Sunday, July 18, 2010

KEPERLUAN KEPADA UNDANG-UNDANG TATACARA MAL (iv)


 (iv)

Bagi memudahkan pemahaman, Buku ini telah dibahagikan kepada 17 bab yang membincangkan tatacara pengendalian kes di Mahkamah Syariah. Secara asasnya ia mengupas semua peruntukan seksyen yang terkandung di dalam Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003 dengan memberi penekanan kepada maksud dan tafsiran dengan merujuk kepada undang-undang lain yang berkuatkuasa termasuklah Arahan-Arahan Amalan yang dikeluarkan dan disokong oleh otoriti seperti keputusan-keputusan kes sama ada yang dilaporkan atau tidak dilaporkan. Penulis menggunakan Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003 sebagai rujukan asas dan undang-undang lain yang berkuatkuasa di Negeri Sembilan bagi memudahkan kajian penulisan ini. Keadaan ini langsung tidak mencacatkan penulisan buku ini kerana kebanyakan undang-undang asas yang diamalkan di Mahkamah-mahkamah syariah di Malaysia telah diseragamkan.

Bermula dengan bab 1 yang mengajak pembaca mengenali struktur Mahkamah Syariah dan undang-undang tatacara mal yang mengawal selia peraturan pengendalian kes di Mahkamah Syariah. Bab ini dibahagikan kepada dua bahagian yang membincangkan setiap satunya secara terperinci. Bab ke 2 pula juga dibahagikan dengan dua Bahagian yang membincangkan peringkat asas sebelum memulakan sesuatu prosiding di Mahkamah Syariah, iaitu mengenai perkara-perkara yang berkaitaan dengan saman dan bahagian II pula menyentuh mengenai permohonan. Bab ini juga memperkenalkan pembaca kepada  pemakaian borang-borang, saman, permohonan dan perbezaan antara keduanya. Bab 3 pula menyentuh mengenai siapa pihak-pihak yang bertikai di dalam mahkamah, menentukan pihak-pihak dan hak pihak-pihak untuk diwakili oleh peguam syarie.

Bab 4 pula membincangkan bagaimana sesuatu saman, notis permohonan dan dokumen itu perlu disampaikan kepada pihak-pihak sama ada pihak yang satu lagi berada dalam ruang lingkup bidangkuasa mahkamah atau berada diluar bidangkuasa mahkamah yang membicarakan kes atau berada di negeri-negeri lain.

Bab 5 pula menyentuh serba sedikit mengenai isu interpleader dan tatacara  yang diperlukan dalam perkara tersebut. Manakala Bab 6 pula membincangkan mengenai pliding yang digunakan di Mahkamah Syariah, bagaimana menguruskan pliding yang cacat dan tatacara mengenalpasti dokumen dan penzahiran sesuatu dokumen.

Bab 7 pula menyentuh mengenai tatacara pengendalian kes sewaktu perbicaaraan. Bab ini dimulakan  dengan perkara-perkara asas yang perlu dilakukan sebelum proses, semasa proses dan sesudah proses perbicaraan berlangsung. Disentuh juga mengenai tatacara untuk plaintif atau defendan mengendalikan kes sewaktu perbicaraan sehinggalah proses tersebut selesai.

Dalam Bab 8 pula disentuh sedikit mengenai tatacara mengambil dan memberi keterangan di Mahkamah Syariah. Perkara-perkara yang boleh dianggap sebagai keterangan termasuklah perbincangan mengenai sepina dan affidavit. Bab 9 pula membincangkan penghakiman dan perintah yang dikeluarkan oleh hakim setelah selesai proses sesuatu  perbicaraan. Jenis-jenis perintah yang dikeluarkan, keperluan kepada mencatit nota keterangan sewaktu perbicaraan  dan menyediakan alasan penghakiman. Cara dan teknik untuk mencatit nota keterangan dan menulis alasan penghakiman.

Manakala bab 10 pula  membincangkan proses selepas perbicaraan yang dibahagikan kepada dua Bahagian. Bahagian I membincangkan tatacara untuk memfailkan rayuan dan bahagian II menyentuh mengenai tatacara untuk memfailkan semakan.  Bab 11 pula juga di bahagikan kepada dua bahagian. Iaitu Penguatkuasaan perintah  dan pelaksanaan perintah. kedua-dua bahagian ini membincangkan tatacara yang boleh dan perlu dilakukan jika sesuatu perintah tersebut telah gagal dipatuhi. Kesan-kesan kepada pihak yang melanggar perintah dan tindakan yang boleh diambil sehinggalah kepada pengkomitan.

Bab 12 pula menyentuh mengenai kuasa dan tugas bailiff, memperkenalkan kepada pembaca  siapakah bailiff dan tugas-tugas dan kuasa yang dibenarkan dan yang tidak dibernarkan untuk seseorang bailiff. Diikuti dengan Bab 13 mengenai prosiding interlulotori pada Bahagian I dan Perintah Interim pula dibincangkan pada Bahagian II.  Kedua-dua bahagian dalam bab ini mengupas amalan Mahkamah Syariah mengenai prosiding interlukotori, ex parte, injunksi dan sebagainya.

Manakala Bab 14 pula berkisar kepada kuasa seseorang Hakim Syarie dan Pendaftar termasuklah kuasa Hakim Syarie untuk mendengar rayuan terhadap keputusan Pendaftar di dalam kamar. Dibincangkan secara ringkas tatacara atau prosiding menghidupkan kes yang ditolak dan sebagainya.

