Sunday, July 18, 2010

KEPERLUAN KEPADA UNDANG-UNDANG TATACARA MAL (ii)


(ii)

Dari sudut yang lain, adalah terlalu kurang bahan rujukan mengenai pengendalian kes di Mahkamah Syariah berbanding dengan buku-buku rujukan lain yang kebanyakannya secara khusus  memfokuskan kepada permasalahan atau isu semasa. Kertas-kertas kerja atau seminar yang diadakan mengenai tatacara mal juga tidak banyak yang dibukukan. keadaan ini tentulah menyukarkan pengamal-pengamal undang-undang syariah untuk membuat rujukan dan mempraktikkan tatacara pengendalian kes di mahkamah Syariah.  penghasilan buku ini adalah diharap dapat memberi panduan yang bermanfaat kepada mereka.


Dari aspek perbicaraan kes-kes mal di Mahkamah Syariah, pendekatan dibuat biasanya secara umum yang mungkin dicetuskan berasaskan  pengalaman dan mengambil kira peruntukan dalam statut yang dikuatkuasakan. Sebagai contoh, Tan Sri Dato’ Sheikh Ghazali Hj Abdul Rahman dalam beberapa tulisan beliau antara lain apabila membincangkan bagaimana proses perbicaraan kes-kes mal tidak merujuk kepada satu bentuk tertentu atau piawaian bagaimana pendengaran dan perbicaraan kes itu berakhir, dan menjelaskan beberapa isu berkaitan berdasarkan kes-kes yang diputuskan di Mahkamah Syariah.[1] Boleh dikatakan bahawa kajian dan penulisan tentang prosedur yang berkaitan dengan tuntutan mal di Mahkamah Syariah tidak banyak ditemui. Ini kerana sebagaimana dimaklumi bahawa kerajaan-kerajaan negeri baru sahaja menggubal undang-undang khusus yang berkaitan dengan tatacara mal di Mahkamah Syariah iaitu mulai tahun 1980an[2] dan kebanyakan negeri hanya menggunakan beberapa peruntukan  berkaitan  yang terkandung di dalam enakmen induk (Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam) dan juga tertakluk di atas budi bicara kadi-kadi untuk meneruskan amalan sedia ada.

Antara penulisan yang dapat dikesan ialah oleh Mohd Raziff Tan Sri Zahir yang menulis mengenai tuntutan-tuntutan mal di Mahkamah Syariah.[3] Beliau antara lain menjelaskan bahawa terdapat perbezaan prosedur permohonan tuntutan mal di negeri-negeri  dan termasuklah dari perbezaan bidangkuasa mahkamah yang mendengar tuntutan mal  serta isu-isu lain yang berkaitan  misalnya locus standi, permohonan ex parte, penggunaan affidavit dan penguatkuasaan perintah.[4]  Penyelidikan lain yang berhubung dengan prosedur mal di Mahkamah Syariah dibuat oleh Mohd Zaidi bin Md. Zain @ Zakaria. Desartasi beliau bertajuk ‘Kanun Prosedur Mal Syariah Selangor 1991: Suatu Kajian terhadap pelaksanaannya di Mahkamah Syariah Selangor Darul Ehsan’.[5]  Kajian beliau tertumpu kepada pemakaian undang-undang Acara Mal yang dipakai di Mahkamah Syariah  di Negeri Selangor yang meliputi aspek pengaduan, pemfailan, perbicaraan, penghakiman, pelaksanaan perintah dan rayuan.  Apa yang menarik dalam kajian ini ialah beberapa kelemahan peruntukan  dalam prosedur yang dipakai termasuklah mengenai  soal ex parte, amalan perlantikan wakalah dan lain-lain.[6]

            Berbeza sedikit dengan penghasilan buku ini, perbincangan yang diutarakan bukan bertujuan untuk mengkritik dan mencari kelemahan peruntukan yang sedia ada, tetapi perbincangannya lebih memfokuskan kepada kehendak-kehendak Undang-Undang Tatacara Mal dan amalan-amalan secara praktikal di Mahkamah Syariah. Penghasilan buku ini sekurang-kurangnya menambahkan koleksi mengenai penulisan undang-undang tatacara mal di Mahkamah-mahkamah Syariah seluruh Malaysia. Biarpun ianya mungkin tidak mampu menjelaskan secara akademik, namun sesuai dengan tajuknya ‘Undang-Undang Tatacara Mal Mahkamah Syariah, Prinsip dan Amalan, penerangan yang diberikan mengikut amalan semasa Mahkamah Syariah mungkin sedikit sebanyak dapat membantu pembaca terutamanya yang baru berkecimpung dengan sistem kehakiman syariah di Malaysia. Setidak-tidaknya sebagai  satu panduan asas yang perlu ditambah dengan rujukan-rujukan lain yang lebih berotoriti.



[1] Dr Suwaid Tapah, Undang-Undang Mal Syariah, dalam Mahkamah Syariah din Malaysia: Pencapaian dan Cabaran Alaf Baru, Ahmad Hidayat Buang, (ed), Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya,   2005, hlm. 29.

[2] Sebagai contoh Enakmen Tatacara Mal Negeri Kedah 1979 berkuatkuasa  pada 1984, Enakmen Acara Sivil Syariah Negeri Kelantan 1984 berkuatkuasa pada 31 Januari 1985, kanun Prosedur Mal Syariah Negeri Selangor 1991, Ordinan Acara Mal Syariah Sarawak 1991, Enakmen Prosedur Mal Syariah Sabah 1993 dan lain-lain.

[3] Mohd Raziff Tan Sri Zahir, Tuntutan-tuntutan Mal di Mahkamah Syariah Dari Aspek Amalan, dalam Ahmad Hidayat Buang (ed), hal 128-142.

[4] Ibid. 128-142

[5] Desartasi Sarjana Syariah, Jabatan Syariah dan Undang-Undang, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, 2000. Lihat juga Dr Suwaid Tapah, Ibid, hlm. 30.

[6] Dr Suwaid Tapah, Ibid, hlm. 30.

No comments:

MADRID II

  Kota Madrid seawal abad ke 9 pernah diperintah oleh gabenur Umayyah Andalusia dan kota ini dikenali sebagai 'majrit' dari kata asa...