Wednesday, July 22, 2009

HM Prison Brixton, Penjara yang melahirkan banduan celik agama di Britain




Penjara HM Brixton atau HM Prison Brixton adalah penjara lelaki. Lokasinya berada di London Borough of Lambeth, di Inner –South london, England. Jaraknya lebih kurang 45 minit perjalanan menaiki tube dari Ealing Common, London. Mirip penjara kajang di selangor Malaysia, penjara ini mempunyai beberapa bangunan utama yang di bahagikan dengan beberapa sektor seperti tempat pengajian akademik, sukan dan kesihatan termasuk bangunan gym (indoor recreation), bilik tahanan atau sel, dapur selain ruang pejabat dan kawasan pentadbiran.

Beberapa hari sebelumnya, kami telah membuat temujanji dengan pihak opengurusan penjara Brixton ini bagi tujuan membuat lawatan sambil belajar. Antara lain fokus kami ialah mengenai keadaan tahanan Muslim yang ditempatkan disini, fasiliti atau kemudahan yang diperolehi selain dari layanan pihak pemerintah terhadap mereka.

Sesampainya kami di Jeb Avenue, Bro. Kalam Ahmed, imam penjara berkenaan telah sedia menunggu kami. Kami kemudiannya di bawa masuk ke pintu utama penjara ini yang dikawal ketat. Seperti mana di Malaysia, kami perlu menanggalkan semua perhiasan seprti cincin, jam, pen dan sebagainya. Barang-barang sensitif seperti kunci, telefon bimbit termasuk kamera dan sebagainya tidak digalakkan di bawa masuk. Oleh kerana kami telah dimaklumkan lebih awal, persediaan telah dibuat dimana kami tidak membawa banyak barang-barang yang boleh menimbulkan masalah, jadi kawalan ke atas kami tidaklah terlalu ketat sepertimana pelawat-pelawat lain.

Melepasi dua pintu pertama, yang merupakan pintu kawalan keselamatan, kami kemudiannya memasuki kawasan sebenar penjara Brexton ini. Bangunan asal penjara ini telah dibina pada tahun 1819 atau 1820 dan dikenali sebagai Surrey House of Correction. Pada waktu itu,ianya menempatkan 175 bilik sel tahanan. Namun, secara kasarnya kapasiti tahanan adalah melebihi 200 orang banduan. Kepadatan jumlah tahanan atau banduan menjadi satu masalah besar kepada penjara ini ditambah lagi dengan bilik sel yang sempit dan keadaan penjara yang agak teruk menjadikan penjara ini sebagai sebuah penjara yang terburuk di London ketika itu. Masalah kepadatan tahanan atau banduan dipenjara ini akhirnya diselesaikan apabila perluasan dan penambahan bangunan baru dibuat pada tahun 1853. Sebanyak lebih 800 sel ditambah dan ini mengurangakan masalah kepadatan dan memudahkan kawalan pengurusan.

Pada tahun 1862, bangunan penjara ini kemudiannyta telah dijual kepada kerajaan dan dijadikan sebagai penjara untuk banduan wanita. kerajaan Britain juga menempatkan banduan wanita tertuamanya bagi banduan yang memilih untuk tinggal dipenjara berbanding dideportasi ke Australia pada waktu itu..

Dua puluh tahun kemudian, iaitu pada tahun 1882, penjara ini sekali lagi diubah dan dijadikan sebagai pusat tahanan tentera., dan pada tahun 1898, penjara ini telah dikembalikan kepada suruhanjaya Penjara.Bangunan asalnya telah diperbesarkan dan ditambah. Penjara ini juga dijadikan tempat perbicaraan dan tahanan reman bagi seluruh kawasan London. Sejak itu, penjara ini hanya menempatkan banduan lelaki dan tahan reman yang menanti perbicaraan khususnya di mahkamah majistret tempatan dan juga Crown Courts. Penjara ini juga merupakan tempat tahanan sementara yang akan menunggu kes rayuan mereka didengar di Mahkamah Rayuan Bahagian Jenayah (Court of Appeal Criminal Division (COACD) di Royal Courts of justice.

Selepas sedikit taklimat dan bertukar-tukar fikiran dengan Pengurus besar penjara ini, kami kemudiannya dibawa melawat ke tempat-tempat khas yang melibatkan secara langsung dengan banduan Muslim.

Menurut Bahagian Pengurusan penjara ini, sehingga sekarang terdapat lebih kurang 800 banduan yang ditempatkan di penjara ini. Tidak ada figure atau statistik mengenai agama tetapi dianggarkan banduan Muslim seramai 245 orang. Satu jumlah yang agak besar iaitu lebih kurang ¼ penghuni penjara. Majoriti mereka adalah dari Pakistan, Bangladesh, lebanon, mesir dan sebagainya. Mereka ditahan rata-ratanya kerana pelbagai kesalahan dari kesalahan jenayah kecil seperti menipu, mencuri, merompak, bergaduh, rogol sehinggalah membunuh.