Bab 15 pula membincangkan isu-isu mengenai wang dan harta dalam mahkamah, kos, elaun dan fi Mahkamah yang dibahagikan kepada dua Bahagian. Perbincangan buku ini berakhir dengan Bab 16 yang menyentuh mengenai penghinaan Mahkamah, bentuk-bentuk penghinaan mahkamah dan  tatacara penghinaan mahkamah. Disentuh  juga secara ringkas mengenai tatacara penghinaan Mahkamah yang dimulakan oleh Pendakwa Syarie dengan memberi panduan tatacara pendakwaan jenayah dalam kes penghinaan Mahkamah. Walaupun ianya lebih mirip kepada tatacara jenayah, tetapi difikirkan adalah wajar tatacara atau prosiding tersebut disentuh dalam bab ini bagi membezakan dengan prosiding mal yang biasa.

Buku ini diakhiri oleh Bab 17 yang merupakan penutup dan  kesimpulan kepada keseluruhan perbincangan yang dikemukakan. Menekankan kepada wajarnya pemakaian Hukum Syarak yang diberikan oleh undang-undang digunakan sepenuhnya oleh Mahkamah Syariah bagi menampung kekurangan prosiding atau Tatacara Mal semasa pengendalian kes mal di Mahkamah Syariah.

Bagi memudahkan pembaca membuat rujukan, senarai borang dan contoh dokumen disertakan di dalam halaman muka surat yang sama. Penulis sengaja memasukkan contoh-contoh borang tanpa melampirkannya di halaman belakang bagi kemudahan pembaca merujuknya secara langsung. kelemahan serius di Mahkamah Syariah ialah kebanyakan Peguam Syarie  tidak mengambil berat mengenai hal ini.

KEPERLUAN KEPADA UNDANG-UNDANG TATACARA MAL (iii)


(iii)

Skop buku ini adalah mengambil rujukan asasnya berdasarkan statut dan undang-undang yang berkuatkuasa di Negeri Sembilan, iaitu Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003, Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 2003, Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 2003 dan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Sembilan) 2003. Sungguhpun skopnya merujuk kepada undang-undang yang berkuatkuasa di Negeri Sembilan, tetapi pemakaian dan penggunaannya dibincang secara meluas tanpa menghadkan pemakaiannya hanya di Negeri Sembilan. Keadaan ini bukanlah sesuatu yang asing kerana penyeragaman set undang-undang yang dilaksanakan oleh kerajaan-kerajaan negeri atas usaha Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) telah menyatukan dan menyeragamkan undang-undang tersebut bagi tujuan memudahkan sistem pengurusan dan meningkatkan taraf pengendalian kes di Mahkamah Syariah. Buku ini juga banyak merujuk kepada arahan-arahan semasa diperingkat persekutuan bagi tujuan penyeragaman tersebut. Bagi tujuan tersebut, Arahan-Arahan Amalan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia telah dimasukkan dan juga dijadikan sebagai satu rujukan asas dalam buku ini bagi memperkemaskan pemahaman terutamanya yang menyentuh peruntukan-peruntukan yang tidak dinyatakan dengan jelas di dalam Enakmen.

Rujukan secara menyeluruh juga dibuat kepada kes-kes yang dilaporkan dari seluruh Negara dalam menyokong fakta-fakta yang dinyatakan di dalam buku ini. Bagaimanapun, kes-kes Mahkamah Syariah yang dirujuk kebanyakannya hanyalah berkisar pada tahun 2000 ke atas kecuali sebilangan kecil kes-kes yang dilaporkan pada tahun-tahun sebelumnya sahaja yang dirujuk. Sebab yang terkuat kenapa hanya kes-kes yang terkemudian sahaja yang menjadi fokus buku ini ialah, Enakmen/Akta/Ordinan Tatacara Mal Mahkamah Syariah ini hanya diwujudkan pada sekitar tahun 2000 ke atas, Di Negeri Sembilan misalnya, Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah ini hanya diwartakan pada tahun 2004. Sebelum tahun tersebut, pengendalian kes di Mahkamah-Mahkamah Syariah adalah bergantung penuh kepada Kaedah-Kaedah Acara Mal Mahkamah Syariah negeri-negeri yang tidak seragam dan rujukan biasanya dibuat kepada amalan di Mahkamah Sivil jika sesuatu isu itu tidak diperuntukkan di dalam statut berkenaan.

KEPERLUAN KEPADA UNDANG-UNDANG TATACARA MAL (ii)


(ii)

Dari sudut yang lain, adalah terlalu kurang bahan rujukan mengenai pengendalian kes di Mahkamah Syariah berbanding dengan buku-buku rujukan lain yang kebanyakannya secara khusus  memfokuskan kepada permasalahan atau isu semasa. Kertas-kertas kerja atau seminar yang diadakan mengenai tatacara mal juga tidak banyak yang dibukukan. keadaan ini tentulah menyukarkan pengamal-pengamal undang-undang syariah untuk membuat rujukan dan mempraktikkan tatacara pengendalian kes di mahkamah Syariah.  penghasilan buku ini adalah diharap dapat memberi panduan yang bermanfaat kepada mereka.


Dari aspek perbicaraan kes-kes mal di Mahkamah Syariah, pendekatan dibuat biasanya secara umum yang mungkin dicetuskan berasaskan  pengalaman dan mengambil kira peruntukan dalam statut yang dikuatkuasakan. Sebagai contoh, Tan Sri Dato’ Sheikh Ghazali Hj Abdul Rahman dalam beberapa tulisan beliau antara lain apabila membincangkan bagaimana proses perbicaraan kes-kes mal tidak merujuk kepada satu bentuk tertentu atau piawaian bagaimana pendengaran dan perbicaraan kes itu berakhir, dan menjelaskan beberapa isu berkaitan berdasarkan kes-kes yang diputuskan di Mahkamah Syariah.[1] Boleh dikatakan bahawa kajian dan penulisan tentang prosedur yang berkaitan dengan tuntutan mal di Mahkamah Syariah tidak banyak ditemui. Ini kerana sebagaimana dimaklumi bahawa kerajaan-kerajaan negeri baru sahaja menggubal undang-undang khusus yang berkaitan dengan tatacara mal di Mahkamah Syariah iaitu mulai tahun 1980an[2] dan kebanyakan negeri hanya menggunakan beberapa peruntukan  berkaitan  yang terkandung di dalam enakmen induk (Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam) dan juga tertakluk di atas budi bicara kadi-kadi untuk meneruskan amalan sedia ada.

