Wednesday, July 29, 2009

Pertemuan dengan Kelab Melayu di Cricketfield, Clapton, East London,Peluang Untuk Berbakti Kepada Anak Bangsa

26hb Julai 2009, kurang lebih seminggu yang lalu, kami dijemput untuk memberi sedikit tazkirah kepada Persatuan Melayu United kingdom. Kelab Melayu ini adalah salah satu dari dua kelab melayu yang terkenal di East London. Pemimpinnya bertukar ganti. Dahulunya kelab ini terkenal sebagai kelab sosial yang ditubuhkan oleh pekerja-pekerja Melayu Malaysia yang datang berdagang, mencari nafkah dan bekerja disini.

Kami kesana dengan kereta yang dijemput khas oleh Bro Amir, seorang yang peramah dan mudah mesra. Menetap di London sejak 1992, secara tak formalnya bermula tahun 80an. Beliau berkahwin dengan gadis Bosnia dan telah mendapat PR Britain sejak beberapa tahun lalu. Sepanjang perjalanan, beliau petah bercerita mengenai sejarah silam seawal kehadirannya di bumi England ini.


Kelab Melayu Malaysia ini terletak di CricketField Road, Clapton, Hackney, East London. Perjalanan ke sana dari Thames Valley university, Brentford mengambil masa 45 minit perjalanan. Agak jauh juga. Setibanya kami disana, Ahmad Bajrai bin Salleh, yang lebih mesra dipanggil pak mat, sudah sedia menunggu dan menyambut kami dengan mesra. Sambil berborak ringkas, kami minta diri untuk menunaikan solat asar sebelum menyambung perbualan dan memulakan tazkirah ringkas.



Rumah Kelab Melayu Malaysia United Kingdom, Cricketfield Street, Clapton, East london


Kelab ini dibangunkan disebuah rumah teres dua tingkat yang mana bahagian bawahnya disewa oleh persatuan melayu United Kingdom dari keluarga Yahudi sejak lebih 40 tahun dahulu. Di tingkat atasnya, rumah ini disewa oleh satu keluarga lain yang turut menjaga keselamatan dan kebersihan isi kelab ini.


Seawal tahun 50an, kelab ini adalah terdiri daripada pekerja-pekerja kapal yang ingin mengubah nasib dan mencari rezeki di bumi Britain. Mereka terdiri dari sekitar 20-30 orang yang kebanyakannya adalah bujang dan senahagiannya sudah mendirikan rumahtangga. Sekitar tahun 60an sehingga awal 70an, ahli kelab ini bertambah dengan kehadiran beberapa keluarga melayu yang berkhidmat dalam angkatan tentera udara British. Dianggarkan jumlah mereka adalah antara 50-60 keluarga. Bagaimana pun menurut Presidennya, Ahmad Bajrai bin Salleh, 70an, hanya 40 keluarga sahaja yang aktif dalam aktiviti kelab. Manakala pada tahun 80an, 90an dan akhir abad 20 sehingga sekarang, ahli-ahli kelab ini tidak lagi mempunyai pertambahan ahli kecuali mereka yang datang untuk bertugas dan bekerja di Uk serta ahli keluarga mereka sahaja dan jumlah mereka adalah tidak begitu ramai. Antara lain penubuhan kelab ini ialah bagi menjaga kebajikan Masyarakat Melayu dalam pelbagai sudut.


Menurut En Ahmad Bajrai lagi, ahli-ahli kelab ini pada tahun 50an dan 60an adalah hidup dalam keadaan bergembira dan berseronok. Rumah kelab ini tidak teratur dan lebih kepada pusat sosial sehinggalah kehadiran ustaz Jaiz Anuar. Ustaz jaiz meninggal pada awal 2009 dan merupakan bekas Presiden kelab ini yang dihormati dan disegani. Menurut En Ahmad Bajrai, kehadiran ustaz jaiz ke bumi London dan datang mengajar ilmu agama serta memberi nasihat kepada isi kelab ini adalah sesuatu yang tidak dapat dilupakan. Sambil mengimbau sejarah lalu, Pak Mat dengan nada terharu bercerita bahawa beliau (arwah) telah mengubah status kelab ini kepada seperti yang ada sekarang. Ustaz jaiz Anuar adalah mantan pemimpin Pemuda PAS tahun 60an (atau seawal 70an). Beliau adalah sezaman dengan Hassan shukri dan merupakan menantu kepada Dato Asri bin Haji Muda. Beliau yang memiliki ijazah B.A dan sarjana dari timur tengah, mengembara ke bumi London untuk menyambung pelajaran diperingkat PHD, bagaimanapun hasrat tersebut terbantut dan beliau meneruskan khidmat murninya untuk mengajar ilmu agama kepada masyarakat melayu di UK, khususnya di Clapton ini. Beliau juga diangkat sebagai Presiden Kelab ini. Jasa dan budi allahyarham ustaz Jaiz tak dapat dibandingkan dan ianya menjadi bapa kepada masyarakat melayu di Uk waktu itu khususnya di Cricketfield street, Clapton. Menurut En Ahmad atau Pak Mat lagi, Kehilangannya menyebabkan kelab Melayu Clapton seolah-olah hilang arah dan tidak mempunyai panduan terutamanya dalam memberi tunjukajar khususnya dalam bidang agama. Kehadiran kami ke kelab tersebut amatlah dihargai dan ditunggu-tunggu oleh mereka. Saya agak terharu dengan kenyataan tersebut dan jelas dari riak wajah Pak Mat, mengharapkan sesuatu dari kami, bukan berbentuk wang, tetapi mereka dahagakan ilmu pengetahuan khususnya ilmu agama dan maklumat yang banyak tercicir sewaktu muda mereka.

