muhammad
al Mukaram Tuan guru Haji Mohammad Trang Issa
Guru Mursyid dan pengasas Baitul Khidmat sarawak

NOTA MURSYID

Asas dan tujuan Thoriqah Qodiriah wa Naqsyabandiah

إِلَـهِيْ اَنْتَ مَقْصًودِيْ وَرِضَاكَ مَطْلًـوبِيْ اَعْـطِنِي مَحَبَّتـَكَ وَمَعْرِفَتَـكَ

maksud dari doa itu tadi:

”Ya Tuhanku hanya engkaulah yang ku maksud, dan keredhaanMu yang ku cari, berikan kepada ku kemampuan untuk mencintaiMu dan Maakrifat kepadaMu“

Doa tersebut mengandungi 3 elemen:

1. Taqarrub terhadap Allah SWT:

ialah mendekatkan diri kepada Allah dengan jalan ubudiyah, yang mana dalam hal ini dapat dikatakan tidak ada sesuatunya pun yang menjadi tirai penghalang antara abid dan ma bud , antara khaliq dan mahluk.

2. Menuju Jalan Mardhaatillah:

ialah menuju jalan yang diredhai Allah SWT baik dalam ubudiyah mahupu luar ubudiyah alhasil dalam segala gerak geri manusia, diwajibkan mengikuti dan mentaati perintah-perintah Tuhan dan menjauhi serta meninggalkan larangan-laranganNya.

3. Kemahabbahan dan Kemakrifatan terhadap Allah SWT:

artinya: Rasa cinta dengan terang makrifat terhadap Allah ” Dzat Laisaka mithlihi syai`un ” , yang mana dalam mahabbah itu terkandung keteguhan jiwa dan kejujuran hati. Kalau telah tumbuh mahabbah timbullah rupa-rupa hikmah, di antaranya membiasakan diri dengan selurus-lurusnya dalam hak dzohir bathin, dan dapat pula mewujudkan ” keadilan “, yakni dapat menetapkan sesuatu dalam haknya dengan sebenar-benarnya. Pancaran daripada mahabbah datang pula belas kasihan kepada sesama makhluk, diantaranya cinta pada nusa kesegala bangsa berserta agamanya.

Thoreqah Qodiriyah Naqsyabandiyah ini adalah salah satu jalan yang ditempuh buat membukakan diri agar tercapai arah tujuan yang tersebut di atas tadi.

– KHA Sohibulwafa Tajul Arifin.


TANBIH


Bismillaahir rahmaanir rahiim.

Tanbih ini dari Syeikhuna Almarhum Syeikh Abdullah Mubarak bin Nur Muhammad yang bersemayam di Patapan Suryalaya Kejembaran Rahmaniah.

Sabda beliau kepada khususnya segenap murid-murid pria mahupun wanita, tua mahupun muda,

“Semoga ada dalam kebahagiaan, dikurniai Allah Subhanahu Wa Ta`ala kebahagiaan yang kekal dan abadi dan semoga tak akan timbul keretakan dalam lingkungan kita sekalian."

Pun pula semoga Pimpinan Negara bertembah kemuliaan dan keagungannya supaya dapat melindungi dan membimbing seluruh rakyat dalam keadaan aman, adil dan makmur zahir mahupun batin.

Pun kami tempat orang bertanya tentang THORIQAT QODIRIAH NAQSYABANDIAH, mengatur dengan tulus ikhlas Wasiat kepada segenap murid-murid:

Berhati-hatilah dalam segala hal, jangan sampai berbuat yang bertentangan dengan Peraturan AGAMA mahupun NEGARA.

Taatilah kedua-duanya tadi sepantasnya demikianlah sikap manusia yang beriman, tegasnya dapat mewujudkan kerelaan terhadap hadirat Ilahi Rabbi yang membuktikan perintah dalam AGAMA mahupun NEGARA.

Insafilah hai murid-murid sekalian, janganlah terpaut oleh bujukan nafsu, terpengaruh oleh godaan Syaitan, waspadalah akan jalan penyelewengan terhadap perintah Agama mahupun Negara, agar dapat meneliti diri, kalau-kalau tertarik oleh bisikan Iblis yang selalu menyelinap dalam hati sanubari kita semua.

