Tuesday, January 17, 2023

Januari 2014

2013 hampir benar ke penghujung. Banyak catatan pahit manis. 12 bulan perjalanan yang penuh liku. Rasanya tidak tercatat dalam paparan ini, bukan kerana kesibukan tugas atau kecemburuan masa, tetapi perjalanan yang telah diatur oleh qadha' qadar Allah tidak memberi peluang untuk dikongsikan bersama. Banyak yang terlalu peribadi dan tidak perlu dikongsi. 

Sepanjang tahun ini juga merupakan satu langkah sukar. setiap tapak yang diatur tidak semuanya memijak aspal atau jalan berturap. banyak juga lecah, lumpur dan lopak malah arus yang diharungi. Beruntungnya tahun ini kerana banyak pengalaman yang kurang diingini telah terjadi. Sedikit sebanyak memberi ruang untuk berfikir kembali.
Alhamdulillah, umur sememangnya mematangkan manusia. mendekati hari tua umpama bertenggek ditangga menunggu masa mengetuk pintu kematian. terima kasih pada tuhan kerana memberikan sedikit ruang masa untuk berhenti lelah di tapak tangga. Renungan semula ke bawah menampakkan kembali jerit perih perjalanan yang telah dilalui. Mampu sampai kehujung Disember ini sudah satu anugerah Illahi yang perlu ditenung kembali. 

kesedihan, kesukaran serta kepayahan mahupun rentetan kejayaan yang dilalui dan dikecapi sebenarnya patut mengingatkan kita pada mati, mati tidak berkongsi meskipun bersekali, tetap bersendirian biarpun ditanam selubang berjiran. Jadi kesukaran atau kejayaan sepanjang tahun ini hanyalah satu iklan yang berselingan bagi drama kehidupan. Jika filemnya masih panjang, maka rehat yang sementara ini memberi ruang kepada kita untuk mencatur kembali episod perjalanan tahun-tahun kehadapan. Semoga beberapa detik sebelum menjengah tahun hadapan masih lagi sempat untuk kita muhasabah diri.

Sungguh, tahun ini banyak mengajar mengenali diri!

Merenung kembali sepanjang tahun ini mengingatkan saat-saat sukar sepanjang di JBG. perpindahan ke jabatan baru dijangka membungakan kesenangan dan impian yang dihajati. Tapi lautan dugaan memang tiada tepi. Kesukaran berterusan hinggalah ke Disember ini. Allah beri apa yang diimpi, tapi pemberiannya tidak semua sekali. Alhamdulillah, ternyata itu baik kerana ilmu Illahi itu amat tinggi, jika tidak, lupa diri memang sudah pasti!

Biarpun gagal untuk berbakti dan kerja tidak seimbang dengan gaji, ia bukan salah pak menteri atau pertikaian Tan Sri-Tan Sri. Ia adalah qadha illahi. Syukur kerana boleh menerima dugaan ini. Syukur kerana rezeki juga bukan hanya dari gaji. 

Benarlah kata ilmuan, penghinaan itu jika dikaji, sebenarnya makin menambah kemuliaan, kesukaran itu jika diteliti, semakin menenangkan hati, kelemahan jika diatasi semakin menguatkan diri, cemuhan jika diberi, semakin meningkatkan penghargaan diri. Maka terimalah segalanya kerana semua itu hak Allah dan bukan milik peribadi. Alhamdulillah..

Dalam kesukaran itu sempat juga menerbitkan dua buah buku. Ternyata kesukaran menjadi inti pati kepada kejayaan. Satu yang dicetak untuk edisi yang diperbaharui dan satu lagi hasil asli. Rezeki dari penulisan itu bukan hanya mengimbangi gaji, tetapi harapannya ilmu yang dikongsi sememangnya pahala yang bakal ditadah nanti. Moga hasrat itu tidak terpesong dari hati. Rezeki juga diberi illahi membuka peluang mengajar anak-anak di universiti. Memang, hasrat asal hanyalah untuk mengganti gaji, tetapi ilmu yang dikongsi cuba diberi sepenuh hati, moga bekalan yang tulus itu memudahkan urusan selepas mati. 

Tazkirah ini hanyalah untuk diri sendiri. 
Tidak perlu difahami
sekadar untuk catatan  kemudian hari.

No comments:

MADRID II

  Kota Madrid seawal abad ke 9 pernah diperintah oleh gabenur Umayyah Andalusia dan kota ini dikenali sebagai 'majrit' dari kata asa...