Jam 3.00 am 22hb September, Aku mengerrjakan solat subuh terakhir di Masjid Nabawi. Terasa sayu sewaktu meninggalkan pekarangan Masjid kerana ini adalah subuh terakhir ku di masjid ini. Entah bila rezeki ku untuk kembali mengerjakan solat subuh yang syahdu dan tak pernah ku temui semenjak hayatku kecuali di Masjid Nabawi. Bagaimanapun, agak pelik juga kerana Imam tidak sujud sajadah sedangkan pagi ini adalah pagi jumaat. Menurut ustaz Yahya, Di Masjid Nabawi, Sujud sajadah hanya di buat dua kali sahaja dalam sebulan dan bukan pada setiap kali hari jumaat. Aku kemudiannya mengerjakan Ziarah wida’ dan salam selamat tinggal kepada Rasulullah SAW di makamnya.
bergambar kali terakhir di Hotel 'Alia al-Zahra, Madinah
sebelum bertolak ke Makkah untuk mengerjakan umrah
Jam 11.30 tengahari, kami bersiap untuk mengerjakan solat jumaat di Masjid Nabawi. Solat yang panjang dan mengasyikkan. Sebaik selesai solat, aku bergegas pulang ke hotel untuk makan tengahari dan mandi sunat ihram kerana selepas ini kami akan berangkat ke kota Mekah untuk mengerjakan ibadah Umrah. Dari bilik Hotel, aku merenung sayu perkuburan Baqi’ yang menempatkan sahabat Rasulullah Saw iaitu saidina Uthman bin Affan dan isteri-isteri baginda Rasulullah saw termasuklah Siti Khadijah . Jam 2.35 pm, bas sudah sedia menunggu kami untuk bergerak ke kota Mekah. Aku dan jemaah lain telah bersiap memakai pakaian ihram. Kami kemudiannya bertolak ke Bir Ali. Setibanya di Bir Ali, semua jemaah umrah bersedia untuk mengerjakan solat sunat tahiyyatul masjid dan berniat ihram. Ustaz Yahya berpesan agar aku menanggalkan jam dan cincin dan semua pakaian yang bersarung. Perjalanan dari Bir Ali ke Kota Mekkah mengambil masa beberapa jam lagi. Sepanjang perjalanan di atas bas, ketua rombongan kami, Tuan Haji Jaafar dan ustaz muda Imam Azli, pembimbing ibadah kami mengumumkan kepada jemaah untuk memulai ihlal ihram dengan berucap “Labbaika allahumma umratan (Ya Allah! Kami penuhi panggilan-Mu untuk menunaikan ibadah umrah)” dilanjutkan dengan membaca talbiyyah; “Labbaika allahumma labbaik, labbaika laa syarika laka labbaik, innal hamda wan ni'mata laka wal mulk laa syarikalak.”
kami sempat singgah untuk minum teh di kawasan rehat
sementara menunggu rakan lain menyempurnakan solat asar.
Talbiyyah dibaca terus berulang-ulang; tak terasa air mata menitis, bibir basah dengan talbiyah, dan hati teriris atas anugerah Allah yang memberikan kesempatan umrah di bulan Ramadan. Talbiah berterusan dibaca sehingga kami singgah di perjalanan untuk mengerjakan solat Maghrib dan Isyak. Sewaktu singgah di kawasan rehat, pemandu bas memberitahu bahawa di Mekah orang ramai telah mengerjakan solat terawih kerana esok umat Islam akan berpuasa. Perjalanan yang panjang selama lebih kurang tujuh jam menyebabkan aku menghabiskan masa dengan melayani perasaan dan tertidur sepanjang perjalanan. Jam 10.30 malam, kami tiba di Kota Suci Mekah dan melewati sempadan tanah haram.
Hatiku bercampur baur antara resah dan keliru. Menurut Ustaz Yahya, hati yang resah menggambarkan ketidak istiqamah kita dalam mengerjakan ibadat. Keyakinan yang kuat akan menghilangkan rasa resah. Aku cuba menghadapi keadaan tersebut dan melawan perasaan yang berbelah bahagi, akhirnya keyakinanku mencapai tahap yang maksimum dan berserah kepada Allah kerana niat ku adalah untuk mengerjakan ibadat. Sesampainya di Kota Mekah, kami menginap di hotel Qasr al Nakhil, iaitu dari arah Marwah. Kami memasuki Babul Salam melalui Bab Osman untuk mengerjakan tawaf Umrah. Terpandang sahaja kaabah, aku terus berdoa dan hatiku terus meruntun dan taajub melihat kehebatan bangunan kaabah. Hati kecil ku tidak putus-putus berdoa. Melalui pintu Babussalam, kami memasuki Masjidilharam untuk melaksanakan tawaf dan saie. Di tengah jemaah yang menyemut kami menyeruak mencari garis coklat sejajar Hajar Aswad untuk memulai tawaf. Dengan pakaian ihram putih melekat di tubuh, kami mulai mengelilingi Kaabah yang agung; berputar tujuh putaran dalam lingkaran mardhatillah. Putaran demi putaran melewati hingga putaran ketujuh. Peluh mulai menitis kerana padatnya manusia, tetesan rahmat dan kurnia-Nya di depan Kaabah yang berwibawa.
hati amat meruntun tak kala mata menatap teguhnya binaan kaabah
Selesai pusingan ketujuh, kami menuju makam Ibrahim dan berdoa lalu solat dua rakaat, dan kembali ke garis coklat mengakhiri tawaf untuk selanjutnya menuju bukit Safa bagi memulai saie. Di bukit Safa, tak kuasa air mata menitis ketika takbir dikumandangkan tiga kali dan berdoa seraya mengangkat tangan, memohon ampunan Allah dan akhirnya menyelesaikan semua rukun umrah dengan tawaf di kaabah dan mengerjakan solat sunat Ihram di hadapan kaabah, kemudian mengerjakan saie di Bukit Safa dan Marwah. Sehabis selesai saie, aku bertahalul dengan menggunting rambut di kaki bukit Marwah. Anggapanku bukit Safa dan Marwah adalah bukit seperti mana anggapan dan pandangan biasa, tetapi rupa-rupanya bukit itu tidak lagi kelihatan kerana terdapat binaan-binaan yang disediakan bagi memudahkan jemaah mengerjakan saie.
Selesai mengerjakan Umrah lebih kurang jam 12.30 malam, ustaz Yahya membawa kami balik ke Hotel. Dalam perjalanan pulang kami singgah di kedai aiskrim Asmah dan aku belanja mereka makan aiskrim Asmah yang amat lazat di masjidil haram. Mengenai kelazatan aiskrim ini, sehingga dalam hati ku terdetik jika sekiranya aiskrim tersebut tidak cair, sudah pasti ku bawa pulang untuk di cuba oleh anak-anak. Di bilik Hotel, kami sekali lagi tinggal sebilik dengan Ustaz Yahya, Pakcik Adam dan Nekmat. Keadaan bilik yang agak panas menyebabkan aku tidur di atas lantai sahaja. Jam 3.00 pagi aku bangun bersahur dan bersiap untuk mengerjakan solat Subuh yang pertama di Masjidilharam.
2 comments:
salam...catatan saudara tentang isteri rasulullah saw iaitu siti khadtijah di makamkan di perkuburan baqi adalah tidak benar.harap di buat perubahan.
waalaikum salam...
terima kasih anonymous...terdapat kesilapan, sebenarnya siti Aisyah. Semoga allah memberkati tuan.
Post a Comment