Wednesday, July 1, 2009

Bangganya Masyarakat Islam Britain memiliki 85 buah Mahkamah Syariah!


Archbishop of Canterbury


Saya terpanggil untuk menyentuh isu ini kerana pagi semalam, 29hb Jun 2009, melalui paparan muka depan akhbar Daily Mail bertajuk : “ Britain has 85 Sharia Courts”. Dari tajuk tersebut, tentunya anda semua agak teruja kerana Negara yang majoritinya adalah non Muslim dan satu ketika dulu adalah penentang kuat agama Islam mempunyai 85 buah Mahkamah Shariah. Hampir nak sama banyak dengan Malaysia yang memangnya negara yang dikatakan Islam! Mulanya saya agak kurang percaya, tapi itulah hakikatnya.
Sepanjang 30 hari saya dibumi UK ini, sempat juga membuat penelitian mengenai undang-undang syariah yang dipraktis disini. Isu mengenai undang-undang syariah ini menjadi satu perdebatan umum selepas Archbishop of Canterbury, Rowan Williams, memberi kenyataan secara terbuka mengenai undang-undang keluarga Islam dan disebarkan oleh media secara meluas kemudiannya.
Kenyataannya telah menimbulkan kemarahan serta kecaman dan mendapat kritikan hebat terutamanya oleh ahli-ahli politik, termasuk Perdana Menteri Inggeris Gordon Brown. Menurut perdana menteri Britain, “Undang-Undang British tidak mengiktiraf hukum syariah, yang mana kerajaan tidak perlu membuang masa bagi mengingatkan Archbishop bahwa undang-undang sivil Inggeris adalah undang-undang yang diamalkan di negara ini.” Kenyataan itu jelas menunjukkan kebimbangan dan kerisauan ahli-ahli politik Britain mengenai kemampuan undang-undang Syariah, apa yang lebih merisaukan ialah, bukan kerana kenyataan Archbishop tersebut, tetapi kesan kepada 9/11 di US dan 7/7 di UK.

bagaimanapun, pernyataan tersebut telah disanggah dan menjadi bahan kontroversi yang lebih marak dikalangan integrasi Muslim di Britain yang berjumlah sekitar 1.8 juta. Masalah ini menjadi lebih relevan terutama setelah peristiwa pengeboman 7 / 7 di Britain yang mana empat ekstremis Muslim yang mensasarkan stesyen keretapi bawahtanah Britain yang membunuh 52 orang. Dan sekarang, Archbishop of Canterbury telah menyentuh isu atau subjek yang tak pernah disentuh sebelum ini, iaitu subjek atau topik yang agak terpinggir. Setelah sekian lama penduduk Muslim di Britain bergantung pada sistem hukum atau undang-undang yang tidak resmi , iaitu hukum Shariah dalam menyelesaikan pelbagai perkara dalam kehidupan seharian.

Di Britain, terdapat lebih 85 mahkamah Syariah yang beroperasi dengan aktif bagi menyelesaikan masalah kekeluargaan minoti Muslim di Britain. Bagi mengesahkan kenyataan akhbar tersebut, saya merujuk kepada Dr Ibrahim Raza, pensyarah Muslim Kolej dan merupakan salah seorang ahli majlis Shariah Council bermazhab sunni. Menurut beliau, adalah benar jumlah mahkamah syariah di seluruh Britain sebanhyak 85 buah, malah mungkin lebih, bagaimanapun, Mahkamah syariah yang dikuasai oleh pemikiran mazhab sunni hanya lah dalam lingkungan 10 buah sahaja, selebihnya adalah mahkamah syariah yang beroperasi tanpa mengikut skala sebenar dan merujuk kepada sekolah atau mazhab masing-masing seperti syiah, muhajirun, ahli hadis, salafi, wahabi dan sebagainya.
Mahkamah Syariah di Britain dijalankan di bawah penguasaan Shariah Council.
Pada setiap minggu, dewan perbicaraan bersidang sepertimana biasa, kebiasaannya mendengar kes-kes cerai dan khulu’ yang banyak dibawa ke mahkamah. Keputusan biasanya akan merujuk kepada amalan syariah berdasarkan quran dan sunnah yang dipraktikkan.
Media sebelum ini dikatakan tidak pernah mempedulikan mahkamah syariah dan tidak pernah menghalakan jurnalisnya menyelongkar isu-isu mahkamah Syariah, tetapi selepas ianya menjadi perdebatan hangat, seluruh ,media Britain agak memberi tumpuan kepada perkembangan Mahkamah Syariah di Britain. Mahkamah Syariah yang dinaungi oleh British Syariah Council, memiliki cawangan-cawangan lainnya di daerah sekitar, seperti Birmingham, Bradford di Leyton, East London.

