Thursday, March 18, 2010

Maahad Muhammadi Pasir Pekan

Sekolah Maahad Muhammadi (P) Pasir Pekan telah ditubuhkan pada tahun 1938.Asal sekolah ini diasaskan Almarhum Tuan Haji Wan Adam Haji Wan Abdullah,anak tempatan Pasir Pekan,seorang tuan guru yang terkenal pada masa itu.

Penubuhan awal sekolah ini di akhir tahun 1938 dengan nama Madrasah Falahiah Pasir Pekan.Tuan Guru Haji Wan Adam sendiri sebagai guru besarnya.Muridnya seramai lebih kurang 30 orang (1 kelas sahaja). Beberapa tahun kemudian,sekolah ini diambil alih oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan.

Apabila Tuan Guru Haji Wan Adam meninggal dunia pada tahun 1957,digantikan dengan ustaz Haji Wan Mahmud bin Wan Muhammad sebagai mudir sehinnga 1969.Kemudian ustaz Haji Muhammad Radhi Haji Ishak hingga pertengahan tahun 1972. Selepas itu,disandang pula oleh ustaz Haji Wan Omar Ismail hingga bulan Mac 1977.

Pada tahun 1974, Madrasah Falahiah ditadbir oleh Jabatan Sekolah-sekolah Agama (JASA) sehingga 1978,kemudian ditukar nama kepada Yayasan Islam Kelantan pada tahun 1979.

Sekolah ini telah diambil alih oleh Kementerian Malaysia pada 1983 dengan Almarhum ustaz Haji Wan Lokman Wan Ahmad sebagai mudir,apabila beliau dinaikkan pangkat dan ditukarkan ke tempat lain,jawatan ini digantikan oleh ustaz Haji Mustafa Haji Nik Abdul Rahman.

Pada tahun 1984,pelajar-pelajar sekolah ini telah di pindahkan ke bangunan lain yang disediakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia tidak jauh dari tapak bangunan asal yang diberi nama S.M.K.A Falahiah.

Pada tahun 1985,bangunan Madrasah asal ditempatkan pelajar lelaki dari Maahad Muhammadi Lelaki iaitu pelajar tingkatan enam bawah dan enam atas sahaja kerana kelas yang ada di Maahad Muhammadi Lelaki Jalan Pengkalan Chepa tidak mencukupi. Walaubagaimanapun,kedua-dua diletakkan dibawah satu pentadbiran (seorang pengetua) iaitu Tuan Haji Nik Abdul Kadir Nik Muhammad hinggalah ke tahun 1988.

Pada tahun 1989,sekolah ini telah ditempatkan pelajar lelaki dan perempuan dengan nama Maahad Muhammadi Pasir Pekan hingga tahun 1994. Pada tahun 1995,pelajar lelaki disatukan ke bangunan Maahad Muhammadi Lelaki Jalan Pengkalan Chepa manakala disini dikhaskan untuk pelajar perempuan sahaja,atas nama Maahad Muahammadi Pasir Pekan.Ini bertepatan dengan hasrat Yayasan Islam Kelantan untuk memberi kemudahan kepada pelajar-pelajar perempuan khasnya yangt tinggal di seberang jambatan Sultan Yahya Petra untuk belajar disini.

Alfadhilah ustazah Mariam Omar memegang jawatan pengetua bermula 20 Februari 2000 sehingga 30 oktober 2004 dan dengan Puan Hajjah Che Zainah Ab.lah pada 1 November 2004 sehingga Disember 2008 dan digantikan pula dengan Alfadhil ustaz Muslim bin Che Yusof sebagai mudir sehingga sekarang.

Bilangan pelajar sekolah ini dalam masa enam tahun kebelakangan ini lebih daripada 900-1000 orang dan bilangan gurunya 61 orang.

Sekolah ini mempunyai 3 bangunan yang menyelesakan iaitu bangunan A,B dan C.Jika ditinjau dari aspek kedudukan dan fizikal,bangunan A yang asalnya telah dirobohkan dan kini telah didirikan bangunan A yang baru di duduki selama satu tahun oleh pelajar tingkatan 5 dan 6.Bangunan A adalah sebuah bangunan 2 tingkat dan merupakan bangunan utama bagi sekolah ini.Bangunan ini telah di bina sekitar tahun 2007 dan mula diduduki pada tahun 2008.Perbelanjaan bagi pembinaan bangunan ini dianggarkan sebanyak RM200 000.

Manakala bangunan C pula terletak di belakang bangunan B dan berhadapan dengan bangunan A.Kos perbelanjaan adalah hasil kutipan derma orang ramai dan sumbangan YIK.Kerja pembinaan di jalankan pada tahun 1991 dan siap pada tahun itu juga.Pada 26 Januari 1992,bangunan ini mula digunakan sepenuhnya.

Pada awal tahun 1993,bangunan B dirobohkan untuk didirikan bangunan baru bagi menampung jumlah pelajar yang semakin meningkat.Bangunan baru tiga tingkat ini menelan belanja sebanyak RM1.5 juta,hasil sumbangan daripada YIK dan orang ramai.Bangunan ini siap dibina pada tahun 1995 dan telah dirasmikan oleh Menteri Bsar Kelantan,YB Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.Pada hari sabtu,11 Rabiulawal 1417 Hijrah bersamaan 27 Julai 1996,bangunan ini sekali lagi telah dicemar duli oleh ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan.

Satu blok bangunan 3 tingkat yang terdiri daripada kanti,musolla dan dewan terbuka telah didirikan pada tahun 1999 yang menelan belanja lebih daripada RM100 ribu hasil kerjasama PIBG dan YIK.Pada tahun 2002,bangunan kantin dan musolla telah siap dibina sepenuhnya dan dewan terbuka pula pada tahun 2004.

Pada awal tahun 2007 bangunan asrama sekolah mula dibina.Anggaran kos perbelanjaan pula adalah sebanyak RM300 ribu.Bangunan asrama sekolah dapat didirikan hasil kutipan derma orang ramai.Pada tahun 2008,asrama sekolah atau dikenali Maskan Tuan Haji Wan Adam mula diduduki oleh para pelajar yang datang dari luar negeri mahupun dalam negeri.Bangunan asrama terletak disebelah bangunan B dan bangunan ini adalah bangunan empat tingkat.Asrama juga dilengkapi dengan musolla dan tandas.Manakala tingkat paling atas adalah ruang serbaguna untuk kemudahan para pelajar asrama.Di samping itu tingkat yang paling bawah pula dijadikan kedai untuk disewakan kepada orang awam.Pelajar asrama dianggarkan seramai 100 orang termasuk warden.

Dengan kemudahan yang telah disediakan,ia telah dapat membantu para pelajar dan pembelajaran mereka.Mereka dapat menunjukkan prestasi pembelajaran yang baik dan mempunyai akhlak yang mulia hasil daripada kerjasama semua pihak terutama pihak guru dan para pelajar.Dengan pencapaian akedemik pelajar cemerlang,ini telah membuktikan bahawa pelajar-pelajar Maahad Muhammadi Pasir Pekan juga adalah pelajar yang mampu menaikkan martabat sekolah ke peringkat yang lebih baik dan mampu merealisasikan harapan sekolah samada dalam bidang akademik dan sahsiah diri.
Sumber: http://mmpp.kelantan.edu.my/sejarah.html

No comments:

Buku Peguam Syarie dan Litigasi Mal di Mahkamah Syariah

 Atas permintaan ramai buku Peguam Syarie dan Litigasi Mal di Mahkamah Syariah telah dibuat cetakan semula, semoga buku ini dapat membantu a...