Sunday, April 26, 2009

Anak ikut agama asal ibu bapa

Anak ikut agama asal ibu bapa
Oleh Nor Azma Laila
norazma@bharian.com.my

Datuk Seri Nazri Aziz
Pertukaran agama bukan alasan lepas diri daripada perkahwinan

KUALA LUMPUR: Kerajaan memutuskan kanak-kanak mesti kekal menganut agama asal ketika ibu bapanya berkahwin walaupun selepas salah seorang pasangan itu menukar agama.

Keputusan itu, yang dibuat dalam mesyuarat Kabinet kelmarin, adalah langkah penyelesaian jangka panjang berhubung isu pertikaian status agama kanak-kanak berkenaan apabila ibu atau bapa mereka menukar agama.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Nazri Aziz, berkata Kabinet membuat keputusan itu bagi mengelak individu yang tidak bersalah,

terutama anak-anak, menjadi mangsa dan dilayan dengan tidak adil.

"Anak perlu dibesarkan mengikut agama asal ibu bapa mereka. Bagi pasangan yang bercadang menukar agama, mereka sepatutnya menyelesaikan terlebih dulu semua masalah berkaitan tanggungjawabnya. "Penukaran agama tidak boleh dijadikan alasan untuk membubarkan sesuatu perkahwinan secara automatik atau untuk mendapatkan hak penjagaan terhadap anak-anak," katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen, semalam.


Beliau merujuk kes Mohd Ridzuan Abdullah atau K Patmanathan, 40, bekas penganut Hindu, yang kini memeluk Islam.

Mohd Ridzuan dilaporkan turut menukar agama anaknya, Tevi Darsiny, 12, Karan Dinesh, 11, dan Prasana Diksa, setahun, serta memohon hak penjagaan terhadap tiga anaknya itu di Mahkamah Syariah walaupun ibu mereka, Indra Ghandhi, 35, masih beragama Hindu.

Berikutan itu, Indra meminta bantuan Hindu Sangam di Ipoh kerana mendakwa Mohd Ridzuan menukar agama tiga anak mereka tanpa kehadiran dan memaklumkannya terlebih dulu.

Nazri berkata, lebih banyak kes seumpamanya dijangka muncul pada masa akan datang dan kerana itu Kabinet terpaksa membuat keputusan.
Sebagai penyelesaian jangka pendek, katanya, Kabinet mengarahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom, menemui Mohd Ridzuan bagi menjelaskan keputusan jemaah Menteri itu.

"Kabinet juga membuat keputusan sekiranya sesuatu perkahwinan didaftarkan di Mahkamah Sivil, maka ia hanya boleh dibubarkan mengikut undang-undang sivil.

"Jangan jadikan agama, contohnya Islam, sebagai alat untuk melepaskan diri daripada perkahwinan kerana perbuatan seperti ini akan mencemarkan nama agama itu," katanya.

Beliau berkata, Kabinet turut bersetuju bahawa tarikh penguatkuasaan undang-undang Islam terhadap seseorang mualaf ialah tarikh dia memeluk agama itu.

Bagi menguatkuasakan keputusan itu, Pejabat Peguam Negara akan diminta meneliti semua undang-undang berkaitan yang perlu dipinda, tetapi tidak termasuk undang-undang syariah, yang terletak di bawah bidang kuasa Sultan.

Nazri berkata, kerajaan juga bersedia mendengar sebarang pandangan masyarakat mengenai keputusan berkenaan bagi kebaikan semua pihak.
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Friday/BeritaUtama/20090423230737/Article/

2 comments:

Tuan Snake said...

