Friday, June 19, 2009

Amsterdam yang merimaskan

puas makan ikan salmon dengan roti panggang di Volendam, kami mula bertolak perlahan-lahan dengan Farris Holiday, bas double decker yang dipandu oleh Mr Craig, lelaki welsh yang anti english menuju ke kota amsterdam. Sepanjang jalan ke kota Amsterdam terdapat rumah-rumah tradisional berbumbung tirus dengan hiasan laman dipenuhi bunga-bungaan pelbagai warna. Kebiasaannya rumah-rumah orang Belanda tertumpu disepanjang pinggir sungai atau terusan yang bersimpang siur di Belanda.Saya teringat kata-kata "seperti Belanda di Beri Tanah", ironinya dengan kenyataan ini ialah kebanyakan tanah di Negeri Belanda asalnya adalah air laut yang ditambak. Kerana itu sepanjang terusan atau pinggir laut di Belanda ada tebing tinggi yang dijadikan daik bagi menghadang air laut melimpahi daratan. Kebanyakan rumah-rumah atau daratan lebih rendah dari paras laut. Tanah-tanah ini diambil dari luar untuk ditambak dijadikan daratan dan kawasan tempat tinggal. Dikatakan tanah-tanah ini diambil dari negara-negara yang mereka jajah beberapa ratus tahun dahulu. Kerana itulah di negara Belanda, tanah daratannya adalah sama dan tidak berbukit, sungai-sungai dan terusan dibina bagi mengawal pengaliran air. Teknologi menambak laut ini telah dilaksanakan oleh orang-orang Belanda dizaman kegemilangan mereka pada tahun-tahun 1500-1700. Negara Belanda juga terkenal dengan architecturenya yang terbilang diEropah. Banyak bangunan-bangunan moden yang dibina dengan penuh seni dan mengkagumkan. tidak hairanlah kerana warisan itu telah diwarisi berkurun lamanya. Disepanjang terusan, daun-daun pokok willow yang berjuntaian mencecah air sungguh mengasyikkan dan menyejukkan mata memandang.


Tengahari lebih kurang jam 2.00 petang, iaitu selama 15 minit perjalanan dari pekan nelayan Volendam, kami tiba di kota Amsterdam. Suasana hening dan tenang sepanjang perjalanan tiba-tiba bertukar kalut, bising, sibuk dan padat dengan orang ramai. Dua suasana yang amat berbeza hanya dalam 10 minit perjalanan! Kota amsterdam sibuk dengan orang ramai yang lalu lalang, pelancung yang hilang arah, penunggang basikal yang bersimpang siur, deruman bas, kereta dan tren yang tidak berhenti-henti memenuhi jalanan kota Amsterdam menjadikan kami tiba-tiba kebingungan. Berbekalkan peta yang diberikan, kami mula meronda kota amsterdam. Kota bebas yang menjadi impian generasi muda! Apa tidaknya, sewaktu tentera Napoleon dari Perancis menguasai Belanda, mereka meluluskan regulation of prostitute, menghalalkan pelacuran. Peraturan itu kekal hingga kini sejak beratus tahun dahulu. Kerana itu selang beberapa langkah kita akan menemui kedai-kedai yang menjual barangan sex secara terbuka, majalah-majalah porno yang diletakkan dan disusun bersama majalah,buku-buku dan akhbar harian. Di tengah-tengah kota amsterdam pula terdapat satu kawasan yang dinamakan "red light" iaitu kawasan pelacuran halal yang dikunjungi oleh kereta-kereta mewah, golongan pertengahan dan golongan biasa secara terbuka. tetapi awas, menggunakan kamera tanpa berhati-hati di kawasan ini adalah tidak digalakkan.
Tidak cukup dengan itu, sebuah Muzium sex dibina dengan memaparkan gambar-gambar berkaitan dengan sex sejak tahun 1700 sehingga zaman moden.

bebasnya tanah Belanda ini adalah sesuatu diluar jangkaan saya. meskipun pernah membaca artikel-artikel mengenainya di dalam akhbar dan majalah, ianya tidaklah seperti yang disangka. kebanyakan kedai-kedai makan, kafe dan kiosk menual ganja dan marijuana secara terbuka. Dari anak-anak muda hingga lah orang tua yang lanjut usia menggulung marijuana di mana saja masa terluang. dalam keretapi, bas, pinggir jalan, sambil menunggang basikal atau motosikal atau semasa lepak di kakilima pasaraya, lelaki atau perempuan menggulung ganja atau marijuana dengan selamba. Pelancong juga banyak yang mengambil kesempatan yang terbuka!

Saya meninggalkan pusat bandar yang merimaskan menuju muzium Van gogh yang tersohor. meninjau jambatan-jambatan yang bertaburan di kota Amsterdam, melawat bangunan-bangunan lama sejak kurun 15 yang masih utuh dan kukuh dan dijadikan bangunan-bangunan kerajaan, muzium dan milik persendirian. Kekaguman saya kepada keunikan senibina orang-orang Belanda yang bertahan sehingga kini amat mengujakan.




Saya juga mengambil peluang untuk meninjau muzium lilin madame Tussaud yang terletak di hadapan dataran amsterdam yang sibuk. bayaran tiket dikenakan sebanyak 10Euro. Tidak ada banyak bezanya dengan apa yang terdapat di kota london. Puas menjengok patung lilin, kami menaiki cruisse mengelilingi kota amsterdam melalui sungai sekadar untuk menjamu mata melihat sekitar kota. Tidak banyak yang mengujakan saya di Kota Amsterdam kecuali kebebasan yang tiada batasan. Ditembok-tembok terdapat contengan "sss"(triple S). Melalui Mr Craig, lelaki Welsh yang membawa kami, ia bermaksud 'sport, sex, study'.Poster-poster di tembok batu pula banyak memaparkan gambar Charles Darwin sebagai simbol. Maka tidak hairanlah masyarakat barat hanyut terlalu jauh dalam arus kemodenan yang menjadikan mereka lupa dan hilang panduan mengenai asal manusia. Saya akui Belanda negara yang patut dilawati, tapi tak patut dicontohi. Jika anda membawa keluarga dan anak bersama, pastikan ada jawapan terhadap persoalan yang ditanya oleh mereka!

No comments:

MADRID II

  Kota Madrid seawal abad ke 9 pernah diperintah oleh gabenur Umayyah Andalusia dan kota ini dikenali sebagai 'majrit' dari kata asa...