Sunday, July 18, 2010

KEPERLUAN KEPADA UNDANG-UNDANG TATACARA MAL

PENDAHULUAN


“Seorang Hakim di Mahkamah Syariah bukan sahaja perlu melihat kepada Hukum Syarak dan undang-undang pokok akan tetapi perlu juga mempastikan bahawa peraturan mengenai acara dipatuhi.” - Prof. Ahmad Ibrahim

(i)

Mahkamah Syariah seringkali dilabel sebagai mahkamah kelas kedua, gagal menjalankan tanggungjawab dalam mengendalikan urusan hal ehwal umat Islam terutamanya yang melibatkan kes-kes keluarga, tidak adil, berat sebelah dan lebih condong kepada kaum lelaki dan sebagainya. jika diamati, undang-undang Islam setakat yang dibenarkan oleh statut telah lama diamalkan di Malaysia. Masa yang panjang seharusnya memberi ruang yang luas kepada Institusi Mahkamah Syariah untuk memperkem- bangkan dan membuktikan kemampuannya kepada masyarakat. Malangnya komen-komen negative masih terus kedengaran sehingga perbincangannya dibawa ke dalam dewan parlimen.

Antara Kelemahan ketara di Mahkamah Syariah bukanlah kepada undang-undang yang sedia ada. Apa yang berlaku ialah cara bagaimana undang-undang itu dijalankan. Undang-undang Keluarga Islam sebagai contohnya, telah dipinda dari masa ke semasa dan hampir memenuhi kehendak masyarakat walaupun tidak dapat memenuhi naluri semua pihak. Peraturan perkahwinan, perceraian, hak-hak semasa dan selepas perceraian, masalah-masalah yang timbul selepas perceraian, boleh dikatakan hampir semuanya ada diperuntukkan di dalam undang-undang Keluarga Islam. Demikian juga yang melibatkan harta-harta dan kewangan termasuklah masalah pembahagian pusaka, wakaf, hibah, wasiat, pemelukan dan perisytiharan keluar Islam dan sebagainya telah digubal bagi memberikan keadilan sewajarnya kepada pihak yang berhak. Malah undang-undang Syariah di Malaysia dikatakan antara yang terbaik di dunia berbanding Negara-negara Islam yang lain. Bagaimanapun cemuhan tetap timbul di kalangan masyarakat awam mengenai kelemahan pentadbiran organisasi Mahkamah Syariah terutamanya dari segi pengendalian kes.

Kritikan dari masyarakat biasanya timbul atau lahir apabila mereka tidak berpuashati dengan cara pengendalian kes yang diamalkan oleh Mahkamah Syariah. Masyarakat seringkali merungut apabila menghadapi kesukaran untuk menyelesaikan masalah yang timbul misalnya, banyak borang-borang yang perlu diisi, penggunaan borang yang tidak sesuai dengan kehendak kes, penangguhan yang kerap, penyempurnaan saman yang diragui, defendan yang tidak pernah hadir, saksi yang enggan datang membantu, perebutan anak, perintah yang tidak dipatuhi, dan sebagainya. Masalah-masalah tersebut, walaupun dilihat secara mata kasar hanyalah perkara normal yang berlaku pada setiap masyarakat didunia ini, tetapi ianya menjadi mudah, licin dan teratur apabila diuruskan dengan sempurna mengikut peraturan-peraturan yang telah ditetapkan. kegagalan memahami peraturan-peraturan tersebut, menyebabkan berlakunya ketidak adilan, kerumitan dan kesukaran kepada pihak-pihak yang terlibat. Kerana itulah Undang-Undang Tatacara Mal Mahkamah Syariah telah digubal bagi memudahkan jalan penyelesaian kepada pengurusan masalah tersebut.

Seadil mana pun undang-undang digubal bagi memenuhi keperluan masyarakat, akan tetapi undang-undang itu akan menjadi tidak bermakna jika pengendaliannya dibuat mengikut kehendak naluri Hakim atau peguam yang mengendalikan kes tersebut semata-mata tanpa mengikut tatacara yang ditetapkan. Atau, jika ada tatacara sekalipun, ianya tidak dipatuhi dan diikuti, sama ada kerana kelemahan atau kejahilan memahami maksud peraturan itu, maka undang-undang yang adil dan sempurna itu akan dilihat sebagai tidak adil dan zalim pada masyarakat. Maka keperluan kepada mempelajari dan memahami cara mengendalikan kes adalah sesuatu yang amat mustahak dan menjadi amat penting dalam menegakkan keadilan.

Mengendalikan kes mengikut peraturan yang telah ditetapkan secara cekap dan sempurna menjadikan seseorang Hakim dan peguam syarie itu dipandang lebih mulia dan berwibawa. Masyarakat akan berpuashati dan pihak-pihak akan akur dengan keputusan mahkamah sekalipun mereka gagal dalam menuntut sesuatu hak, kerana percaya kepada kredebiliti mahkamah yang mengendalikan kes tersebut.