ARKIB : 25/04/2009
http://www.utusan.com.my/utusan/search.asp?pub=Utusan_Malaysia
Bincang dengan Majlis Mufti
Oleh AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI
utusanperak@utusan.com.my
IPOH 24 April - Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria berkata, sebarang keputusan membabitkan agama Islam sepatutnya dibincangkan dengan Majlis Mufti-Mufti Malaysia terlebih dahulu.
Sambil menyatakan dukacitanya dengan keputusan Kabinet berkaitan isu anutan anak-anak apabila ibu atau bapa mereka menukar agama, beliau berkata, jika keputusan itu dikekalkan, ia menimbulkan kekeliruan kerana bertentangan dengan ajaran Islam.
''Dalam agama Islam, mana-mana bapa atau ibu bukan Islam memeluk Islam, anak mereka dengan sendirinya menganut Islam kecuali jika anak itu berumur lebih 15 tahun,'' katanya di sini hari ini.
Beliau mengulas keputusan Kabinet berhubung isu pertikaian agama anak-anak apabila ibu atau bapa memeluk agama lain.
Semalam, Kabinet memutuskan bahawa anak kepada pasangan yang menukar agama yang masih di bawah umur hendaklah dibesarkan mengikut agama asal ibu bapa mereka semasa melangsungkan perkahwinan.
Keputusan itu merujuk kepada mana-mana pasangan yang memeluk Islam harus menyelesaikan isu berkaitan perceraian dan penjagaan anak-anak di mahkamah sivil dan bukannya Mahkamah Syariah.
Harussani berkata, agama Islam tidak seharusnya dikorbankan hanya kerana mahu memuaskan kehendak pihak-pihak tertentu.
''Jangan korbankan agama, akidah dan kepercayaan kita untuk hanya melayan atau menyenangkan orang lain dalam perkara ini,'' katanya.
Dalam pada itu, Harussani memberitahu, banyak pihak meminta kerajaan negeri membantah penganjuran program Jom Heboh di pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut mulai esok.
Bagaimanapun, katanya, program berkenaan dibuat oleh TLDM dan tidak melalui kerajaan negeri.
''Saya tidak bersetuju dengan sebarang program berbentuk hiburan yang melalaikan,'' katanya.
Pada 2004, Majlis Mufti-Mufti Malaysia memutuskan bahawa konsert Jom Heboh adalah haram kerana ia melalaikan dan menggalakkan maksiat di kalangan anak muda.
ARKIB : 25/04/2009
100 NGO bantah keputusan Kabinet
KUALA LUMPUR 24 April - Lebih 100 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam di negara ini membantah keputusan Kabinet yang menetapkan kanak-kanak bawah umur kekal menganut agama asal ketika ibu bapanya berkahwin walaupun selepas salah seorang pasangan itu menukar agama.
Menurut mereka, keputusan yang bersifat reaktif terhadap tekanan daripada masyarakat bukan Islam tidak wajar dilaksanakan kerana ia dibuat tanpa melibatkan perbincangan menyeluruh dengan para mufti, pakar perundangan dan NGO Islam.
Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Mohamad Isa Abd. Ralip berkata, pihaknya tidak bersetuju dengan keputusan Kabinet itu kerana ia telah menafikan hak ibu atau bapa yang telah memeluk Islam untuk mendidik anak-anak mengikut agama baru yang dianutinya.
Beliau berkata, ibu atau bapa harus dibenarkan untuk mengislamkan anak-anak mereka selaras dengan kaedah fikah yang menetapkan apabila seseorang itu telah memeluk Islam maka dia hendaklah mempertahankan agama dan keturunannya.
''Keputusan Jemaah Menteri bertentangan dengan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2007 yang memberikan hak kepada Muhammad Shafi Saravanan Abdullah untuk mengislamkan kedua-dua anaknya tanpa pengetahuan atau mendapat persetujuan isterinya, R. Subashini yang masih beragama Hindu.
''Walaupun tiada peruntukan khusus dalam enakmen keluarga Islam berhubung perkara itu, kita tetap perlu mengikut keputusan mahkamah tertinggi iaitu Mahkamah Persekutuan," katanya.
Beliau bercakap pada sidang akhbar bersama-sama wakil daripada lebih 100 NGO Islam di Sekretariat PGSM di sini hari ini.
Mohamad Isa mengulas keputusan Kabinet itu yang diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz semalam.
Keputusan itu adalah berdasarkan syor yang dibuat oleh jawatankuasa khas Kabinet bagi menyelesaikan kes K. Pathmanaban, 40, atau nama Islamnya, Mohd. Ridzuan Abdullah yang bertindak menukar agama anaknya, Tevi Darsiny, 12, Karan Dinesh, 11, dan Prasana Diksa, setahun, serta memohon hak penjagaan terhadap tiga anaknya itu di Mahkamah Syariah Ipoh.
Langkah itu telah dibantah oleh ibu kanak-kanak terbabit, M. Indra Ghandhi, 35, yang masih beragama Hindu kerana mendakwa Mohd. Ridzuan berbuat demikian tanpa pengetahuannya.
Setiausaha Agung Peguam Pembela Islam (PPI), Zainul Rijal Abu Bakar pula berkata, Kabinet seharusnya mengambil kira pandangan kebanyakan ulama yang secara jelas menyatakan bahawa apabila salah seorang daripada ibu atau bapa memeluk Islam, maka anak-anaknya mesti menganut agama itu.
Menurut beliau, sebarang keputusan untuk mengekalkan anak-anak dengan agama asal ibu bapa juga harus mengambil kira Perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan yang menyebut salah seorang ibu atau bapa boleh menentukan agama anak-anak.
''Peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan telah disahkan menerusi keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes R. Subashini yang memutuskan adalah memadai salah seorang ibu atau bapa membuat keputusan untuk anaknya yang di bawah umur memeluk Islam," ujarnya.
ARKIB : 25/04/2009

