Thursday, March 4, 2010

majlis Penganugerahan darjah, Bintang dan pingat Di Balai Rong Seri Istana seri menanti, Kuala Pilah

Selepas rehearsal dua hari lepas, tidur agak terganggu memikirkan baju melayu untuk menerima pingat di Istana besar Seri Menanti belum lagi disiapkan. Baju dah ada tapi tanjak dan bengkung pula buat hal. Dua tiga kali mencuba 1 dress yang ada, dah ketat banget. Alhamdulillah Tn Razak Nayan sudi meminjamkan set 1 dressnya untuk tujuan tersebut. Malam tadi cuba punya cuba,  1dress yang dipinjamkan oleh Tuan Razak besar sangat pulak, terpaksalah aku menyarungkan  1 dress asal yang ketat tu.
Seawal jam 6.30 aku dah bertolak dari Nilai untuk ke Bandar Diraja Kuala pilah.Sedikit kecewa bila isteri tak boleh ikut sama. Tak apa lah. Malam tadi anak mengamuk kerana ada hal penting kat sekolah dan anak sulung pula pereksa awal semester. Isteri terpaksalah hantar mereka dan persiapan kesana terpaksa dibatalkan.
Jam 7.00 pagi aku dah dijalanan ditemani oleh En Jefri. kenderaan pejabat yang membawaku meluncur laju ikut jalan baru Seremban-Kuala Pilah. Kebetulannya ada beberapa kenderaan vvip diiringi anggota polis trafik yang menuju arah sama, kami ambil peluang tersebut dan perjalanan menjadi semakin lancar.
Sepanjang perjalanan melalui lebuhraya baru yang mula beroperasi awal tahun 2009 lalu amat menenangkan terutamanya suasana pagi  yang masih hening. Meskipun banyak kenderaan persendirian dan kenderaan berat seperti lori, perjalanan kami tidak menghadapi sebarang masalah apabila mendapat bantuan polis trafik.  Ketibaan kami disambut oleh pintu gerbang besar menandakan kami telah tiba di pekarangan sekitar Istana Besar Seri Menanti seawal jam 7.30 pagi. 30 minit lebih awal dari waktu yang ditetapkan. Masa yang awal itu digunakan sepenuhnya untuk pendaftaran masuk dan urusan-urusan protokol yang lain. Kami juga sempat minum pagi  di bawah khemah yang disediakan bersebelahan dengan Balai Rong Seri tempat istiadat  pengurniaan Darjah kebesaran, Bintang dan Pingat diadakan.
Seri Menanti merupakan sebuah bandar diraja bagi Negeri Sembilan yang terletak di Daerah Kuala Pilah. Kawasan Seri Menanti adalah penempatan bagi Yang Dipertuan Besar di istananya iaitu “Istana Besar”.
Istana Besar merupakan bangunan istana yang dibina khas dengan rekaan berasaskan konsep Minangkabau. Istana yang kini berfungsi sebagai muzium itu menyimpan sejuta kisah pengorbanan para sultan dan rakyat mempertahankan negeri dari penjajah.

Seri Menanti sendiri adalah nama daerah di tengah Bukit Tempurung di mana Istana Lama Seri Menanti berada. Nama “seri menanti” berasal dari sebuah kisah kedatangan orang-orang Minang dari daerah Paya kumbuh ke Negeri Sembilan yang dipimpin oleh Datuk Putih. Diceritakan, Datuk Putih memiliki ilmu sakti dan suatu ketika, beliau mendapati  jejak seekor naga yang diyakini dapat memberikan keuntungan. Datuk Putih mengikuti jejak naga itu dan beberapa saat kemudian beliau menemukan tiga pohon padi dengan posisi seperti orang duduk menanti sesuatu. . Maka kemudian Datuk Putih menamakan daerah itu “Padi Menanti”. Akan tetapi, Datuk Putih menukar “padi” dengan “seri” sesuai dengan nama isterinya. Maka nama daerah itu berubah menjadi “Seri Menanti”.  Menurut pendapat lain, “siri” ialah bermaksud padi mengikut bahasa Jawa kuno (rujuk www.wikipedia)

Rekaan Istana Besar ini merupakan hasil pertembungan budaya antara penduduk asal negeri dan juga orang-orang Minang yang datang menetap di negeri ini. Seluruh bahan bangunannya adalah kayu-kayu pilihan yang diambil dari hutan sekitar. Kayu-kayu yang digunakan sebagai rangka disusun cermat dan disambung tanpa menggunakan paku atau besi.

Terdapat 99 tiang penyangga istana dan jumlah ini menjadi simbol kepada jumlah pejuang dari berbagai luak di Negeri Sembilan semasa melawan penjajah. Tiang-tiang itu terbuat dari kayu cengal, dan diukir dengan motif bunga-bungaan, ayat-ayat al-Quran, dan corak-corak abstrak. Istana ini dibina empat tingkat. Tingkat pertama bernama Balai Rong Seri, ruang Yang dipertuan menjamu tamu-tamunya. Ruangan yang mengunjur ke depan adalah ruang pertemuan Yang dipertuan dengan pembesar-pembesar kerajaan.