Antara penulisan yang dapat dikesan ialah oleh Mohd Raziff Tan Sri Zahir yang menulis mengenai tuntutan-tuntutan mal di Mahkamah Syariah.[3] Beliau antara lain menjelaskan bahawa terdapat perbezaan prosedur permohonan tuntutan mal di negeri-negeri  dan termasuklah dari perbezaan bidangkuasa mahkamah yang mendengar tuntutan mal  serta isu-isu lain yang berkaitan  misalnya locus standi, permohonan ex parte, penggunaan affidavit dan penguatkuasaan perintah.[4]  Penyelidikan lain yang berhubung dengan prosedur mal di Mahkamah Syariah dibuat oleh Mohd Zaidi bin Md. Zain @ Zakaria. Desartasi beliau bertajuk ‘Kanun Prosedur Mal Syariah Selangor 1991: Suatu Kajian terhadap pelaksanaannya di Mahkamah Syariah Selangor Darul Ehsan’.[5]  Kajian beliau tertumpu kepada pemakaian undang-undang Acara Mal yang dipakai di Mahkamah Syariah  di Negeri Selangor yang meliputi aspek pengaduan, pemfailan, perbicaraan, penghakiman, pelaksanaan perintah dan rayuan.  Apa yang menarik dalam kajian ini ialah beberapa kelemahan peruntukan  dalam prosedur yang dipakai termasuklah mengenai  soal ex parte, amalan perlantikan wakalah dan lain-lain.[6]

            Berbeza sedikit dengan penghasilan buku ini, perbincangan yang diutarakan bukan bertujuan untuk mengkritik dan mencari kelemahan peruntukan yang sedia ada, tetapi perbincangannya lebih memfokuskan kepada kehendak-kehendak Undang-Undang Tatacara Mal dan amalan-amalan secara praktikal di Mahkamah Syariah. Penghasilan buku ini sekurang-kurangnya menambahkan koleksi mengenai penulisan undang-undang tatacara mal di Mahkamah-mahkamah Syariah seluruh Malaysia. Biarpun ianya mungkin tidak mampu menjelaskan secara akademik, namun sesuai dengan tajuknya ‘Undang-Undang Tatacara Mal Mahkamah Syariah, Prinsip dan Amalan, penerangan yang diberikan mengikut amalan semasa Mahkamah Syariah mungkin sedikit sebanyak dapat membantu pembaca terutamanya yang baru berkecimpung dengan sistem kehakiman syariah di Malaysia. Setidak-tidaknya sebagai  satu panduan asas yang perlu ditambah dengan rujukan-rujukan lain yang lebih berotoriti.



[1] Dr Suwaid Tapah, Undang-Undang Mal Syariah, dalam Mahkamah Syariah din Malaysia: Pencapaian dan Cabaran Alaf Baru, Ahmad Hidayat Buang, (ed), Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya,   2005, hlm. 29.

[2] Sebagai contoh Enakmen Tatacara Mal Negeri Kedah 1979 berkuatkuasa  pada 1984, Enakmen Acara Sivil Syariah Negeri Kelantan 1984 berkuatkuasa pada 31 Januari 1985, kanun Prosedur Mal Syariah Negeri Selangor 1991, Ordinan Acara Mal Syariah Sarawak 1991, Enakmen Prosedur Mal Syariah Sabah 1993 dan lain-lain.

[3] Mohd Raziff Tan Sri Zahir, Tuntutan-tuntutan Mal di Mahkamah Syariah Dari Aspek Amalan, dalam Ahmad Hidayat Buang (ed), hal 128-142.

[4] Ibid. 128-142

[5] Desartasi Sarjana Syariah, Jabatan Syariah dan Undang-Undang, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, 2000. Lihat juga Dr Suwaid Tapah, Ibid, hlm. 30.

[6] Dr Suwaid Tapah, Ibid, hlm. 30.

KEPERLUAN KEPADA UNDANG-UNDANG TATACARA MAL

PENDAHULUAN


“Seorang Hakim di Mahkamah Syariah bukan sahaja perlu melihat kepada Hukum Syarak dan undang-undang pokok akan tetapi perlu juga mempastikan bahawa peraturan mengenai acara dipatuhi.” - Prof. Ahmad Ibrahim

(i)

Mahkamah Syariah seringkali dilabel sebagai mahkamah kelas kedua, gagal menjalankan tanggungjawab dalam mengendalikan urusan hal ehwal umat Islam terutamanya yang melibatkan kes-kes keluarga, tidak adil, berat sebelah dan lebih condong kepada kaum lelaki dan sebagainya. jika diamati, undang-undang Islam setakat yang dibenarkan oleh statut telah lama diamalkan di Malaysia. Masa yang panjang seharusnya memberi ruang yang luas kepada Institusi Mahkamah Syariah untuk memperkem- bangkan dan membuktikan kemampuannya kepada masyarakat. Malangnya komen-komen negative masih terus kedengaran sehingga perbincangannya dibawa ke dalam dewan parlimen.

Antara Kelemahan ketara di Mahkamah Syariah bukanlah kepada undang-undang yang sedia ada. Apa yang berlaku ialah cara bagaimana undang-undang itu dijalankan. Undang-undang Keluarga Islam sebagai contohnya, telah dipinda dari masa ke semasa dan hampir memenuhi kehendak masyarakat walaupun tidak dapat memenuhi naluri semua pihak. Peraturan perkahwinan, perceraian, hak-hak semasa dan selepas perceraian, masalah-masalah yang timbul selepas perceraian, boleh dikatakan hampir semuanya ada diperuntukkan di dalam undang-undang Keluarga Islam. Demikian juga yang melibatkan harta-harta dan kewangan termasuklah masalah pembahagian pusaka, wakaf, hibah, wasiat, pemelukan dan perisytiharan keluar Islam dan sebagainya telah digubal bagi memberikan keadilan sewajarnya kepada pihak yang berhak. Malah undang-undang Syariah di Malaysia dikatakan antara yang terbaik di dunia berbanding Negara-negara Islam yang lain. Bagaimanapun cemuhan tetap timbul di kalangan masyarakat awam mengenai kelemahan pentadbiran organisasi Mahkamah Syariah terutamanya dari segi pengendalian kes.