Tuan Snake said...

ARKIB : 25/04/2009
Hukum syarak penentu status agama anak
KUALA LUMPUR 24 April - Penentuan status agama anak apabila ibu atau bapanya memeluk agama Islam perlu dilihat daripada aspek syarak dan perundangan.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz (gambar) berkata, Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa agama seseorang di bawah umur 18 tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapanya atau penjaganya.
''Berdasarkan pada peruntukan ini, persetujuan salah satu pihak sahaja adalah memadai dalam penentuan agama seorang kanak-kanak.
''Ini kerana perkataan yang digunakan dalam Perkara 12(4) adalah 'parent or guardian' bukannya 'parents or guardian' yang mana ia bermaksud ibu atau bapa atau penjaga,'' katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.
Tambah Wan Mohamad, dalam Seksyen 95 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 Akta 505 memperuntukkan bahawa seseorang kanak-kanak yang belum mencapai umur 18 tahun boleh memeluk Islam jika ibu atau bapa mengizinkannya.
''Mengikut hukum syarak pula mereka yang berhak menjaga dan memelihara anak mestilah seorang Islam kerana jika orang yang menjaga itu bukan Islam, dikhuatiri akan memberi fitnah kepada agama kanak-kanak di bawah jagaannya.
''Hak seorang mualaf di sisi undang-undang juga perlu dipertahankan. Kita tidak sewajarnya menganggap seseorang yang memeluk Islam itu bertujuan melarikan diri daripada tanggungjawab,'' katanya.

