Sunday, July 18, 2010

KEPERLUAN KEPADA UNDANG-UNDANG TATACARA MAL (iii)


(iii)

Skop buku ini adalah mengambil rujukan asasnya berdasarkan statut dan undang-undang yang berkuatkuasa di Negeri Sembilan, iaitu Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003, Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 2003, Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 2003 dan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Sembilan) 2003. Sungguhpun skopnya merujuk kepada undang-undang yang berkuatkuasa di Negeri Sembilan, tetapi pemakaian dan penggunaannya dibincang secara meluas tanpa menghadkan pemakaiannya hanya di Negeri Sembilan. Keadaan ini bukanlah sesuatu yang asing kerana penyeragaman set undang-undang yang dilaksanakan oleh kerajaan-kerajaan negeri atas usaha Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) telah menyatukan dan menyeragamkan undang-undang tersebut bagi tujuan memudahkan sistem pengurusan dan meningkatkan taraf pengendalian kes di Mahkamah Syariah. Buku ini juga banyak merujuk kepada arahan-arahan semasa diperingkat persekutuan bagi tujuan penyeragaman tersebut. Bagi tujuan tersebut, Arahan-Arahan Amalan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia telah dimasukkan dan juga dijadikan sebagai satu rujukan asas dalam buku ini bagi memperkemaskan pemahaman terutamanya yang menyentuh peruntukan-peruntukan yang tidak dinyatakan dengan jelas di dalam Enakmen.

Rujukan secara menyeluruh juga dibuat kepada kes-kes yang dilaporkan dari seluruh Negara dalam menyokong fakta-fakta yang dinyatakan di dalam buku ini. Bagaimanapun, kes-kes Mahkamah Syariah yang dirujuk kebanyakannya hanyalah berkisar pada tahun 2000 ke atas kecuali sebilangan kecil kes-kes yang dilaporkan pada tahun-tahun sebelumnya sahaja yang dirujuk. Sebab yang terkuat kenapa hanya kes-kes yang terkemudian sahaja yang menjadi fokus buku ini ialah, Enakmen/Akta/Ordinan Tatacara Mal Mahkamah Syariah ini hanya diwujudkan pada sekitar tahun 2000 ke atas, Di Negeri Sembilan misalnya, Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah ini hanya diwartakan pada tahun 2004. Sebelum tahun tersebut, pengendalian kes di Mahkamah-Mahkamah Syariah adalah bergantung penuh kepada Kaedah-Kaedah Acara Mal Mahkamah Syariah negeri-negeri yang tidak seragam dan rujukan biasanya dibuat kepada amalan di Mahkamah Sivil jika sesuatu isu itu tidak diperuntukkan di dalam statut berkenaan.

No comments:

MADRID II

  Kota Madrid seawal abad ke 9 pernah diperintah oleh gabenur Umayyah Andalusia dan kota ini dikenali sebagai 'majrit' dari kata asa...