24hb September
Pagi ini aku bangun sahur jam 3.30 pagi. Kemudian cepat-cepat kami bersiap untuk mengerjakan solat subuh di Masjidilharam. Aku mengenakan jubah putih labuh dan serban merah yang dibeli di pasar al Harem di Madinah berhadapan dengan masjid Nabawi tempoh hari. Buat pertama kalinya aku mengerjakan solat tahiyatul masjid, solat taubah dan solat tahajjud di Masjidilharam yang amat khusyuk di tingkat atas (tingkat 3) bangunan Masjidilharam. Amat jelas dengan pandangan bumbung kaabah yang mulia.
Sekembalinya dari Masjidilharam, lebihkurang jam 7.30 pagi kami berkumpul di lobi hotel untuk mengerjakan ziarah di kota Mekah. Kami dibawa ke Jabal Nur iaitu tempat terdapatnya gua Hira’ dimana Rasulullah SAW menerima wahyu yang pertama (iqra’ bismirabbika…), Bukit Thur tempat Nabi saw bersembunyi dari golongan Musyrikin Quraisy yang ingin membunuhnya. Kemudian kami menuju ke Jabal Rahmah, tempat di mana Siti hawa berdoa untuk bertemu kekasihnya yang juga suaminya Nabi Adam AS.
Di Jabal Rahmah, dikatakan tempat yang amat mustajab doa bagi mereka yang ingin mencari jodoh. Wallahu’alam.
Jabal Rahmah, di puncak inilah Siti hawa RA berdoa
agar diketemukan dengan Nabi adam As.
Beberapa orang asing kebanyakannya dari Afrika seperti Sudan, mali dansebagainya mengendeng datang dan memujukku agar mengambil beberapa keping lagi gambar, namun aku menolaknya kerana tidak ingin menambah lagi kemarahan yang belum reda diperdayakan oleh mereka. Di anak-anak tangga mendaki puncak itu, kelihatan agak ramai peminta sedekah yang kudung tangan dan kaki mereka mengharapkan simpati pengunjung. Dikatakan mereka ini kudung tangan atau kaki mereka kerana dipotong akibat kesalahan mencuri, kerana itulah mereka tidak begitu dipedulikan di Kota Mekah, masyaalah, moga dijauhkan aku dari segala bala’. Sejauh mana kebenaran kenyataan itu, tidak pula aku peduli untuk mengetahui lebih lanjutnya.
Di Jabal Rahmah juga aku berpeluang menaiki unta yang telah lama aku idam-idamkan. Pengembala-pengembala unta dari golongan Arab badwi ini menggunakan tipu helah dengan meletakkan unta betul-betul berhadapan dengan pintu bas. Si unta pula adalah binatang yang amat patuh pada tuannya, tidak akan berganjak selagi tidak diarahkan oleh tuannya bangun sehinggalah ada diantara jemaah yang sudi menunggangnya. Aku memilih seekor unta dan menunggang bersama ku ialah Imam Sutan Gajab. Pengembala unta tersebut membawa untanya mengelilingi kawasan dataran tempat parking dan mengambil beberapa keping gambar. Selesai mengambil gambar, beliau meminta upah yang amat mengejutkanku, tujuh puluh rial bagi tujuh keping gambar, Masyaallah! Mereka adalah pendusta besar, meskipun hati terasa agak marah dengan kejadian itu, aku memendamkan perasaan kerana niat ingin beribadat. Lagi pun mereka tidak akan kaya jua dengan hanya mencekik darah jemaah umrah seperti itu. Aku kemudiannya mendaki puncak Jabal rahmah bersendirian.
Dari Jabal Rahmah, bas kami meluncur ke Jamrah dimana tempat jemaah haji melontar Syaitan. Bagaimanapun kami gagal untuk memasuki tempat jamrah kerana ada kerja-kerja membesarkan laluan sempena musim haji nanti. Di sepanjang perjalanan dapat dilihat kawasan berkhemah di mina, mudzalifah dimana khemah-khemah disusun beribu-ribu banyaknya mengikut negara-negara tertentu bagi memudahkan jemaah haji bermalam.
Kami kemudiannya mengakhiri ziarah dengan menuju ke Jaaranah. Di Jaaranah ini cadangnya kami akan berniat umrah di masjid Jaaranah. Malangnya hari yang sangat panas dan hidung ku sekali lagi berdarah kerana bahang yang agak panas menyebabkan aku dan ustaz Yahya membatalkan niat untuk berniat ihram disini walaupun pakaian ihram dan kelengkapan lain telah ku sediakan.
Balik ke Hotel, kami bersiap untuk berbuka puasa dan mengerjakan solat isyak serta tarawih di Masjidilharam. Imam mengalunkan solat dengan bacaan yang syahdu malah menangis teresak-esak sewaktu membaca surah-surah yang menyayat hati dari ayat-ayat A li-Imran. Aku turut dibuai terutamanya waktu doa Qunut. Malam ini terasa lebih segar dan kuat berbanding hari sebelumnya.
No comments:
Post a Comment