Lebih baik buktikanlah kebajikan yang timbul dari kesucian:

i. Terhadap orang-orang yang lebih tinggi daripada kita, baik dzohir mahupun bathin, harus kita hormati, begitulah seharusnya hidup rukun, saling harga menghargai.

ii. Terhadap sesama sederajat dengan kita dalam segala-galanya, jangan sampai terjadi persengketaan, sebaliknya harus bersikap rendah hati, bergotong royong dalam melaksanakan perintah Agama mahupun Negara, jangan sampai terjadi perselisihan dan persengketaan, kalau-kalau kita terkena firmanNya ” adzabun Alim “, yang bererti duka nestapa untuk selama-lamanya dari Dunia sampai Akhirat (Badan payah hati susah).

iii. Terhadap orang-orang yang keadaannya di bawah kita, janganlah hendak menghinanya atau berbuat tidak senonoh, bersikap angkuh. Sebaliknya harus belas kasihan dengan kesedaran, agar mereka merasa senang dan gembira hatinya, jangan sampai merasa takut dan liar, bagaikan tersayat hatinya. Sebaliknya harus dituntun dibimbing dengan nasihat yang lemah lembut yang akan memberikan keinsafan dalam menginjak jalan kebajikan.

iv. Terhadap fakir miskin, harus kasih sayang, ramah tamah serta bermanis budi, bersikap murah tangan menceminkan bahawa hati kita sedar. Cuba rasakan diri kita peribadi, betapa pedihnya jika dalam keadaan kekurangan, oleh kerana itu janganlah acuh tak acuh, hanya diri sendiri yang senang, kerana mereka jadi fakir miskin itu bukanlah kehendak sendiri, namun itulah kudrat Tuhan.

Demikianlah sesungguhnya sikap manusia yang penuh kesedaran, meskipun terhadap orang-orang asing kerana mereka itu masih keturunan Nabi Adam a.s. , mengingat ayat 70 surah al-isra yang artinya :

"Sangat kami muliakan keturunan Adam dan Kami sebarkan segala yang berada di darat dan di lautan, juga kami mengutamakan mereka lebih utama dari makhluk lainnya “

Kesimpulan dari ayat ini, bahawa kita sekalian seharusnya saling harga menghargai, jangan timbul kekecewaan, mengingat surah al-maidah yang ertinya :

"Hendaklah tolong menolong dengan sesama dalam melaksanakan kebajikan dan ketaqwaan dengan sungguh-sungguh terhadap Agama mahupun Negara, sebaliknya janganlah tolong menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan terhadap perintah Agama mahupun Negara".

Adapun soal keagamaan, itu terserah agamanya masing-masing, mengingat Surah al-Kafirun ayat 6 :

“Agamamu untuk kamu, Agamaku untuk Aku."

maksudnya janganlah terjadi perselisihan, wajiblah kita hidup rukun dan damai, saling harga menghargai, tetapi janganlah sekali-kali ikut campur.

Cubalah renungkan pepatah leluhur kita: Hendaklah kita bersikap budiman, tertib dan damai, andaikan tidak demikian, pasti: "Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tak berguna" kerana yang menyebabkan penderitaan diri peribadi itu adalah akibat dari amal perbuatan diri sendiri.

Dalam Surah an-Nahli ayat 112 diterangkan bahawa : "Tuhan Yang Maha Esa telah memberikan beberapa contoh, yakni tempat mahupun kampung, desa mahupun negara yang dahulunya aman tenteram (gemah rimpah loh jinawi), namun penduduknya/penghuninya mengengkari nikmat-nikmat Allah, maka lalu berkecamuklah bencana kelaparan, penderitaan dan ketakutan yang disebabkan sikap dan perbuatan mereka sendiri ."

Oleh kerana demikian, hendaklah segenap murid-murud bertindak teliti dalam segala jalan yang ditempuh, guna kebaikan dzohir-bathin, dunia mahupun akhirat, supaya hati tenteram, jasad nyaman, jangan sekali-kali timbul persengketaan, tidak lain tujuannya "Budi Utama_Jasmani Sempurna “ (Cageur-baguer).

Tiada lain amalan kita, Thoriqat Qodiriah Naqsyabandiah, amalkan sebaik-baiknya guna mencapai segala kebajikan, menjauhi segala kejahatan dzohir-bathin yang bertalian dengan jasmani mahupun rohani yang selalu diselimuti bujukan nafsu, digoda oleh perdaya Syaitan.

Wasiat ini harus dilaksanakan dengan saksama oleh segenap murid-murid agar supaya mencapai keselamatan Dunia dan Akhirat.

Amin.



Patapan Suryalaya, 13 Februari 1956






https://usiasemporna.wordpress.com/thoreqat-qodiriah-naqsyabandiah/ (dan sebahagian gambar foto)

No comments:

MADRID II

  Kota Madrid seawal abad ke 9 pernah diperintah oleh gabenur Umayyah Andalusia dan kota ini dikenali sebagai 'majrit' dari kata asa...