Kritikan dari masyarakat biasanya timbul atau lahir apabila mereka tidak berpuashati dengan cara pengendalian kes yang diamalkan oleh Mahkamah Syariah. Masyarakat seringkali merungut apabila menghadapi kesukaran untuk menyelesaikan masalah yang timbul misalnya, banyak borang-borang yang perlu diisi, penggunaan borang yang tidak sesuai dengan kehendak kes, penangguhan yang kerap, penyempurnaan saman yang diragui, defendan yang tidak pernah hadir, saksi yang enggan datang membantu, perebutan anak, perintah yang tidak dipatuhi, dan sebagainya. Masalah-masalah tersebut, walaupun dilihat secara mata kasar hanyalah perkara normal yang berlaku pada setiap masyarakat didunia ini, tetapi ianya menjadi mudah, licin dan teratur apabila diuruskan dengan sempurna mengikut peraturan-peraturan yang telah ditetapkan. kegagalan memahami peraturan-peraturan tersebut, menyebabkan berlakunya ketidak adilan, kerumitan dan kesukaran kepada pihak-pihak yang terlibat. Kerana itulah Undang-Undang Tatacara Mal Mahkamah Syariah telah digubal bagi memudahkan jalan penyelesaian kepada pengurusan masalah tersebut.

Seadil mana pun undang-undang digubal bagi memenuhi keperluan masyarakat, akan tetapi undang-undang itu akan menjadi tidak bermakna jika pengendaliannya dibuat mengikut kehendak naluri Hakim atau peguam yang mengendalikan kes tersebut semata-mata tanpa mengikut tatacara yang ditetapkan. Atau, jika ada tatacara sekalipun, ianya tidak dipatuhi dan diikuti, sama ada kerana kelemahan atau kejahilan memahami maksud peraturan itu, maka undang-undang yang adil dan sempurna itu akan dilihat sebagai tidak adil dan zalim pada masyarakat. Maka keperluan kepada mempelajari dan memahami cara mengendalikan kes adalah sesuatu yang amat mustahak dan menjadi amat penting dalam menegakkan keadilan.

Mengendalikan kes mengikut peraturan yang telah ditetapkan secara cekap dan sempurna menjadikan seseorang Hakim dan peguam syarie itu dipandang lebih mulia dan berwibawa. Masyarakat akan berpuashati dan pihak-pihak akan akur dengan keputusan mahkamah sekalipun mereka gagal dalam menuntut sesuatu hak, kerana percaya kepada kredebiliti mahkamah yang mengendalikan kes tersebut.

Tidak dinafikan, pengendalian yang baik dalam menguruskan kes di mahkamah memberikan kesan yang besar kepada pihak-pihak. Sejarah kehakiman Islam telah membuktikan bagaimana pengendalian yang sempurna itu memberikan kepuasan kepada masyarakat. Dalam satu riwayat ada menyebutkan bahawa Hakim Syuraih yang mengadili perbicaraan antara Saidina Ali Karramallah ‘Ala Wajhah dan seorang lelaki Yahudi yang dituduh mencuri baju besi baginda. Dalam kes tersebut, Hakim Syuraih telah menolak dakwaan Saidina Ali kerana kekurangan bukti dan memberikan hak kepada orang bukan Islam iaitu lelaki Yahudi tersebut. Kagum dengan pengendalian kes yang dilaksanakan oleh Hakim Syuraih secara adil dan mengikut prosiding yang ditetapkan oleh Hukum Syarak, menyebabkan lelaki Yahudi itu memulangkan kembali baju besi tersebut. Dalam riwayat yang lain dikatakan beliau telah memeluk Islam kerana tertarik dengan keindahan dan keadilan yang ditunjukkan oleh sistem perundangan Islam.

kes ini membuktikan bahawa sesuatu undang-undang itu dipandang dari sudut pengendaliannya yang teratur, kerana itulah yang mencerminkan keadilan yang sebenarnya. Sesuatu undang-undang itu dikatakan adil bila dilaksanakan dengan cara yang penuh berhemah dan mengikut aturan. Akan tetapi kemuliaan undang-undang itu akan menjadi buruk dan zalim apabila ia tidak dilaksanakan secara tersusun. Sebagai contohnya, di dalam buku Pengembaraan Ibnu Batutah ada disebutkan tentang pemerhatiannya sepanjang pengembaraannya mengenai amalan-amalan kadi yang korap dalam mengendalikan kes, berat sebelah dan mengharapkan ganjaran, menghukum tidak mengikut kehendak syarak dan sebagainya. Antaranya sewaktu pengembaraannya ke Negeri Mali, ada dikisahkan bagaimana seorang pemanah Iraq yang dibunuh rakannya, mayatnya dibiarkan reput dan busuk. Jenazahnya lambat dikebumikan kerana prosiding perbicaraan yang lemah dan akur dengan kehendak Naib Sultan sehingga tertangguhnya hukuman kepada pembunuh dalam usaha naib sultan yang ingin membebaskan pembunuh tersebut dengan membayar wang gantirugi dan sebagainya. Sebahagian kisah-kisah yang diceritakan oleh Pengembara agung tersebut menunjukkan bagaimana undang-undang Islam yang mulia dan adil itu dilihat zalim dan tidak bertamadun kerana pengendaliannya yang tidak mengikut etika kehakiman syarak dan dilaksanakan secara tidak teratur. Dari kisah-kisah tersebut, dapatlah disimpulkan bahawa, pengendalian kes yang teratur mengikut tatacara yang ditetapkan oleh Hukum Syarak itulah yang mencerminkan keadilan sebenarnya.