Dari 10 Majlis Shariah bermazhab sunni di Britain, The Muslim Council of Britain (MCB) di Leyton adalah yang paling menonjol. Sejak ianya ditubuhkan pada tahun 1982, Majlis ini telah menyelesaikan lebih dari 7.000 kes perceraian dan kes Khul’ sesuai dengan kehendak hukum Shariah. Salah seorang dari pemimpin MCB, Syaikh Suhaib Hasan, yang juga merupakan anggota Majlis Fatwa dan Penyelidikan Eropah ( European Council for Fatwa and Research), merupakan seorang tokoh yang dihormati di kalangan masyarakat Muslim di Britain. Beliau menyebut "Kami bertindak sebagai Mahkamah Agama (Religious Court) , iaitu memutuskan secara bertulis berdasarkan hukum Shariah Islam dan jurispruden Islam (fiqh) setelah mempertimbangkan kes-kes tersebut. " Kenyataan ini menjadi perhatian media barat, khususnya di Britain.
Syaikh Suhaib Hasan yang berkelulusan dari Madinah, Arab Saudi, salah seorang murid kepada mantan mufti Arab Saudi almarhum Abulaziz Syaikh bin Baaz percaya bahwa kenyataan Archbishop memberi maksud yang sangat luas dan mungkin disalahanggap. Dr Hasan juga menyuarakan kebimbangannya bahwa Archbishop Williams akan cuba untuk "mengubah" kenyataanya bagi menenangkan keadaan masyarakat UK.
Syaikh Suhaib, 55 tahun, menambah bahwa Archbishop telah dikritik keras agar pernyataannya perlu dipertimbangkan dengan sebaik mungkin, selanjutnya menegaskan bahwa media British telah memperbesarkan isu tersebut kepada maksud yang negative. Sebagai masyarakat Muslim, Dr Suhaib berkata, “kami ingin melihat penerapan hak Shariah di beberapa daerah yang berkaitan dengan status pribadi, seperti perkawinan, perceraian, warisan dan hak-hak lainnya isteri [polygami dalam perkawinan]. Bahkan Kami tidak ingin memotong tangan pencuri atau merejam batu kepada para penzina - kami tidak pernah bermaksud untuk melaksanakan hal ini,” katanya.

"Kami meneliti semua kes-kes berhubungann dengan institusi perkawinan, setelah memastikan bahwa perkawinan tidak berhasil, maka kami aturkan supaya mereka boleh dipisahkan. Namun, jika ada alasan atau sebab yang patut untuk mendamaikan mereka, maka pasangan itu akan diusahakan untuk berdamai. Dalam hal yg tidak dapat diselesaikan secara perdamaian, kami nasihatkan pasangan supaya berpisah”



Menurut Syaikh Suhaib juga, sebagian besar masalah ialah melibatkan fakta bahwa orang ramai tidak menyadari wujudnya secara meluas elemen hukum Shariah di kalangan a umat Islam di negara Inggeris ini dan negara-negara Eropah lainnya.

Dr Suhaib dan jawatankuasa yang terdiri dari tujuh hingga 10 orang Muslim sebagai ahli yang mewakili empat mazhab Sunni iaitu Shafi'i, Maliki, Hanafi, dan Hanbali dan mazhab Ahl al Hadis meneliti lebih dari 50 kes perceraian setiap tahun di MCB dan menyelesaikan sengketa antara pasangan di seluruh dunia, termasuk Denmark, Ireland, Belanda, dan Jerman.

Jawatankuasa kaunsil Shariah yang menjalankan perbicaraan ini bersidang sekali seminggu di Islamic Cultural Centre di Regent's Park, London, dengan meneliti laporan yang telah disediakan oleh hakim tempatan yang berafiliasi kepada Majlis Syariah dan turut diamalkan di Birmingham, Bradford, Leyton dan bandar-bandar lain. Jawatankuasa MCB akan mengirimkan tiga pucuk surat kepada suami dalam tempoh beberapa bulan , iaitu antara sembilan hingga 12 bulan. Dalam kes Khul ', biasanya Mahkamah akan meminta isteri untuk mengembalikan perhiasan, dan hadiah wang kepada suami mereka sebelum Mahkamah mengisytiharkan Khul'.


Tokoh-tokoh terkenal yang pernah berkhidmat kepada majlis Shariah termasuklah almarhum Dr Sayid al Darsh, yang merupakan mantan Imam di Regents Park Mosque, London , Moez Syaikh Al Arab, Haitham Al Haddad dan Ahmed Oweiss dari Somalia.
Selain dari kes-kes perceraian, MCB juga menyelesaikan masalah pewarisan, Bagaimanapun yang diutamakan ialah kes-kes perceraian. Walaupun undang-undang Inggeris menetapkan perceraian mestilah melalui undang-undang sivil tetapi umat Islam di Britain lebih selesa menggunakan hukum Shariah dalam urusan rumahtangga.