Untuk ke tingkat 2, 3 dan 4 telah dibina sebuah tangga yang curam. Tingkat tiga adalah ruang keluarga. Di sini merupakan kawasan rehat bagi Yang Dipertuan beristirehat dan menghabiskan masa dengan keluarganya. Bagi tingkat 4 pula, kawasan ini dinamakan sebagai “Tingkat Gunung”. Tingkat Gunung adalah tingkat yang paling atas dan dari ruang ini dapat kita lihat kawasan di luar istana dan kesemua arah.  Dari segi rekaan, terdapat persamaan antara Istana Besar Seri Menanti dan juga Istana Pagar Ruyung yang mana berasaskan konsep budaya Minangkabau. Istana Pagar Ruyung yang ada sekarang merupakan replika dari bentuk asli, yang terbakar dalam suatu pertempuran berdarah di tahun 1804 M. Istana ini lebih dikenal dengan nama Istano Basa.

Pada bulan Februari 2009, Kementerian perpaduan, kebudayaan, Kesenian dan Warisan melalui menterinya Datuk Seri Shafie Apdal telah mengumumkan bahawa Istana Lama Seri Menanti adalah salah sebuah daripada bangunan bersejarah di Malaysia dan diisytiharkan sebagai  sebagai warisan budaya kebangsaan sepertimana bangunan Institut Victoria di Kuala Lumpur dan The Stadthuys di Melaka.

Pengurniaan Darjah, bintang dan pingat kali kedua sempena ulang tahun baginda Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Mukhriz  Ibni al Marhum Tuanku Munawir pula berlangsung di Balai Rong Seri, Istana Besar Seri Menanti. Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti adalah sebuah bangunan baru yang telah  dinaik taraf dan mula digunakan bagi istiadat pertabalan Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-11 pada bulan Otober 2009 yang lalu. Bangunan tersebut telah dinaikkan taraf dengan kerja-kerja kearah itu dimulakan seawal bulan Julai tahun 2009 yang lalu oleh JKR dengan menggunakan konsep reka bentuk kolonial.
Balairong Seri kini berkeupayaan menampung sehingga 1,000 orang tetamu dan VVIP, berbanding 532 sahaja tetamu sebelumnya. Keluasan lantai Balairong Seri yang baru adalah 1,064 meter persegi berbanding sebelumnya 500 meter persegi.

Reka bentuk Balairong Seri yang baru tidak mempunyai tiang di tengahnya yang menjadikan keluasannya lebih besar berbanding sebelumnya manakala keluasan singgahsana yang baru pula berukuran 10 meter x 3.4 meter, berbanding sebelumnya 5.8 meter x 2.8 meter.

Di sebelah kiri singgahsana terdapat tiga barisan iaitu untuk raja dan kerabat diraja manakala di sebelah kanan pula untuk Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin.
Majlis Pengurniaan anugerah, bintang dan pingat tersebut bermula sebaik Yang Dipertuan Besar Tuanku Mukhriz ibni al Marhum Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud diiringi oleh Putera yang Empat masuk mencemar duli di Balai Rong Seri sekitar jam 10 pagi. Pada hari tersebut, lebih kurang sebanyak 300 orang telah dianugerahkan Darjah Kebesaran termasuk bintang dan Pingat, tidak ketinggalan termasuk juga YA Hakim Mahkamah Tinggi Seremban YA Tuan Abdul Halim antara penerima darjah DSNS yang membawa gelaran Dato’. Penerima-penerima lain ialah seperti Wan Jamak Wan Hassan, abang Mohsin Mahmud, En Zamri Sinin dan ramai lagi. Tahniah untuk mereka.
Istiadat penganugerahan pingat berakhir sekitar jam 1 tengahari dan para jemputan bergegas ke Dewan Banquet bersebelahan untuk majlis santapan tengahari bersama Yang Di Pertuan Besar dan Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan diiringi oleh Putera yang Empat, YTM Datuk-Datuk Undang dan Tunku Besar Tampin serta YAB menteri  Besar Negeri Sembilan serta dif-dif kehormat. Majlis santapan diserikan dengan muzik alunan kugiran yang ditempah khas diiringi nyanyian merdu Aisyah dan Haziq menjadikan santapan kami hari tersebut tambah bermakna.
 Majlis bersurai antara jam 2-30-3.00 petang. Meskipun agak kepenatan, ianya adalah antara hari-hari yang amat bermakna sepanjang perjalanan hidupku,malangnya diraikan bersendirian…. So tak adalah tangkap-tangkap gambar macam biasa…



No comments:

Buku Peguam Syarie dan Litigasi Mal di Mahkamah Syariah

 Atas permintaan ramai buku Peguam Syarie dan Litigasi Mal di Mahkamah Syariah telah dibuat cetakan semula, semoga buku ini dapat membantu a...