Atas kesedaran itulah, buku Undang-Undang Tatacara Mal di Mahkamah Syariah ini dihasilkan. Ianya bertujuan untuk membantu pengamal-pengamal undang-Undang Syariah seperti peguam Syarie, Hakim Syarie dan semua pihak yang terlibat atau yang berurusan dengan Mahkamah Syariah termasuklah para pelajar undang-undang syariah di institusi pendidikan tinggi untuk mempraktikkan amalan guaman syarie dan membantu meningkatkan lagi kemahiran mengendalikan kes di Mahkamah Syariah dan menonjolkan kepada masyarakat awam bahawa undang-undang Islam yang diamalkan di Negara ini adalah suatu undang-undang yang adil dan mulia. Masyarakat akan menilai sesuatu itu baik berdasarkan tatacara pengendaliannya.

Contoh lain yang lebih jelas ialah, satu ketika dulu masyarakat agak panik dengan hasrat kerajaan Negeri Kelantan ingin mewujudkan hukum hudud, sehingga timbul perdebatan hangat yang mana akhirnya pelaksanaan tersebut telah tertangguh dan tidak dapat dilaksanakan. Yang terbaru ialah mengenai isu seorang model yang dijatuhi hukuman sebat oleh mahkamah Syariah di sebuah negeri di Pantai Timur Negara ini dengan mendapat liputan meluas di akhbar tempatan. Keadaan ini menggambarkan secara jelas kekeliruan dan ketakutan masyarakat tentang keindahan, kemuliaan dan keadilan undang-undang Islam. Apa yang ingin disentuh disini ialah, kebimbangan itu wujud bukan kerana undang-undang itu sendiri, tetapi kebimbangan sebenar ialah mengenai bagaimana undang-undang itu dilaksanakan nanti. Sungguhpun sebahagian besar rakyat Malaysia yang beragama Islam faham keadaan tersebut, tetapi kebimbangan itu wujud antaranya ialah kerana ketidakyakinan masyarakat terhadap pengendalian undang-undang itu yang mungkin tidak mampu dilaksanakan secara sempurna. Maka tidak dapat tidak, undang-undang tatacara mal adalah suatu undang-undang yang penting untuk dipelajari dan diterokai, kerana kemahiran mengendalikan kes dengan sempurna akan menambahkan keyakinan masyarakat, maka tidak hairanlah suatu hari nanti, undang-undang Islam akan diterima dengan baik oleh semua lapisan masyarakat di Negara ini apabila masyarakat mula tertarik dengan susunan dan ketertibannya yang diamalkan di Mahkamah-mahkamah Syariah!

Saturday, July 17, 2010

ziarah di kota Mekah


24hb September

Pagi ini aku bangun sahur jam 3.30 pagi. Kemudian cepat-cepat kami bersiap untuk mengerjakan solat subuh di Masjidilharam. Aku mengenakan jubah putih labuh dan serban merah yang dibeli di pasar al Harem di Madinah berhadapan dengan masjid Nabawi tempoh hari. Buat pertama kalinya aku mengerjakan solat tahiyatul masjid, solat taubah dan solat tahajjud di Masjidilharam yang amat khusyuk di tingkat atas (tingkat 3) bangunan Masjidilharam. Amat jelas dengan pandangan bumbung kaabah yang mulia.
Sekembalinya dari Masjidilharam, lebihkurang jam 7.30 pagi kami berkumpul di lobi hotel untuk mengerjakan ziarah di kota Mekah. Kami dibawa ke  Jabal Nur iaitu tempat terdapatnya gua Hira’ dimana Rasulullah SAW menerima wahyu yang pertama (iqra’ bismirabbika…), Bukit Thur tempat Nabi saw bersembunyi dari golongan Musyrikin Quraisy yang ingin membunuhnya. Kemudian kami menuju ke Jabal Rahmah, tempat di mana Siti hawa berdoa untuk bertemu kekasihnya yang juga suaminya Nabi Adam AS. 

Di Jabal Rahmah, dikatakan tempat yang amat mustajab doa bagi mereka yang ingin mencari jodoh. Wallahu’alam.


Jabal Rahmah, di puncak inilah Siti hawa RA berdoa 
agar diketemukan dengan Nabi adam As.


Di Jabal Rahmah juga aku berpeluang menaiki unta yang telah lama aku idam-idamkan. Pengembala-pengembala unta dari golongan Arab badwi ini menggunakan tipu helah dengan meletakkan unta betul-betul berhadapan dengan pintu bas. Si unta pula adalah binatang yang amat patuh pada tuannya, tidak akan berganjak selagi tidak diarahkan oleh tuannya bangun sehinggalah ada diantara jemaah yang sudi menunggangnya. Aku memilih seekor unta dan menunggang bersama ku ialah Imam Sutan Gajab. Pengembala unta tersebut membawa untanya mengelilingi kawasan dataran tempat parking dan mengambil beberapa keping gambar. Selesai mengambil gambar, beliau meminta upah yang amat mengejutkanku, tujuh puluh rial bagi tujuh keping gambar, Masyaallah! Mereka adalah pendusta besar, meskipun hati terasa agak marah dengan kejadian itu, aku memendamkan perasaan kerana niat ingin beribadat. Lagi pun mereka tidak akan kaya jua dengan hanya mencekik darah jemaah umrah seperti itu. Aku kemudiannya mendaki puncak Jabal rahmah bersendirian.