Tidak dinafikan, pengendalian yang baik dalam menguruskan kes di mahkamah memberikan kesan yang besar kepada pihak-pihak. Sejarah kehakiman Islam telah membuktikan bagaimana pengendalian yang sempurna itu memberikan kepuasan kepada masyarakat. Dalam satu riwayat ada menyebutkan bahawa Hakim Syuraih yang mengadili perbicaraan antara Saidina Ali Karramallah ‘Ala Wajhah dan seorang lelaki Yahudi yang dituduh mencuri baju besi baginda. Dalam kes tersebut, Hakim Syuraih telah menolak dakwaan Saidina Ali kerana kekurangan bukti dan memberikan hak kepada orang bukan Islam iaitu lelaki Yahudi tersebut. Kagum dengan pengendalian kes yang dilaksanakan oleh Hakim Syuraih secara adil dan mengikut prosiding yang ditetapkan oleh Hukum Syarak, menyebabkan lelaki Yahudi itu memulangkan kembali baju besi tersebut. Dalam riwayat yang lain dikatakan beliau telah memeluk Islam kerana tertarik dengan keindahan dan keadilan yang ditunjukkan oleh sistem perundangan Islam.

kes ini membuktikan bahawa sesuatu undang-undang itu dipandang dari sudut pengendaliannya yang teratur, kerana itulah yang mencerminkan keadilan yang sebenarnya. Sesuatu undang-undang itu dikatakan adil bila dilaksanakan dengan cara yang penuh berhemah dan mengikut aturan. Akan tetapi kemuliaan undang-undang itu akan menjadi buruk dan zalim apabila ia tidak dilaksanakan secara tersusun. Sebagai contohnya, di dalam buku Pengembaraan Ibnu Batutah ada disebutkan tentang pemerhatiannya sepanjang pengembaraannya mengenai amalan-amalan kadi yang korap dalam mengendalikan kes, berat sebelah dan mengharapkan ganjaran, menghukum tidak mengikut kehendak syarak dan sebagainya. Antaranya sewaktu pengembaraannya ke Negeri Mali, ada dikisahkan bagaimana seorang pemanah Iraq yang dibunuh rakannya, mayatnya dibiarkan reput dan busuk. Jenazahnya lambat dikebumikan kerana prosiding perbicaraan yang lemah dan akur dengan kehendak Naib Sultan sehingga tertangguhnya hukuman kepada pembunuh dalam usaha naib sultan yang ingin membebaskan pembunuh tersebut dengan membayar wang gantirugi dan sebagainya. Sebahagian kisah-kisah yang diceritakan oleh Pengembara agung tersebut menunjukkan bagaimana undang-undang Islam yang mulia dan adil itu dilihat zalim dan tidak bertamadun kerana pengendaliannya yang tidak mengikut etika kehakiman syarak dan dilaksanakan secara tidak teratur. Dari kisah-kisah tersebut, dapatlah disimpulkan bahawa, pengendalian kes yang teratur mengikut tatacara yang ditetapkan oleh Hukum Syarak itulah yang mencerminkan keadilan sebenarnya.

Atas kesedaran itulah, buku Undang-Undang Tatacara Mal di Mahkamah Syariah ini dihasilkan. Ianya bertujuan untuk membantu pengamal-pengamal undang-Undang Syariah seperti peguam Syarie, Hakim Syarie dan semua pihak yang terlibat atau yang berurusan dengan Mahkamah Syariah termasuklah para pelajar undang-undang syariah di institusi pendidikan tinggi untuk mempraktikkan amalan guaman syarie dan membantu meningkatkan lagi kemahiran mengendalikan kes di Mahkamah Syariah dan menonjolkan kepada masyarakat awam bahawa undang-undang Islam yang diamalkan di Negara ini adalah suatu undang-undang yang adil dan mulia. Masyarakat akan menilai sesuatu itu baik berdasarkan tatacara pengendaliannya.

Contoh lain yang lebih jelas ialah, satu ketika dulu masyarakat agak panik dengan hasrat kerajaan Negeri Kelantan ingin mewujudkan hukum hudud, sehingga timbul perdebatan hangat yang mana akhirnya pelaksanaan tersebut telah tertangguh dan tidak dapat dilaksanakan. Yang terbaru ialah mengenai isu seorang model yang dijatuhi hukuman sebat oleh mahkamah Syariah di sebuah negeri di Pantai Timur Negara ini dengan mendapat liputan meluas di akhbar tempatan. Keadaan ini menggambarkan secara jelas kekeliruan dan ketakutan masyarakat tentang keindahan, kemuliaan dan keadilan undang-undang Islam. Apa yang ingin disentuh disini ialah, kebimbangan itu wujud bukan kerana undang-undang itu sendiri, tetapi kebimbangan sebenar ialah mengenai bagaimana undang-undang itu dilaksanakan nanti. Sungguhpun sebahagian besar rakyat Malaysia yang beragama Islam faham keadaan tersebut, tetapi kebimbangan itu wujud antaranya ialah kerana ketidakyakinan masyarakat terhadap pengendalian undang-undang itu yang mungkin tidak mampu dilaksanakan secara sempurna. Maka tidak dapat tidak, undang-undang tatacara mal adalah suatu undang-undang yang penting untuk dipelajari dan diterokai, kerana kemahiran mengendalikan kes dengan sempurna akan menambahkan keyakinan masyarakat, maka tidak hairanlah suatu hari nanti, undang-undang Islam akan diterima dengan baik oleh semua lapisan masyarakat di Negara ini apabila masyarakat mula tertarik dengan susunan dan ketertibannya yang diamalkan di Mahkamah-mahkamah Syariah!

No comments:

Buku Peguam Syarie dan Litigasi Mal di Mahkamah Syariah

 Atas permintaan ramai buku Peguam Syarie dan Litigasi Mal di Mahkamah Syariah telah dibuat cetakan semula, semoga buku ini dapat membantu a...