Sunday, July 18, 2010

KEPERLUAN KEPADA UNDANG-UNDANG TATACARA MAL (iv)


 (iv)

Bagi memudahkan pemahaman, Buku ini telah dibahagikan kepada 17 bab yang membincangkan tatacara pengendalian kes di Mahkamah Syariah. Secara asasnya ia mengupas semua peruntukan seksyen yang terkandung di dalam Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003 dengan memberi penekanan kepada maksud dan tafsiran dengan merujuk kepada undang-undang lain yang berkuatkuasa termasuklah Arahan-Arahan Amalan yang dikeluarkan dan disokong oleh otoriti seperti keputusan-keputusan kes sama ada yang dilaporkan atau tidak dilaporkan. Penulis menggunakan Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003 sebagai rujukan asas dan undang-undang lain yang berkuatkuasa di Negeri Sembilan bagi memudahkan kajian penulisan ini. Keadaan ini langsung tidak mencacatkan penulisan buku ini kerana kebanyakan undang-undang asas yang diamalkan di Mahkamah-mahkamah syariah di Malaysia telah diseragamkan.

Bermula dengan bab 1 yang mengajak pembaca mengenali struktur Mahkamah Syariah dan undang-undang tatacara mal yang mengawal selia peraturan pengendalian kes di Mahkamah Syariah. Bab ini dibahagikan kepada dua bahagian yang membincangkan setiap satunya secara terperinci. Bab ke 2 pula juga dibahagikan dengan dua Bahagian yang membincangkan peringkat asas sebelum memulakan sesuatu prosiding di Mahkamah Syariah, iaitu mengenai perkara-perkara yang berkaitaan dengan saman dan bahagian II pula menyentuh mengenai permohonan. Bab ini juga memperkenalkan pembaca kepada  pemakaian borang-borang, saman, permohonan dan perbezaan antara keduanya. Bab 3 pula menyentuh mengenai siapa pihak-pihak yang bertikai di dalam mahkamah, menentukan pihak-pihak dan hak pihak-pihak untuk diwakili oleh peguam syarie.

Bab 4 pula membincangkan bagaimana sesuatu saman, notis permohonan dan dokumen itu perlu disampaikan kepada pihak-pihak sama ada pihak yang satu lagi berada dalam ruang lingkup bidangkuasa mahkamah atau berada diluar bidangkuasa mahkamah yang membicarakan kes atau berada di negeri-negeri lain.

Bab 5 pula menyentuh serba sedikit mengenai isu interpleader dan tatacara  yang diperlukan dalam perkara tersebut. Manakala Bab 6 pula membincangkan mengenai pliding yang digunakan di Mahkamah Syariah, bagaimana menguruskan pliding yang cacat dan tatacara mengenalpasti dokumen dan penzahiran sesuatu dokumen.

Bab 7 pula menyentuh mengenai tatacara pengendalian kes sewaktu perbicaaraan. Bab ini dimulakan  dengan perkara-perkara asas yang perlu dilakukan sebelum proses, semasa proses dan sesudah proses perbicaraan berlangsung. Disentuh juga mengenai tatacara untuk plaintif atau defendan mengendalikan kes sewaktu perbicaraan sehinggalah proses tersebut selesai.

Dalam Bab 8 pula disentuh sedikit mengenai tatacara mengambil dan memberi keterangan di Mahkamah Syariah. Perkara-perkara yang boleh dianggap sebagai keterangan termasuklah perbincangan mengenai sepina dan affidavit. Bab 9 pula membincangkan penghakiman dan perintah yang dikeluarkan oleh hakim setelah selesai proses sesuatu  perbicaraan. Jenis-jenis perintah yang dikeluarkan, keperluan kepada mencatit nota keterangan sewaktu perbicaraan  dan menyediakan alasan penghakiman. Cara dan teknik untuk mencatit nota keterangan dan menulis alasan penghakiman.

Manakala bab 10 pula  membincangkan proses selepas perbicaraan yang dibahagikan kepada dua Bahagian. Bahagian I membincangkan tatacara untuk memfailkan rayuan dan bahagian II menyentuh mengenai tatacara untuk memfailkan semakan.  Bab 11 pula juga di bahagikan kepada dua bahagian. Iaitu Penguatkuasaan perintah  dan pelaksanaan perintah. kedua-dua bahagian ini membincangkan tatacara yang boleh dan perlu dilakukan jika sesuatu perintah tersebut telah gagal dipatuhi. Kesan-kesan kepada pihak yang melanggar perintah dan tindakan yang boleh diambil sehinggalah kepada pengkomitan.

Bab 12 pula menyentuh mengenai kuasa dan tugas bailiff, memperkenalkan kepada pembaca  siapakah bailiff dan tugas-tugas dan kuasa yang dibenarkan dan yang tidak dibernarkan untuk seseorang bailiff. Diikuti dengan Bab 13 mengenai prosiding interlulotori pada Bahagian I dan Perintah Interim pula dibincangkan pada Bahagian II.  Kedua-dua bahagian dalam bab ini mengupas amalan Mahkamah Syariah mengenai prosiding interlukotori, ex parte, injunksi dan sebagainya.

Manakala Bab 14 pula berkisar kepada kuasa seseorang Hakim Syarie dan Pendaftar termasuklah kuasa Hakim Syarie untuk mendengar rayuan terhadap keputusan Pendaftar di dalam kamar. Dibincangkan secara ringkas tatacara atau prosiding menghidupkan kes yang ditolak dan sebagainya.

Bab 15 pula membincangkan isu-isu mengenai wang dan harta dalam mahkamah, kos, elaun dan fi Mahkamah yang dibahagikan kepada dua Bahagian. Perbincangan buku ini berakhir dengan Bab 16 yang menyentuh mengenai penghinaan Mahkamah, bentuk-bentuk penghinaan mahkamah dan  tatacara penghinaan mahkamah. Disentuh  juga secara ringkas mengenai tatacara penghinaan Mahkamah yang dimulakan oleh Pendakwa Syarie dengan memberi panduan tatacara pendakwaan jenayah dalam kes penghinaan Mahkamah. Walaupun ianya lebih mirip kepada tatacara jenayah, tetapi difikirkan adalah wajar tatacara atau prosiding tersebut disentuh dalam bab ini bagi membezakan dengan prosiding mal yang biasa.

Buku ini diakhiri oleh Bab 17 yang merupakan penutup dan  kesimpulan kepada keseluruhan perbincangan yang dikemukakan. Menekankan kepada wajarnya pemakaian Hukum Syarak yang diberikan oleh undang-undang digunakan sepenuhnya oleh Mahkamah Syariah bagi menampung kekurangan prosiding atau Tatacara Mal semasa pengendalian kes mal di Mahkamah Syariah.

Bagi memudahkan pembaca membuat rujukan, senarai borang dan contoh dokumen disertakan di dalam halaman muka surat yang sama. Penulis sengaja memasukkan contoh-contoh borang tanpa melampirkannya di halaman belakang bagi kemudahan pembaca merujuknya secara langsung. kelemahan serius di Mahkamah Syariah ialah kebanyakan Peguam Syarie  tidak mengambil berat mengenai hal ini.

No comments:

MADRID II

  Kota Madrid seawal abad ke 9 pernah diperintah oleh gabenur Umayyah Andalusia dan kota ini dikenali sebagai 'majrit' dari kata asa...