Beberapa orang asing kebanyakannya dari Afrika seperti Sudan, mali dansebagainya mengendeng datang dan memujukku agar mengambil beberapa keping lagi gambar, namun aku menolaknya kerana tidak ingin menambah lagi kemarahan yang belum reda diperdayakan oleh mereka. Di anak-anak tangga mendaki puncak itu, kelihatan agak ramai peminta sedekah yang kudung tangan dan kaki mereka mengharapkan simpati pengunjung. Dikatakan mereka ini kudung tangan atau kaki mereka kerana dipotong akibat kesalahan mencuri, kerana itulah mereka tidak begitu dipedulikan di Kota Mekah, masyaalah, moga dijauhkan aku dari segala bala’. Sejauh mana kebenaran kenyataan itu, tidak pula aku peduli untuk mengetahui lebih lanjutnya.

Dari Jabal Rahmah, bas kami meluncur ke Jamrah dimana tempat jemaah haji melontar Syaitan. Bagaimanapun kami gagal untuk memasuki tempat jamrah kerana ada kerja-kerja membesarkan laluan sempena musim haji nanti. Di sepanjang perjalanan dapat dilihat kawasan berkhemah di mina, mudzalifah dimana khemah-khemah disusun beribu-ribu banyaknya mengikut negara-negara tertentu bagi memudahkan jemaah haji bermalam.

Kami kemudiannya mengakhiri ziarah dengan menuju ke Jaaranah. Di Jaaranah ini cadangnya kami akan berniat umrah di masjid Jaaranah. Malangnya hari yang sangat panas dan hidung ku sekali lagi berdarah kerana bahang yang agak panas menyebabkan aku dan ustaz Yahya membatalkan niat untuk berniat ihram disini walaupun pakaian ihram dan kelengkapan lain telah ku sediakan.

Balik ke Hotel, kami bersiap untuk berbuka puasa dan mengerjakan solat isyak serta tarawih di Masjidilharam. Imam mengalunkan solat dengan bacaan yang syahdu malah menangis teresak-esak sewaktu membaca surah-surah yang menyayat hati dari ayat-ayat A li-Imran. Aku turut dibuai terutamanya waktu doa Qunut. Malam ini terasa lebih segar dan kuat berbanding hari sebelumnya.



Iftar Di Masjidil Haram

23hb September



Balik dari solat subuh di Masjidilharam, aku tidak menyertai jemaah yang lain kerana kepenatan mengerjakan ihram malam tadi. Aku terus balik ke bilik hotel dan merebahkan badan langsung tertidur. Jam 11.30 am, aku dikejutkan oleh pakcik Adam untuk bersiap-siap mengerjakan solat zuhur di Masjidilharam.

Menjelang petang, setelah solat asar, kenikmatan lain mulai merasuk. Berbondong-bondong kaum Muslimin mulai memadati Masjidilharam untuk menunaikan solat maghrib dan tentunya berbuka puasa bersama.

Di depan halaman masjid, puluhan orang membahagi-bahagikan makanan, mulai dari kurma, susu, pisang, roti, dan makanan lain. Di dalam dan di luar masjid sudah terhampar plastik panjang yang di atasnya tersaji kurma dan air zamzam. Ribuan kaum Muslimin dari seluruh penjuru dunia menantikan azan magrib untuk berbuka puasa bersama. Ketika azan berkumandang, serentak ribuan kaum Muslimin melakukan buka bersama, regukan secangkir air zamzam dan sebutir kurma menghilangkan rasa haus dan lapar di tanah suci itu dengan kenikmatan yang tiada tara. 



 iftar - Masjidil haram

Kebersamaan, rasa berbagi, dan kesatuan sosial menyatu dalam jalinan kasih sayang di antara kaum Muslimin. Selesai acara berbuka, iqamah berkumandang untuk mengajak menunaikan solat Maghrib. Menjelang Isya’, jemaah kembali berkumpul untuk menunaikan salat isya’ dilanjutkan dengan solat tarawih. Di depan Kaabah, solat isya’ dan tarawih terasa lebih khusyuk, apalagi dipandu lantunan suara imam Masjidilharam yang bening menyentuh kalbu membaca ayat-ayat Allah dengan fasih, lantang, dan merdu mengimami saf jemaah yang rapat menghadap Kaabah. Imam menghabiskan surah al-Baqarah untuk tarawih pada malam kedua di Masjidilharam.Meskipun surah-surah yang dibaca begitu panjang, namun tak terasa lama karena nikmatnya mendengar ayat-ayat Allah yang indah dan dibaca dengan fasih dan enak didengar. Selesai tarawih, dilanjutkan dengan tawaf sunah, mengelilingi Kaabah mengharap mardhatillah.

Dari Kota Madinah ke Kota Mekkah

Jam 3.00 am 22hb September, Aku mengerrjakan solat subuh terakhir di Masjid Nabawi. Terasa sayu sewaktu meninggalkan pekarangan Masjid kerana ini adalah subuh terakhir ku di masjid ini. Entah bila rezeki ku untuk kembali mengerjakan solat subuh yang syahdu dan tak pernah ku temui semenjak hayatku kecuali di Masjid Nabawi. Bagaimanapun, agak pelik juga kerana Imam tidak sujud sajadah sedangkan pagi ini adalah pagi jumaat. Menurut ustaz Yahya, Di Masjid Nabawi, Sujud sajadah hanya di buat dua kali sahaja dalam sebulan dan bukan pada setiap kali hari jumaat. Aku kemudiannya mengerjakan Ziarah wida’ dan salam selamat tinggal kepada Rasulullah SAW di makamnya.

bergambar kali terakhir di Hotel 'Alia al-Zahra, Madinah 
sebelum bertolak ke Makkah untuk mengerjakan umrah

