Saturday, July 17, 2010

TIBA DI KOTA MADINAH


6.30 PM, Sesedarnya aku dari tidur, hari telah pun malam. Beberapa ketika kemudian bas berhenti di RNR iaitu tempat rehat yang agak kering dan berdebu. Kami solat di masjid mengerjakan jamak maghrib dan Isyak dengan diimamkan oleh Sutan Gajab. Jam menunjukkan pukul 10.30 malam, aku agak kagum dengan keadaan kota Madinah yang besar dan sibuk. Madinah adalah bumi yang paling dikasihi oleh Allah s.w.t kerana ia merupakan tempat Nabi s.a.w berhijrah dan tempat tidur baginda manakala penduduknya pula merupakan jiran-jiran serta penolong baginda. Madinah juga merupakan gedung iman dan di sanalah iman dapat bertahan di akhir zaman nanti. Di pintu-pintu masuknya terdapat pengawal yang terdiri daripada Malaikat. Dajal dan penyakit taun tidak akan dapat memasukinya. Ia merupakan negara terakhir di dunia ini yang diruntuhkan. Ia juga merupakan tempat diturunkan wahyu. Hampir kesemua tempat di Madinah diturunkan ayat-ayat Al-Quran atau diriwayatkan Hadis-hadis. Ia adalah Haram Allah dan RasulNya s.a.w (Haramain). Dikatakan juga Sesiapa yang berniat buruk terhadapnya, Allah s.w.t akan membalasnya seperti garam yang larut di dalam air. Ianya terhindar dari segala keburukan atau kejahatan kerana sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah berdoa untuknya yang bermaksud: “Ya Allah, jadikanlah kami semua agar tetap menyintai Kota Madinah sebagaimana yang Engkau anugerahkan perasaan cinta kepada Kota Mekah, bahkan lebih dari itu.” Kami berhenti di sebuah Hotel bernama al-‘Alia al Zahra’, betul-betul berhadapan dengan Masjid Nabawi. Setibanya di Hotel Zahra’, kami dijamu dan makan dengan berselera. Selepas kepenatan, kami terus tertidur dan menghabiskan hari ketiga dengan seharian perjalanan.

Jam 3.00 am, aku dikejutkan oleh Ustaz Yahya dan pakcik Adam dan kami bersiap-siap untuk solat subuh di masjid Nabawi. Antara rakan sebilik ku kali ini ialah Nekmat, pakcik Adam dan Ustaz Yahya, seorang mutawwif.
Masjid Nabawi sewaktu senja (maghrib)
Masjid Nabawi Sebelum azan subuh berkumandang


Dari tingkap Hotel, pemandangan Masjid Nabawi adalah amat menakjubkan. Hatiku amat teruja dan seakan menangis apabila kakiku melangkah ke pintu masuk Masjid melalui bab al Salam dan melalui makam Rasulullullah SAW di Raudhah. Aku sempat memberi salam dan menyampaikan salam dari sahabat-sahabat di Malaysia. Aku juga berkesempatan melawat dan melewati makam  sahabat nabi iaitu saidina Abu Bakar al Sidiq dan saidina Umar al Farouk. Seterusnya mengerjakan solat tahiyyatul masjid, solat taubat dan solat tahajjud. Kemudian membaca al-Quran sementara menunggu masuknya waktu Solat subuh. Sewaktu muazzin melaungkan azan, keadaan menjadi semakin sesak dan sewaktu mengerjakan solat dalam keadaan berhimpit, aku hampir-hampir sesak nafas, namun dapat jua menyelesaikan solat fardhu tersebut.. Selepas solat, aku balik ke hotel dan menjamah sarapan pagi yang menyelerakan.



No comments:

Buku Peguam Syarie dan Litigasi Mal di Mahkamah Syariah

 Atas permintaan ramai buku Peguam Syarie dan Litigasi Mal di Mahkamah Syariah telah dibuat cetakan semula, semoga buku ini dapat membantu a...