Bro Zaki kemudiannya menyampaikan sedikit tazkirah berkait dengan isra’ mi’raj. Satu tajuk yang mengupas banyak perkembangan sains dan alam semesta. Tajuk yang amat menarik dan banyak maklumat baru termasuk untuk saya sendiri. Syabas Bro Zaki. Ahli-ahli kelab seramai lebih kurang 15-20 orang agak teruja dan mereka mengajukan pelbagai soalan, sehinggakan kami lewat untuk makan malam dan bergegas menunaikan solat maghrib yang diimamkan oleh Ustaz Ramly, Kadhi besar johor yang amat saya hormati dan kagumi, yang juga sahabat karib saya sepanjang di London ini.



Bro zaki sedang khusyuk menyampaikan ceramah bertajuk isra' mikraj.



Ustaz Ramly memperkenalkan diri kepada para tetamu kelab.

Ahli keluarga Persatuan sedang sibuk menyediakan juadah makan malam untuk kami




Ruang solat yang sempit untuk memuatkan ahli jemaah yang ramai. Semoga pihak berwajib sudi memberi bantuan.



Selesai solat, kami sekali lagi berkumpul dan apabila menyedari kehadiran saya yang bertugas di Mahkamah Syariah di Malaysia, mereka tak putus-putus menghalakan soalan seolah-olah tidak mahu benarkan kami balik ke hostel. Pelbagai isu ditimbulkan termasuklah perkembangan undang-undang Syariah sehinggalah masalah hukum hudud. Saya cuba menjawab secara berhati-hati kerana tidak ingin meninggalkan kesimpulan yang mungkin berbaur politik dan cuba mengelak soalan-soalan yang sensitive. Bagaimanapun rata-rata dari mereka memerlukan maklumat yang tepat terutamanya mengenai perkembangan Mahkamah Syariah dan masalah undang-undang seperti perwarisan, murtad, perkahwinan berlainan ras, perebutan anak dan sebagainya.



Antara ahli Kelab yang hadir mendengar tazkirah kami.



Masa yang semakin lewat malam tidak membenarkan kami untuk terus memberikan khidmat kepada mereka di kelab Melayu Clapton hari tersebut. Terpampang kekecewaan diantara mereka kerana terpaksa berpisah dan mengharapkan kami datang lagi pada minggu-minggu seterusnya. Saya hanya mampu memberi janji dan bukan jaminan, ianya bergantung kepada masa dan kesesuaian, tapi memikirkan hanya itu sahaja bantuan yang kami boleh berikan, saya berazam untuk terus datang lagi selagi terdaya, untuk minggu-minggu seterusnya, kerana itulah bakti yang mampu dicurahkan kepada anak bangsa, walaupun mereka sebahagiannya bukan lagi warganegara Malaysia, tetapi sebagai anak melayu, biarpun mereka terpaksa menukar pemastautinan demi sesuap kehidupan, sesukar manapun, agama bukanlah taruhan! Mereka tetap berpegang teguh kepada pendirian agama, dan itulah hasrat mereka untuk mengekalkan hasrat yang sama kepada generasi seterusnya. Kami sedar, kekosongan yang ditinggalkan oleh Ustaz Jaiz mestilah diisi, sekurang-kurangnya oleh kami buat sementara waktu. Semoga sekembaalinya kami nanti, ada seseorang yang memandang dan mendengar keluhan mereka di Clapton! Untuk itu, saya menyeru supaya seorang lagi Ustaz Jaiz tampil untuk memimpin kelab ini, bukan semata-mata untuk ahli kelab Melayu di Cricketfield Street ini, tetapi lebih jauh dari itu, untuk anak-anak generasi mereka yang semakin jauh dihimpit kemodenan kota London, anak-anak bangsa kita yang bernasabkan melayu dan beragama Islam!

1 comment:

adalansinio said...

please forward my address to all related member in London

:
lanzamad@yahoo.com.my

Mazlan Samad.

MADRID II

  Kota Madrid seawal abad ke 9 pernah diperintah oleh gabenur Umayyah Andalusia dan kota ini dikenali sebagai 'majrit' dari kata asa...