Jam 11.30 tengahari, kami bersiap untuk mengerjakan solat jumaat di Masjid Nabawi. Solat yang panjang dan mengasyikkan. Sebaik selesai solat, aku bergegas pulang ke hotel untuk makan tengahari dan mandi sunat ihram kerana selepas ini kami akan berangkat ke kota Mekah untuk mengerjakan ibadah Umrah. Dari bilik Hotel, aku merenung sayu perkuburan Baqi’ yang menempatkan sahabat Rasulullah Saw iaitu saidina Uthman bin Affan dan isteri-isteri baginda Rasulullah saw termasuklah Siti Khadijah . Jam 2.35 pm, bas sudah sedia menunggu kami untuk bergerak ke kota Mekah. Aku dan jemaah lain telah bersiap memakai pakaian ihram. Kami kemudiannya bertolak ke Bir Ali. Setibanya di Bir Ali, semua jemaah umrah bersedia untuk mengerjakan solat sunat tahiyyatul masjid dan berniat ihram. Ustaz Yahya berpesan agar aku menanggalkan jam dan cincin dan semua pakaian yang bersarung. Perjalanan dari Bir Ali ke Kota Mekkah mengambil masa beberapa jam lagi. Sepanjang perjalanan di atas bas, ketua rombongan kami, Tuan Haji Jaafar  dan ustaz muda Imam Azli, pembimbing ibadah kami mengumumkan kepada jemaah untuk memulai ihlal ihram dengan berucap “Labbaika allahumma umratan (Ya Allah! Kami penuhi panggilan-Mu untuk menunaikan ibadah umrah)” dilanjutkan dengan membaca talbiyyah; “Labbaika allahumma labbaik, labbaika laa syarika laka labbaik, innal hamda wan ni'mata laka wal mulk laa syarikalak.”

-->
kami sempat singgah untuk minum teh di kawasan rehat 
sementara menunggu rakan lain menyempurnakan solat asar.

Talbiyyah dibaca terus berulang-ulang; tak terasa air mata menitis, bibir basah dengan talbiyah, dan hati teriris atas anugerah Allah yang memberikan kesempatan umrah di bulan Ramadan. Talbiah berterusan dibaca sehingga kami singgah di perjalanan untuk mengerjakan solat Maghrib dan Isyak. Sewaktu singgah di kawasan rehat, pemandu bas memberitahu bahawa di Mekah orang ramai telah mengerjakan solat terawih kerana esok umat Islam akan berpuasa. Perjalanan yang panjang selama lebih kurang tujuh jam menyebabkan aku menghabiskan masa dengan melayani perasaan dan tertidur sepanjang perjalanan. Jam 10.30 malam, kami tiba di Kota Suci Mekah dan melewati sempadan tanah haram. 

Hatiku bercampur baur antara resah dan keliru. Menurut Ustaz Yahya, hati yang resah menggambarkan ketidak istiqamah kita dalam mengerjakan ibadat. Keyakinan yang kuat akan menghilangkan rasa resah. Aku cuba menghadapi keadaan tersebut dan melawan perasaan yang berbelah bahagi, akhirnya keyakinanku mencapai tahap yang maksimum dan berserah kepada Allah kerana niat ku adalah untuk mengerjakan ibadat. Sesampainya di Kota Mekah, kami menginap di hotel Qasr al Nakhil, iaitu dari arah Marwah. Kami memasuki Babul Salam melalui Bab Osman untuk mengerjakan tawaf Umrah. Terpandang sahaja kaabah, aku terus berdoa dan hatiku terus meruntun dan taajub melihat kehebatan bangunan kaabah. Hati kecil ku tidak putus-putus berdoa. Melalui pintu Babussalam, kami memasuki Masjidilharam untuk melaksanakan tawaf dan saie. Di tengah jemaah yang menyemut kami menyeruak mencari garis coklat sejajar Hajar Aswad untuk memulai tawaf.  Dengan pakaian ihram putih melekat di tubuh, kami mulai mengelilingi Kaabah yang agung; berputar tujuh putaran dalam lingkaran mardhatillah. Putaran demi putaran melewati hingga putaran ketujuh. Peluh mulai menitis kerana padatnya manusia, tetesan rahmat dan kurnia-Nya di depan Kaabah yang berwibawa. 


 hati amat meruntun tak kala mata menatap  teguhnya binaan kaabah
Selesai pusingan ketujuh, kami menuju makam Ibrahim dan berdoa lalu solat dua rakaat, dan kembali ke garis coklat mengakhiri tawaf untuk selanjutnya menuju bukit Safa bagi memulai saie. Di bukit Safa, tak kuasa air mata menitis ketika takbir dikumandangkan tiga kali dan berdoa seraya mengangkat tangan, memohon ampunan Allah    dan akhirnya menyelesaikan semua rukun umrah dengan tawaf di kaabah dan mengerjakan solat sunat Ihram di hadapan kaabah, kemudian mengerjakan saie di Bukit Safa dan Marwah. Sehabis selesai saie, aku bertahalul dengan menggunting rambut di kaki bukit Marwah. Anggapanku bukit Safa dan Marwah adalah bukit seperti mana anggapan dan pandangan biasa, tetapi rupa-rupanya bukit itu tidak lagi kelihatan kerana terdapat binaan-binaan yang disediakan bagi memudahkan jemaah mengerjakan saie.
-->
Selesai mengerjakan Umrah lebih kurang jam 12.30 malam, ustaz Yahya membawa kami balik ke Hotel. Dalam perjalanan pulang kami singgah di kedai aiskrim Asmah dan aku belanja mereka makan aiskrim Asmah yang amat lazat di masjidil haram. Mengenai kelazatan aiskrim ini, sehingga dalam hati ku terdetik jika sekiranya aiskrim tersebut tidak cair, sudah pasti ku bawa pulang untuk di cuba oleh anak-anak. Di bilik Hotel, kami sekali lagi tinggal sebilik dengan Ustaz Yahya, Pakcik Adam dan Nekmat. Keadaan bilik yang agak panas menyebabkan aku tidur di atas lantai sahaja. Jam 3.00 pagi aku bangun bersahur dan bersiap untuk mengerjakan solat Subuh yang pertama di Masjidilharam.