Ketika ditanya apakah ada hakim perempuan di antara para anggota jawatankuasa, Syaikh Suhaib mengatakan bahwa setakat ini mereka belum lagi bersedia untuk memenuhi syarat untuk mengisi jawatan tersebut.

Dr Suhaib mengatakan bahwa seringkali, peguam merujuk klien mereka kepadanya berdasarkan kepercayaan Islam bahawa mahkamah Islam merupakan tempat yang terbaik untuk menyelesaikan masalah keluarga. Beliau percaya bahawa adalah penting untuk menggabungkan dua sistem [Undang-undang sivil British dan sistem hukum Islam Shariah],
"Shariah diimplementasikan pada skala besar di negara Inggeris setiap hari," kata Dr Suhaib, "seharusnya tidak begitu mengejutkan jika beberapa elemen syariah dimasukkan ke dalam sistem hukum Inggeris," tambahnya.

"Kesalahfahaman yang besar berlaku apabila orang ramai gerun mendengar frasa “Undang-Undang Shariah”, mereka akan terfikir mengenai hukuman potong tangan dan penguatkuasaan yang keras." kata Syaikh Suhaib lagi, selanjutnya menekankan bahwa Majlis Shariah tidak ada keinginan untuk membentuk atau mendesak diadakan mahkamah jenayah syariah di Britain. Majoriti umat Islam di Britain hanyalah mahukan pembelaan dengan memberi hak kepada undang-undang Syariah yang menjuruskan kepada hukum kekeluargaan diberi perhatian oleh kerajaan.

"Ada 57 negara di seluruh dunia Islam dan hanya dua atau tiga negara yang menegakkan hukum jenayah syariah - jadi mengapa kita ingin melakukannya di sini? Ini adalah Negara Britain dan hal itu tidak ada toleransi di sini" katanya.


mengikut pengamatan saya pula, minoriti Muslim di Britain meskipun nampak seperti teratur, tetapi mereka tidak pernah bersatu. Mereka masih membawa idea-idea dari mana mereka berasal. Kerana itu kenyataan Dr Shuib pada pandangan saya adalah satu kenyataan yang tidak menunjukkan keadaan yang sebenarnya. Muslim pakistan mempunyai masjidnya sendiri, demikianlah muslim dari somalia, algeria, iran, arab saudi, mesir dan pelbagai lagi. Mereka tidak pernah bersatu atas nama Islam, jauh dari Mazhab, lebih jauh dari bangsa dan amat jauh lagi berpaksikan negara asal mereka. Mereka adalah imigran. Betul penduduk Muslim bertambah saban tahun di britain, tapi penambahan tersebut dengan meningkatnya pertambahan penduduk imigran dan kelahiran di kalangan mereka. Pemelukan Islam dari kaum kulit putih adalah teramat sedikit, maka sejauh mana berjayanya kehadiran penduduk islam di bumi Britain? Mereka berhijrah untuk mencari harta, mereka terpengaruh dengan kehidupan barat, bukan orang barat yang terpesona dengan cara hidup Muslim. Mahkamah banyk merekodkan kes murtad, terlalu sedikit mendaftarkan pemelukan Islam, kecuali beberapa nama, kebanyakannya yang berada di dalam penjara. Ini adalah realiti, dan masyarakat Britain adalah sama sahaja baik mereka itu berkulit putih atau gelap, mereka tetap merasakan mereka adalah yang terbaik. Kenyataan ini bukanlah ketrlaluan, kerana sewaktu perbualan saya dengan Dr Ibrahim Raza, dia menyarankan Malaysia mencontohi Muslim Britain, meskipun berada dalam negara majoritinya kristian, tetapi mampu mengamalkan hukum syariah dikalangan keluarga Muslim. Saya katakan kepadanya, Kami ada 14 negeri, 14 mufti dan hampir sama banyak mahkamah Syariah dengan Britain, tetapi kami ada satu pusat yang mengeluarkan fatwa, satu mahkamah Syariah untuk semua orang Islam pelbagai mazhab termasuk syiah atau mazhab empat dan satu sahaja JAKIM yang mengawal perkembangan Islam di Malaysia. Satu adalah lebih baik daripada banyak, dan hendak menjadikannya satu adalah sesuatu yang amat sukar. Belajarlah dari Malaysia......! Beliau hanya diam sahaja.

No comments:

MADRID II

  Kota Madrid seawal abad ke 9 pernah diperintah oleh gabenur Umayyah Andalusia dan kota ini dikenali sebagai 'majrit' dari kata asa...