Status agama anak: Perlu lihat aspek hukum syarak
IPOH 25 April - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Jamil Khir Baharom menegaskan, isu penentuan status agama anak apabila bapa atau anak memeluk agama Islam perlu dilihat daripada aspek hukum syarak dan perundangannya.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lebih lanjut mengenai isu itu kerana sudah banyak pihak yang mengeluarkan pandangan masing-masing berkaitan perkara tersebut.
''Saya rasa tidak perlu komen lebih lanjut sebab beberapa kenyataan sudah dibuat sebelum ini dan tidak perlu diperjelaskan kerana dibimbangi berlaku percanggahan lain.
''Isu ini membabitkan soal undang-undang dan kita perlu asingkan. Kita tidak mahu bagi (ulasan) sebab dibimbangi ada percanggahan lain (pendapat). Jadi, sekarang ini, kita terima keputusan sedia ada," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan program Ekspedisi Kasih ke Perkampungan Orang Asli Pos Raya di Simpang Pulai dekat sini hari ini.
Sementara itu, Jamil Khir yang baru dilantik sebagai Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO yakin umat Islam di negara ini mampu bersatu padu di bawah kepimpinan negara sedia ada yang cukup berwawasan dan berwibawa.
Katanya, Islam amat menitikberatkan hubungan baik antara masyarakat hingga membolehkan rakyat negara ini dapat menikmati kehidupan aman dan selesa.
Kata beliau, dengan adanya nikmat itu, rakyat bebas bergerak melaksanakan aktiviti harian tanpa rasa takut dan ragu, malah berasa selamat kerana dilindungi peraturan serta undang-undang.
''Kita diajar supaya sentiasa hidup dalam suasana persaudaraan sesama manusia tanpa mengira agama, bangsa dan keturunan. Ia akan mewujudkan kehidupan masyarakat dalam suasana kasih sayang, tolong-menolong, bantu-membantu, aman dan sejahtera.
''Jika kita tidak menjaga persaudaraan sesama kita, maka masyarakat akan berpecah, berlaku pergaduhan, penindasan, kezaliman, benci-membenci dan akhirnya masyarakat akan menjadi lemah, mundur dan tidak lagi wujud keamanan dan kesejahteraan," jelas beliau.
Mengenai usaha memajukan masyarakat Orang Asli, beliau berkata, kerajaan akan memastikan masyarakat itu tidak ketinggalan dalam bidang pendidikan dengan membina segala kemudahan asas yang diperlukan.
''Dalam bidang kerohanian, kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah menempatkan guru-guru agama di perkampungan Orang Asli yang akan menjalankan kelas-kelas pengajian agama," katanya.
Jangan dahului Majlis Fatwa
KUALA LUMPUR 25 April - Kabinet tidak sepatutnya mendahului Majlis Fatwa Kebangsaan dan Majlis Mufti-Mufti Malaysia dalam membuat sebarang keputusan melibatkan agama Islam.
Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata, perbincangan mengenainya boleh dibuat oleh Kabinet tetapi apabila satu keputusan hendak diputuskan, pandangan mufti dan Majlis Fatwa Kebangsaan perlu dirujuk terlebih dahulu.
"Saya kira kenyataan yang dikeluarkan itu terlalu cepat dan tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang menteri, tambahan pula ia hanya merujuk pada satu contoh kes sahaja.
"Seharusnya perkara ini diperhalusi dengan teliti kerana ia isu yang sensitif. Dalam hal ini, Kabinet tidak boleh membuat keputusan sendiri tanpa merujuk Majlis Fatwa Kebangsaan dan mufti," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan Jemaah Menteri yang diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berhubung isu pertikaian agama anak-anak apabila ibu atau bapa mereka memeluk agama lain.
Kabinet sebelum ini memutuskan bahawa anak kepada pasangan yang menukar agama yang masih di bawah umur hendaklah dibesarkan mengikut agama asal ibu bapa mereka semasa melangsungkan perkahwinan.
Keputusan itu merujuk kepada pasangan yang memeluk Islam harus menyelesaikan isu berkaitan penceraian dan penjagaan anak-anak di mahkamah sivil dan bukannya Mahkamah Syariah.
Mengulas lebih lanjut isu itu, Abu Zahar berkata, Perkara 121 (1) (A) Perlembagaan Persekutuan telah jelas memartabatkan Mahkamah Syariah bagi menyelesaikan sebarang kes yang membabitkan individu Islam.
Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Dr. Mohd. Roslan Mohd. Noor juga mempertikaikan keputusan Kabinet yang disifatkannya sebagai campur tangan dalam undang-undang syariah.
http://www.utusan.com.my/utusan/search.asp?pub=Utusan_Malaysia

MADRID II

  Kota Madrid seawal abad ke 9 pernah diperintah oleh gabenur Umayyah Andalusia dan kota ini dikenali sebagai 'majrit' dari kata asa...