Melawat medan Uhud dan Masjid Qiblatain

Jam 7.30 am, kami berkumpul di lobby Hotel zahra’ kerana pagi ini kami dijadualkan akan mengadakan ziarah di beberapa tempat di sekitar Madinah termasuklah ladang tamar. Aku juga singgah di medan perang Uhud dan sempat bergambar berlatar belakangkan Bukit uhud serta Bukit Skuad Pemanah tentera Islam yang menjadi benteng dan kunci kejayaan dalam perang tersebut. Bagaimana pun, kepintaran Khalid al walid dari golongan Musyrikin Quraisy yang memeperdayakan skuad memanah ini menyebakan tentera Islam kalah dalam peperangan dan akibatnya Saidina Hamzah Singa Allah al syahid telah gugur dalam peperangan ini dan dadanya telah dibelah dua oleh Hind isteri Abu Sufyan yang mana jantung dan limpanya hampir-hampir ditelan oleh Hind.

Jabal Uhud tempat berlakunya peperangan dengan tentera Quraisy

Masjid Quba’ yang dikenali juga dengan Masjid Qiblatain




Selepas menziarahi Jabal Uhud, kami dibawa ke masjid Quba’ yang juga dikenali sebagai masjid Qiblatain. Terkenal dengan nama Masjid Qiblatain kerana ada diriwayatkan Bahawa sewaktu solat Zohor di masjid ini, Baginda Rasulullah SAW telah menukarkan kiblat dari masjidil aqsa ke masjidil Haram setelah menerima wahyu dari Allah SWT di rakaat pertama. Untuk rakaat kedua hingga empat, rasulullah SAW telah memusingkan 80 darjah ke belakang bagi meneruskan solat dengan menghadap masjidil Haram. Di kenali dengan nama Masjid Quba’ pula, kerana di masjid inilah masjid pertama yang dibina oleh Nabi SAW sewaktu baginda berhijrah ke Madinah dari Kota Mekah  dengan mencacakkan daun-daun tamar untuk dijadikan mimbar sembahyang. Wallahua’lam.

TIBA DI KOTA MADINAH


6.30 PM, Sesedarnya aku dari tidur, hari telah pun malam. Beberapa ketika kemudian bas berhenti di RNR iaitu tempat rehat yang agak kering dan berdebu. Kami solat di masjid mengerjakan jamak maghrib dan Isyak dengan diimamkan oleh Sutan Gajab. Jam menunjukkan pukul 10.30 malam, aku agak kagum dengan keadaan kota Madinah yang besar dan sibuk. Madinah adalah bumi yang paling dikasihi oleh Allah s.w.t kerana ia merupakan tempat Nabi s.a.w berhijrah dan tempat tidur baginda manakala penduduknya pula merupakan jiran-jiran serta penolong baginda. Madinah juga merupakan gedung iman dan di sanalah iman dapat bertahan di akhir zaman nanti. Di pintu-pintu masuknya terdapat pengawal yang terdiri daripada Malaikat. Dajal dan penyakit taun tidak akan dapat memasukinya. Ia merupakan negara terakhir di dunia ini yang diruntuhkan. Ia juga merupakan tempat diturunkan wahyu. Hampir kesemua tempat di Madinah diturunkan ayat-ayat Al-Quran atau diriwayatkan Hadis-hadis. Ia adalah Haram Allah dan RasulNya s.a.w (Haramain). Dikatakan juga Sesiapa yang berniat buruk terhadapnya, Allah s.w.t akan membalasnya seperti garam yang larut di dalam air. Ianya terhindar dari segala keburukan atau kejahatan kerana sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah berdoa untuknya yang bermaksud: “Ya Allah, jadikanlah kami semua agar tetap menyintai Kota Madinah sebagaimana yang Engkau anugerahkan perasaan cinta kepada Kota Mekah, bahkan lebih dari itu.” Kami berhenti di sebuah Hotel bernama al-‘Alia al Zahra’, betul-betul berhadapan dengan Masjid Nabawi. Setibanya di Hotel Zahra’, kami dijamu dan makan dengan berselera. Selepas kepenatan, kami terus tertidur dan menghabiskan hari ketiga dengan seharian perjalanan.

Jam 3.00 am, aku dikejutkan oleh Ustaz Yahya dan pakcik Adam dan kami bersiap-siap untuk solat subuh di masjid Nabawi. Antara rakan sebilik ku kali ini ialah Nekmat, pakcik Adam dan Ustaz Yahya, seorang mutawwif.
Masjid Nabawi sewaktu senja (maghrib)
Masjid Nabawi Sebelum azan subuh berkumandang


Dari tingkap Hotel, pemandangan Masjid Nabawi adalah amat menakjubkan. Hatiku amat teruja dan seakan menangis apabila kakiku melangkah ke pintu masuk Masjid melalui bab al Salam dan melalui makam Rasulullullah SAW di Raudhah. Aku sempat memberi salam dan menyampaikan salam dari sahabat-sahabat di Malaysia. Aku juga berkesempatan melawat dan melewati makam  sahabat nabi iaitu saidina Abu Bakar al Sidiq dan saidina Umar al Farouk. Seterusnya mengerjakan solat tahiyyatul masjid, solat taubat dan solat tahajjud. Kemudian membaca al-Quran sementara menunggu masuknya waktu Solat subuh. Sewaktu muazzin melaungkan azan, keadaan menjadi semakin sesak dan sewaktu mengerjakan solat dalam keadaan berhimpit, aku hampir-hampir sesak nafas, namun dapat jua menyelesaikan solat fardhu tersebut.. Selepas solat, aku balik ke hotel dan menjamah sarapan pagi yang menyelerakan.



Buku Peguam Syarie dan Litigasi Mal di Mahkamah Syariah

 Atas permintaan ramai buku Peguam Syarie dan Litigasi Mal di Mahkamah Syariah telah dibuat cetakan semula, semoga buku ini dapat membantu a...