Kami berpeluang berinteraksi dengan banduan-banduan Muslim yang kebetulannya sedang mendengar ceramah agama yang disampaikan salah seorang imam yang bertugas. Dari perbualan ringkas, kami dimaklumkan oleh salah seorang banduan yang namanya hanya dikenali sebagai Kamel, seorang pemuda keturunan Mesir yang lahir di Kent, England, mengakui beliau bersyukur dimasukkan ke penjara ini kerana beliau dapat belajar banyak selok belok agama Islam yang tidak pernah diamalinya sebelum ini. Beliau yang ditahan atas kesalahan memalsukan kad kredit mengakui beliau banyak mendapat ilmu agama dari imam yang mengajar mereka selama di dalam penjara berbanding pengetahuan yang diperolehi di sekolah atau di luar penjara. Seorang banduan lain, Razib juga dari Mesir mengakui hal yang sama. Pendidikan agama lebih banyak diperolehi di dalam penjara berbanding di luar penjara. Menurut Razib, mungkin jadual waktu yang tersusun dan kesunyian menyebabkan mereka tidak ada pilihan lain selain memfokuskan kepada pengajian agama berbanding di luar penjara, banyak masa dihabiskan kepada berfoya-foya dan enggan untuk mempelajari atau mendalami ilmu agama walau pun kadang kala dipaksa oleh keluarga. Keadaan persekitaran juga menyebabkan mereka tidak mengambil peduli mengenai ilmu agama selama mereka berada di luar penjara. Peluang untuk belajar agama Islamini dipergunakan sepenuhnya oleh sebahagian besar banduan Muslim disini.

Mengesahkan hal demikian, Imam kalam Ahmed menyatakan bahawa banduan diajar mengenai pelbagai ilmu agama dengan penekanan kepada tauhid dan fiqh amali. Mereka melakukan solat jumaat setiap minggu, berpuasa sebulan di bulan ramadhan dan dapat mengamalkan ajaran agama dengan baik dan sempurna di penjara Brexton, malah mungkin setengahnya lebih baik dari di luar penjara. Imam kalam Ahmed juga mengakui pihak pengurusan penjara banyak berdiplomasi dalam hal ini. Kerajaan Britain tidak mengamalkan pilih kasih terhadap Banduan dan semua banduan dilayan sama rata. Seperti mana kristian, Hindu dan sebagainya, islam juga diberi tempat yang agak baik dipenjara ini. Buku buku agama ada disediakan walau pun agak terhad, banduan bebas untuk membacanya. Kelas-kelas agama diatur setiap hari dan imam akan bergilir-gilir memberi tazkirah dan mengimamkan solat fardhu. Maka tidak hairanlah ramai banduan dari agama lain memeluk islam di penjara ini.

Kami yang masih ragu-ragu dengan penerangan tersebut telah dibawa melawat kawasan dapur, iaitu kawasan terpenting dalam institusi penjara ini, ianya agak bebas dan sebahgian besar banduan bertugas di dapur boleh bergerak bebas dengan kawalan melalui kamera dan pemantauan warder. Kami agak terkejut sebaik memasuki dapur kerana keadaan yang sungguh bersih. Di fahamkan dapur ini mendapat pengiktirafan dari Kementerian Kesihatan Britain dan petugasnya yang terdiri dari banduan diberikan sijil yang diperakukan diluar penjara. Setiap dua minggu sekali, pegawai dari Kementerian berkenaan akan datang melawat dapur penjara bagi memastikan kebersihannya mencapai piawaian yang diperlukan. Kerajaan Britain memperuntukan GBP1.90 seorang bagi setiap banduan untuk sekali makan yang merangkumi makan pagi, makan tengahari, makan malam dan supper. Kami juga dibawa melihat dapur bagi memasak makanan halal. Merupakan dapur yang berbeza dan berasingan dari dapur-dapur masakan yang lain, masakan halal disediakan dengan kawalan pegawai yang bertugas dan nasihat dari Imam penjara dari masa ke semasa. Menurut Imam Kalam Ahmed, makanan halal menjamin hati lebih kudus dan mudah mendapat hidayah. Keperluan kepada makanan halal adalah diperlukan di penjara dan mereka bersyukur kerana usaha sedikit demi sedikit yang dibuat selama ini membuahkan hasil. Mereka memperolehi dapur khusus yang luas dan selesa untuk memasak makanan halal dan tempat simpanan makanan halal yang luas dan berasingan dengan makanan lain. Saya amat kagum dengan pencapaian kaum Muslim Britain dalam hal ini.
Mengakhiri lawatan di penjara ini, Imam Kalam Ahmed sekali lagi memberi taklimat akhir disamping soal jawab yang diajukan oleh peserta. Menerima hadiah senaskhah alquran terjemahan bahasa inggeris pimpinan ar Rahman oleh JAKIM dari delegasi kami amat dialu-alukan oleh beliau. Dari anak matanya jauh terpahat hasratnya yang masih tidak ketentuan dengan nasib banduan Muslim di Penjara Brexton, England. Meskipun agak membanggakan kerana Berjaya menarik ramai banduan Muslim mendekatkan diri dengan tuhan selama mereka berada dipenjara ini, tapi peratusan banduan Muslim dari sehari ke sehari semakin meningkat dan amat membimbangkan. Sungguhpun usaha Imam Kalam Ahmed meningkatkan pengetahuan agama Islam di kalangan banduan disini adalah agak Berjaya, tetapi beliau tidak pasti sama ada pengetahuan agama itu berterusan atau tidak setelah mereka keluar dari penjara. Sempat juga saya berbisik sambil berseloroh dengan imam Kamel Ahmad, “ Mesir melahirkan graduan Muslim yang Berjaya di Azhar, apakah England melahirkan banduan Muslim yang Berjaya di Brexton?”. Insyaalah, jawabnya ringkas dan yakin sambil melirikkan senyuman. Dia tahu, saya sebenarnya bukan mengejek beliau.

No comments:

MADRID II

  Kota Madrid seawal abad ke 9 pernah diperintah oleh gabenur Umayyah Andalusia dan kota ini dikenali sebagai 'majrit' dari kata asa...